Post on 25-Jan-2023
1
KESAN PELAKSANAAN 11 LANGKAH PENJIMATAN PERBELANJAAN AWAM
TERHADAP PERKHIDMATAN AWAM MELALUI PELAKSANAAN
PEKELILING PERBENDAHARAAN BILANGAN 2 TAHUN 2014
BERTAJUK GARIS PANDUAN PERBELANJAAN SECARA BERHEMAT BAGI
MENGURANGKAN PERBELANJAAN AWAM
Disediakan oleh:
Zaharahanum Kamarudin, Zukeri Shafie, Noor Alam Syah Irwan Syah
dan Nur Suraya Mahadi (2014)
PENDAHULUAN
Laporan Ketua Audit Negara 2012 menunjukkan masih terdapat ketidakpatuhan
terhadap peraturan dan prosedur kewangan seperti mana laporan audit pada tahun-tahun
sebelum ini. Sebanyak 378 teguran telah dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun
2012 yang melibatkan 111 (29%) teguran bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan, 38 (10%)
teguran bagi Badan Berkanun dan 229 (61%) teguran bagi negeri. Sebanyak 267 (71%)
teguran audit melibatkan penambahbaikan peraturan, prosedur dan proses kerja dan tindakan
penambahbaikan ini telah dan sedang diambil oleh agensi terlibat. Manakala 111 (29%)
teguran melibatkan 121 kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian
pelaksanaan tugas. Jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan. Tindakan
tatatertib serta pendakwaan akan diambil terhadap mereka yang melakukan penyelewengan,
menyalahgunakan kuasa dan salah laku. Tindakan pembetulan seperti ini adalah perlu supaya
ketidakpatuhan tidak berterusan. Ini kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan
(Ali Hamsa, 2014).
Teguran yang dilaporkan melalui Laporan Audit Negara 2012 ini mencerminkan
ketidakcekapan dalam pengurusan perbelanjaan awam. Oleh itu, tindakan penambahbaikan
perlu dilaksanakan apa lagi dalam situasi ketidakstabilan ekonomi dunia seperti sekarang.
2
Sebagai reaksi terhadap situasi ini, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’
Sri Mohd. Najib Tun Razak telah mengumumkan 11 langkah perbelanjaan berhemat yang
dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2014. 11 langkah perbelanjaan berhemat ini dijelaskan
melalui Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 2 Tahun 2014 bertajuk Garis Panduan
Perbelanjaan Secara Berhemat Bagi Mengurangkan Perbelanjaan Awam (PP 2/2014).
Kertas ini akan membincangkan 11 langkah penjimatan tersebut serta kesan
pelaksanaan langkah-langkah berkenaan terhadap perkhidmatan awam dengan mengambil
contoh agensi awam iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka dan beberap agensi kerajaan yang lain.
ELAUAN KERAIAN/IMBUHAN TETAP KERAIAN
Langkah pertama yang terkandung dalam Garis Panduan Perbelanjaan Secara
Berhemat Bagi Mengurangkan Perbelanjaan Awam ialah dengan mengurangkan elaun
keraian dan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat
Timbalan Menteri dan pegawai-pegarai kanan kerajaan. Kadar pengurangan adalah seperti
jadual di bawah:
Elaun Keraian/Imbuhan Tetap Keraian Peratus Pengurangan
YB Menteri dan YB Timbalan Menteri 10%
Turus III ke atas 10%
JUSA/GRED Khas A 8%
JUSA/GRED Khas B 6%
JUSA/GRED Khas C 5%
Jadual 1: Peratus Pengurangan Elauan Keraian/Imbuhan Tetap Keraian
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002 bertajuk Pelaksanaan
Sistem Persaraan Malaysia Bagi Anggota Perkhidmawan Awam Persekutuan, kadar bayaran
Imbuhan Tetap Keraian bagi pegawai-pegawai kanan kerajaan adalah seperti yang berikut:
3
Gred Kadar Sebulan (RM)
Ketua Setiausaha Negara 5,300.00
Utama Turus I 5,200.00
Utama Turus II 5,100.00
Utama Turus III 5,000.00
Utama A 4,000.00
Khas A 3,300.00
Utama B 3,050.00
Khas B 2,650.00
Utama C 2,500.00
Khas C 2,150.00
Jadual 2: Kadar Sebulan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) pegawai-pegawai kanan
kerajaan. Sumber: Jabatan Akauntan Negara
Bagi melihat jumlah pengurangan perbelanjaan awam setelah pelaksanaan PP 2/2014
ini, organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah badan berkanun di bawah
Kementerian Pendidikan Malaysia boleh dijadikan contoh. Organisasi ini mempunyai lima
(5) orang pegawai JUSA C, seorang pegawai JUSA B dan seorang pegawai JUSA A. Oleh
itu, jumlah pengurangan perbelanjaan awam selepas PP 2/2014 dilaksanakan ialah:
GRED PENGURANGAN AMAUN
PENGURANGAN
JUSA A RM4,000 x 8% RM320
JUSA B RM3,050 x 6% RM183
JUSA C RM2,500 x 5% x 5 org RM625
JUMLAH PENGURANGAN RM1,128
Jadual 3: Pengurangan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) pegawai kanan DBP bagi
tempoh sebulan.
Seterusnya, dalam tempoh satu tahun, perbelanjaan yang dapat dijimatkan oleh
kerajaan ialah:
RM1,128.00 x 12 bulan = RM13,536.00
4
KEMUDAHAN BAYARAN TOL
PP 2/2014 seterusnya menyenaraikan penjimatan terhadap kemudahan bayaran tol
yang diberikan kepada pegawai kanan Kerajaan. Langkah penjimatan pengurangan bayaran
tol berkenaan adalah seperti berikut:
i. RM50 bagi Gred JUSA / Khas C hingga A
ii. RM100 bagi Turus III dan ke atas
Langkah ini merujuk kepada Pekeliling Perbendaharaan Bil 5 Tahun 2013
Pengurusan Kenderaan Jabatan perkara Sistem Bayaran Tol Tanpa Resit bagi kenderaan
rasmi jawatan. Melalui Pekeliling Perbendaharaan ini, Kad Sistem Bayaran Tol Tanpa Resit
dibekalkan kepada pegawai yang diperuntukkan kereta rasmi jawatan. Nilai maksimum kad
berkenaan ialah sebanyak RM500 sebulan. Ini bermakna, kemudahan bayaran tol kepada
pegawai-pegawai yang mendapat kemudahan kenderaan rasmi jawatan ialah sehingga
RM500 sebulan.
Walau bagaimanapun, dengan terlaksananya PP 2/2014, kemudahan bayaran tol
berkenaan dikurangkan seperti di perenggan di atas. Ini bermakna, sebanyak RM450 sebulan
dijimatkan bagi bayaran tol pegawai JUSA A hingga C dan sebanyak RM400 sebulan
dijimatkan bagi pegawai Turus III ke atas.
Sebagai contoh, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan pegawai
Gred JUSA C dan diberi kemudahan kenderaan rasmi jabatan. Langkah penjimatan ini
menyebabkan kemudahan Sistem Bayaran Tol Tanpa Resit dan SmartTAG bernilai RM500
sebulan yang dibekalkan sebelum ini diturunkan kepada hanya RM50 sebulan. Untuk tempoh
setahun, sebanyak RM5,400 perbelanjaan boleh dijimatkan selepas pelaksanaan PP 2/2014.
5
KELAYAKAN TIKET PENERBANGAN DAN PERJALANAN KE LUAR NEGARA
Langkah penjimatan ketiga yang disenaraikan dalam PP 2/2014 ini ialah pindaan
terhadap kelayakan tiket penerbangan dan perjalanan domestik dan antarabangsa bagi
pegawai-pegawai kanan kerajaan. Pindaan berkenaan adalah seperti berikut:
Penerbangan Domestik:
Gred Kelas
JUSA/Khas B dan ke atas Perniagaan
JUSA/Khas C dan ke bawah Ekonomi
Penerbangan Antarabangsa:
Gred Kelas
JUSA/Khas A dan ke atas Satu
JUSA/Khas B dan C Perniagaan
Gred 54 dan ke bawah Ekonomi
Berdasarkan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 3 Tahun 2003 (PP 3/03) bertajuk
Kadar dan Syarat Tuntutan Elaun, Kemudahan dan Bayaran kepada Pegawai Perkhidmatan
Awam kerana Menjalankan Tugas Rasmi (Tidak Termasuk Anggota Tentera dan Anggota
Polis), pindaan ini akan memberi kesan kepada penjawat awam Gred 53 sehingga ke
JUSA/Khas C. Ini kerana PP3/03 memberi kemudahan tiket penerbangan kelas perniagaan
kepada pegawai Gred 53 sehigga ke JUSA/Khas C bagi perjalanan dalam negeri.
Sekali lagi, contoh kes yang boleh dilihat ialah organisasi Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP). Berdasarkan carta organisasinya yang terkini, DBP mempunyai 10 orang Pegawai
Gred 54 dan lima (5) orang pegawai JUSA C. Dengan andaian pegawai-pegawai ini
melakukan tiga (3) penerbangan domestik setahun dengan anggaran tambang RM500 untuk
setiap perjalanan kelas ekonomi dan anggaran tambang RM800 setiap perjalanan untuk kelas
6
perniagaan, jadual yang berikut menunjukkan perbezaan perbelanjaan sebelum dan selepas
langkah penjimatan:
RM
Sebelum langkah penjimatan 15 orang x RM800 x 3 perjalanan 36,000.00
Selepas langkah penjimatan 15 orang x RM500 x 3 perjalanan 22,500.00
Perbezaan 13,500.00
Jadual 4: Perbezaan perbelanjaan tambang kapal terbang sebelum dan selepas langkah
penjimatan.
Berdasarkan jadual di atas, kerajaan berupaya menjimatkan perbelanjaan awam
terhadap penerbangan domestik sebanyak RM13,500.00 apabila melaksanakan langkah
penjimatan ini.
KOS UTILITI ELEKTRIK
Merujuk kepada perkara ke 7 PP 2/2014, Kementerian/Jabatan/Agensi dikehendaki
membuat penjimatan sebanyak 5 peratus kos utiliti elektrik pada tahun 2014. Bagi tujuan
tersebut, Perbendaharaan akan menyekat 5 peratus daripada peruntukan utiliti di bawah
perbelanjaan mengurus 2014. Garis panduan ini menghendaki Kementerian/Jabatan/Agensi
berusaha mengurangkan penggunaan utiliti seperti elektrik, air dan alat perhubungan melalui
penyediaan dan penguatkuasaan peraturan dalaman.
Untuk itu, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan Surat Pekeliling Am Bilangan
2 Tahun 2014 bertajuk Garis Panduan Kaedah Penjimatan Tenaga di Pejabat dan Premis
Kerajaan. Perkara 3 dalam pekeliling ini memberi panduan penggunaan tenaga secara cekap
di pejabat. Ia menyentuh penggunaan peralatan dan kelengkapan elektrik seperti sistem
lampu, pendingin hawa, lif, komputer, mesin cetak, pengimbas dan mesin penyalin.
7
Antara panduan yang diberikan ialah:
(i) Membuka langsir tingkap bilik supaya cahaya siang boleh masuk dan menerangi
ruang pejabat;
(ii) Menyelaraskan suhu pendingin hawa ke paras 24 hingga 25 darjah Celcius;
(iii) Menggunakan tangga untuk bergerak ke tingkat yang berhampiran;
(iv) Meletakkan komputer dalam keadaan sleep mode apabila tidak digunakan selama
beberapa minit;
(v) Menggunakan monitor komputer jenis liquid-crystal display (LCD) kerana ia
lebih cekap tenaga berbanding monitor cathode ray tube (CRT);
(vi) Memastikan mesin cetak dan mesin penyalin diletakkan dalam keadaan safe
mode;
(vii) Menggunakan fungsi print preview untuk menyemak dan memastikan gaya dan
bentangan dokumen sebelum mencetak; dan
(viii) Melaraskan margin dan saiz tulisan yang sesuai supaya kertas dapat digunakan
secara optimum.
Melalui pekeliling ini juga, Kerajaan memaklumkan bahawa pengiktirafan berupa star
rating akan diberikan kepada mana-mana agensi kerajaan yang berjaya melaksanakan
penjimatan tenaga. Ganjaran berupa sijil penarafan dan piala akan diberikan kepada agensi
tersebut.
PENGUBAHSUAIAN RUANG PEJABAT
PP 2/2014 seterusnya menyatakan bahawa semua permohonan baharu bagi
pengubahsuaian ruang pejabat Kementerian/Jabatan/Agensi adalah dibekukan. Langkah
drastik ini dilihat cukup efektif kerana pengubahsuaian ruang pejabat memakan kos yang
sangat besar. Penggunaan ruang pejabat sedia ada tanpa pengubahsuaian dapat menjimatkan
8
perbelanjaan awam. Dengan mengambil contoh pengubahsuaian yang dibuat oleh Universiti
Teknologi Malaysia ke atas Pejabat Harta Bina miliknya yang menelan kos sebanyak
RM404,454.60 (UTM, 2011), sekiranya pengubahsuaian pejabat seperti ini berlaku di 20
buah Kementerian/Jabatan/Agensi maka kos yang akan ditanggung oleh kerajaan adalah lebih
RM8 juta.
Oleh yang demikian, langkah penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan iaitu dengan
membekukan semua permohonan baharu bagi pengubahsuaian ruang pejabat mampu
memberi faedah dan kelebihan untuk kerajaan melaksanakan pelbagai program atau
rancangan jangka panjang atas penjimatan yang dilakukan. Walau bagaimanapun cadangan
pengubahsuaian ruang pejabat tidak boleh dibeku secara keseluruhan di mana ia juga perlu
dikaji terlebih dahulu dengan mengambil kira keperluannya kepada masyarakat awam.
Terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil kira seperti keselamatan kakitangan dan aset
kerajaan serta kemudahan kepada pelanggan iaitu masyarakat awam yang akan menjadi
penentu kecemerlangan perkhidmatan kerajaan.
SEWAAN RUANG PEJABAT
Langkah ke-6 dalam usaha menjimatkan perbelanjaan awam yang dinyatakan dalam
PP 2/2014 ialah Kementerian/Jabatan/Agensi hendaklah mengoptimumkan penggunaan
ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan sewaan premis bagi kegunaan sebagai pejabat.
Malahan semua cadangan untuk menyewa pejabat baharu atau tambahan sewaan ruang
pejabat adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan Perbendaharaan Malaysia.
Pekeliling ini juga perlu merujuk kepada Surat Pekeliling Am Bil 3 Tahun 2011 (SPA
3/2011) bertajuk Permohonan Kelulusan Penyewaan Ruang Pejabat di Premis Bukan Milik
Kerajaan Persekutuan yang telah menetapkan Dasar-dasar Penyewaan yang bertujuan
menerangkan tatacara penyewaan di premis bukan milik kerajaan Malaysia. Jika dilihat
9
kebanyakan Kementerian/Jabatan/Agensi menyewa premis-premis bukan milik kerajaan
sebagai ruang pejabat terutamanya cawangan-cawangan di negeri ataupun daerah. Hal ini
bertujuan untuk memudahkan kerajaan menjalankan khidmatnya kepada rakyat dan
memudahkan rakyat berurusan dengan kerajaan.
Walau bagaimanapun penyewaan ruang pejabat oleh Kementerian/Jabatan/Agensi
akan menjadi beban apabila ruang pejabat tidak digunakan secara optimum. Dengan
mengambil contoh kadar sewa ruang pejabat yang dikeluarkan oleh MIDA (2012), kadar
sewa ruang pejabat di Kuala Lumpur ialah di antara RM64.60 hingga RM102.25 bagi setiap
satu meter persegi (10.76 kaki persegi). SPA 3/2011 telah menetapkan keluasan ruang pejabat
kerajaan secara purata ialah 465 meter persegi (5000 kaki persegi). Oleh yang demikian,
sekiranya sebuah premis baru hendak disewa, ia akan menelan kos sebanyak antara
RM29,000 hingga RM47,000 sebulan. Secara purata, kos untuk setahun adalah sebanyak
antara RM348,000 hingga RM564,000.
Oleh kerana itu, halangan daripada PP2/2014 untuk menyewa pejabat baharu atau
membuat tambahan sewaan ruang pejabat akan membantu menjimatkan perbelanjaan awam
sebanyak antara RM348,000 hingga RM564,000. Walau bagaimanapun cadangan penyewaan
premis atau pejabat baru juga perlu dikaji terlebih dahulu dengan mengambil kira
keperluannya kepada masyarakat awam.
PELANTIKAN PERUNDING
Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 8 Tahun 2006 bertajuk Peraturan Perolehan
Perkhidmatan Perunding memperihalkan pelantikan perunding sebagai perkhidmatan
kepakaran yang disediakan oleh firma perundingan yang berdaftar dengan Kementerian
Kewangan yang dikategorikan seperti berikut :
10
(a) Perunding Fizikal
(i) Arkitek, kejuruteraan awam dan struktur, kejuruteraan mekanikal dan
elektrikal, ukur bahan, perancang Bandar dan desa, landskap, hiasan
dalaman, akustik, pengurusan projek, alam sekitar dan lain-lain
perkhidmatan teknikal yang berkaitan dengan kejuruteraan
dan/pembinaan.
(ii) Kerja-kerja ukur tanah dan kerja ukur khusus seperti hydrography,
aerial photogrammeretry, remote sensing dan lain-lain.
(iii) Perkhidmatan penilaian fizikal seperti penilaian harta, audit assessment
dan lain-lain.
(iv) Kajian-kajian fizikal yang berkaitan dengan kerja-kerja kejuruteraan
dan/pembinaan.
(b) Perunding Bukan Fizikal
(i) Kajian kemungkinan, kajian ekonomi, kajian penswastaan dan kajian-
kajian lain.
(ii) Perkhidmatan pengurusan sumber manusia, kewangan dan perakaunan,
percukaian, pengurusan kualiti, kerja-kerja audit kewangan, kerja-kerja
audit pengurusan, teknologi maklumat dan komunikasi serta bidang-
bidang pengurusan lain.
(c) Perkhidmatan perunding lain mengikut kategori yang diperlukan oleh Agensi
dan ditentukan oleh Perbendaharaan dari semasa ke semasa.
Perkara 6 dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan ini membenarkan agensi kerajaan
untuk melantik terus firma perunding tempatan yang berdaftar dengan Kementerian
Kewangan bagi skop kerja pembangunan fizikal, kerja-kerja Ukur tanah dan Alam Sekitar.
11
Walau bagaimanapun, selaras dengan pengumuman 11 langkah penjimatan
perbelanjaan awam, disusuli dengan Surat Arahan Perbendaharaan bertajuk Penjelasan
Mengenai Perkara 10 dalam Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 2014 Berhubung
Pelantikan Perunding, semua pelantikan perunding perlu merujuk dan mendapat kelulusan
prinsip oleh Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara (JPPN). Hal ini diputuskan oleh
mesyuarat JPPN Bil. 1/2014 pada 4 Februari 2014.
PENGGUNAAN SYARIKAT PENGURUSAN ACARA (EVENT MANAGEMENT)
Langkah penjimatan yang ke-8 yang disentuh dalam PP 2/14 ialah berkenaan
penggunaan syarikat pengurusan acara (event management). PP 2/14 menyarankan untuk
mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara serta pemberian saguhati dan
cenderamata semasa penganjuran persidangan/seminar/pameran/mesyuarat/kursus/bengkel/
majlis rasmi kerajaan dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, terdapat kelemahan dalam langkah penjimatan yang
dicadangkan. Ini kerana, tiada kadar atau jumlah yang jelas berkenaan ‘jumlah pengurangan’
yang dimaksudkan sebaliknya hanya penegasan kepada perkataan ‘pengurangan’ sahaja.
Perkara ini sebenarnya bukanlah perkara baharu dalam langkah penjimatan yang diambil oleh
kerajaan. Dari tahun ke tahun, kerajaan mengeluarkan satu per satu pekeliling/surat pekeliling
atau surat arahan perbendaharaan untuk menegaskan berkenaan penggunaan syarikat
pengurusan acara dan pemberian cenderamata.
Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 Tahun 2008 bertajuk Garis Panduan Bagi
Perbelanjaan Secara Berhemat menetapkan, item-item perbelanjaan dimasukkan
keseluruhannya ke dalam pakej dan perlu mematuhi kadar yang ditetapkan oleh kerajaan dan
peraturan-peraturan kewangan.
12
Begitu juga dengan pemberian cenderamata. PP 2/14 menggalakkan agar semua
agensi kerajaan mengurangkan pemberian cenderamata namun tidak dijelaskan amaun yang
perlu dikurangkan. Walau bagaimanapun pekeliling kerajaan sebelum ini mensyaratkan
amalan pemberian cenderamata (door gift) kepada tetamu upacara rasmi kerajaan/majlis
keraian perlu mematuhi kadar dan syarat peraturan kewangan yang ditetapkan serta hanya
diberi kepada tetamu asing dan dari luar jabatan sahaja. Pemberian itu juga dihadkan kepada
cenderamata berupa buku, kraftangan atau produk makanan tempatan atau produk yang
menggunakan barangan/peralatan tempatan sahaja.
Antara isu yang timbul bersangkutan dengan pengurusan acara rasmi kerajaan
menggunaka syarikat pengurusan acara ini ialah berdasarkan pendedahan Laporan Audit
Tahun 2012 berkenaan sambutan Hari Belia Negara 2012 oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Sebanyak RM67.61 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk menganjurkan program
tersebut. Perkara ini mencalitkan imej buruk kepada kerajaan kerana manfaat atau kesan
positif jangka panjangnya dipertikai akibat wujudnya unsur-unsur negatif semasa sambutan
Hari Belia tersebut. Keraguan yang timbul diperkuatkan lagi dengan jumlah kos yang tinggi
yang digunakan untuk penganjuran program ini oleh syarikat pengurusan acara. Seharusnya,
dengan dana atau kos yang sebesar RM67.61 juta ini mampu memberi impak positif kepada
semua pihak (Nik Nazmi, 2013).
MAKANAN DAN MINUMAN
PP 2/2014 turut menekankan berkenaan penyediaan makanan dan minuman semasa
penganjuran persidangan/seminar/pameran/mesyuarat/kursus/bengkel/majlis rasmi kerajaan
dan sebagainya. Umum mengetahui penyediaan makanan dan minuman dalam majlis-majlis
berkenaan merangkumi penyediaan minum pagi, makan tengah hari dan minum petang.
Melalui 11 langkah penjimatan yang dianjurkan, kerajaan menekankan pengurangan
13
penyediaan makanan dan minuman. Kaedah pengurangan bergantung kepada agensi-agensi
kerajaan itu sendiri.
Sehubungan itu, beberapa langkah efektif telah diambil oleh beberapa agensi kerajaan
dalam mematuhi arahan langkah penjimatan ini. Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil
Perusahaan Getah (RISDA) melalui Arahan Pentadbiran Bilangan 3 Tahun 2014 Garis
Panduan Perbelanjaan Secara Berhemat bertarikh 5 Februari 2014 telah menetapkan bahawa
penyediaan makanan hanya diperuntukkan untuk mesyuarat sahaja dan tidak termasuk
perbincangan. Selain daripada itu, RISDA turut mengehadkan kos penyediaan sarapan,
makan tengah hari dan minum petang sebanyak RM15 seorang/hari.
Agensi lain yang mengambil tindakan proaktif berhubung PP2/2014 ini ialah
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri. Dalam
Perhimpunan Bulanan BHEUU Bil. 2/2014, Ketua Pengarah BHEUU, Yang Berbahagia
Dato’ Haji Ismail bin Ibrahim mengumumkan bahawa, makanan dan minuman tidak lagi
disediakan dalam perhimpunan bulanan dan hanya minum pagi sahaja yang disediakan dalam
mesyuarat. Mesyuarat di sebelah petang pula hanya diperuntukkan minuman dan buah-
buahan/kuih.
Perbezaan amalan penjimatan ini bergantung kepada agensi itu sendiri oleh kerana
tiada panduan yang jelas bagaimana kaedah pengurangan penyediaan makanan dan minuman
perlu dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan.
KAIN PEMIDANG (BUNTING DAN BANNER)
Langkah kesepuluh penjimatan perbelanjaan awam melalui PP 2/2014 ialah dengan
meminta semua kementerian/jabatan/agensi mengurangkan penggunaan kain pemidang
seperti gegantung dan kain rentang (bunting dan banner) dalam sebarang acara rasmi
14
kerajaan. Walau bagaimanapun, PP 2/2014 tidak menyatakan secara jelas jumlah
pengurangan yang dicadangkan.
Bagi menghuraikan langkah penjimatan ini, bolehlah dilihat aktiviti yang dilakukan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai agensi pemerkasa bahasa kebangsaan dan
kos penyediaan kain pemidang yang dikenakan oleh Tomoproduk (t.t).
Di sepanjang tahun 2013, 21 aktiviti berkaitan bahasa dan sastera telah dilaksanakan
oleh DBP. Seandainya, kesemua 21 aktiviti berkenaan memerlukan kain pemidang,
perbelanjaan yang diperlukan adalah seperti jadual di bawah:
Jenis Kain Pemidang Bilangan
Unit/Aktiviti
Harga
Seunit (RM)
Bilangan
Aktiviti
Jumlah
(RM)
Gegantung 5’ x 2’ 10 42.00 21 8,820.00
Kain rentang 6’ x 3’ 2 60.00 21 2,520.00
Kain rentang 10’ x 4’ (tirai latar) 1 120.00 21 2,520.00
Jumlah 13,860.00
Jadual 5: Penyediaan kain pemidang sebelum langkah penjimatan.
Kemajuan teknologi masa kini membolehkan penggunaan kain rentang 10’ x 4’
sebagai tirai latar tidak lagi diperlukan. Tirai latar yang biasanya digunakan sebagai latar
pentas kini digantikan dengan pancaran projektor LCD. Penggunaan kain rentang 6’ x 3’ juga
boleh dikurangkan kepada satu unit sahaja bagi setiap kegiatan manakala jumlah gegantung
pula dikurangkan kepada enam (6) unit sahaja. Jadual berikut menunjukkan jumlah
perbelanjaan kain pemidang yang diperlukan bagi melaksanakan 21 kegiatan selaras dengan
langkah penjimatan:
Jenis Kain Pemidang Bilangan
Unit/Aktiviti
Harga
Seunit (RM)
Bilangan
Aktiviti
Jumlah
(RM)
Gegantung 5’ x 2’ 6 42.00 21 5,292.00
Kain rentang 6’ x 3’ 1 60.00 21 1,260.00
Kain rentang 10’ x 4’ (tirai latar) 0 120.00 21 0.00
Jumlah 6,552.00
Jadual 6: Penyediaan kain pemidang selepas langkah penjimatan.
15
Berdasarkan jadual di atas, jelas bahawa 47% jumlah perbelanjaan terhadap kain
pemidang dapat dijimatkan.
STRATEGI LAUTAN BIRU KEBANGSAAN
Langkah penjimatan terakhir yang disenaraikan dalam 11 langkah penjimatan ini ialah
penggunaan sepenuhnya Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) di bawah pendekatan Strategi
Lautan Biru Kebangsaan.
Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) adalah pemusatan pusat latihan yang dimiliki oleh
pelbagai agensi kerajaan. Melalui 1MTC, pusat latihan pelbagai agensi didaftarkan
seterusnya digunakan secara bersama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain.
1MTC yang dilancarkan pada 29 Oktober 2012, diterajui oleh Unit Pemodenan
Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Perancangan Ekonomi
(EPU) bersama agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kewangan (MOF),
Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kemajuan
Luar Bandar dan Wilayah (KKLK), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian
Pertahanan (MINDEF), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan 1M4U (1 Malaysia for
Youth).
Sebanyak 346 pusat latihan pelbagai agensi telah berdaftar dengan 1MTC sehingga 24
Januari 2014. Antara pusat latihan yang telah berdaftar dengan 1MTC ialah Akdemi Audit
Negara, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Akademi Imigresen Malaysia, Akademi
Kastam Diraja Malaysia, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, Akademi Pencegahan
Rasuah Malaysia (MACA) dan Akademi Penerbangan Malaysia (MAVA).
Pusat latihan pelbagai agensi yang berdaftar dengan 1MTC menyediakan pelbagai
kelengkapan sebagai sebuah pusat latihan seperti bilik kuliah, bilik mesyuarat, dewan
syarahan, perpustakaan, makmal komputer, auditorium, gelanggang badminton, gelanggang
16
bola tampar, padang bola sepak, gimnasium, kantin dan asrama. Menariknya, pusat latihan ini
tidak mengenakan bayaran kepada agensi kerajaan atau badan berkanun. Dalam kata lain,
agensi-agensi kerajaan boleh menggunakan pusat latihan 1MTC dengan percuma (Akademi
Audit Negara, 2014).
Hal ini sangat bertentangan sekiranya agensi kerajaan menyewa hotel untuk
mengadakan kursus/latihan/seminar dan lain-lain. Sebagai contoh, Hotel Equotarial Kuala
Lumpur, mengenakan caj sebanyak RM130 sehari untuk seorang peserta. Seandainnya
program yang diadakan di hotel berkenaan dianggotai oleh 20 orang peserta, kerajaan akan
membelanjakan sebanyak RM2,600 sehari (Equatorial, 2014). Sebahagian daripada jumlah
sebanyak ini (yang diperlukan untuk penyewaan tempat) dapat dijimatkan oleh kerajaan
seandainya agensi kerajaan memilih untuk mengadakan program di 1MTC. Agensi kerajaan
hanya perlu menyediakan pembiayaan makanan dan minuman kepada peserta sahaja.
Selain daripada itu, pusat latihan ini turut menawarkan kursus-kursus berkaitan agensi
berkenaan. Contohnya, di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu,
selain daripada menyediakan fasiliti seperti yang telah dinyatakan, pusat latihan ini turut
menawarkan beberapa kursus seperti Study of Fire Fighting, Study of Salvation, Study of Fire
Management, Study of Fire Safety dan Study of Investigation (FRAM, 2013).
Jika semua Kementerian/Agensi Kerajaan dapat mengoptimunkan penggunaan Pusat
Latihan 1Malaysia (1MTC) di seluruh Negara, perbelanjaan setiap Kementerian/Agensi
Kerajaan akan dapat dikurangkan.
KESAN PENGURANGAN PERBELANJAAN AWAM
Penerbitan PP 2/2014 oleh kerajaan sudah pasti sebagai satu garis panduan kepada
semua agensi kerajaan dalam melaksanakan perbelanjaan secara berhemat yang dapat
membantu mengurangkan defisit kewangan kerajaan sekaligus mengecilkan jumlah
17
perbelanjaan awam. Selain itu, hal ini juga diharap dapat meningkatkan imej kerajaan di mata
rakyat.
Sebagai rakyat, PP 2/2014 diharap diguna pakai sepenuhnya oleh semua agensi
kerajaan, bukan sekadar memenuhi fail pekeliling semata-mata.
Walau bagaimanapun, bagi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, PP 2/2014
bakal memberikan kesan yang boleh menjejaskan pencapaian pegawai-pegawai kanan
kerajaan. Namun, beliau meyakini, inisiatif kerajaan memperkenalkan PP 2/2014 mampu
membantu menjimatkan perbelanjaan awam sehingga RM400 juta setahun (Baharom
Mahusin, 2 Februari 2014).
PENUTUP
Langkah proaktif kerajaan dengan mengeluarkan Garis Panduan Perbelanjaan Secara
Berhemat Bagi Mengurangkan Perbelanjaan Awam bukanlah satu langkah baharu malah ia
telah pun dipraktikkan melalui beberapa pekeliling kerajaan pada tahun-tahun sebelum ini.
Hampir setiap tahun agensi-agensi kerajaan telah diingatkan untuk berbelanja secara
berhemat dan dalam masa yang sama memberikan perkhidmatan dan/atau menjangkau
pencapaian maksimum.
Adalah menjadi harapan kepada rakyat Malaysia khususnya agar pekeliling-pekeliling
ini tidak sekadar dibukukan tetapi menjadi amalan agensi-agensi kerajaan di sepanjang
perkhidmatan. Perbelanjaan berhemat sepatutnya tidak dijalankan secara bermusim sahaja
atau dipraktikkan ketika ketidakstabilan ekonomi semata-mata. Perbelanjaan berhemat perlu
dijalankan di setiap masa dan di seluruh agensi kerajaan tanpa ada pengecualian pada mana-
mana agensi. Pekeliling ini harus dipakai oleh semua jabatan/kementerian tanpa memberikan
hak istimewa kepada mana-mana agensi atau mana-mana individu dalam kerajaan. Hanya
18
dengan cara ini, rakyat akan menyokong penuh setiap usaha kerajaan dan percaya bahawa
kerajaan memerintah dengan adil, telus dan bertanggungjawab.
RUJUKAN
Akademi Audit Negara. (2014). Kadar sewa bagi penggunaan kemudahan Akademi Audit
Negara. Dicapai daripada http://www.akademi.audit.gov.my/index.php/2012-10-04-
09-09-34/perlembagaan-persekutuan/kadar-sewa-bagi
Ali Hamsa. (2014). Meneruskan Momentum Transformasi, Merakyatkan Perkhidmatan
Awam. Dicapai daripada
http://www.jpm.gov.my/userfiles/file/AMANAT%20YBHG_%20TAN%20SRI%20D
R_%20ALI%20HAMSA%20KETUA%20SETIAUSAHA%20NEGARA%202014.pd
f
Baharom Mahusin. (2 Februari 2014). Pengorbanan pegawai awam. Utusan online. Dicapai
daripada http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140202/re_05/Pengorbanan-
pegawai-awam
BHEUU. (2014). Nota percakapan Ybhg. Dato’ Haji Ismail bin Ibrahim, Ketua Pengarah
BHEUU sempena perhimpunan bulanan BHEUU bil. 2/201. Dicapai daripada
http://www.bheuu.gov.my/pdf/ucapan/NOTA%20PERCAKAPAN%20KP_PERHIM
PUNAN%20BULANAN%20BHEUU%20BIL%202%20%202014.pdf
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2013). Aktiviti DBP Tahun 2013. Dicapai daripada
http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=sections&SubSectionID=122&Sectio
nID=106&CurLocation=106&IID=
Dewan Bahasa dan Pustaka. (28 Februari 2014). Carta Organisasi. Dicapai daripada
http://www.dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=vertsections&SubVertSectionI
D=19&VertSectionID=7&CurLocation=7&IID=&Page=1&PHPSESSID=1601d6600
cd1c1097446adbe4315c6f9
Equatorial. (2014). Meetings & seminars. Dicapai daripada
https://www.equatorial.com/kul/index.php?navi_id=7&sub_navi_id=11
Fram. (2013). Official web Fire and Rescue Academy of Malaysia Kuala Kubu Bharu.
Dicapai daripada http://www.fram.edu.my/v7/kkb_v2/index.php/en/
Jabatan Akauntan Negara. (t.t). Imbuhan Tetap Khidmat Awam dan Imbuhan Tetap Keraian:
Prosedur Kerja Senarai Semak Pembayaran. Dicapai daripada
http://portalpp.anm.gov.my/penang/wp-content/uploads/2013/06/IMBUHAN-
TETAP-KHIDMAT-AWAM-KERAIAN.pdf
Jabatan Perdana Menteri. (2011). Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2011. Permohonan
Kelulusan Penyewaan Ruang Pejabat di Premis Bukan Milik Kerajaan Persekutuan.
19
Dicapai daripada
http://www.jpm.gov.my/userfiles/file/Surat%20Pekeliling%20Am%20%20Bil%203%
20Tahun%202011.pdf
Jabatan Perdana Menteri. (2014). Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2014. Garis
Panduan Kaedah Penjimatan Tenaga di Pejabat dan Premis Kerajaan. Dicapai
daripada http://www.jpm.gov.my/userfiles/file/SPA%202-2014.pdf
Jabatan Perkhidmatan Awam. (2002). Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002.
Pelaksanaan Sistem Persaraan Malaysia Bagi Anggota Perkhidmawan Awam
Persekutuan. Dicapai daripada
http://docs.jpa.gov.my/docs/pekeliling/pp02/bil04/pp04-02.pdf
Kementerian Kewangan. (2006). Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 8 Tahun 2006
Peraturan Perolehan Perkhidmatan Perunding. Dicapai daripada
http://www.treasury.gov.my/pekeliling/spp/spp082006.pdf
Kementerian Kewangan. (2007). Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 Tahun 2008. Garis
Panduan Bagi Perbelanjaan Secara Berhemat
http://www.treasury.gov.my/pekeliling/pp/pp072008.pdf
Kementerian kewangan. (2008) Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 Tahun 2008. Garis
Panduan Bagi Perbelanjaan Secara Berhemat. Dicapai daripada
http://www.treasury.gov.my/pekeliling/pp/pp072008.pdf
Kementerian Kewangan. (2013). Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2013. Pengurusan
Kenderaan Kerajaan. Dicapai daripada
http://www.treasury.gov.my/pekeliling/pp/pp052013.pdf
Kementerian Kewangan. (2014). Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 2014. Garis
Panduan Perbelanjaan Secara Berhemat Bagi Mengurangkan Perbelanjaan Awam.
Dicapai daripada
http://www.mampu.gov.my/documents/10228/47243/pb02_2014.pdf/07147ca2-c543-
4344-931f-19d7a7419b0d
Kerajaan Malaysia. (2003). Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 3 Tahun 2003. Kadar dan
Syarat Tuntutan Elaun, Kemudahan dan Bayaran kepada Pegawai Perkhidmatan
Awam kerana Menjalankan Tugas Rasmi (Tidak Termasuk Anggota Tentera dan
Anggota Polis). Dicapai daripada
http://www.treasury.gov.my/pekeliling/pp/pp032003.pdf
Ketua Setiausaha Perbendaharaan. (13 Februari 2014). Penjelasan Mengenai Perkara 10
dalam Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 2014 Berhubung Pelantikan
Perunding. Dicapai daripada http://www.treasury.gov.my/pekeliling/sap/sap2014-02-
13.pdf
Ketua Setiausaha Perbendaharaan. (17 Disember 2009). Surat Arahan Perbendaharaan
bertajuk Pelaksanaan Amalan Perbelanjaan Secara Berhemat. Dicapai daripada
http://www.treasury.gov.my/pekeliling/sap/sap_2009-12-17.pdf.
20
Ketua Setiausaha Perbendaharaan. (2009). Pelaksanaan Amalan Perbelanjaan Secara
Berhemat. Dicapai daripada http://www.treasury.gov.my/pekeliling/sap/sap_2009-12-
17.pdf
MAMPU. (2014). Portal Tempahan Fasiliti & Kursus di Institut Latihan Awam Malaysia.
Dicapai daripada http://app.1mtc.gov.my/apex/f?p=107:203:16107456268634::NO
MIDA. (2012). Memulakan perniagaan: kadar sewa ruang pejabat utama. Dicapai daripada
http://www.mida.gov.my/bm/index.php?page=kadar-sewa-ruang-pejabat
Nik Nazmi Nik Ahmad. (2013). Respon terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai
Kementerian Belia dan Sukan. Dicapai daripada
http://niknazmi.com/bm/2013/10/04/respons-terhadap-laporan-ketua-audit-mengenai-
kementerian-belia-dan-sukan/
RISDA. (2014). Arahan Pentadbiran Bilangan 3 Tahun 2014 Garis Panduan Perbelanjaan
Secara Berhema. Dicapai daripada
http://www.risda.gov.my/portal/images/pdf/Pekeliling/AP/2014/AP_Bil_3_2014.pdf
Tomproduk. (t.t). Banner dan Bunting. Dicapai daripada http://tomproduk.blogspot.com/
UTM. (2011). Ubah suai dan naik taraf Bahagian Kontrak, Pejabat Harta Bina, UTM, Johor
Bahru, Johor. Dicapai daripada
http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:SYtuJEf6neYJ:web.utm.my/
unitkontrak/images/stories/dokumen/Backup_QS/Sebutharga/Laporan_Sebut_Harga_
Kelas_E/2.%2520Laporan%2520Penilaian%2520SH%2520Baru%2520-
%2520Bincang%2520(9%2520Feb.%252011).doc+&cd=4&hl=en&ct=clnk