Hukum Penggunaan Tulang, Kulit \u0026 Bulu

22
KOLEJ UNIVERSITI ISLAM SAINS DAN TEKNOLOGI FIQH MAKANAN & MINUMAN (MPU 3053) “Hukum Penggunaan Tulang, Kulit & Bulu” NAMA : NUR KHALILAH BINTI ZUL AFFANDDI (413201009) NAMA PENSYARAH : USTAZ SOLEH BIN IBRAHIM

Transcript of Hukum Penggunaan Tulang, Kulit \u0026 Bulu

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM SAINS DAN TEKNOLOGI

FIQH MAKANAN & MINUMAN (MPU 3053)

“Hukum Penggunaan Tulang, Kulit & Bulu”

NAMA :

NUR KHALILAH BINTI ZUL AFFANDDI (413201009)

NAMA PENSYARAH :

USTAZ SOLEH BIN IBRAHIM

ISI KANDUNGAN

BIL PERKARA M/S

1 TULANG Isu berkaitan penggunaan tulang Fatwa Malaysia

1-5

2 KULIT Pembersihan kulit binatang Isu penggunaan kulit binatang Hukum & dalil mengharuskan samak Cara membersihkan kuit binatang

6-12

3 BULU Binatang yang halal dimakan dagingnya Binatang yang tidak halal dimakan dagingnya Syak pada kesucian bulu binatang Bulu pada anggota yang terpotong Penggunaan bulu binatang Hubungan bulu binatang dengan solat Fatwa Malaysia

13-18

4 KESIMPULAN 19

5 RUJUKAN 20

1.0 TULANG

Tulang adalah rangka yang bersifat padat, separa keras dan paras yang membentuk

bahagian utama di dalam kebanyakan haiwan vertebrata. la mengandungi matrik organik

yang padat and komponen mineral bukan organik. Tulang termasuk tanduk, gigi, kuku dan

paruh. Bagi tanduk, ia termasuk gading dan sumbu. Terdapat dua jenis tulang haiwan iaitu

yang boleh digunakan dan yang tidak boleh digunakan. Tulang yang boleh digunakan pula

terbahagi kepada tulang haiwan halal yang telah disembelih mengikut hukum syarak dan

tulang haiwan akuatik yang halal dimakan. Tulang haiwan yang tidak boleh digunakan

terbahagi kepada :

a) Tulang haiwan halal yang diambil semasa hidup adalah najis dan tidak halal digunakan.

b) Tulang dan bangkai haiwan halal adalah najis dan tidak halal digunakan.

c) Tulang haiwan yang haram dimakan, sama ada diambil semasa hidup atau setelah mati,

adalah najis dan tidak halal digunakan.

1.1 ISU BERKAITAN PENGGUNAAN TULANG

Tulang haiwan digunakan dalam pelbagai bentuk dan cara antaranya adalah dalam penapis

air, “bone china” dan bejana.

Antara kategori-kategori bejana dalam Islam, terdapat bejana yang diperbuat daripada

tulang haiwan. Bejana ini dikenali sebagai bejana tulang. Hukum penggunaan bejana tulang

yang diambil daripada tulang haiwan halal dan disembelih mengikut hukum syarak adalah

diharuskan. Yusuf al-Qaradawi menyatakan tulang, kulit dan bulu daripada haiwan yang

halal dimakan adalah suci.

Demikian juga, mazhab Syafii mengharuskan penggunaan tulang jika diambil daripada

haiwan yang disembelih mengikut hukum syarak termasuk kuku, tanduk, tulang dan gigi.

Walaupun begitu, ulama berbeza pandangan terhadap bejana yang diambil daripada tulang

haiwan haram. Imam Syafii dan mazhab Hanbali menyatakan penggunaan tulang gajah tidak

diharuskan oleh syarak. Manakala, sesetengah ulama mazhab Hanbali berpendapat tulang

bangkai adalah najis sama ada daripada bangkai haiwan yang halal dimakan atau sebaliknya.

Tulang haiwan tidak akan suci dalam semua keadaan sekalipun. Mereka bersandarkan

firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah seperti berikut:

̓̓Ψσø:$# ã Νøtm:uρ ã Π ¤ $!$#uρ è πtGøŠyϑø9$# ã Ν ä ø‹n=tæ ôMtΒÌhã m

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak

disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).

Tulang dikategorikan sebagai sebahagian daripada bangkai. Justeru, penggunaan bahagian-

bahagian bangkai haiwan adalah diharamkan oleh syarak termasuk tulang gajah. Maka,

penggunaannya tidak diharuskan. Oleh itu, hukum penggunaan tulang, kuku, dan tanduk

haiwan adalah najis seperti hukum daging bangkai. Berdasarkan perbahasan ulama-ulama di

atas, hujah golongan kedua lebih berhati-hati dalam menetapkan hukum. Setelah

memperincikan perbahasan mengenai konsep sembelihan dan konsep bejana di atas,

penulis memfokuskan perbincangan terhadap asas-asas metodologi yang digunakan dalam

mentakhsiskan hukum penggunaan bone china. Ketiga-tiga konsep ini perlu digabungkan

agar analisis hukum bone china dapat dilakukan secara teliti dan terperinci.

Ramai para pengguna Islam tidak menyedari tentang fakta bahan seramik yang

banyak digunakan di dalam kebanyakan alat sistem penapis air yang terdapat di pasaran.

Bahan Seramik ini biasanya terdapat pada bahagian pertama mana-mana sistem penapis air.

Ia berfungsi untuk menyaring bahan lumpur, lumut, microorganisma dan bahan-bahan

cemar yang besar sebelum melalui proses penyaringan berikutnya.

Akan tetapi satu hakikat yang perlu disedari oleh kesemua pengguna Islam ialah

banyak bahan Seramik yang ada di pasaran diperbuat dari bahan ‘Tulang Haiwan’ yang

dihancurkan, diproses secara mampatan serta dibentuk seperti tiub untuk dipasang pada

kartrij sistem penapis air.

Fakta kedua yang lebih menakutkan ialah ada juga bahan ini diperbuat dari tulang

Khinzir. Teknologi ini sama seperti teknologi membuat bahan porceline, bahan industri yang

menggunakan Seramik, Ceramic Ball, Ceramic Disc dll yang banyak digunakan sebagai bahan

di dalam alat penapis air di pasaran termasuklah yang mempunyai standard antarabangsa.

Yang paling popular dan paling meluas penggunaanya ialah dari bahan 'Bone-China' yang

bermutu tinggi, tahan lama serta 'cost effective'. 'Bone-Cina' atau 'Fine Bone-China' begitu

popular dan cukup meluas penggunaannya di dalam industri ini.

Fine bone china ada mengandungi 'bone ash' (abu tulang) sebagai salah satu

material dalam pembuatannya. Tulang-tulang ini (selalunya tulang binatang) dibakar pada

1000 darjah celcius, dan pada tahap suhu setinggi tinggi, rupa dan fizikal sesuatu bahan

telah bertukar sifat semulajadinya kepada bahan baru).

"Bone China" ialah sejenis pinggan mangkuk porcelain yang dikategorikan mahal dan

klasik. Porcelain ialah barangan seramik yang mana penciptaannya telah dipelopori oleh

Negara China sejak daripada kurun ke 7 lagi. Ini menyebabkan barangan porcelain ini

dipanggil dengan gelaran "china". Malah "fine china" ditujukan kepada barangan seramik

yang menggunakan tanah liat khas yang dipanggil "china clay" walaupun tanah liat ini

dikorek di Amerika Syarikat.

Bone china dicipta oleh seorang Inggeris bernama Josiah Spode pada kurun ke 18.

Perbezaan bone china dengan fine china yang lain ialah ramuan abu tulang haiwan ke dalam

ramuan penciptaan bone china. Komposisi ramuan tersebut ialah 50% abu tulang, 25% china

clay dan 25% china stone. Pada asalnya, abu tulang yang digunakan oleh Josiah berasal

daripada seladang (ox). Abu tulang ini yang menjadikan warna china bone putih dan

mempunyai tahap kekerasan yang tinggi. Abu tulang seladang adalah hanya salah satu

daripada tulang-tulang binatang yang digunakan. Terdapat banyak lagi jenis tulang binatang

seperti unta, kuda, lembu, dan juga babi.

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan hukum penggunaan “bone china” ini.

Hanafi berpendapat bahawa hukumnya adalah boleh, tanpa mengira apakah jenis tulang

yang digunakan (babi atau lembu). Ada dua kaedah penting yang mendokongnya dan

banyak dihalusi dalam madzhab Hanafi, madzhab ahli Ra’yie yang sentiasa terdedah dengan

perkembangan baru dalam hukum-hakam.

Kaedah pertama: Ialah al-Istihalah atau kaedah perubahan zat, maksudnya tulang bangkai

yang asalnya najis, tapi bila zatnya telah berubah menjadi romaad (abu) dan dibakar lagi

bersama tanah liat (clay) dalam industri pinggan mangkuk, maka ia akhirnya berubah

menjadi pinggan dan sifat asal tulang itu sudah lenyap sama sekali (lihat Ibn Abidin al-

Hanafi, Radd al-Mukhtar, edisi Bulaq, 1:217)

Kaedah kedua: Ialah al-Istihlak atau kaedah hancurnya zat. Maksudnya zat sesuatu yg najis

atau haram kemudian bercampur dengan zat lain yang suci yang banyak kuantitinya, lalu ia

larut dan keluar suatu zat yang baru yang suci dari segi bau, rasa dan warnanya. Dalam kes

fine boneware china, tulang yang sedikit bercampur dgn bahan suci yang banyak, kemudian

terhasil pinggan-mangkuk yg suci dari segi bau, rasa dan warnanya, maka ia dianggap suci.

Ini ditegaskan keharusannya oleh Syaikhul Islam Ibn Taymiyah al-Harani (MF, cetakan

Riyadh, 21:508) Namun, walaupun finebone china itu harus, tapi jika harganya mahal dan

termasuk pinggan mangkuk yang eksklusif dan membawa pemiliknya riak atau lambang

kemewahan seseorang maka ia jatuh hukum berlebihan dalam memiliki perhiasan. Apatah

lagi jika ia hanya dipamerkan sahaja dalam display cabinet di ruang tamu. Jika itu saja

kegunaannya, maka lebih baik dijauhi atas dasar kesederhanaan dalam Islam.

1.2 FATWA MALAYSIA

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan mengenai Hukum

Penggunaan Peralatan Dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China).

Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan,

Muzakarah menegaskan bahawa berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih

kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana

proses istihalah dianggap tidak berlaku.

Muzakarah juga berpandangan bahawa sekiranya penggunaan produk bone

china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut Syarak ini diharuskan,

maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan haiwan

yang tidak halal mengikut syarak berleluasa.

Muzakarah juga berpandangan bahawa peralatan atau perhiasan bone china tidak

mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan

menggunakannya. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan

bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china)

yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak

disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.

Walaubagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang

haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah

diharuskan.

2.0 KULIT

Bahagian paling luar dan merupakan organ terbesar tubuh. Bertindak sebagai pelindung

terhadap jangkitan mikroorganisma dan membantu melindungi tisu badan daripada

mengalami kecederaan mekanikal dan kecederaan lain. Kulit terdiri daripada lapisan luar,

epidermis dan dermis.

Penggunaan barang-barang yang diperbuat daripada kulit binatang, lebih-lebih lagi

binatang yang terkawal, dianggap oleh setengah orang sebagai barang-barang berjenama,

walaupun ia sebenarnya bertentangan dengan undang-undang dan pencinta alam.

Penggunaan barang-barang daripada kulit binatang itu telah pun wujud lama sebelum

zaman Nabi Muhammad. Nabi sendiri pernah minum air dalam geriba (tempat menyimpan

air daripada kulit binatang).

2.1 PEMBERSIHAN KULIT BINATANG

2.1.1 Binatang Yang Halal Dimakan

Kesemua anggota binatang yang halal dimakan seperti unta, lembu, ayam dan sebagainya,

jika terpisah anggota tersebut daripada badannya sama ada ketika binatang itu masih hidup

atau mati bukan kerana disembelih, adalah bangkai melainkan bulu binatang itu. Maka kulit

binatang tersebut juga adalah najis. Namun jika ia disamak, kulit itu menjadi suci dan boleh

dimanfaatkan.

Sementara kulit binatang yang halal dimakan jika terpisah daripada badan binatang

itu setelah disembelih adalah suci dan boleh dimanfaatkan tanpa perlu menyamaknya lagi.

Ini kerana ia suci selepas matinya disebabkan sembelihan (Fath al-‘Allam) Kitab ath-

Thaharah, Tathhir al-Julud Bi ad-Dabigh: 1/85).

Kulit binatang yang halal dimakan dan telah disembelih maka boleh dimanfaatkan,

seperti untuk bahan kasut, tali pinggang, dan sebagainya kerana menggunakan benda ini

termasuk penggunaan yang Allah bolehkan untuk kita.

2.1.2 Binatang Yang Tidak Halal Dimakan

Kesemua anggota binatang yang tidak halal dimakan seperti buaya, singa, kucing, monyet

dan sebagainya, jika terpisah anggota binatang tersebut daripada badannya sama ada ketika

binatang itu masih hidup ataupun sudah mati adalah bangkai. Ini termasuk juga kulit

binatang tersebut. Walaubagaimanapun menurut hukum syarak kulit-kulit seperti ini akan

menjadi suci jika ia disamak dan boleh dimanfaatkan melainkan kulit anjing dan babi.

Manakala kulit haiwan yang haram, atau haiwan yang mati tidak disembelih, atau

haiwan yang diperselisihkan kehalalannya, seperti binatang buas, para ulama berselisih

pendapat tentang hukum memanfaatkan kulitnya. Memandangkan adanya beberapa hadis

yang menunjukkan bolehnya menggunakan kulit haiwan seperti ini dan ada hadis yang

menunjukkan terlarangnya memanfaatkan kulit tersebut.

Disebutkan dalam riwayat Abu Daud dan Tirmizi, bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wa

sallam melarang kulit binatang buas. Demikian pula, diriwayatkan Abu Daud dan Nasa'i

bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam melarang memakai kulit binatang buas dan

menunggang binatang buas.

Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa kulit binatang buas tidak boleh dimanfaatkan.

As-Syaukani dalam Nailul Authar mengatakan, 'Hadis-hadis ini melarang memanfaatkan kulit

binatang yang tidak boleh dimakan, (meskipun) dalam keadaan sudah kering. Berdasarkan

keumuman hadis, kulit haiwan yang haram dimakan juga tidak boleh suci dengan disembelih

atau disamak. Syaikh Ibn Utsaimin pula berpendapat kulit binatang ada tiga jenis:

Pertama, kulit yang suci, baik disamak maupun tidak disamak. Ini adalah jenis kulit

haiwan yang halal dimakan dan telah disembelih. Kedua, kulit haiwan yang tidak boleh

menjadi suci, baik setelah disamak ataupun sebelum disamak, hukumnya tetap najis. Ini

adalah jenis kulit haiwan yang tidak halal dimakan, seperti babi. Ketiga, kulit haiwan yang

boleh suci setelah disamak dan tidak boleh menjadi suci, jika belum disamak. Ini adalah kulit

haiwan yang boleh dimakan, tetapi mati tanpa disembelih (bangkai). Seperti bangkai

kambing, dll.

Manakala majoriti ulama berpendapat bahawa ular, buaya, harimau adalah haram

dimakan. Imam Nawawi mengatakan :

"Madzhab para ulama mengenai haiwan melata, seperti ular, kala, kumbang, lipas, tikus,

dan sebagainya, pendapat kami (mazhab syafi'iyah) adalah haram. Ini merupakan pendapat

Abu Hanifah, Ahmad, dan Daud adz-Dzahiri. (Al-Majmu ', 9/16)

Sesetengah ulama pula berpendapat bahawa kulit haiwan yang telah disamak adalah suci,

sama ada haiwan tersebut adalah haiwan yang boleh dimakan tetapi mati tanpa disembelih,

ataupun haiwan tersebut adalah haiwan yang tidak boleh dimakan, kecuali anjing dan babi.

Ini berdasarkan kepada sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

أيما إهاب دبغ فقد طهر

Maksudnya: “Apa jua kulit apabila disamak maka ia menjadi suci”. (Riwayat Al-Tirmizi,

4/221, no: 1728; Al-Nasai, 7/173, no: 4241; dan Ibn Majah, 2/1193, no: 3609).

Dalam hadis yang lain, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam berjalan melalui satu bangkai

kambing lalu baginda bersabda, "Kenapa kamu tidak mengambil kulitnya, menyamaknya

dan memanfaatkannya?". Mereka menjawab, "Ia adalah bangkai". Lalu baginda

bersabda, "Yang haram adalah memakannya". (Riwayat Al-Bukhari, 2/128, no: 1492; dan

Muslim, 1/276, no: 363).

Berdasarkan kepada dua hadis di atas, menurut pandangan mazhab Syafie bahawa

kulit haiwan yang boleh dimakan tetapi mati tanpa disembelih mengikut syarak dan kulit

haiwan yang tidak boleh dimakan (kecuali anjing dan babi) adalah suci sekiranya disamak.

Oleh itu harus memakai dan menggunakan barangan seperti beg, kasut, tali

pinggang dan lain-lain yang diperbuat daripada kulit yang telah disamak yang diambil

daripada bangkai atau haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak.

2.2 ISU PENGGUNAAN KULIT HAIWAN

Bejana Kulit Haiwan

Kulit haiwan yang mati dengan sembelihan atau tanpa sembelihan sering dimanfaatkan

sebagai bekas minuman dan makanan. Dalam hal ini, para ulama sepakat terhadap

kenajisan kulit bangkai sebelum proses penyamakan. Walau bagaimanapun, fuqaha berbeza

pandangan terhadap kulit bangkai yang tidak melalui proses penyamakan tetapi dijadikan

sebagai bekas minuman dan makanan. Para fuqaha terbahagi kepada dua pandangan.

i. Golongan Pertama: Fuqaha yang mengharuskan dan perbahasannya sepertimana yang

dinyatakan di atas, kulit haiwan yang telah disamak menjadi suci serta harus untuk

dimanfaatkan. Antara fuqaha yang mengharuskan penggunaannya adalah Imam Syafii.

Imam Syafii menyatakan kulit haiwan yang halal dimakan akan suci melalui proses

penyamakan. Begitu juga, kulit haiwan yang haram dimakan dagingnya seperti haiwan al-

siba’ akan suci setelah kulitnya disamak. Walau bagaimanapun, Imam Syafii tidak

sependapat terhadap penggunaan kulit haiwan yang haram seperti anjing dan babi kerana

kedua-dua haiwan ini dikategorikan sebagai najis aini dan haram memanfaatkannya. Proses

penyamakan tidak akan merubah sifat dan zat asal kedua-dua haiwan ini.

Abu Hanifah juga berpandangan semua kulit haiwan yang halal menjadi suci dengan

proses penyamakan kecuali kulit babi dan kulit manusia. Kulit babi tidak suci melalui kaedah

penyamakan kerana kulit babi dikategorikan sebagai najis aini dan kulit manusia pula

dimuliakan oleh Allah SWT. Demikian juga, diharuskan menggunakan kulit haiwan halal yang

dijadikan sebagai alatan wudhu’ atau alatan mandian.

Mazhab Hanbali dan mazhab Maliki menyatakan kulit haiwan yang telah disamak adalah

suci kecuali kulit anjing dan kulit babi. Kulit haiwan boleh digunakan sebagai alatan

sembahyang. Pendapat daripada Imam Ahmad pula, kesucian kulit bangkai haiwan

bergantung kepada jenis haiwan yang digunakan. Walaupun begitu, Islam tidak

mengharuskan pembelian dan penjualan kulit haiwan sebelum disamak kerana dilabelkan

sebagai najis.

ii. Golongan kedua: Fuqaha yang mengharamkan dan perbahasannya Manakala, fuqaha

yang mengharamkan penggunaan bejana kulit haiwan adalah mazhab Hanbali. Mazhab

Hanbali menyatakan kulit haiwan sekalipun telah disamak tetap najis. Selain itu, Abu Qasim

menegaskan hukum setiap kulit yang disamak atau tidak disamak tetap dianggap sebagai

najis. Selain itu, tulang, kuku dan tanduk juga najis serta dikategorikan sebagai bangkai

haiwan.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah:

̓̓Ψσø:$# ã Νøtm:uρ ã Π ¤ $!$#uρ è πtGøŠyϑø9$# ã Ν ä ø‹n=tæ ôMtΒÌhã m

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak

disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya). Surah

al-Maidah (5): 3

Berdasarkan ayat di atas, haram menggunakan keseluruhan bahagian bangkai haiwan. Lafaz

maytah adalah lafaz mufrad dan sighah alif lam menunjukkan lafaz umum. Oleh yang

demikian, pengharamannya tidak hanya dikhususkan terhadap daging bangkai bahkan

termasuk keseluruhan bahagian bangkai haiwan tersebut. Justeru, tidak harus

menggunakan kulit haiwan kerana kulit haiwan sebahagian daripada bangkai.

2.3 HUKUM DAN DALIL-DALIL MENGHARUSKAN SAMAK

Perbuatan menyamak itu merupakan suatu jenis kerja yang dilakukan bagi faedah dan

kepetingan manusia. Banyak faedah dan manfaat yang dapat dinikmati dan digunakan oleh

manusia daripada kulit-kulit yang telah dibersihkan dengan cara menyamaknya. Maka

syariat Islam memandangnya sebagai suatu kerja atau usaha yang diharuskan.

Terdapat beberapa jumlah dalil syarie yang memperuntukkan berkenaan kulit bangkai boleh

menjadi suci setelah disamak, diantaranya :

1)Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radiallahuanhuma beliau berkata yang maksudnya:

Hamba sahaya milik Maimunah diberi sedekah seekor kambing, lalu kambing itu mati. Tidak

berapa lama Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam berjalan melintasi bangkai kambing itu

mati. Baginda bersabda:

“Mengapa tidak kamu ambil kulitnya, kemudian kamu samak supaya kamu dapat

memanfaatkannya.”Mereka berkata: “Ia sudah menjadi bangkai.” Baginda bersabda: “Yang

haram itu hanyalah memakannya.” (Hadis riwayat Muslim).

2) Di dalam riwayat yang lain daripada salamah bin Al Muhabbaq yang maksudnya :

Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika peperangan Tabuk berkunjung ke

sebuah rumah. Tiba-tiba Baginda mendapati sebuah geriba (tempat menyimpan air

daripada kulit binatang) bergantung, lalu Baginda bertanya meminta air. Mereka berkata :

Wahai Rasulullah, geriba itu bangkai. Baginda bersabda: “Penyamakannya mensucikannya.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan An Nasa’i).

Berpandukan kepada kedua-dua dalil di atas jelas bahawa kulit bangkai di mana pada

asalnya dihukumkan sebagai najis boleh menjadi suci dan boleh dimanfaatkan jika ianyaa

disamak.

2.4 CARA MEMBERSIHKAN KULIT BINATANG

Cara membersihkan kulit binatang yang najis ataupun bangkai selain kulit anjing dan babi

adalah dengan menyamaknya, iaitu menhilangkan segala lendir dan kelembapan yang

melekat pada kulit di mana jika dibiarkan akan merosakkan kulit tersebut.

Bahan yang digunakan ialah sesuatu yang kesat/kasar di lidah jika terkena lidah

seperti daun akasia (qarazh), manjakani (afsh), kulit delima (qusyur ar-rumman), tawas (asy-

Syabb) dan seumpamanya.

Tidak semestinya bahan yang digunakan itu terdiri daripada benda-benda yang suci,

malahan tidak menjadi halangan menurut hukum syarak jika bahan yang digunakan untuk

menyamak itu terdiri daripada benda yang najis seperti tahi burung merpati.. Apa yang

penting, bahan yang digunakan itu dapat mengeringkan kelembapan kulit, menghilangkan

kotoran dan baunya yang busuk.

Tidak sah menyamak dengan hanya menjemur kulit binatang itu di bawah panas

terik cahaya matahari, melumurnya dengan tanah, membekukan dan memasingkannya,

kerana cara-cara tersebut tidak mampu membuang segala kotoran yang ada pada kulit,

sekalipun kulit itu kering dan harum baunya. Tanda yang menunjukkan bahawa kotoran itu

tidak hilang ialah jika kulit itu direndam atau terjatuh ke dalam air, pasti bau busuk akan

kembali semula.

Semua kotoran dan najis yang ada pada kulit mestilah dihilangkan. Sesuatu yang ada

di atas kulit bangkai seperti bulu tidak akan menjadi suci sekalipun ia disamak. Oleh itu, bulu

tersebut hendaklah dicabut atau dihilangkan daripada kulit tersebut. Walau bagaimanapun

jika bulu itu ada tertinggal sedikit dan susah hendak menghilangkan keseluruhannya maka ia

adalah dimaafkan. (Fiqh Dan Perundangan Islam, Kitab ath-Thaharah, Samak : 1/86-88).

3.0 BULU

Secara umum, bulu adalah sekumpulan atau sekelompok filamen yang tumbuh dari kulit

haiwan dan meliputi bahagian kepala atau mana-mana bahagian badan. Terdapat pelbagai

jenis bulu yang berdasarkan jenis haiwan, di antaranya bulu burung (feather) iaitu struktur

tahan air yang ringan yang membentuk dan meliputi luaran burung, bulu (wool) iaitu serat

yang berasal daripada rambut haiwan peliharaan biasanya biri-biri, bulu (fur) iaitu rambut

lembut yang menutupi tubuh kebanyakan mamalia dan surai (horse hair) iaitu rambut yang

diambil daripada surai atau ekor kuda.

Apabila dilihat perihal bulu di zaman sekarang, memang banyak dimanfaatkan oleh

manusia seperti dijadikan pakaian, alas, perhiasan, berus dan sebagai nya. Masalah yang

timbul adakah ia boleh digunakan ataupun tidak dan adakah sah sembahyang ketika

memakainya.

Bulu binatang itu ada yang datangnya daripada binatang yang halal dimakan

dagingnya dan binatang yang tidak halal dimakan dagingnya. Binatang itu pula ada yang

disembelih dan ada juga yang mati bukan kerana disembelih (bangkai). Maka IRSYAD

HUKUM kali ini meninjau lebih lanjut ketetapan hukum syarak mengenai perkara tersebut.

3.1 BINATANG YANG HALAL DIMAKAN DAGINGNYA

Bulu binatang yang halal dimakan seperti unta, lembu, kambing, arnab, ayam dan

sebagainya, jika terpisah dari badannya sama ada dicabut, tercabut atau sebagainya ketika

binatang itu hidup atau mati kerana disembelih maka adalah ia suci (tidak najis). Firman

Allah Subhanahu Wata’ala yang tafsirnya:

“Dan (ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu,

pelbagai perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu

masa.”

(Surah An-Nahl ayat 80)

Jika bulu binatang tersebut terpisah sesudah ia menjadi bangkai maka bulu binatang

berkenaan adalah najis.

Adapun anggota yang lain selain bulunya jika di potong atau dipisahkan dari badannya

ketika binatang itu masih hidup ia dihukumkan sebagai bangkai, sebagaimana disebutkan

dalam hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudri Radiallahuanhu yang maksudnya :

Bahawasanya Rasulullah Sallalahahu Alaihi Wasallam pernah ditanya mengenai potongan

bonggol-bonggol unta dan ekor-ekor kambing. Baginda bersabda :

“Apa yang dipotong daripada yang hidup adalah bangkai.”

(Hadis riwawat Al-Hakim)

Hadis ini ditakhshishkan oleh dalil Al-Quran yang telah disebutkan di atas di mana bulu

bianatang yang halal dimakan itu jika terpisah ketika binatang itu hidup adalah suci.

Demikian juga halnya dengan anggota yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang ia

adalah suci.

3.2 BINATANG YANG TIDAK HALAL DIMAKAN DAGINGNYA

Jika bulu binatang yang tidak halal dimakan seperti kucing, monyet, musang dan sebagainya,

terpisah daripada badannya ketika binatang itu masih hidup, maka bulu tersebut adalah

najis apatah lagi sesudah binatang tersebut mati. Demikianlah juga anggota-anggotanya

yang lain jika bercerai daripada binatang itu adalah dikira bangkai. (Mughni Al-Muhtaj, Kitab

Ath-Thaharah, Bab An-Najasah ayat 1/115)

3.3 SYAK PADA KESUCIAN BULU BINATANG

Ada kalanya kita terjumpa bulu binatang dan kita tidak mengenali sama ada bulu binatang

itu suci atau najis. Maka, jika terjadi syak, adakah bulu yang terpisah dari binatang itu

datangnya dari yang suci ataupun yang najis, maka bulu itu di hukumkan suci kerana

menurut hukuman asal adalah suci, dan telah berlaku syak pada kenajisannya sedang

hukum asal adalah tidak najis. (Mughni Al-Muhtaj, Kitab Ath-Thaharah, Bab An-Najasah ayat

1/115). Sebagai contoh baju yang diperbuat daripada bulu binatang sedang tidak diketahui

sama ada bulu tersebut datangnya daripada binatang yang halal dimakan ataupun

sebaliknya atau ia daripada binatang yang disembelih ataupun bangkai, maka dalam hal ini

baju tersebut adalah suci.

3.4 BULU PADA ANGGOTA YANG TERPOTONG

Bulu yang ada pada anggota binatang yang tidak halal dimakan yang terpotong ketika

binatang itu masih hidup adalah najis apatah lagi sesudah mati, seperti ekor kucing yang

terpisah atau terpotong. Kerana ekor yang terpotong itu bangkai, maka bulu yang ada pada

ekor itu juga adalah najis.

Demikian juga halnya dengan bulu yang ada pada anggota binatang yang halal

dimakan yang terpotong ketika hidup ataupun mati tanpa disembelih adalah najis, seperti

ekor kerbau yang berbulu dan terpisah atau terpotong. Kerana ekor kerbau itu terpotong

ketika ia hidup atau terpotong setelah ia mati bukan kerena disembelih adalah bangkai,

maka bulu ekor itu juga adalah najis.

Jika dicabut bulu binatang yang halal dimakan ketika hidup sehingga tercabut

bersama-samanya akar bulu tersebut dan melekat padanya sesuatu yang basah daipada

bulu itu seperti darah atau sebagainya, maka bulu itu mutanajjis (yang terkena najis atau

bercampur najis). Akan tetapi ia boleh menjadi suci jika dibersihkan. (Mughni Al-Muhtaj,

Kitab Ath-Thaharah, Bab An-Najasah ayat 1/115).

3.5 PENGGUNAAN BULU BINATANG

Daripada penjelasan sebelum ini, mana-mana bulu yang dicabut daripada bangkai aatau

dicabut daripada binatang yang tidak boleh dimakan dagingnya adalah najis. Maka setiap

penggunaan kesemua benda-benda yang najis, menurut pendapat yang sahih adalah tidak

harus memanfaatkannya sama ada dibuat pakaian atau perhiasan di badan melainkan jika

ada darurat. Sementara penggunaan selain daripada pakaian atau perhiasan badan adalah

diharuskan jika najis itu bukan datangnya daripada anjing dan babi.

Apa yang dimaksudkan dengan darurat itu ialah, seperti terjadinya peperangan yang

mengejut atau takut atas terjadi sesuatu pada dirinya kerana kepanasan atau kesejukan

ataupun sebagainya, lalu tiada pakaian lain selain yang najis, maka harus dipakai pakaian itu

kerana darurat kecuali dipakai ketika sembahyang. (Mughni Al-Muhtaj, Kitab As-Shalah, Bab

Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah, Fashal Fi At-Tahalli Bi Al-Fidhah ayat 4/387).

3.6 HUBUNGANNYA DENGAN SEMBAHYANG

Menurut hukum syarak syarat sah mengerjakan sembahyang itu hendaklah bersih daripada

segala najis baik pada pakaian, tubuh badan dan tempat sembahyang. Oleh itu, jika terdapat

bulu binatang yang hukumkan najis pada pakaian atau badan maka sembahyang itu tidak

sah kerana menanggung sesuatu yang najis. Kecuali jika bulu yang najis itu sedikit, seperti

sehelai atau dua helai, kerana ia dimaafkan. Melainkan bulu anjing atau babi kerana ia tetap

najis walaupun hanya sedikit. (AL-Feqh Al-Islami Wa Adilatuh ayat 1/175).

Apakah yang harus dilakukan oleh orang yang sedang sembahyang mendapati ada

bulu najis pada pakaiannya? Menurut Ashhab Asy Syafi’e, apabila orang yang sedang

sembahyang itu mendapati ada najis yang kering pada pakaian atau badannya, maka pada

saat itu juga hendaklah dia mengibas najis tersebut. Jika dia mendapati najis yang basah

pula hendaklah dia segera menanggalkan atau mencarik pakaiannya yang bernajis itu tanpa

menyentuh najis tersebut. Adapun jika dia tidak segera menanggalkan atau mengibas

pakaian yang bernajis itu maka batal sembahyangnya.

Pakaian yang terkena bulu yang najis hendaklah terlebih dahulu dibersihkan. Cara

membersihkannya ialah jika bulu itu kering dan pakaian atau anggota badan yang tersentuh

bulu itu juga kering adalah memadai dengan menanggalkan najis itu sama ada dengan

mengibas, mengibar atau menyapunya. Adapun jika bulu itu basah ataupun pakaian atau

anggota badan yang terkena najis itu sahaja yang basah maka hendaklah ditanggalkan najis

itu dan dibersihkan dengan air yang suci disekitar yang terkena najis. (Fath Al-‘Allam, Kitab

Ath-Thararah, Bab Izalah An-Najasah ayat 1/347).

Oleh kerana persoalan memakai pakaian daripada bulu itu adalah berkaitan dengan

persoalan hukum najis, maka perlulah kita berhati-hati dalam memilih dan

memanfaatkannya supaya pakaian yang dipilih itu diyakini diperbuat daripada bulu yang

suci dan boleh kita guna pakai seperti ketika sembahyang dan sebagainya.

3.7 FATWA MALAYSIA

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Penggunaan Bulu

Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan. Muzakarah telah memutuskan

bahawa penggunaan vitamin D3 yang terhasil daripada bulu binatang yang halal dimakan

adalah harus sama ada ia diambil semasa hidup atau selepas disembelih mengikut hukum

syarak.

Keterangan/Hujah:

1. Bulu kambing yang diambil untuk dijadikan vitamin D3 adalah diperolehi dengan cara

bercukur atau memotong bulu binatang tersebut ketika ia masih hidup.

2. Bulu kambing adalah satu-satunya sumber untuk mendapatkan vitamin D3. Sehingga

kini belum ditemui sumber yang lain selain kambing biri-biri untuk mendapatkan

vitamin D3.

3. Proses penghasilan vitamin D3 dimulakan daripada pengekstrakan bahan dinamakan

lanolin, sejenis bahan berlemak (wax) daripada bulu kambing yang melalui proses

pengikisan (scouring process) dengan menggunakan bahan alkali dan pengemparan.

4. Berdasarkan kepada konsep asas (asal sesuatu iatu adalah harus), penggunaan bulu

binatang yang halal yang diambil semasa hidupnya adalah harus selagi ia dihukum

suci, bersih disisi syarak dan tidak memudharatkan.

Mengikut fatwa Mufti Kerajaan Brunei Bulu binatang yang halal dimakan seperti kambing

biri-biri, ayam, arnab, dan lain-lain yang diambil daripada badannya semasa ia masih hidup,

sama ada dengan cara mencukur, menggunting, mencabut atau tercabut dengan sendirinya

adalah suci.

5. Berhubung penggunaan bulu daripada binatang yang halal untuk dijadikan sebagai

bahan ramuan makanan atau untuk kegunaan yang lain, para fuqaha' bersepakat

bahawa adalah jelas tentang halalnya penggunaan bulu sebagaimana yang disebut

oleh Dr. Wahbah Zuhaili bahawa ijma' ulama' bersetuju tentang kesucian bulu yang

diambil dari binatang yang halal dimakan dagingnya sama ada diambil selepas

disembelih atau semasa hidupnya. Ijmak ulamak ini adalah berdasarkan kepada

umum ayat Al-Quran Surah An-Nahl, ayat 80 tentang kesucian bulu binatang sama

ada ianya diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya untuk kegunaan

manusia.

6. Dalam kes D3 ini manfaatnya bukan diambil dari gentian bulu tersebut tetapi dari

sejenis lilin yang terdapat pada bulu biri-biri tersebut. Dalam kes seumpama ini juga

ulama' menyatakan keharusannya sebagaimana ulamak menyatakan bahawa bulu

binatang adalah suci, dan apa yang ada pada lazimnya pada bulu binatang itu juga

adalah suci.

7. Pandangan Jumhur Ulama' adalah jelas bahawa setiap perkara yang jamad adalah

suci melainkan terdapat dalil yang jelas tentang pengharamannya.

4.0 KESIMPULAN

Barangan yang diperbuat daripada kulit atau tulang binatang yang halal dimakan tetapi tidak

disembelih atau disamak mengikut syariah Islam adalah najis. Begitu juga barangan yang

diperbuat daripada tulang ataupun kulit binatang, bulu dan apa sahaja daripada binatang

yang yang haram dimakan harus digunakan selepas disamak. Alat-alat untuk menyamak

kulit binatang ialah tawas, tahi burung merpati, kapur barus atau sesuatu bahan-bahan

tajam yang boleh menghilangkan bau dan juga menanggalkan daging-daging yang melekat

pada kulit binatang tersebut. Walau bagaimanapun kulit, tulang, bulu dan sebagainya dari

binatang yang tergolong dalam najis mughallazah ia adalah najis, tidak boleh disamak dan

haram digunakan seperti anjing dan babi.

Kata Imam Nawawi dalam Al Minhaj: Dan bahagian yang terpisah daripada binatang

yang masih hidup hukumnya adalah sama seperti bangkai kecuali bulu binatang halal

dimakan. Maka hukumnya bersih. Ijtihad Imam Syafi’e yang mengqiyaskan kenajisan babi

dengan kenajisan anjing dengan kaedah "qiyas awla" nya (al-Syafi’e, Kitab al-Umm, Beirut :

Dar Marifah, 1393H, jil. 1, m.s. 9). L

Logiknya menurut beliau, jika anjing yang tidak disebut pengharamannya secara jelas

di dalam al-Quran wajib disucikan kenajisannya dengan cara samak (tujuh kali basuhan

dengan basuhan pertamanya menggunakan tanah berdasarkan hadith riwayat Abu Hurairah

yang direkodkan sahih oleh Muslim di dalam kitabnya al-Jami' al-Sahih atau sahih Muslim,

Beirut : Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil. 1 m.s. 161), maka babi yang telah diharamkan secara

jelas di dalam al-Quran lebih utama untuk disucikan kenajisannya dengan cara tersebut.

Segala najis tidak dapat disucikan kecuali arak dan kulit bangkai binatang.

5.0 RUJUKAN

1. http://ilmudanulamak.blogspot.com/2011/03/hukum-kulit-dan-bulu- binatang.html

2. http://jerantutferi.blogspot.com/2009/03/bolehkah-kita-menggunakan- pinggan_01.html

3. http://jomfaham.blogspot.com/2010/12/bulu-binatang-adakah-najis.html 4. http://pusatservisrxwater.worldwellness2u.net/index.php/blog-update/49-

berhati-hati-bahan-seramik-dalam-alat-penapis-air-dari-tulang-haiwan5. http://www.al-ahkam.net/home/content/hukum-tulang-bangkai-tanduk-

kuku-rambut-dan-bulunya-menurut-al-qaradhawi6. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penggunaan-bulu-

binatang-yang-halal-dimakan-sebagai-ramuan-makanan7. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penggunaan-

peralatan-dan-perhiasan-berasaskan-abu-tulang-haiwan-bone-china8. https://abangdani.wordpress.com/2013/11/07/hukum-memakai-kulit-

binatang/9. https://irfanirsyad.wordpress.com/2011/02/21/menyamak-kulit-binatang/ 10. MS 2200 : Part 2 : 2012 (Manual Malaysia Standard)