FINAL Garis Panduan Negeri Terengganu (Dokumen Penuh ...

45

Transcript of FINAL Garis Panduan Negeri Terengganu (Dokumen Penuh ...

SENARAI KANDUNGAN

GARIS PANDUAN HIBURAN NEGERI TERENGGANU

Latar Belakang…………………………………………..…….…….…………………..….………………..1

Hiburan Menurut Islam…………………………….…..……….……………………..………………..2

Tujuan……………………………………………………………..……….…………...…….….………………4

Garis Panduan

1. Artis / Pengamal Seni…………………………..…………………..………………….5

2. Nyanyian………………………………………….……….………..……………………….6

(1) Lirik……………………………………………………….…………………………..6

(2) Rentak Lagu………………………………………………….……………………7

(3) Peralatan Muzik……………………...…………………………..…………….7

3. Tarian……………………………………………………………………….………………...8

4. Seni Pentas, Lakonan, Filem Dan Tayangan Video………….……….…..8

5. Pawagam…………………………………………..…………………………………………9

6. Penganjur………………………………………….…………………………..………….10

7. Pertandingan Berbentuk Permainan Atau Nasib…………….………….11

8. Aktiviti-aktiviti Hiburan Lain Dalam Enakmen….…………….….……….12

9. Golongan Bukan Muslim…………………..…………………….…………..…….12

10. Garis Panduan Khas………………………..………………….……………….…….14

Penutup…………………………..………………………………..……………….…………………….…..15

Rujukan………………………………………….…………………………………..……….….………….…15

GARIS PANDUAN PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN NEGERI TERENGGANU

Pendahuluan………………..………………………………….……………………….…………………..16

Maksud Persembahan Kebudayaan...................................................................17

Contoh-Contoh Persembahan Kebudayaan.......................................................18

1. Garis Panduan................................................................................19

2. Keharusan Pelaksanaan.................................................................20

3. Pengecualian.................................................................................21

GARIS PANDUAN PELANCONGAN NEGERI TERENGGANU

Pendahuluan......................................................................................................22

Pelancongan Di Terengganu..............................................................................23

Garis Panduan

1. Pelancong......................................................................................25

2. Agensi Dan Pekerja Pelancongan……………………..……….……………….26

3. Pengusaha Penginapan Pelancong................................................27

4. Garis Panduan Khas.......................................................................28

GARIS PANDUAN SUKAN NEGERI TERENGGANU

Pendahuluan................................................................................................29

Kategori Sukan…………………………………………....………………………………………....30

Garis Panduan

1. Atlet……………………………..…………………………….……………………….32

2. Jurulatih……………………………………………………………………………….32

3. Penganjur…….………………………………………………..……….…………...33

4. Garis Panduan Umum………………………………….…………..………….34

Rujukan…………………...…..……….…………………………………………..……..…………….34

1

GARIS PANDUAN HIBURAN NEGERI TERENGGANU

LATAR BELAKANG

Hiburan merupakan suatu perkara yang disenangi oleh naluri insan kerana ia

adalah gabungan keindahan seni, kehalusan bahasa dan keunikan budaya

manusia yang mampu mententeramkan jiwa dan melahirkan kegembiraan.

Sebagai agama yang menepati keperluan fitrah, Islam tidak menghalang

umatnya berhibur. Namun ia perlulah dipandu agar tidak melampaui batas-

batas syariat Islam dan nilai-nilai ketimuran.

Bagi tujuan itu, Dewan Undangan Negeri Terengganu telah meluluskan

Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002, yang telah diwartakan

pada 27 Februari 2003, dan seterusnya dikuatkuasakan pada 1 Mei 2003.

Enakmen ini menyediakan peruntukan bagi pelesenan dan pengawalseliaan

hiburan dan tempat-tempat hiburan dan bagi perkara-perkara yang

berkesampingan dengannya.

Walaupun Enakmen Hiburan ini telah pun sedia wujud bagi tujuan

pentadbiran, perlesenan, kuasa untuk menyiasat, menangkap, menyita,

mendakwa dan lain-lain, namun terdapat keperluan untuk menyediakan garis

panduan hiburan yang lebih praktikal dan lebih mudah difahami, yang dirangka

berasaskan kepada enakmen tersebut. Dengan itu ia boleh dijadikan panduan

oleh mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang bentuk program

hiburan di Terengganu dengan lebih mudah.

2

HIBURAN MENURUT ISLAM

Terdapat banyak salah faham berkenaan hiburan di dalam Islam. Sehingga ada

pihak yang mencanangkan bahawa tiada langsung hiburan yang dibenarkan di

dalam Islam. Jika benar dakwaan itu, tentulah Islam akan menjadi agama yang

bertentangan dengan fitrah manusia itu sendiri. Sebaliknya Islam membimbing

manusia supaya berhibur dengan cara yang terurus dan tidak melalaikan

manusia dari tugas utama.

Hukum asal bagi hiburan itu adalah harus, sehinggalah ia dicemari

dengan perkara-perkara yang boleh mengundang kepada pengharamannya

seperti pergaulan bebas luar batasan antara lelaki dan wanita, atau

mengandungi lirik lagu yang lucah menggambarkan struktur tertentu tubuh

wanita atau dicemari dengan dadah, arak dan perjudian.

Nabi Allah Daud AS mempunyai suara yang merdu dan alunan zikirnya

membentuk lagu yang mengheningkan suasana. Para mufassirin

mendatangkan beberapa riwayat berkenaan keasyikan golongan yang

mendengar alunan merdu zikir Nabi Daud AS.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Sayyidatina

Aisyah RA, menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak melarang Ummul Mukminin,

Sayyidatina Aisyah RA mendengar nyanyian dua gadis hamba daripada

kalangan Ansar. Aisyah RA menceritakan;

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, ‘kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi’. Abu Bakar berkata, ‘adakah di rumah Nabi ini terdapat serunai syaitan?’ Sedangkan pada hari ini adalah hari raya Aidilfitri.

3

Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.”

Khalid bin Zakwan RA meriwayatkan bahawa Al-Rubaiyyi' binti Mua'wwiz

menceritakan:

"Nabi SAW telah mengunjungiku di hari perkahwinanku, baginda mengambil tempat duduk di atas hamparanku, sepertimana kamu berada dihadapanku sekarang. Ketika itu sekumpulan hamba perempuan sedang memukul gendang sambil menyanyi dan memuji pejuang-pejuang yang terqurban di kalangan bapa-bapa kami di perang Badar. Salah seorang penyanyi tersebut menyebut: "Bersama kami Nabi Allah yang mengetahui apa yang akan berlaku esok hari." Mendengar lirik terakhir itu Rasulullah SAW menegurnya: ‘Tinggalkan kata-kata itu dan teruskan dangan apa telah kamu nyanyikan sebelumnya’". (Riwayat al-Bukhari)

Para ulamak telah membahaskan ayat al-Quran dan hadith berkaitan

hiburan ini dengan terperinci di dalam kitab-kitab fiqh yang boleh dirumuskan

dalam bentuk beberapa batasan dan garis panduan hiburan menurut Islam

secara umum seperti berikut :

• Tiada percampuran di antara lelaki dan wanita ajnabi.

• Tiada perlakuan yang haram seperti minum arak, unsur judi dan

sebagainya.

• Tidak lalai dan berlebih-lebihan dalam berhibur sehingga hak-hak Allah

dan kewajipan yang lain terabai.

• Tidak bersifat menyesatkan diri dan orang lain atau cenderung kepada

melakukan amalan kesesatan.

4

• Senikata, suara lagu dan nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai

unsur pendustaan, maksiat, lagha (sia-sia), merangsang keghairahan

nafsu dan seumpamanya menerusi tema-tema cinta yang melampau,

luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia

sehingga mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat

dan dosa.

TUJUAN

Garis Panduan ini bertujuan untuk menjadi rujukan kepada mana-mana

pihak yang ingin menganjurkan program hiburan di Terengganu. Panduan ini

memperincikan syarat-syarat khusus bagi peruntukan tertentu dalam Enakmen

Hiburan secara lebih spesifik bagi membolehkan para penganjur program

hiburan merancang program mereka dengan lebih selesa dan selari dengan

peraturan dan dasar Kerajaan Negeri Terengganu.

5

GARIS PANDUAN

Berikut adalah garis panduan berkenaan setiap elemen yang biasa terlibat

dalam sesuatu program hiburan.

1. Artis / Pengamal Seni – iaitu orang yang mempamerkan karya hiburan

untuk tontonan umum. Mereka termasuklah pelakon, penyanyi,

pemuzik, pelawak, penari, penyajak, pengacara dan penggiat / pengamal

seni kebudayaan.

(1) Hendaklah berpakaian menutup aurat bagi artis Muslim dan

berpenampilan sopan bagi artis bukan Muslim dengan maksud tidak

memakai pakaian yang terlalu ketat, singkat dan jarang semasa

melakukan persembahan.

(2) Bagi nyanyian dan tarian, artis / pengamal seni lelaki dibenarkan

membuat persembahan kepada khalayak umum di hadapan lelaki

dan wanita. Manakala artis / pengamal seni wanita sama ada remaja

atau dewasa yang berusia 12 tahun ke atas hanya dibenarkan

membuat persembahan kepada khalayak wanita sahaja terkecuali

bagi persembahan berunsurkan keagamaan dan patriotik atau

persembahan berkumpulan seperti koir.

(3) Pakaian artis, tatarias dan dandanan rambut, mestilah tidak

menyerupai jantina yang berlainan, serta dengan kadar

bersederhana yang sesuai dengan uruf masyarakat.

(4) Mereka yang dikaitkan dengan kontroversi melibatkan aktiviti-aktiviti

Lesbian Gay Biseksual Transgender (LGBT) adalah tidak dibenarkan

membuat persembahan.

6

2. Nyanyian – iaitu kata-kata yang bernada dan dialunkan secara berlagu

menggunakan suara, yang biasanya diiringi oleh irama muzik. Ia

mengandungi unsur lirik, rentak lagu dan alat muzik.

(1) Lirik – iaitu susunan kata-kata atau perkataan yang menjadi seni

kata nyanyian yang didendangkan.

(a) Mesej yang disampaikan mestilah mendorong ke arah

kebaikan.

(b) Mengandungi unsur-unsur murni yang tidak bertentangan

dengan akidah, syariat dan nilai-nilai Islam serta tiada unsur

menafikan, menokok-tambah atau menyelewengkan mana-

mana ajaran Islam.

(c) Menggunakan ayat-ayat al-Quran dan Hadith dengan tujuan

yang betul seperti memberikan tafsiran yang tidak

menyeleweng daripada maksud sebenar al-Quran dan Hadith.

(d) Mengandungi unsur kesejahteraan yang tidak mengganggu

sensitiviti agama, kaum dan negara.

(e) Mengandungi unsur keimanan dan kepercayaan yang tidak

berunsur pemujaan dan taasub kepada makhluk.

(f) Mengandungi unsur kemuliaan dan mengelakkan daripada

unsur penghinaan dan fitnah kepada mana-mana pihak.

(g) Mengandungi unsur dorongan dan daya juang dengan tidak

mengundang provokasi terhadap mana-mana pihak.

7

(h) Mengandungi unsur sopan dan tidak lucah.

(2) Rentak lagu – iaitu kaedah artis mengalunkan lirik mengikut irama

muzik tertentu.

(a) Rentak lagu yang disampaikan mestilah membawa kepada

suasana yang positif.

(b) Rentak lagu hendaklah berbentuk mendorong penonton

melakukan tindakan yang baik dan tidak merosakkan adab

kesopanan serta menimbulkan fitnah seperti melompat,

menjerit dan bersorak dalam keadaan di luar kawalan.

(c) Mempunyai unsur keimanan dan keagamaan yang tidak

bersifat pemujaan kepada agama lain.

(d) Membawa kesentosaan dan ketenteraman masyarakat awam

seperti tidak menimbulkan bunyi bising melampau berdekatan

rumah ibadat dan kawasan perumahan pada waktu

sembahyang.

(3) Peralatan Muzik

(a) Bacaan al-Quran tidak boleh diiringi oleh alunan muzik semasa

persembahan.

(b) Peralatan muzik tidak dibenarkan untuk dimainkan di dalam

ruangan solat masjid.

8

3. Tarian – iaitu gerakan anggota badan secara berirama dan tersusun

mengikut rentak muzik.

(1) Wujud pengasingan antara lelaki dan perempuan dalam satu

persembahan supaya tiada percampuran yang boleh menimbulkan

fitnah.

(2) Gerak tari mempunyai nilai murni dan tidak berunsur pemujaan

atau penyembahan secara langsung atau tidak langsung kepada

sesuatu makhluk atau peribadi lain.

(3) Gerak tari beretika mulia yang tidak menimbulkan fitnah atau

memberahikan walaupun dipersembahkan oleh mana-mana pihak.

(4) Mempunyai unsur-unsur pujian tanpa penghinaan terhadap agama,

kaum dan negara.

(5) Selari dengan kehendak syarak dan uruf masyarakat setempat.

(6) Persembahan tarian oleh artis wanita dibenarkan tetapi tidak boleh

dibuat rakaman dan disiarkan secara langsung (live streaming).

4. Seni pentas, lakonan, filem dan tayangan video.

(1) Skrip, ucapan dan gerak laku semasa persembahan hendaklah selari

dengan akidah, syariat dan nilai-nilai Islam menurut ahlu al-sunnah

wa al-jamaah.

(2) Skrip persembahan hendaklah mengandungi nilai-nilai

kesejahteraan sejagat yang tidak berunsur keganasan, fitnah, kata-

kata kesat, lucah atau menimbulkan sindiran melampau atau

penghinaan terhadap mana-mana individu dan organisasi.

9

(3) Percampuran lelaki dan perempuan adalah dalam keadaan

terkawal, mengikut syariat dan tidak membawa kepada fitnah.

(4) Plot penceritaan hendaklah selari dengan tuntutan syariat dan

akidah Islam menurut ahlu al-sunnah wa al-jamaah.

(5) Sensitiviti mana-mana agama, budaya dan kaum hendaklah sentiasa

dipelihara.

5. Pawagam1

(1) Masa pertunjukan adalah bermula pada jam 10.30 pagi hingga jam

12.00 tengah malam kecuali pada hari Khamis sehingga jam 6.00

petang dan hari Jumaat bermula jam 6.00 petang hingga 12.00

tengah malam.

(2) Pertunjukan ditegah pada hari-hari kebesaran Islam seperti

Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, Aidilfitri dan Aidiladha

bermula jam 6.00 petang hari sebelum hingga jam 6.00 petang pada

hari itu.

(3) Pertunjukan tidak dibenarkan pada siang bulan Ramadan.

(4) Tempat duduk penonton lelaki dan wanita hendaklah diasingkan

mengikut tiga lokasi, iaitu:

(a) Lokasi lelaki – untuk semua individu atau kumpulan penonton

lelaki sahaja,

1 Garis panduan ini adalah berdasarkan kepada Syarat-syarat Kelulusan Pawagam yang telah ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan pindaan.

10

(b) Lokasi wanita – untuk semua individu atau kumpulan

penonton wanita sahaja, dan

(c) Lokasi keluarga – untuk keluarga, pasangan suami isteri atau

mahram.

(5) Tempat solat hendaklah disediakan.

(6) Penonton yang beragama Islam hendaklah berpakaian menutup

aurat manakala bukan Muslim hendaklah berpakaian sopan dengan

maksud tidak terlalu ketat, jarang dan singkat.

(7) Penonton tidak dibenarkan membawa minuman yang

memabukkan.

(8) Sebarang aktiviti berunsurkan perjudian adalah tidak dibenarkan.

6. Penganjur

(1) Mestilah mendapatkan kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan

sebelum sesuatu program dianjurkan.

(2) Mengawal audiens dengan menyediakan langkah-langkah kawalan

keselamatan bagi mengelakkan sebarang bentuk huru-hara,

provokasi dan kegelisahan dalam kalangan audiens, mengawal

percampuran bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram

secara melampau serta mendapatkan kerjasama pihak berwajib

dalam menangani sebarang kecemasan yang mungkin berlaku

sepanjang program berlangsung.

(3) Memelihara kebersihan tempat hiburan dan menjaga keselesaan

dan kebajikan penonton melalui kerjasama dengan mana-mana

agensi yang telah diwujudkan kolaborasi.

11

(4) Mengadakan aktiviti / program hiburan di kawasan atau lokasi yang

bersesuaian dan tidak dianggap tersembunyi atau terselindung

daripada awam yang boleh mendatangkan keraguan dan syak.

(5) Minuman yang memabukkan dan pertaruhan judi adalah tidak

dibenarkan sama sekali sepanjang program berlangsung.

(6) Memastikan jurusolek lelaki adalah untuk artis lelaki manakala

jurusolek wanita untuk artis wanita. Jurusolek juga mestilah

sentiasa menutup aurat bagi Muslim dan berpakaian sopan bagi

bukan Muslim.

(7) Menyediakan tempat persalinan pakaian yang berasingan untuk

lelaki dan wanita di bahagian belakang pentas.

(8) Penyediaan tempat khas untuk penonton yang datang secara

berkeluarga adalah digalakkan.

7. Pertandingan berbentuk permainan atau nasib

(1) Mestilah mengandungi unsur kebaikan, kebenaran dan kreativiti

yang tidak membawa kepada perjudian.

(2) Yuran penyertaan hendaklah munasabah dan dipastikan tidak

terlalu mahal.

(3) Tidak menjadikan yuran yang dikenakan kepada peserta sebagai kos

untuk menyediakan hadiah kepada para pemenang. Duit hasil yuran

pertandingan hanya boleh digunakan untuk tujuan penganjuran

pertandingan sahaja.

12

(4) Hadiah pertandingan mestilah disumbangkan oleh pihak penaja

yang turut sama terlibat dalam pertandingan ataupun tidak terlibat.

(5) Melantik panel hakim yang baik untuk mengelakkan perselisihan

dan ketegangan selepas pertandingan.

8. Aktiviti-aktiviti hiburan lain di dalam Enakmen

(1) Pertunjukan bunga api;- memastikan tiada aspek-aspek yang boleh

mengundang mudarat sebagaimana rekomendasi oleh pihak bomba

dan Pihak Berkuasa Tempatan dipenuhi dan mestilah juga

mengambil kira GP 6.

(2) Perhiasan peringatan dan rupaan makhluk-makhluk benar atau

khayalan, pameran model, ukiran atau rupaan patung atau rupaan-

rupaan lain berbentuk manusia atau binatang yang sempurna;-

adalah tidak dibenarkan.

(3) Sarkas atau pameran binatang;- mestilah mengambil kira GP 1 dan

GP 4.

9. Golongan Bukan Muslim

Secara umumnya, Garis Panduan ini adalah turut terpakai kepada bukan

Muslim jika program hiburan dibuat secara umum di tempat terbuka. Berikut

adalah garis panduan bagi golongan bukan Muslim:

(1) Orang-orang bukan Muslim pada amnya tidak dipaksa mengikut

amalan kebudayaan Islam, sebaliknya digalakkan untuk turut serta

meraikannya.

13

(2) Aktiviti hiburan berunsurkan keagamaan bukan Islam, iaitu aktiviti

yang melibatkan pemujaan dan penyembahan mestilah dilakukan di

tempat-tempat ibadat khusus atau tempat-tempat eksklusif yang

ditetapkan oleh pihak berkuasa.

(3) Aktiviti hiburan berunsurkan keagamaan bukan Islam mestilah

dipastikan tidak disertai oleh orang Islam.2

(4) Aktiviti khas seperti jamuan makan sempena perayaan keagamaan

yang tidak melibatkan unsur-unsur pemujaan dan penyembahan

adalah dibenarkan orang Islam menghadirinya.

(5) Aktiviti kebudayaan berasaskan warisan sesuatu kaum yang hendak

dijalankan secara terbuka digalakkan untuk mempromosikan nilai-

nilai murni sejagat, semangat muhibbah dan perpaduan.

(6) Program hiburan yang melibatkan arak atau sesuatu yang

memabukkan mestilah mendapat kebenaran daripada Pihak

Berkuasa Tempatan setelah mengemukakan cadangan kawalan

ketenteraman sepanjang dan selepas program berlangsung serta

memastikan tiada sebarang penglibatan mana-mana orang Islam.

(7) Garis Panduan 1(1) berkaitan pemakaian semasa persembahan

adalah terpakai untuk golongan bukan Muslim.

(8) Garis Panduan 1(2) berkaitan nyanyian dan tarian oleh artis lelaki

dan wanita adalah dikecualikan untuk audiens bukan Muslim.

2 Penglibatan orang Islam secara tidak langsung sebagai petugas-petugas PBT, keselamatan dan seumpamanya adalah tidak termasuk dalam larangan ini.

14

10. Garis Panduan Khas

(1) Program yang melibatkan nyanyian dan tarian adalah tidak

dibenarkan pada malam Jumaat sehinggalah selesai solat Jumaat

pada keesokan harinya.

(2) Persembahan nyanyian dan tarian di tempat terbuka hanya

dibenarkan setelah waktu Isyak dan tidak melepasi jam 12.00

tengah malam.

(3) Program yang diadakan mestilah dijalankan di tempat yang

bersesuaian serta tidak mengganggu kesucian dan keharmonian

tempat-tempat ibadat.

(4) Program yang diadakan mestilah dipastikan tidak mencemari

kehormatan hari-hari kebesaran Islam seperti bulan Ramadan,

Aidilfitri, Aidiladha, Maulidur Rasul, Nuzul al-Qur’an dan seumpama

dengannya.

(5) Persembahan yang diadakan hendaklah dipastikan tidak

mempromosikan syiar agama lain.

(6) Program yang diadakan hendaklah dipastikan menghormati waktu

azan dan solat dengan menghentikan acara lima minit sebelum

masuk waktu solat.

(7) Program yang diadakan hendaklah menghormati waktu tenteram

masyarakat awam.

(8) Penggiat seni yang mewakili Kerajaan Negeri Terengganu untuk

mengadakan persembahan di luar Terengganu hendaklah

memelihara imej dan nama baik Kerajaan Negeri.

15

PENUTUP

Para penganjur diharap akan berusaha mengikut garis panduan ini bagi

memastikan kelancaran dan kejayaan program mereka yang akan memberikan

faedah yang besar kepada para audiens. Rakyat dan Kerajaan Negeri pula

diharap akan sentiasa berada dalam keredaan Allah SWT selaras dengan slogan

Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.

RUJUKAN

1. Enakmen Hiburan Negeri Terengganu 2002

2. Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (JAKIM) 2015

3. Enakmen Hiburan Negeri Kelantan 1998

4. Garis Panduan Karnival dan Hiburan Islam Yang Dibenarkan Dalam Islam

(Perak) 2008

16

GARIS PANDUAN PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN

NEGERI TERENGGANU

PENDAHULUAN

Negeri Terengganu merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai warisan yang

perlu dipelihara dan dikekalkan untuk generasi akan datang. Menurut Tun

Mubin Sheppard, Terengganu pernah dikenali sebagai ‘Cradle of Malay

Civilisation’ yang mana tamadun Melayu banyak tersimpan di negeri ini melalui

seni bina bangunan yang masih mengekalkan seni bina tradisional serta

kebudayaan dan cara hidup masyarakat setempat. Selain itu, Terengganu

turut digelar dengan nama ‘Birmingham of the Peninsular’ pada suatu ketika

dahulu, melambangkan kepelbagaian industrinya.

Terengganu juga kaya dengan warisan budaya ketara dan tidak ketara

hasil daripada tinggalan sejarah yang sangat bernilai kepada masyarakat.

Justeru, Terengganu merupakan satu permata asli terpelihara, mempesona

untuk diterokai bukan saja oleh masyarakat tempatan tetapi juga pelancong,

baik luar dan dalam negara.

Di samping itu, Terengganu terkenal dengan kehidupan yang disulami

dengan pelbagai kesenian tradisi, budaya dan warisan yang berbeza daripada

negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Kehidupan masyarakat di bandar-

bandar dan perkampungan masih lagi dipelihara dengan rapi dengan pelbagai

adat dan budaya. Terengganu turut kaya dengan pelbagai adat dan tradisi yang

dikekalkan secara turun-temurun yang boleh dilihat melalui cara hidup

masyarakatnya, hasil kraf tangan dan gaya tradisional masakan.

17

Kerajaan Malaysia telah menetapkan tiga prinsip Dasar Kebudayaan

Malaysia1 iaitu;

1. Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.

2. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima.

3. Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan

kebangsaan.

MAKSUD PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN

Peruntukan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) telah

mengkategorikan warisan kebudayaan kepada dua bentuk; iaitu warisan

kebudayaan ketara (tangible cultural heritage) dan warisan kebudayaan tidak

ketara (intangible cultural heritage).

Warisan Kebudayaan Ketara adalah warisan yang berbentuk kawasan,

monumen dan bangunan, manakala Warisan Kebudayaan Tidak Ketara pula

termasuklah mana-mana bentuk ungkapan, bahasa, sebutan lidah, pepatah,

lagu yang dihasilkan melalui muzik, not, lirik boleh didengar, nyanyian, lagu

rakyat, tradisi lisan, puisi, muzik, tarian sebagaimana yang dihasilkan melalui

seni pentas, persembahan teater, penggubahan bunyi dan muzik, seni

mempertahankan diri, yang telah wujud atau wujud berhubung dengan

warisan Malaysia atau mana-mana bahagian Malaysia atau berhubung dengan

warisan masyarakat Malaysia. Secara keseluruhannya, empat kategori warisan

tidak ketara telah dikumpulkan di Terengganu iaitu seni persembahan, adat

dan budaya, bahasa dan persuratan, dan seni halus (Sumber: Akta Warisan

Kebangsaan 2005).

1 Sumber: Laman web rasmi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, http://www.jkkn.gov.my/ms/dasar-kebudayaan-kebangsaan

18

Berdasarkan kepada definisi di atas, persembahan kebudayaan yang

dimaksudkan di dalam Garis Panduan ini adalah seni persembahan yang

merupakan salah satu kategori warisan tidak ketara. Seni persembahan ini pula

meliputi empat kategori iaitu teater, tarian, muzik dan lagu rakyat.

CONTOH-CONTOH PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN2

Seni persembahan terbahagi kepada empat kategori iaitu teater, tarian, muzik

dan lagu rakyat.

Antara persembahan teater yang terkenal di Terengganu adalah wayang

kulit, manakala persembahan tarian pula adalah seumpama tarian Ulek

Mayang, Mak Yong, Balai, Gayung Otar-otar, Mak Inang, Saba, Gamelan, Rodat

dan Anak Tedung.

Dari sudut persembahan muzik, antara muzik yang terkenal adalah

Muzik Gamelan Melayu baharu dan dikir barat. Terdapat juga beberapa lagu

rakyat yang masih diwariskan kepada generasi muda seperti Anok Udang, Ya

Dondang, Anok Burung Bariong, Inang Rodat, Kolek Berkolek, Ulek Badang, Itek

Gembo-gembo, Ayun Buai Kokek, Watimang Landok, Ya Bani Ya Badang dan

Pintal Tali.

Beberapa perayaan dan pesta keagamaan yang disambut oleh

masyarakat Cina pula adalah seumpama Tahun Baru Cina, Pesta Halau Hantu /

Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival), Chap Goh Mei dan Festival Pantai yang

juga dikenali sebagai Festival Perarakan Mazu. Di samping itu, Tarian Naga dan

Tarian Singa juga sudah tidak asing lagi menjadi persembahan untuk tontonan

umum.

Islam bersikap terbuka dalam meraikan kepelbagaian budaya

penganutnya dan bertoleransi dengan kebebasan untuk mengamalkan

kepercayaan agama lain bagi masyarakat bukan Muslim. Namun dalam masa

yang sama, terdapat beberapa prinsip yang perlu dipelihara agar keutuhan

2 Kajian Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula): Laporan Teknikal.

19

akidah umat dan syariat Islam serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya

terjamin.

1. GARIS PANDUAN

Secara umumnya, setiap individu hendaklah memahami tanggungjawab untuk

mempamerkan kebudayaan Terengganu supaya bersih daripada kesyirikan,

berpandukan syariat dan berakhlak mulia. Untuk menzahirkan roh patriotisme

dan jati diri masyarakat, setiap individu anak tempatan Terengganu hendaklah

didedahkan dengan pendidikan dan kemahiran asas kebudayaan Terengganu.

Persembahan kebudayaan adalah dibenarkan sekiranya memenuhi syarat-

syarat berikut:

(1) Menepati tiga prinsip utama Dasar Kebudayaan Malaysia, iaitu;

(a) Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.

(b) Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh

diterima.

(c) Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan

kebangsaan.

(2) Mematuhi nilai teras kebudayaan Terengganu dan penggiat sama

ada berkhidmat atau menawarkan khidmat secara langsung atau

tidak langsung, hendaklah mendapat latihan / kursus pengetahuan

/ kemahiran tentang budaya, seni dan hiburan warisan Terengganu.

(3) Tiada sebarang unsur pemujaan, jampi serapah dan khurafat3

sepanjang berlangsungnya persembahan sama ada melalui

pergerakan, perkataan atau isyarat tertentu.

3 Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam (Khurafat dan Azimat: Garis Panduan oleh JAKIM).

20

(4) Kostum kebudayaan yang diguna pakai mestilah dipastikan

menutup aurat sepenuhnya bagi Muslim dan berpenampilan sopan

bagi bukan Muslim dengan maksud tidak terlalu singkat, ketat atau

jarang.

(5) Sebarang keperluan, alat, bahan dan sumber yang diguna pakai

hendaklah daripada sumber halal dan dibenarkan oleh syariat

Islam.

(6) Menggunakan alat-alat bermatlamat kebajikan dan dilarang untuk

tujuan pemujaan seperti telur, tangkai padi, pucuk kelapa dan

sebagainya yang menjadi simbol kepada perbuatan syirik dan

khurafat.

(7) Mana-mana amalan yang telah menjadi kebiasaan dan norma

dalam masyarakat atau pengamal / penggiat kebudayaan yang

didapati bercanggahan dengan nilai teras dan landasan syariat,

hendaklah digantikan dengan amalan yang sesuai dengan naluri dan

kehendak syariat.

(8) Semua persembahan kebudayaan yang mempunyai unsur hiburan

adalah tertakluk kepada Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu.

2. KEHARUSAN PELAKSANAAN

Aktiviti kebudayaan sama ada berupa budaya, seni dan hiburan yang

mendatangkan kesan positif kepada jati diri, perkembangan syiar Islam,

mendatangkan manfaat, atau berupaya menghalang ancaman daripada

budaya, seni dan hiburan liar atau negatif, adalah dituntut untuk dilaksanakan

atau dikembangkan.

21

3. PENGECUALIAN

(1) Persembahan kebudayaan berasaskan kepada agama dan

kepercayaan masyarakat tertentu hendaklah dilakukan secara

eksklusif, tidak mengandungi unsur provokasi, tidak menghina

agama lain serta tidak mengganggu ketenteraman awam.

(2) Persembahan kebudayaan tradisional yang melambangkan identiti

bangsa dan etnik di Malaysia adalah dibenarkan; tertakluk kepada

Pengecualian (1) dan Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu.

22

GARIS PANDUAN PELANCONGAN NEGERI TERENGGANU

PENDAHULUAN

Pelancongan pada hari ini telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup

manusia. Menurut perspektif Islam, pelancongan tidak hanya menjadikan

hedonisme sebagai asas dan matlamat yang ingin dicapai tetapi ia adalah

aktiviti yang bermatlamatkan kesejahteraan fizikal, sosial dan spiritual atau

kerohanian seseorang individu. Objektif pelancongan ini disebutkan di dalam

al-Quran yang menyarankan manusia untuk melakukan aktiviti pengembaraan,

permusafiran dan lawatan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;

“Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-‘Ankabut, 29:20)

Begitu juga firman Allah SWT yang bermaksud;

“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Surah al-Hajj, 46)

23

PELANCONGAN DI TERENGGANU

Terengganu Darul Iman, negeri pesisir pantai terpanjang (244km) di

Semenanjung Malaysia merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai destinasi

pelancongan yang menarik. Dengan tagline Negeri Cantik, Budaya Menarik –

“Beautiful Terengganu” yang diperkenalkan, Jabatan Pelancongan Negeri

Terengganu telah berjaya mempromosikan aktiviti dan tarikan pelancongan di

Terengganu.

Terkenal dengan anugerah khazanah alam semulajadi, seni, budaya dan

warisan yang mengandungi kepelbagaian produk dan destinasi pelancongan,

Terengganu merupakan antara destinasi pelancongan utama negara yang

menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong sebanyak 9.8% dalam tempoh

Januari hingga Ogos tahun 2019 berbanding tempoh yang sama pada tahun

2018.

Merujuk kepada rekod Bahagian Halal Hab; JAKIM (2018), sebanyak 25

buah premis penginapan telah mendaftarkan pensijilan Halal untuk bahagian

dapurnya di seluruh Terengganu. Antara 68 peratus (17 buah) daripadanya

bertumpu di Daerah Kuala Terengganu, 12 peratus di Daerah Besut, serta

daerah-daerah lain, melainkan Daerah Hulu Terengganu. Di samping itu, JAKIM

turut merekodkan sebanyak 145 unit premis kedai yang menjamu menu

makanan halal di seluruh Terengganu, termasuklah restoran makanan segera.

Secara lebih terperinci dari sudut kemudahan penginapan pelancongan,

sebanyak 157 buah premis penginapan (7,005 buah bilik) telah dibangun dan

ditawarkan di sekitar Terengganu pada tahun 2010. Pada tahun 2017, bilangan

premis penginapan di Terengganu didapati terus meningkat sebanyak 28

peratus atau 76 buah kepada 344 buah. Manakala bilangan bilik penginapan

telah berkurangan sebanyak 0.6 peratus kepada 12,283 buah; di mana 28

peratus (3,412 buah) daripadanya ditawarkan di kepulauan Taman Laut

Terengganu. Selain itu, dianggarkan bahawa terdapat 25 peratus premis

penginapan yang tidak berdaftar tetapi menawarkan perkhidmatan

24

penginapan kepada para penginap, termasuklah kemudahan-kemudahan

homestay.

Dari sudut agensi dan pemandu pelancongan pula, terdapat seramai 180

agensi pelancongan yang memberi perkhidmatan di sekitar Terengganu (2017).

Selain agensi pelancongan, terdapat juga seramai 112 orang pemandu

pelancong berdaftar di Terengganu (Februari 2018) dan 54 peratus

daripadanya adalah pemandu pelancong bandar.

Secara umum dan ringkas, data-data yang disebutkan di atas

menggambarkan bahawa pelancongan merupakan sebuah aktiviti dan industri

yang rancak dan sentiasa berkembang di Terengganu. Perkembangan industri

pelancongan ini telah menarik perhatian yang khusus dan teliti oleh pihak

Kerajaan Negeri demi memastikan seluruh rakyat mendapat manfaat

daripadanya terutama dari sudut penjanaan ekonomi. Lebih penting dari itu,

kemajuan yang ingin dihasilkan haruslah dipastikan sentiasa menepati aspek

kepatuhan syariat agar nilai keberkatan dapat diraih dan kesejahteraan dapat

dirasai bersama oleh segenap lapisan masyarakat.

25

GARIS PANDUAN

Berikut adalah garis panduan berkenaan setiap elemen yang terlibat dalam

sesuatu aktiviti pelancongan.

1. Pelancong – iaitu individu yang melawat atau menziarahi mana-mana

tempat di Terengganu.

(1) Pelancong Muslim hendaklah berpakaian menutup aurat manakala

bukan Muslim berpakaian sopan dengan maksud tidak terlalu ketat,

jarang dan singkat.

(2) Bagi lawatan ke rumah-rumah ibadat, pelancong hendaklah

mematuhi etika pemakaian, masa lawatan dan tatacara yang telah

ditetapkan.

(3) Hendaklah sentiasa berkelakuan baik dan sopan yang sesuai dengan

norma ketimuran seperti tidak bercumbuan dan berpelukan di

khalayak ramai.

(4) Hendaklah mematuhi Akta Persekutuan dan Enakmen Negeri yang

telah menetapkan bahawa tidak dibenarkan membawa barang

terlarang.

26

2. Agensi dan Pekerja Pelancongan – iaitu mereka yang menjadi barisan

hadapan dalam berinteraksi secara langsung dengan pelancong

termasuklah pemandu pelancong, pekerja hotel, pemandu kenderaan,

pengemudi bot dan kapal, pelayan restoran dan penjual.

(1) Hendaklah berpakaian menutup aurat bagi yang beragama Islam

dan berpenampilan sopan bagi yang bukan Muslim dengan maksud

tidak terlalu ketat, jarang dan singkat.

(2) Digalakkan untuk meningkatkan kemahiran penguasaan bahasa

asing sama ada Bahasa Inggeris, Cina, Perancis dan Arab.

(3) Sentiasa menunjukkan keperibadian yang baik, bersikap mesra

pelancong dan bersopan santun dalam berinteraksi dengan

pelancong.

(4) Memberikan gambaran positif terhadap Kerajaan Negeri serta

melengkapkan diri dengan maklumat yang tepat berkaitan

destinasi, produk pelancongan, budaya masyarakat setempat dan

dasar-dasar umum Kerajaan Negeri.

(5) Hendaklah beretika, jujur dan sopan tanpa mengambil kesempatan

ke atas pelancong seperti meminta tip yang tidak sepatutnya dan

mengenakan bayaran lebih terhadap perkhidmatan percuma.

27

3. Pengusaha Penginapan Pelancong – seperti hotel, resort, motel, inn,

rest house, homestay, chalet, houseboat dan lain-lain.

(1) Makanan dan minuman yang disediakan hendaklah bersih dan

halal.

(2) Pengusaha penginapan hendaklah memastikan bahawa pasangan

lelaki dan perempuan beragama Islam yang menginap di dalam satu

bilik adalah pasangan yang sah dari sudut undang-undang.

(3) Menyediakan fasiliti dan kemudahan mesra muslim seperti

penunjuk arah kiblat, sejadah dan terjemahan al-Quran di dalam

bilik penginapan.

(4) Perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti spa, urut dan gimnasium

hendaklah patuh syariah.

(5) Mestilah mendapatkan lesen untuk penjualan arak kepada bukan

Muslim dan dilakukan secara terhad dan tertutup.

(6) Aktiviti perjudian, pusat disko dan pelacuran adalah dilarang sama

sekali.

28

4. Garis Panduan Khas

(1) Pemakaian bikini bagi bukan Muslim hanya dibenarkan di kawasan

mandi tertentu.

(2) Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun adalah tidak tertakluk kepada

etika pemakaian yang telah digariskan di atas.

(3) Makanan dan minuman yang tidak halal mestilah dibuat secara

tertutup dan eksklusif bagi bukan Muslim.

(4) Sebarang festival, karnival dan pesta pelancongan yang diadakan

mestilah merujuk kepada Garis Panduan Hiburan Negeri

Terengganu.

29

GARIS PANDUAN SUKAN NEGERI TERENGGANU

PENDAHULUAN

Islam mementingkan penjagaan kesihatan jasmani kerana ia merupakan

elemen penting dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera. Hal ini

selaras dengan prinsip pensyariatan yang menggariskan lima perkara untuk

dipelihara iaitu agama, jiwa, maruah, harta dan keturunan. Kelima-lima

perkara inilah yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan hidup manusia.

Tubuh badan yang sihat dan kuat akan memudahkan seseorang itu

menyempurnakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah SWT, serta

akhirnya dapat memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Berhubung kepentingan menjaga kesihatan dan kekuatan fizikal ini, Allah SWT

berfirman yang bermaksud;

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia jadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (al-Qasas, 28:26)

Begitu juga firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya.” (al-Anfal, 8:60)

30

Melalui satu hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Ajarlah anak-anak kamu memanah, menunggang kuda dan

berenang.”

Berhubung hal ini, sukan merupakan cara yang efektif untuk mencapai

kecergasan tubuh badan. Pada hari ini, sukan telah memainkan peranan yang

lebih luas. Menerusi sukan, semangat muhibah, perpaduan dan keharmonian

antara individu dapat dijalinkan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa

dan negara. Di peringkat antarabangsa, sukan menjadi salah satu medan yang

digunakan untuk mengangkat martabat sesebuah negara. Ini kerana kejayaan

dalam pertandingan sukan berprestij turut dikaitkan dengan lambang

kemajuan sesebuah negara selain dikagumi dan menjadi contoh kepada negara

dunia yang lain.

KATEGORI SUKAN

Acara pertandingan sukan secara umumnya boleh dibahagikan kepada

tiga kategori utama. Pertama, sukan kombat atau tempur seperti pencak silat,

karate, judo, taekwondo, wushu dan tinju. Kedua, sukan berpasukan seperti

bola sepak, bola jaring, bola baling, bola tampar, bola keranjang, polo air dan

hoki. Ketiga, sukan multimedal seperti sukan akuatik, badminton, olahraga,

gimnastik dan angkat berat. (Sumber: MSN Terengganu)

Dari sudut lokasi pertandingan pula, acara sukan boleh dibahagikan

kepada tiga kategori utama meliputi sukan outdoor (bola sepak, hoki, ragbi,

olahraga, tenis, memanah, menembak, kriket, besbol, polo), sukan indoor

(badminton, ping pong, bowling, skuasy, gimnastik, futsal, pertandingan seni

mempertahankan diri seperti silat, wushu dan taekwondo, bola keranjang, bola

jaring) dan sukan akuatik (renang, terjun dan polo air).

31

Selain itu, beberapa jenis sukan rakyat juga didapati turut dikenali di

Terengganu. Antaranya adalah permainan tradisional seperti gasing, wau,

galah panjang, sepak bulu ayam dan seumpamanya.

Kategori-kategori sukan yang disebutkan ini mempunyai kod etika

pakaiannya yang berbeza dan dipertandingkan pula sama ada secara terbuka di

tengah padang ataupun tertutup di dalam dewan. Begitu juga sesetengah

daripada sukan tersebut menimbulkan polimik dalam kalangan masyarakat

Islam sama ada sesuai untuk diceburi oleh atlet wanita beragama Islam

ataupun tidak.

Di samping itu, pertandingan sukan pada masa kini dikatakan masih lagi

terpalit dengan isu ketidakpatuhan syariah seperti terdapat unsur-unsur

perjudian, pertaruhan, eksploitasi, pembaziran, pemakaian atlet tidak patuh

syariah, percampuran antara lelaki dan perempuan serta pelbagai isu lain.

Justeru, Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu ini diwujudkan sebagai

usaha untuk memastikan industri sukan di negeri ini bukan sahaja terus

berkembang maju, bahkan juga menepati kehendak syariat Islam agar nilai

keberkatan dapat diraih demi kesejahteraan segenap lapisan rakyat.

32

GARIS PANDUAN

Berikut adalah garis panduan yang dibina berpandukan tiga pihak utama yang

terlibat secara langsung dalam bidang sukan di Terengganu.

1. Atlet – peserta atau pemain yang bergiat dalam apa jua bidang sukan,

ahli sukan.

(1) Atlet yang beragama Islam hendaklah berpakaian yang ditetapkan

oleh syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan

sukan yang diceburi.

(2) Atlet bukan beragama Islam disyorkan berpakaian sopan dengan

maksud tidak terlalu ketat, singkat atau jarang.

(3) Atlet dilarang untuk terlibat dalam apa sahaja aktiviti yang

berunsurkan perjudian, pengambilan alkohol dan bahan-bahan

terlarang serta rasuah.

2. Jurulatih

(1) Jurulatih dan ahli sukan adalah terdiri daripada jantina yang sama.

(2) Sekiranya berbeza jantina, batas-batas pergaulan antara jurulatih

dan atlet adalah selaras dengan tuntutan syarak seperti menjaga

maruah diri, akhlak, adab dan tatasusila.

(3) Pakaian jurulatih adalah mengikut seperti garis panduan bagi atlet

(GP1. Atlet).

33

(4) Bagi acara senamrobik, jurulatih perempuan tidak boleh

menunjukkan aksi secara berhadapan dengan peserta lelaki.

Jurulatih perempuan dibenarkan bagi peserta-peserta perempuan

dan dilakukan di tempat eksklusif.

3. Penganjur

(1) Aktiviti sukan yang dianjurkan tidak menghalang pelaksanaan

ibadah wajib seperti solat dan puasa.

(2) Penganjur hendaklah menyelia atau mengawal perilaku atlet dan

penonton daripada melakukan perbuatan-perbuatan haram atau

maksiat seperti berpelukan atau bercumbuan antara lelaki dengan

wanita yang bukan mahram atau menggunakan arak sebagai

lambang kemenangan.

(3) Tempat bersukan hendaklah disediakan secara berasingan antara

lelaki dan wanita, atau penggunaannya diatur secara bergiliran

mengikut jadual, kecuali acara-acara berpasukan yang terkawal dan

tidak menimbulkan fitnah seperti dalam Garis Panduan 4.

(4) Penganjur hendaklah menyelia dan mengawal sepanjang aktiviti

pertandingan daripada berlaku perkara-perkara yang bertentangan

dengan syarak seperti penyediaan arak dan pergaulan bebas antara

lelaki dan perempuan bukan mahram.

(5) Penganjur hendaklah mengawal keselamatan para peserta dan

penonton daripada kejadian yang tidak diingini seperti rusuhan,

tindakan ganas dan provokasi.

(6) Penganjur disyorkan untuk menyediakan tempat berasingan bagi

penonton lelaki dan wanita serta ruangan bagi penonton yang

datang secara berkeluarga.

34

(7) Penganjur hendaklah menyediakan kemudahan asas seperti tandas

dan tempat solat.

(8) Penganjur hendaklah memastikan kebersihan tempat pertandingan

sepanjang acara berlangsung.

4. Garis Panduan Umum

(1) Acara campuran antara lelaki dan perempuan yang beragama Islam

bagi mana-mana jenis sukan hendaklah tidak menimbulkan fitnah.

(2) Acara senamrobik atau seumpamanya yang melibatkan lelaki dan

wanita hendaklah dipastikan dilakukan dalam keadaan tidak

menimbulkan sebarang fitnah sama ada dari sudut pemakaian,

pergerakan atau pergaulan.

(3) Aktiviti sukan yang dianjurkan hendaklah tidak melibatkan

pertaruhan atau perjudian dan penggunaan bahan-bahan terlarang

seperti dadah, steroid dan seumpamanya.

(4) Aktiviti sukan yang dijalankan hendaklah tidak mengandungi acara

yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis,

permusuhan dan pergaduhan.

(5) Garis panduan ini terpakai untuk semua aktiviti sukan kecuali sukan

di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

RUJUKAN

Garis Panduan Bersukan Menurut Perspektif Islam, oleh JAKIM.