Review Harapan Pengkaji

download Review Harapan Pengkaji

of 4

description

Review Harapan Pengkaji

Transcript of Review Harapan Pengkaji

NOR SAHIDAH BINTI MOHAMAD ALI880522015516 (JB MP121197)TAJUK JURNAL:HUBUNGAN GURU-PELAJAR DAN KAITANNYA DENGAN KOMITMEN BELAJAR PELAJAR: ADAKAH GURU BERKUALITI MENGHASILKAN PERBEZAAN PEMBELAJARAN ANTARA JANTINA? [Jurnal Pendidikan Malaysia 35(2) (2010): 61-69]

Berdasarkan jurnal berikut, harapan pengkaji yang jelas diketengahkan ialah bagi melihat hubungan antara dimensi-dimensi guru berkualiti dengan komitmen belajar pelajar. Pengkaji ingin mengenal pasti dimensi guru berkualiti yang paling dominan mempengaruhi komitmen belajar pelajar. Selain itu pengkaji cuba melihat sama ada ciri guru berkualiti akan menghasilkan perbezaan komitmen belajar pelajar antara jantina dan akhir sekali pengkaji ingin membuat perbandingan komitmen belajar pelajar berdasarkan jantina dan status sosioekonomi pelajar.

Setelah mendalami jurnal ini, didapati di awal kajian ini, pengkaji telah menaruh harapan bahawa hubungan guru dan pelajar merupakan faktor dominan ciri guru berkualiti yang mempengaruhi komitmen belajar seseorang pelajar itu. Ini boleh dilihat berdasarkan penulisan literatur di mana pengkaji telah mengetengahkan lebih banyak pendapat yang menyokong bahawa hubungan guru dan pelajar mampu menarik minat dan meningkatkan komitmen pelajar terhadap mata pelajaran yang di ajar oleh guru itu. Pendapat yang menyokong pernyataan ini seperti pendapat daripada Arrends (1994) yang menyatakan guru berkesan berupaya mewujudkan hubungan dengan pelajar di samping memupuk suasana penyayang untuk memupuk minat pelajar belajar dan menggalakkan perkembangan diri pelajar. Selain itu Fredriksen dan Rhodes (2004) seperti di dalam penulisan jurnal ini juga menyatakan bahawa hubungan antara guru dan pelajar boleh memberi kesan terhadap pembelajaran pelajar dan pencapaian akademik mereka. Fleisher (2005) seperti yang dinyatakan turut berpendapat bahawa hubungan rapat antara guru dan pelajar memainkan peranan penting dalam menentukan minat pelajar terhadap pelajaran yang diajar dan mempengaruhi guru untuk memilih strategi pengajaran untuk menarik minat dan meningkatkan komitmen pelajar mereka terhadap pelajaran. Di sini dapat dilihat secara jelas bahawa pengkaji telah meletakkan harapan yang tinggi bahawa hubungan guru dan pelajar akan menjadi ciri guru berkualiti yang paling dominan untuk meningkatkan komitmen belajar pelajar.

Seterusnya, bagi perbandingan komitmen pelajar berdasarkan jantina, pengkaji telah meletakkan harapan di awal kajian di mana kesemua penulisan literatur di awal pengenalan jurnal telah mengetengahkan bahawa pelajar perempuan lebih memberikan komitmen terhadap pembelajaran mereka. Ini ditunjukkan berdasarkan kajian Rowe (2002) dimana ia mendapati pelajar perempuan secara signifikannya lebih memberi tumpuan berbanding pelajar lelaki. Selain itu kajian Rowe (1999, 2000) turut menyatakan bahawa pelajar lelaki kurang berminat dengan sekolah dan lebih berisiko untuk berada di bawah tahap pencapaian akademik yang ditetapkan khususnya dalam bidang literasi. Walaupun di awal kajian pengkaji telah menetapkan tujuan kajian bagi melihat sama ada faktor status sosioekonomi pelajar akan mempengaruhi komitmen belajar pelajar, tiada penulisan literatur di awal kajian berkaitan status sosioekonomi yang mungkin mempengaruhi komitmen belajar pelajar dinyatakan.

Berdasarkan dapatan kajian, harapan pengkaji bahawa hubungan guru dan pelajar merupakan faktor dominan ciri guru berkualiti yang mempengaruhi komitmen belajar pelajar tercapai. Ini boleh dilihat melalui analisis pekali regresi berganda di mana hasil analisis menunjukkan terdapat tiga pemboleh ubah yang menjadi peramal signifikan terhadap komitmen belajar pelajar iaitu kemahiran pengajaran (=0.31, p=.000), hubungan guru-pelajar (=0.32, p=.000) dan jantina pelajar (=0.12, p=.001). Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa pemboleh ubah hubungan guru-pelajar merupakan peramal paling kuat terhadap komitmen belajar pelajar.

Bagi harapan pengkaji untuk melihat perbandingan komitmen belajar pelajar berdasarkan jantina, pengkaji telah meletakkan harapan yang tinggi bahawa pelajar perempuan mempunyai komitmen belajar lebih tinggi daripada lelaki. Hasil analisis ujian-t persampelan bebas bagi membandingkan min di antara kumpulan pelajar lelaki dan perempuan terhadap skor komitmen belajar mereka jelas memenuhi harapan pengkaji di mana dapatan ujian menunjukkan kumpulan pelajar lelaki secara signifikannya memperoleh skor inferensi yang lebih rendah daripada kumpulan pelajar perempuan t(458)= -4.71, df=456, p=.001. Dapatan ini menunjukkan terdapat perbezaan signifikan antara pelajar lelaki dan perempuan dalam komitmen belajar mereka. Nilai min yang lebih tinggi bagi pelajar perempuan (min= 4.08) menunjukkan bahawa mereka mempunyai komitmen yang lebih tinggi berbanding pelajar lelaki (min= 3.87).

Di awal kajian tiada harapan yang jelas di nyatakan berkaitan hubungan status sosioekonomi pelajar dengan komitmen pelajar. Di dalam dapatan kajian menerusi analisis ujian ANOVA satu hala bagi melihat komitmen belajar pelajar mengikut status ekonomi menunjukkan skor min bagi ketiga-tiga status sosioekonomi pelajar iaitu rendah, sederhana dan tinggi, tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Di sini tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam komitmen pelajar antara ketiga-tiga kumpulan status sosioekonomi pelajar ini, F (2,455) =2.29, p=.102. Di akhir penbincangan juga, pengkaji telah menyatakan bahawa terdapat beberapa kajian yang di jalankan di luar Negara telah membuktikan bahawa latar belakkang status sosioekonomi pelajar tidak boleh dijadikan faktor untuk menentukan kejayaan seorang pelajar.

Walaubagaimanapun, antara tujuan kajian ini tidak dijawab oleh pengkaji iaitu pengkaji cuba melihat sama ada ciri guru berkualiti akan menghasilkan perbezaan komitmen belajar pelajar antara jantina. Tiada perbandingan komitmen belajar pejar berdasarkan jantina dikaitkan dengan ciri guru berkualiti. Pengkaji hanya mengetengahkan perbezaan komitmen pelajar lelaki dan pelajar perempuan sahaja. Di sini penambahbaikan yang perlu diambil oleh pengkaji adalah meneliti semula sama ada semua objektif kajian telah dicapai atau tidak. Pengkaji juga perlu lebih general semasa penulisan literatur dimana pengkaji perlu mengetengahkan kesemua literatur yang berkaitan dengan ciri guru berkualiti berdasarkan empat konstruk yang ingin dikaji secara sama rata. Melalui metodologi kajian, pengkaji tidak menyatakan dengan lebih jelas latar belakang rsampel kajian. Pengkaji hanya menyatakan latar belakang sampel terdiri daripada para pelajar luar bandar di bahagian cadangan kajian lanjutan. Kajian ini mungkin diragui dari segi sampel kajian di mana kajian ini bertujuan melihat hubungan status sosioekonomi pelajar dengan komitmen belajar pelajar di mana jika sampel terdiri daripada pelajar luar bandar tahap status sosioekomi pelajar mungkin lebih kepada tahap sederhana dan rendah berbanding status sosioekonomi yang tinggi. Pengkaji perlu mengambil kira latar belakang lokasi pelajar sebelum membuat sesuatu kajian yang berkaitan status sosioekonomi. Kesimpulannya, pengkaji telah meletakkan harapan ketara ke atas satu bahagian konstruk yang ingin dikajinya dan kemungkinan ini akan mempengaruhi data yang ingin dianalisisnya agar selari dengan harapan pengkaji. Secara keseluruhannya, harapan pengkaji tercapai kecuali pengharapan bagi melihat ciri guru berkualiti akan menghasilkan perbezaan komitmen belajar pelajar antara jantina.

(933 patah perkataan)