Mbak Faizul

14
SEPAK TERJANG PERJALANAN HIDUP HABIBURRAHMAN EL SHIRAZY (KANG ABIK) Disusun oleh: X X X

description

riwayat mbak faizul

Transcript of Mbak Faizul

6 | Sepak Terjang Perjalanan Hidup Habibur Rohman Elshirazy

SEPAK TERJANG PERJALANAN HIDUP HABIBURRAHMAN EL SHIRAZY (KANG ABIK)

Disusun oleh:X

X

XMA Negeri Demak

Tahun ajaran 2014 / 2015

TTLSemarang, 30 September 1976

Julukan Kang Abik

PekerjaanSutradara, dai, novelis, penyair

KewarganegaraanIndonesia

Aliran sastraSastra moralis

PasanganMuyasaratun Sa'idah

AnakMuhammad Ziaul KautsarMuhammad Neil Author

Habiburrahman El Shirazy

Latar Belakang TokohHabiburrahman bin Saerozi dilahirkan pada hari Khamis, 30 September 1976 di Desa Bangetayu Wetan yang terletak di pinggir Kota Semarang, Jawa Tengah, Indonesia. Beliau merupakan anak pertama daripada enam orang adik-beradik. Bapanya K.H Saerozi Noor dan ibunya, Siti Rodhiah berasal dari Jawa Tengah, Indonesia (Anif Saerseba 2006: 45-46).

Pada tahun 1970-an, desa kelahiran Habiburrahman terletak jauh dari Kota Semarang dan terpinggir dari kemudahan infrastruktur. Kebanyakan rumah para penduduk menggunakan lampu minyak tanah dan tiada alatan elektronik. Rata-rata kaum lelakinya bekerja sebagai buruh, petani, pemandu dan kerani awam. Taraf pendidikan yang rendah menyebabkan sebahagian besar penduduk kampung tidak mementingkan pelajaran dan ilmu agama (Ahmad Mujib 2009: 8). Berbeza dengan ibubapa Habiburrahman, keduanya yang pernah menuntut di pesantren menerapkan pendidikan agama kepada anak-anak mereka. K.H Saerozi Noor belajar di Pesantren Futuhiyyah, Mranggen, Demak dan isterinya adalah lepasan Madrasah Tsanawiyah dan pernah menuntut di Pesantren al-Muayyad, Mangkuyu dan, Solo (Anif Sirsaeba 2006 : 50).

Menurut Habiburrahman, bapanya berguru dengan Allahyarham K.H Muslih bin Abdurrahman bin Qasidhil Haq Al-Maraqy (1917-1981), seorang ulamak tersohor di Jawa Tengah. K.H Muslih telah mewarisi Pesantren Futuhiyyah, Mranggen daripada ayahnya yang juga seorang ulamak. Beliau dikenali sebagai ahli feqah dan Nahu serta mempunyai pengikut yang ramai di Kepulauan Jawa dan Kalimantan (Martin van Bruinessen 1985: 23). Hasil pembelajarannya dengan K.H Muslih bin Abdurrahman, K.H Saerozi Noor mampu membacakan kitab agama kepada masyarakat di daerahnya seperti Kitab Riyaadus Solihin, Mauizatul Mukminin, Tanbihul Ghaafilin, Durratun Nasihiin, Uqudullijain, Qurratul Uyuun, Taqrib, Iaanatut Tolibin, Fathul Wahab dan al-Muhadzdzab. Malahan, K.H Saerozi telah menghafal Kitab Alfiyah Ibnu Maalik (Anis Sirsaeba 2006: 49). Kemampuannya menyampaikan ilmu kepada masyarakat menyebabkan K.H Saerozi digelari kiyai di kalangan orang-orang kampungnya (ibid).

Habiburrahman dan adik-adiknya diasuh dengan tradisi santri yang kuat daripada ibubapa mereka. Ini dinyatakan oleh Anif Sirsaeba (2006), adik kedua tokoh dalam buku Fenomena Ayat-Ayat Cinta:Kalau ada bapa di rumah, kami merasa tidak nyaman. Kami takut dengan suaranya yang keras membentak jika kami lewat solat, tidak berjemaah di surau, absen mengaji dan malas belajar. Bahkan tidak segan-segan, bapak acapkali melayangkan sebatan rotan kala kami lupa solat dan tidak mahu mengaji. (61-61)

Menurut K.H Saerozi, beliau bertegas dengan anak-anaknya dalam perkara ilmu dan ibadah seharian. Beliau tidak mahu anak-anaknya menjadi orang yang lalai dan jahil. Padanya, membentur diri anak-anak perlulah dimulakan sejak umur mereka masih kecil. Berbeza dengan suaminya, Siti Rodhiyah mengambil pendekatan lemah-lembut dengan anak-anaknya. Beliau mengajari anak-anaknya untuk bercakap perkara yang baik an tidak mengambil harta orang lain tanpa meminta izin (Ahmad Mujib 2009: 18-19). Sebelum anak-anaknya tidur, Siti Rodhiyah sering bercerita kepada mereka kisah nabi dan kisah-kisah klasik berunsurkan Islam yang terdapat dalam Kitab Qisyatul Anbiya, Khulasah Nuurul Yaqiin, Nasaaihul Ibad, Durratun Nasihin dan Mauizatul Mukminin (Anif Sirsaeba 2006:76-77). Siti Rodhiyah juga membacakan al-Fatehah kepada suami dan anak-anaknya setiap kali selepas menunaikan solat fardhu serta mendoakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat. Perkara ini menunjukkan beliau sangat berharap suami dan anak-anaknya menjadi Muslim yang taat kepada perintah Allah dan rasul-Nya.

Sebagai anak desa, Habiburrahman menjalani kehidupan kanak-kanak yang sederhana. Namun yang membezakan dia dan adik-adiknya dengan kanak-kanak lain adalah asuhan agama yang ketat. Ini terserlah daripada sikap ayahnya yang amat berhati-hati dalam ibadah seharian. Misalnya, K.H Saerozi tidak membenarkan orang lain membasuh pakaian yang digunakannya untuk menunaikan solat. Dia bimbang jika pakaian tersebut tidak dicuci dengan bersih. Selain itu, K.H Saerozi juga membasuh wang gajinya bagi memastikan wang tersebut bersih dan tidak terkena najis (Ahmad Mujib 2009 : 21-22). Kelakuan ibubapa yang amat prihatin terhadap nilai-nilai agama telah mempengaruhi kehidupan awal Habiburrahman dan adik-adiknya untuk membesar sebagai insan yang berakhlak mulia.

Hitam Putih Perjalanan Pendidikan Tokoh

Habiburrahman memulakan pendidikan akademiknya di Sekolah Dasar (SD) Sembungharjo, Semarang pada tahun 1982. Selama enam tahun di sekolah tersebut, Habiburrahman mengekalkan prestasi sebagai pelajar terbaik dan sentiasa mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun (Anif Sirsaeba 2006:87). Di sebelah petang, Habiburrahman menjalani pendidikan agama di Madrasah Diniyyah (Madin). Pada usia 12 tahun, Habiburrahman telah menghafal keseluruhan nazam nahu dari Kitab Imrithi karangan Syeikh Syafafuddin Yahya al-Imrithi (Ibid).

Kejayaan dalam bidang akademik dan ilmu agama berlaku secara serentak kerana beliau sangat berdisplin dan bijak membahagikan masa. Menurut Habiburrahman, beliau sentiasa mengulangi hafalan ilmunya walaupun sedang bermain bola. Keupayaannya mengekalkan kecemerlangan menyebabkan beliau menjadi pelajar SD terbaik seluruh Kota Semarang (ibid:86).

Ekoran kejayaan tersebut, Habiburrahman ditawarkan menyambung pengajian menengahnya di sekolah terbaik di Kota Semarang, namun bapanya memasukkan Habiburrahman ke sekolah agama di MTs Futuhiyyah 1, Mranggen. Sekolah ini telah diasaskan oleh guru K.H Saerozi sendiri iaitu K.H Muslih bin Abdurrahman. Ketika belajar di sekolah ini, Habiburrahman tinggal di Pesantren al-Anwar dibawah seliaan K.H Abdul Basyir Hamzah (Ahmad Mujib 2009:42). Dunia pesantren telah membentur diri Habiburrahman menjadi alim (berilmu) dan faqih (memahami agama Islam) dalam usia yang muda. Menurut bapanya, beliau memasukkan anak-anaknya ke pesantren kerana mahu anak-anaknya menjadi manusia yang bermanfaat, berakhlak mulia dan dihormati orang lain kerana mempunyai ilmu agama yang mendalam (ibid: 43).

Pesantren adalah penempatan khusus kepada masyarakat Islam Indonesia untuk mendalami pengajian Islam khususnya teks tradisional atau Kitab Kuning (Ahmad Faozan 2006: 1). Tiga fungsi utama pesantren adalah sebagai pusat pengkaderan pemikir-pemikir agama (Center of Excellent), pusat perlatihan sumber manusia (Human Resource) dan lembaga terlatih bagi pemberdayaan masyarakat (Agent of Development) (Ibid:2). Keunikan pendidikan pesantren terletak kepada kuasa kiyai mendidik dan menerapkan nilai Islam tanpa campur-tangan pihak luar. Komuniti pesantren juga bersifat mandiri dan kental mencegah penularan sekularisasi (Abdurrahman Masud 2004: 81).

Di Pesantren Al-Anwar, para pelajar yang dikenali sebagai santri hidup bersama dalam keadaan yang sederhana. Satu bilik dapat menampung kira-kira 20 hingga 40 orang santri tanpa kemudahan katil. Para santri juga melakukan sendiri aktiviti harian mereka seperti mencuci pakaian, membersihkan bilik dan sebahagiannya memasak. Rutin mereka bermula sebelum Subuh hingga lewat malam dan dipenuhi dengan pengajian Kitab Kuning yang dipimpin oleh Kiyai (Ahmad Mujib 2009: 44). Martin Van Bruinessan (1995: 17-21) mengatakan pengajaran Kitab Kuning adalah tradisi agung yang wujud di Indonesia dan Semenanjung Malaysia sehingga kini iaitu kiai membacakan kitab-kitab agama di hadapan santri, manakala santri mendengar serta mencatat baik dari segi lughawi (bahasa) mahupun manawi (makna) di kitab mereka. Kandungan Kitab Kuning tradisional membahaskan persoalan akidah dari aliran Al-Asyari, persoalan fekah Mazhab Syafie, ilmu akhlak dan tasawuf Imam Ghazali serta ditulis dalam bahasa Arab dan Melayu klasik. Bagi Bruinessan (1995), tradisi pesantren adalah bernafaskan sufistik dan ubudiyah antaranya para santri dididik menjaga ibadah fardhu seperti solat berjemaah dan ibadah sunat seperti solat sunat, zikir, wirid dan ratib.

Sewaktu tinggal di Pesantren al-Anwar, Habiburrahman kerap menjalani latihan pidato ekoran penetapan lembaga pesantren kepada setiap santri. Satu hari dalam seminggu, para santri diwajibkan untuk menyampaikan pidato di hadapan ratusan santri lain. Oleh kerana jumlah santri yang terhad, Kiyai K.H Abdul Basyir Hamzah dapat mengenali setiap santrinya termasuk Habiburrahman. Hal ini memberikan kelebihan kepada Habiburrahman untuk mendalami ilmu agama secara peribadi dengan kiyai K.H Abdul Basyir Hamzah (Ahmad Mujib 2009: 45-46). Bakat pidato Habibuurrahman juga telah menyebabkan Pengetua Mts Futuhiyyah 1, K.H Muhammad Ridhwan menangis sewaktu Habiburrahman menghuraikan sebuah hadis. Bagi K. H Muhammad Ridhwan, usia Habiburrahman amat muda tetapi mampu menyentuh hati para pendengar pidatonya (Anif Sirsaeba 2006: 158). Pada usia 15 tahun, Habiburrahman telah menyelesaikan pembacaan Kitab Kuning yang disampaikan oleh Ulama Terkenal Demak, K.H Ahmad Muthohhar Abdul Rahman iaitu Kitab Tanbihul Ghafilin karangan Imam Abu Laits As Samarqandi.

Pada tahun 1991, Habiburrahman dipilih memasuki Madrasah Aliyah Program Khusus (MAPK) Surakarta yang dikhususkan kepada pelajar terbaik dari seluruh Kepulauan Jawa (Anif Sirsaeba 2006: 88). MAPK telah mengukuhkan diri Habiburrahman sebagai remaja yang unggul dalam bidang akademik, kepimpinan dan kesusasteraan. Di madrasah ini, beliau perlu bersaing dengan para pelajar terbaik dan cemerlang kerana setiap tahun, hanya 40 orang pelajar sahaja terpilih memasuki MAPK Surakarta dari seluruh Jawa Tengah (ibid: 98). MAPK adalah usaha Menteri Agama Munawir Sajdzali untuk memperkukuhkan pendidikan Islam di Indonesia. Para pelajar terbaik dari seluruh kepulauan Indonesia dipilih berdasarkan keputusan peperiksaan dan ujian kelayakan. Mereka yang terpilih akan dibiayai oleh pemerintah serta diberi elaun saraan setiap bulan. Para pelajar ini perlu tinggal di asrama, menjalani rutin pengajian dan aktiviti kokurikulum yang padat. Bezanya sistem pendidikan MAPK dengan pesantren adalah, MAPK menjalinkan ilmu agama dengan ilmu moden manakala pesantren menumpukan kepada pengajaran Kitab Kuning (Mohamad Kosim 2007:44- 45).

Menurut rakan sekolahnya, Habiburrahman sering menjadi rujukan rakan-rakan sekelasnya dalam subjek nahu dan bahasa Arab. Kecemerlangannya dalam bahasa Arab mengatasi para pelajar lain kerana usaha dan didikan tradisi pesantren yang diperolehinya ketika menuntut di Pesantren al-Anwar. Penguasaannya dalam bahasa Arab juga telah melayakkan beliau bergelar juara pidato bahasa Arab peringkat Jawa Tengah dan juara membaca puisi Arab peringkat Nasional (Anif Sirsaeba 2006: 88). Selain itu, Habiburrahman merupakan anggota persatuan pengangkap, ahli jawatankuasa asrama, pembimbing kelab sastera dan teater serta aktif menyampaikan ceramah kepada masyarakat awam. Selama tiga tahun menuntut di MAPK Surakarta, Habiburrahman berjaya menjadi pelajar kedua terbaik dengan nilai cemerlang (Ibid: 91).

Kejayaannya di peringkat sekolah dasar dan menengah terus berlangsung ketika beliau menyambung pengajian peringkat ijazah di Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar, Cairo, Mesir dalam jurusan hadis dari tahun 1995 hingga tahun 2002. Habiburrahman tidak pernah gagal malahan semua subjek yang diambilnya mendapat keputusan yang baik (ibid: 165). Setelah selesai ijazah pertama, Habiburrahman mengambil Diploma Pascasarjana di Institut Pengajian Islam, Cairo dan mendapat keputusan jayyid jiddan. Beliau telah menjadi mahasiswa Indonesia pertama yang mendapat kepujian tersebut (ibid).

Habiburrahman telah menjalani tiga tradisi keilmuan Islam yang kukuh iaitu pesantren, sekolah tinggi agama dan universiti Islam tertua di dunia. Beliau juga telah menunjukkan semangat menuntut ilmu yang tinggi dan dicerminkan melalui keputusan peperiksaannya yang cemerlang sejak dari sekolah dasar sehinggalah ke universiti. Di pesantren, Habiburrahman menjalani rutin yang mempersiapkannya menjadi seorang pemidato dan pendakwah yang baik. Beliau dapat menutur bahasa Melayu dan Arab yang memukau pendengar serta berkebolehan membacakan Kitab Kuning kepada masyarakat. Di sekolah tinggi Islam, Habiburrahman telah bergabung dengan para pelajar terpandai di seluruh Jawa. Hal ini telah meningkatkan usahanya untuk bersaing dan menunjukkan kemandiriannya menguasai aktiviti dalam dan luar kelas seperti pengangkap dan penulisan kreatif. Di sekolah ini juga, Habiburrahman dilatih menjadi seorang pemimpin dan penulis ekoran kedudukan sekolahnya yang terletak berhampiran Kota Solo dan Yogjakarta, dua kota yang dikenali sebagai kota politik, sastera dan budaya. Habiburrahman juga sering menghabiskan masanya di dua kota tersebut untuk mencari bahan bacaan dan menonton aktiviti kesenian. Kemuncaknya, beliau telah didedahkan dengan tradisi ilmu Islam yang sebenar ketika menjadi mahasiswa Universiti al-Azhar, Cairo. Di sana, beliau telah bertemu tokoh-tokoh dunia Islam seperti Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Prof Dr Abdush Syabur Syahin dan Imam Jibril. Beliau turut didedahkan dengan khazanah kitab-kitab agama dalam bahasa Arab dan berpeluang mendalami bacaan al-Quran dan hadis dengan ulama muktabar. Semua perkara tersebut mempengaruhi kehidupan dan pemikiran Habiburrahman yang terserlah dalam karyanya di kemudian hari. Tradisi pendidikan Islam yang kuat menjadi kekuatan karyanya sehingga melayakkannya menjadi penulis-pendakwah di Nusantara khususnya di Indonesia.

Novel-novel Habiburrahman mengungkapkan persoalan dakwah yang bersifat lokal dan antarabangsa sama ada watak, latar dan pemikiran Islam yang merentasi sempadan geografi. Berikut adalah jadual ringkas yang menerangkan gambaran novel-novel Habiburrahman El-Shirazy.

NovelIsu UtamaWatak TempatanWatak AntarabangsaLatar Penerbitan Filem dan Drama Bersiri

Pudarnya Pesona Cleopatra1.Kekeluargaan

2.Perkahwinan antara budayaAdaAda1.Indonesia

2. MesirTiada

Ayat-Ayat Cinta1.Cinta antara agama

2.Poligami

3.PendidikanAdaAda1.Indonesia

2.MesirFilem

Ketika Cinta Bertasbih 11.Kekeluargaan

2. Pendidikan

3. Cinta AdaAda1.Indonesia

2.Mesir1.Filem 2.Drama Bersiri

Ketika Cinta Bertasbih 21.Pendidikan pesantren

2. Kekeluargaan

3. Persahabatan

4. CintaAdaTiada1.Indonesia1. Filem

2.Drama Bersiri

Dalam Mihrab Cinta1.Kembara

2. Pendidikan

3.Cinta

AdaAda1.Indonesia

2. Malaysia1. Filem

Bumi Cinta1.Kembara

2. Pendidikan

3.Cinta antara agama

4. dakwah atheis

AdaAda1.Rusia

2. IndonesiaTiada

Cinta Suci Zahrana

1.Kembara

2. Pendidikan

3. Kekeluargaan

4.CintaAdaAda1.China

2.Indonesia1. Filem