Prosedur penghasilan dan penyelenggaraan bahan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi untuk...

22
Prosedur penghasilan dan penyelenggaraan bahan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi untuk Pengajian Sosial 1.0 Pengenalan Dalam psikologi dan pendidikan, pembelajaran umumnya ditakrifkan sebagai suatu proses yang menyatukan kognitif, emosional, persekitaran pengaruh dan pengalaman untuk mendapatkan, meningkatkan atau membuat perubahan dalam pengetahuan, kemahiran, nilai dan pandangan dunia seseorang individu (Illeris, 2000; Ormorod, 1995). Belajar sebagai suatu proses berfokus kepada apa yang terjadi ketika pembelajaran berlangsung. Penjelasan tentang apa yang terjadi merupakan teori-teori belajar. Sebuah teori belajar adalah usaha untuk menggambarkan bagaimana manusia belajar, sehingga membantu kita memahami proses dasarnya kompleks belajar. Teori pembelajaran mempunyai dua nilai utama menurut Hill (2002). Salah satunya adalah dalam menyediakan kita dengan kosa kata dan rangka kerja konseptual untuk menafsirkan contoh pembelajaran yang kita amati. Yang lain adalah dalam mencadangkan kaedah bagi mencari penyelesaian untuk masalah-masalah praktikal. Teori-teori tidak memberikan kita penyelesaian, tetapi mereka mengarahkan perhatian kita kepada mencipta pembolehubah yang sangat penting dalam mencari penyelesaian. Ada tiga kategori utama atau rangka falsafah teori-teori pembelajaran iaitu behaviorisme, kognitivisme dan konstruktivisme. Behaviorisme hanya tertumpu kepada aspek

Transcript of Prosedur penghasilan dan penyelenggaraan bahan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi untuk...

Prosedur penghasilan dan penyelenggaraan bahan berasaskan

teknologi maklumat dan komunikasi untuk Pengajian Sosial

1.0 Pengenalan

Dalam psikologi dan pendidikan, pembelajaran umumnya ditakrifkan

sebagai suatu proses yang menyatukan kognitif, emosional,

persekitaran pengaruh dan pengalaman untuk mendapatkan,

meningkatkan atau membuat perubahan dalam pengetahuan, kemahiran,

nilai dan pandangan dunia seseorang individu (Illeris, 2000;

Ormorod, 1995). Belajar sebagai suatu proses berfokus kepada apa

yang terjadi ketika pembelajaran berlangsung. Penjelasan tentang

apa yang terjadi merupakan teori-teori belajar. Sebuah teori

belajar adalah usaha untuk menggambarkan bagaimana manusia

belajar, sehingga membantu kita memahami proses dasarnya kompleks

belajar. Teori pembelajaran mempunyai dua nilai utama menurut

Hill (2002). Salah satunya adalah dalam menyediakan kita dengan

kosa kata dan rangka kerja konseptual untuk menafsirkan contoh

pembelajaran yang kita amati. Yang lain adalah dalam mencadangkan

kaedah bagi mencari penyelesaian untuk masalah-masalah praktikal.

Teori-teori tidak memberikan kita penyelesaian, tetapi mereka

mengarahkan perhatian kita kepada mencipta pembolehubah yang

sangat penting dalam mencari penyelesaian.

Ada tiga kategori utama atau rangka falsafah teori-teori

pembelajaran iaitu behaviorisme, kognitivisme dan

konstruktivisme. Behaviorisme hanya tertumpu kepada aspek

peniruan, pemikiran dan perasaan dalam pembelajaran. Teori

kognitif melihat melampaui perilaku untuk menjelaskan

pembelajaran berasaskan otak manakala pandangan konstruktivisme

belajar sebagai sebuah proses di mana pelajar aktif membina atau

membina idea-idea baru atau konsep.

Robert M Gagne, Jerome Seymour Bruner, Albert Bandura dan

Lev Vygotsky merupakan tokoh-tokoh penting yang telah mencetuskan

pelbagai teori pembelajaran dan memberi sumbangan yang besar

dalam dunia pendidikan. Mereka juga mengutarakan pelbagai sumber

pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan teori masing-

masing.

2.0 Hubungkait teori-teori pembelajaran dengan kepentingan

penggunaan sumber-sumber dalam proses pengajaran dan

pembelajaran.

i. Gagne: Bahan bercetak.

Robert M. Gagne dalam bukunya Essentials of Learning for

Instruction (1975) memperkenalkan sebuah teori mengenai bagaimana

manusia memperoleh maklumat dalam sesuatu proses pembelajaran.

Mengikut teori, semua rangsangan dari persekitaran luar akan

diterima oleh sistem saraf melalui deria-deria manusia. Maklumat

ini akan ditafsirkan dalam stor ingatan, kemudian dihantar kepada

stor ingatan jangka panjang dan akhirnya kepada penggerak tindak

balas melalui sistem saraf.

Gagne memilih bahan bercetak sebagai sumber pengajaran dan

pembelajaran yang paling sesuai berdasarkan kepada teori beliau.

Bahan bercetak merupakan sumber pelajaran yang paling mudah

didapati dan disediakan. Penggunaan bahan cetak sebagai bahan

pengajaran tidak terhad asalkan ia menepati objektif. Bahan-bahan

bercetak yang terdapat di sekolah boleh diklafikasikan kepada dua

jenis iaitu bahan bergambar dan bahan tidak bergambar.

Contoh bahan bergambar ialah surat khabar, poster, majalah

dan gambar. Bahan-bahan bergambar membantu murid meluaskan

pengetahuan dan pemahaman. Hal ini sesuai dengan teori beliau di

mana rangsangan luaran seperti gambar mampu membina set-set di

dalam stor ingatan seseorang individu sama ada berbentuk ingatan

jangka masa panjang mahupun ingatan jangka masa pendek.

Contoh bahan tidak bergambar ialah seperti graf, peta dan

tanda isyarat jalan raya. Teori Gagne juga dikenali sebagai teori

pemprosesan maklumat. Berdasarkan kepada penggunaan bahan-bahan

tidak bergambar, murid-murid akan didedahkan dengan cabaran

kerana mereka dikehendaki mentafsir maklumat yang diterima

seperti membuat graf atau melukis dan member peluang kepada murid

untuk meluaskan penggunaan bahasa seperti membuat ramalan dan

membuat huraian lanjut tentang sesuatu laporan.

ii. Bruner: Penggunaan Peta Minda dan Bahan Eksperimen

Bruner lebih menegaskan pembelajaran secara penemuan iaitu

mengolah apa yang diketahui murid itu kepada satu corak dalam

keadaan baru (lebih kepada prinsip konstruktivisme).

Dalam mempelajari manusia, Bruner menganggap manusia sebagai

pemproses, pemikir dan pencipta informasi. Beliau juga menyatakan

bahawa pembelajaran itu meliputi tiga proses kognitif, iaitu

memperoleh informasi baru, transformasi pengetahuan, dan menguji

relevansi dan ketepatan pengetahuan.

Penggunaan peta minda dan bahan eksperimen dikenalpasti

sebagai sumber utama pengajaran dan pembelajaran berdasarkan

kepada teori beliau. Melalui sumber-sumber tersebut, murid akan

memperoleh keberkesanan dalam proses pembelajaran kerana aktviti

seperti eksperimen melibatkan penglibatan langsung murid-murid

dan akan mendedahkan mereka kepada pengalaman-pengalaman yang

baru. Murid-murid belajar melalui pengalaman. Dengan itu guru

perlu menyediakan peluang untuk murid-murid meneroka, memegang,

mencium dan merasa. Pengalaman seperti ini mewujudkan proses

pembelajaran yang bermakna.

Bruner amat menekankan pembelajaran konsep atau kategori.

Oleh yang demikian, penggunaan peta minda diterapkan di dalam

teori beliau. Pengetahuan perlu disusun dan diperingkatkan agar

pembentukan konsep bermula daripada peringkat yang mudah kepada

peringkat yang rumit.

iii. Bandura: Relia dan Model

Mengikut teori peniruan dan permodelan yang diperkenalkan oleh

Bandura, pembelajaran melalui pemerhatian merupakan pembentukan

asas tingkah laku manusia.Melalui pemerhatian terhadap proses dan

hasil perubahan tingkah laku orang lain, individu secara tidak

langsung, mempelajari pula perubahan tingkah laku tersebut.

Penggunaan relia dan model sebagai sumber pengajaran dan

pembelajaran menepati teori yang dikemukakan oleh Bandura. Hal

ini kerana, Bandura menyatakan bahawa proses pembelajaran

meliputi pemerhatian, pemikiran, peringatan, peniruan dengan

tingkah laku atau gerak balas yang sesuai dan diakhiri dengan

peneguhan positif.

Model seperti bahan tiga dimensi yang baik seperti

kraftangan, replika bangunan boleh ditunjukkan kepada murid-murid

sebagai contoh dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi

meningkatkan pengetahuan murid-murid melalui pemerhatian dan

pemikiran.

Guru dan murid juga merupakan model semulajadi di dalam

sesebuah kelas. Implikasinya, penyampaian guru hendaklah cekap

dan menarik supaya menjadi role model yang boleh dicontohi oelh

murid. Guru juga boleh menjadikan rakan sebaya yang cemerlang

menjadi role model untuk membuat demonstrasi di dalam bilik

darjah.

iv. Vygotsky: Rakan Sebaya dan Penggunaan Bahan Sumber / Alat

Vygotsky menekankan peranan sosial dan budaya dalam perkembangan

minda murid. Kebanyakan daripada kemahiran kognitif murid

terhasil daripada interaksi sosial dengan rakan sebaya.

Perkembangan mental murid terhad disebabkan oleh sistem biologi

yang belum berkembang dan matang. Walaupun begitu persekitaran

dan sistem lingkungan budaya murid membantu mereka mengadaptasi

perkembangan kognitif. Setiap budaya menerapkan cara hidup dan

cara berfikir kepada murid-murid.

Vygotsky turut menekankan penggunaan bahan sumber dan alat.

Bahan boleh membantu guru menjelaskan apa yang hendak diajar,

membantu murid memahami apa yang diajar. Bahan pengajaran penting

sebagai media komunikasi, rangsangan, penjelas makna, penggerak

pelbagai deira, sumber pengalaman, unsur yang mempelbagaikan

kaedah dan teknik pengajaran serta pendorong pengajaran

terancang.

3.0 Kepentingan dan tujuan sumber pengajaran dan pembelajaran

dalam Pengajian Sosial.

Sumber ialah segala bahan dan alat yang terdapat di alam ini.

Dalam bidang pendidikan, sumber ialah segala bahan dan alat yang

dapat membantu guru mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran

dengan berkesan.

Dalam program Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang

baru dilaksanakan, pembelajaran Pengajian Sosial yang berkesan

dikaitkan dengan penggunaan alat dan bahan yang sesuai,

terutamanya yang boleh dilihat, didengar, dirasa, dihidu dan

disentuh oleh murid. Mereka boleh mengalami sendiri apa yang

disampaikan oleh guru. Ini membuatkan mereka lebih memahami dan

apa yang difahami itu pula akan lebih kekal dalam stor ingatan

mereka.

Secara umum, bahan bermakna apa sahaja yang digunakan dalam

pengajaran termasuklah pengetahuan dan nilai-nilai. Dari segi

teknologi pendidikan, apa yang diguna untuk menyampaikan

pengajaran dan menjadi rangsangan pelajaran digolongkan sebagai

media pendidikan.

Kesemua sumber, jika digunakan dalam situasi pengajaran dan

pembelajaran yang sesuai akan bertindak sebagai rangsangan untuk

mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna. Dengan cara

ini, murid akan dapat belajar dalam situasi yang berkesan.

Penggunaan sumber penting dalam pengajaran dan pembelajaran

Pengajian Sosial. Hal ini kerana sumber boleh membantu guru

menjelaskan isi pelajaran kepada murid dan membantu murid

memahami apa yang diajar oleh guru. Sumber pengajaran dan

pembelajaran bertindak sebagai media komunikasi, rangsangan,

penjelas makna, penggerak pelbagai deria, sumber pengalaman,

unsur yang mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran serta

pendorong kepada pengajaran terancang.

i. Kepentingan sumber sebagai media komunikasi dalam pengajaran

dan pembelajaran Pengajian Sosial.

Komunikasi melibatkan penyampaian dan penerimaan maklumat.

Proses pengajaran dan pembelajaran juga merupakan satu aspek

komunikasi kerana pembelajaran berlaku melalui penyampaian dan

penerimaan maklumat. Maklumat-maklumat itu disalurkan melalui

media tertentu seperti media cetak dan tayangan video. Media

inilah yang menjadi sumber pengajaran. Filem video ialah satu

alat komunikasi yang boleh digunakan dengan baik di dalam bilik

darjah. Tayangan peristiwa dan pemandangan yang sebenar akan

membolehkan murid-murid tahu tentang peristiwa-peristiwa tersebut

dengan lebih dekat dan jelas.

Dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial di

sekolah, guru bertindak sebagai pengirim atau penyampai maklumat

dan penerimanya ialah murid. Sementara mesejnya ialah maklumat,

fakta, konsep, kemahiran atau nilai yang disampaikan. Sumber

ialah saluran atau media yang digunakan untuk menyampaikan

maklumat tersebut.

ii. Kepentingan sumber sebagai rangsangan dalam pengajaran dan

pembelajaran Pengajian Sosial.

Murid akan lebih berminat belajar tentang sesuatu tajuk sekiranya

dia dapat melihat, mendengar atau menyentuh objek yang menjadi ii

pelajaran. Dengan adanya bahan rangsangan ini, murid akan dapat

memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam lagi. Oleh itu

mereka dapat mengeluarkan idea dengan lebih cepat dan bermakna.

Bahan merupakan satu faktor utama bagi mempelbagaikan rangsangan

murid di samping mengalihhalakan tumpuan mereka kepada perkara-

perkara yang menarik, bermakna dan penting dalam pembelajaran.

iii. Kepentingan sumber sebagai penjelasan makna dan konsep dalam

pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

Dalam pengajaran sesuatu topik, terdapat perkataan dan frasa yang

maknanya tidak dapat dihurai dengan perkataan sahaja. Maknanya

akan lebih jelas jika diterangkan dengan contoh-contoh tertentu

yang memerlukan bahan audio visual atau kedua-duanya sekali.

Bahan-bahan ini boleh digunakan di dalam atau di luar bilik

darjah seperti siaran langsung atau rakaman peristiwa-peristiwa

sebenar melalui radio dan televisyen.

Penerangan guru yang diiringi dengan bahan yang dipilih

dengan rapi dan sesuai dapat memperkembangkan corak pemikiran

murid serta membantu mereka memahami sesuatu dengan lebih jelas.

iv. Kepentingan sumber sebagai penggerak penggunaan pelbagai

deria dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

Secara semulajadi, kita belajar melalui berbagai-bagai deria

iaitu rasa, dengar, lihat, sentuh dan bau. Dalam pengajaran dan

pembelajaran di bilik darjah juga, guru perlu menggunakan

berbagai-bagai bentuk dan jenis bahan supaya deria-deria ini

boleh digunakan.

Kajian telah menunjukkan bahawa manusia mengingati 10%

daripada apa yang mereka dengar sahaja, 20% daripada apa yang

mereka lihat sahaja dan 65% daripada apa yang mereka dengar dan

lihat.

Kajian ini jelas membuktikan bahawa lebih banyak deria

dilibatkan dalam aktiviti pembelajaran, lebih teguh pula daya

ingatannya. Untuk memastikan apa yang disampaikan itu kekal lama

dalam ingatan murid, guru patut mempelbagaikan bahan pengajaran.

v. Kepentingan sumber sebagai sumber pengalaman dalam pengajaran

dan pembelajaran Pengajian Sosial.

Terdapat bahan yang memberikan pengalaman secara langsung dan

tidak langsung kepada murid. Alam sekitar boleh memberikan

pengalaman langsung. Contohnya, apabila murid membuat lawatan ke

sesuatu tempat, dia akan memahami dan mengetahui apakah bahan

maujud yang ada di situ, di samping mengetahui proses

menghasilkan bahan-bahan tersebut. Misalnya semasa melawat ke

ladang getah, murid-murid dari bandar boleh melihat pokok getah,

daunnya, buahnya dan bagaimana susu getah diperoleh dan kemudian

diproses menjadi getah keping untuk dipasarkan. Bahkan mereka

juga mungkin dapat mengalami sendiri pekerjaan tersebut.

Pengalaman ini akan memberi kesan yang mendalam kepada

proses pembelajaran murid-murid tersebut. Kita lebih banyak

belajar melalui pengalaman sendiri daripada maklumat yang diberi

oleh orang lain. Murid-murid juga akan lebih memahami dan

mengingati pelajaran yang diterima sekiranya mereka diberi

peluang untuk mencuba, mengkaji dan meneliti bahan-bahan yang

digunakan.

Filem, video atau gambar boleh mengayakan pengalaman

seseorang murid. Misalnya, semasa menonton tayangan filem tentang

kejadian dan perubahan musim di negara beriklim sejuk dengan

pemandangan yang berlainan, murid-murid akan berasa seolah-olah

mengalaminya sendiri. Ini akan meningkatkan dan mengukuhkan

pemahaman mereka tentang perubahan musim yang mereka tidak pernah

mengalami secara langsung.

vi. Kepentingan sumber mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam

pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

Setiap bahan mempunyai cara penggunaannya yang tersendiri. Ini

memberi kesan terhadap kaedah dan teknik pengajaran. Dengan

menggunakan berbagai-bagai bahan yang ada, kaedah dan teknik

pengajaran juga boleh dipelbagaikan. Kemahiran yang sama boleh

dikuasai mengikut cara dan teknik yang berlainan berdasarkan

jenis alat dan bahan yang digunakan. Misalnya pengetahuan tentang

alam sekitar boleh disampaikan melalui tanyang video, teks bacaan

atau pengalaman langsung murid.

Kepentingan sumber sebagai pendorong pengajaran terancang

dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial. Penggunaan

sumber perlu dirancang dari segi kesesuaian, tujuan, masa dan

cara menggunakannya. Ini melibatkan perancangan keseluruhan

pengajaran dari awal hingga akhir. Dengan cara ini, guru akan

merancang sesuatu pelajaran dengan lebih sempurna.

4.0 Prosedur penghasilan dan penggunaan bahan teknologi

pendidikan yang sesuai dan tatacara penyelenggaraannya dalam

pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

Dari segi teknologi pendidikan, apa yang diguna untuk

menyampaikan pengajaran dan menjadi rangsangan pelajaran

digolongkan sebagai media pendidikan.

Bahan bercetak

Bahan-bahan cetak merupakan media pendidikan yang paling

mudah didapati dan disediakan. Penggunaan bahan cetak sebagai

bahan pengajaran tidak terhad asalkan ia menepati objektif.

Contoh bahan bercetak adalah seperti buku teks, buku kerja, buku

fiksyen, buku rujukan, majalah, risalah, surat, berita, surat

khabar dan nota-nota bercetak. Bahan bercetak seperti ini

mengandungi maklumat dalam bentuk perkataan, lukisan atau gambar.

Pemilihan dan penghasilan bahan bercetak sebagai sumber

pengajaran dan pembelajaran dalam Pengajian Sosial perlu

menitikberatkan aspek-aspek yang berikut:

a. Anggaran kos

b. Kebolehgunaan

c. Mobiliti

d. Bahan mentah

e. Saiz dan warna

f. Tatahias dan kemasan

g. Simpanan dan penyelenggaraan

a. Anggaran kos

Bahan bercetak amat murah dan mudah untuk didapati. Pencetakan

bahan yang banyak akan mengurangkan kos jika dibandingkan dengan

bahan pandang-dengar yang lain. Bahan-bahan bercetak, cetakan

tempatan atau cetakan sendiri berharga murah dan boleh disediakan

dengan cepat.

b. Kebolehgunaan

Teknologi pendidikan ini memudahkan guru untuk mengajar murid

melalui bahan bercetak yang maujud. Guru boleh menggunakan bahan

bercetak sekerap mungkin sehingga murid benar-benar dapat

mengingati fakta atau perkara yang ingin diperlajari. Murid-murid

boleh menggunakannya mengikut kadar kecepatan mereka sendiri.

Bahan-bahan tercetak boleh dibaca dengan cepat dan maklumat

penting boleh dipelajari tanpa mengikut sesuatu masa pengajaran.

Bahan bercetak tidak mempunyai masalah dari segi

penggunaannya kerana ia tidak memerlukan sumber tenaga elektrik

seperti komputer. Walaubagaimanapun, ia perlu digunakan di tempat

yang terang atau mempunyai cahaya kerana jika tidak bahan yang

dipaparkan tidak dapat dilihat.

c. Mobiliti

Bahan bercetak ini boleh digunakan di mana sahaja sama ada di

dalam atau di luar kelas. Jika bahan tersebut ingin digunakan di

kawasan yang luas seperti dewan, bahan tersebut hendaklah

diperbanyakkan. Selain itu, murid-murid juga boleh menggunakan

pada bila bila masa bahan bercetak tersebut walaupun tanpa guru.

d. Bahan mentah

Hampir kesemua bahan bercetak menggunakan kertas sebagai bahan

mentah. Penggunaan kertas sangat popular kerana ia mudah didapati

selain kos mencetak yang rendah.

e. Saiz dan warna

Jika gambar atau poster digunakan dalam pengajaran dan

pembelajaran , guru mestilah memastikan saiznya besar dan boleh

dilihat oleh semua murid. Perkara ini penting dalam menyampaikan

maklumat dan mengekalkan perhatian serta minat murid. Pemilihan

warna juga perlu diberi perhatian oleh guru. Warna yang terlalu

terang dan terlalu gelap akan menjejaskan fokus murid terhadap

penyampaian guru.

f. Tatahias dan kemasan

Sekiranya guru menggunakan lukisan sebagai bahan bantu mengajar,

guru perlu memastikan lukisan tersebut mudah difahami oleh murid.

Guru juga perlu mengelakkan penggunaan lukisan yang terlalu

abstrak. Hal ini akan menyukarkan murid memahami isi pelajaran

yang disampaikan oleh guru. Jika guru mencetak bahan-bahan yang

mengandungi tulisan tangan, pastikan tulisan tersebut kemas dan

mampu dibaca oleh murid. Bahan bercetak yang terlalu banyak

gambar dan warna juga tidak digalakkan untuk diguna sebagai bahan

bantu mengajar kerana boleh mengganggu tumpuan murid

dalammencapai objektif pembelajaran yang sebenar.

g. Simpanan dan penyelenggaraan

Bahan bercetak ini perlu disimpan dengan kemas dan teliti kerana

bahan ini mudah koyak atau rosak, seperti disimpan di dalam fail,

folder, plastik menyimpan kertas dan sebagainya. Gambar-gambar

seperti foto dan rajah boleh dimasukkan dalam teks untuk

penerangan lebih lanjut mengenai konsep, hujah-hujah dan juga

untuk menambahkan minat murid. Bahan-bahan cetakan tambahan boleh

dimuatkan di dalam buku teks atau buku latihan sebagai lampiran

atau bahan tambahan.

Penggunaan bahan dengan cermat serta disimpan di tempat yang

selamat memudahkan pengesanan semula dan menjamin ketahanan bahan

tersebut.

5.0 Prosedur penghasilan dan penggunaan bahan teknologi maklumat

dan komunikasi yang sesuai dan tatacara penyelenggaraannya dalam

pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.

Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi secara terancang

boleh mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-

sekolah serta memberi peluang kepada setiap murid untuk menguasai

ilmu pengetahuan dengan cara yang lebih menarik dan berkesan

sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk mengembangkan

potensi setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu.

Definisi teknologi maklumat boleh diringkaskan sebagai satu

proses pengaliran, penyebaran, pemprosesan dan penyimpanan

maklumat menggunakan perantaraan teknologi. Seperti yang

diketahui umum, teknologi disifatkan sebagai satu bentuk pemudah

cara yang membolehkan pengaliran maklumat menjadi sangat pantas.

Sebenarnya teknologi maklumat tidak terhad kepda internet dan

komputer sahaja tetapi ia melibatkan televisyen, telefon, telefon

mudah alih, fax, telegram, PDA dan sistem satelit dalam

menyampaikan maklumat kepada penerima.

Terdapat 3 asas penting dalam penggunaan teknologi maklumat.

Pertama teknologi maklumat adalah untuk mengumpul maklumat. Ia

digunakan untuk suntingan dengan menggunakan teknologi.

Contoh,dengan menggunakan komputer ia boleh merekod bunyi,imej

dan sebagai pengesan gerakkan. Kedua, adalah untuk

memanipulasikan maklumat dan proses semula imej. Ketiga,

digunakan untuk berkomunikasi iaitu ia menjelaskan bagaimana

teknologi maklumat digunakan untuk berkomunikasi bagi mendapatkan

maklumat daripada sumber kepada penerima.

Penghasilan bahan teknologi maklumat: Persembahan Elektronik

Multimedia

Terdapat beberapa perisian yang boleh digunakan untuk

menghasilkan Persembahan Elektronik Multimedia, sesuai digunakan

dalam kelas. Antara perisian yang biasa digunakan ialah Microsoft

Office Powerpoint.

Sebelum membina persembahan elektronik multimedia

Powerpoint, guru perlu memastikan elemen grafik yang digunakan

menepati keperluan murid-murid. Grafik ialah kombinasi gambar-

gambar, lambang-lambang, simbol-simbol, huruf, angka,perkataan,

lukisan, lakaran yang dijadikan satu media untuk memberi konsep

dan idea dari pengirim (guru) kepada sasarannya (murid) dalam

proses menyampaikan maklumat. Grafik penting untuk menyediakan

bahan-bahan pandangan (visual).

Selain aspek grafik, reka letak visual juga mempengaruhi

kualiti persembahan elektronik multimedia Powerpoint yang

dihasilkan. Terdapat beberapa perkara yang perlu dikenalpasti

oleh guru semasa menghasilkan sebuah persembahan elektronik

multimedia Powerpoint iaitu:

a. Simplisiti

b. Dominan

c. Pola

d. Seimbang

e. Warna

f. Huruf

a. Simplisiti

Visual yang ditayangkan hendaklah dihadkan kepada satu idea. Idea

yang banyak dalam satu visual akan mengelirukan dan seterusnya

akan mengalih tumpuan murid keluar daripada objektif

pembelajaran.

b. Dominan

Dominan bererti pusat penumpuan atau minat. Di dalam slaid

persembahan Powerpoint, guru perlu mewujudkan sesuatu yang boleh

menarik minat murid-murid. Sebagai contoh, jika guru ingin

mengajar tentang negeri Kedah, guru boleh mempersembahkan gambar

sawah padi bagi menimbulkan inkuiri murid. Dengan yang demikian,

murid dapat mengekalkan minat untuk mengikuti pembelajaran yang

seterusnya.

c. Pola

Pola merupakan susunan item-item dalam sesuatu rekaan visual.

Susunan item perlulah mematuhi urutan yang rasional bagi

memudahkan pemahaman murid. Sebagai contoh, guru menggunakan

gambar anak panah bagi menunjukkan proses untuk membuat kain

batik yang menjadi warisan tradisi di negeri Terengganu.

d. Seimbang

Guru perlu bijak untuk menggunakan ruang di dalam slaid

persembahan. Keadaan kesamaan dari segi berat, tarikan dan

tumpuan perhatian yang terdapat dalam suatu susunan slaid akan

menjadikan persembahan lebih kemas dan teratur.

e. Warna

Warna merupakan satu elemen reka letak visual yang penting.

Pemilihan warna yang tepat membantu keberkesanan persembahan.

Warna mempunyai beberapa fungsi iaitu pertama, warna membantu

membuat penegasan dan mewujudkan tumpuan. Kedua, warna memudahkan

sesuatu item dilihat. Ketiga,warna mewujudkan perasaan harmoni

dan melahirkan kesan tertentu seperti panas, sejuk, bergetar,

kesan psikologi dan sebagainya kepada murid-murid.

f. Huruf

Pemilihan huruf juga penting dalam menghasilkan persembahan

elektronik multimedia. Saiz dan jenis huruf mempengaruhi

penerimaan murid-murid terhadapa apa yang disampaikan oleh guru.

Guru perlu memilih jenis huruf yang senang dibaca. Penggunaan

huruf besar hanya sesuai untuk tajuk yang pendek manakala untuk

tajuk yang panjang, huruf bersaiz kecil digunakan mengikut

kesesuaian. Guru juga perlu memastikan bahawa jarak di antara dua

perkataan ialah 1atau 1 ½ lebar huruf. Biarkan ruang di antara

huruf kelihatan sama walaupun jaraknya berbeza. Hurufan terang

yang diletakkan di atas latar belakang gelap di dapati lebih

jelas daripada sebaliknya.

g. Tatahias dan kemasan

Guru perlu memilih warna yang mempunyai kontras antara latar

dengan imej atau teks. Selain itu, guru juga perlu memilih warna

yang lembut dan selesa dipandang oleh penerima iaitu murid. Bagi

memastikan slaid yang dihasilakn tersebut kemas dan teratur,

gunakan empat warna sahaja dalam satu skrin/slaid. Tatahias warna

juga dapat menjelaskan konsep atau menunjukkan penegasan.

Contohnya slaid berlatarbelakangkan warna merah menunjukkan

penegasan dan perhatian.

Penyelenggaraan bahan teknologi maklumat: Persembahan Elektronik

Multimedia.

Setiap bahan bantu mengajar perlu diselenggara dengan baik

termasuklah persembahan elektronik multimedia. Persembahan yang

telah siap dihasilkan perlu disimpan dalam beberapa bentuk iaitu

dalam bentuk dokumentasi (hard copy) dan dalam bentuk perisian

(soft copy).

Persembahan elektronik yang dicetak dan didokumenkan boleh

dijadikan rujukan pada bila-bila masa manakala persembahan yang

disimpan dalam bentuk perisian mempunyai beberapa kelebihan.

Antaranya ialah, isi kandungan di dalam persembahan elektronik

tersebut boleh disunting pada bila-bila masa mengikut keperluan

murid dan keperluan semasa. Selain itu, persembahan elektronik

yang disimpan dalam bentuk perisian juga dapat disalin ke dalam

alat-alat teknologi maklumat yang lain seperti cakera padat,

thumb-drive dan lain-lain.

6.0 Rumusan

Sumber pengajaran ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh

guru/ murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di

dalam kelas. Peralatan mengajar bukan terhad kepada buku-buku

teks, papan hitam, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia

merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran yang

melibatkan semua pancaindera melihat, mendengar, rasa, hidu dan

sebagainya, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-

murid.

Bahan bantu mengajar adalah faktor terpenting dalam

menentukan kejayaan program pembelajaran, menimbulkan rangsangan

keinginan pelajar-pelajar untuk mengetahui sesuatu dan untuk

menjadikan pembelajaran baik dan lebih menarik. Bahan bantu

mengajar bukanlah merupakan sesuatu yang tersisih sifatnya

daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Alat bantu itu

mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses

tersebut. Ia bertujuan untuk menambah kelancaran perhubungan

antara guru dan murid dan sebaliknya, murid sesama murid serta

membantu atau mempercepatkan proses pemahaman mereka.

Teknologi pendidikan pula merupakan satu sistem yang

meliputi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara

terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan

keberkesanan dalam pembelajaran. Kecekapan guru menggunakan

pelbagai sumber dalam pengajaran dan pembelajaran mampu

merangsang pemahaman murid ke tahap yang cemerlang.

Sumber : http://pgsrkajiansosial.blogspot.com/p/pss3109_20.html