sabtu, 19 September 2015PEMIKIRAN IMAM AL-GHAZALI TERHADAP KLASIFIKASI ILMU DALAMISLAM
PEMIKIRAN IMAM AL-GHAZALI TERHADAP KLASIFIKASI ILMU DALAM ISLAM
Muhd Shaharuddin Bin Mat Salleh & Mohd Romie Bin NgahSiswazah Program Master Pendidikan (Pendidikan Islam) MARA-UKM
___________________________________________________________________________
PENGENALAN
Al-Ghazali adalah tokoh ahli fikir Islam yang terkenal bukan
sahaja di kalangan umat Islam bahkan juga bagi umat Islam.
Kehebatan al-Ghazali telah memberi kesan mendalam ke jiwa umat
Islam dari segi pemikiran, budi pekerti dan pendidikan.
Keilmuanya sangat meluas dalam pelbagai bidang ilmu, terutama
dalam bidang falsafah, akidah, fiqh, ilmu kalam, tasawuf,
pendidikan, politik, dan lain-ain serta dengan pelbagai
penulisan ilmiah.
Pengaruh pemikiran al-Ghazali dalam dunia Islam amat mendalam
dan luas sekali. Hasil karyanya dibaca dan dikaji di Timur dan di
Barat serta di kalangan bangsa Arab atau bukan Arab. Bahkan
pengkaji-pengkaji bukan Islam turut meneliti hasil karyanya dan
diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.
Al-Ghazali menjelaskan secara terperinci mengenai klasifikasi dan
sumber ilmu serta hubungan dengan tuntutan sosial dalam kitab
Ihya Ulumuddin.Beliau mengklasifikasikan ilmu dalam beberapa
kelompok yang masing-masing memiliki kriteria yang berbeda antara
satu sama lain.
Klasifikasi ilmu membincangkan tentang pembahagian ilmu oleh al-Ghazali
iaitu ilmu berdasarkan kelompok masyarakat, ilmu praktis, sumber ilmu dan
fungsi sosial.Bidang tersebut dipecahkan pula kepada tajuk-tajuk yang
dibincangkan seperti Muamalah dan mukasyafah.
BIODATA IMAM AL-GHAZALI
Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali
al-Tusi al-Shafei (Osman 1997). Nama asalnya Muhammad sahaja.
Beliau dikenali sebagai Abu Hamid kerana mempunyai anak lelaki
bernama Hamid yang meninggal ketika masih bayi. Beliau juga lebih
dikenali sebagai al-Ghazali kerana berasal daripada nama daerah
tempat lahir iaitu Gazalah.oleh itu sebutannya al-Ghazali (satu
‘z’). Dikenali al-Ghazali juga kerana pekerjaan harian bapanya
sebagai seorang penenun dan penjual kain tenun. Pekerjaan ini
dinamakan Gazzal dan sebutannya al-Ghazzali dengan dua ‘z’
sebagai satu sebutan penduduk Khurasan kepadanya. Walau
bagaimanapun pemakaian perkataan al-Ghazali dieja dengan satu ‘z’
bersempena nama kampung dia dilahirkan.
Beliau dilahirkan di Tus, Parsi pada tahun 450 Hijrah/1058
masehi, tepat tiga ratus tahun sesudah Imam Syafei lahir iaitu
pada 150 Hijrah/730 Masehi. Bapa Imam al-Ghazali seorang miskin
yang saleh, bekerja sebagai pemintal bulu kambing yang disebut
al-Ghazal (al-Ghazali 1979). Bapanya meninggal ketika Ghazali
masih kecil. Sebelum meninggal bapanya menyerahkan beliau dan
adiknya Ahmad kepada seorang sahabat karib, seorang ahli sufi
agar menjaga dan mendidik mereka berdua dengan memberi sedikit
harta untuk perbelanjaan pendidikan mereka.Inilah pendidikan awal
dari seorang sufi, dengan mempelajari al-Quran,
hadis,mendengarkan kisah tentang ahli hikmah, dan menghafal
syair-syair cinta mistik.
Beliau meninggal dunia di tempat kelahirannya sendiri pada pagi
Isnin 14 Jamadilakhir 505H/19 Disember 1111 Masehi.Jenazahnya
dikebumikan di makam al-Tabaran, bersebelahan dengan makam
penyair besar yang terkenal, Firdausi. Beliau wafat meninggalkan
tiga orang anak perempuan, manakala anak lelaki bernama Hamid
meninggal dunia ketika kecil. Sejak kecil lagi, beliau telah
menunjukkan keupayaan yang luar biasa dengan menguasai berbagai-
bagai cabang ilmu pengetahuan. Beliau bukan sahaja produktif dari
segi menghasilkan buku dan karya tetapi merupakan seorang ahli
fikir Islam yang terulung.
Kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan begitu mendalam sehingga
mendorongnya menggembara dan merantau dari sebuah tempat ke
tempat yang lain untuk berguru dengan ulama-ulama yang hidup pada
zamannya. Sewaktu berada di Baghdad, Al-Ghazali telah dilantik
sebagai Mahaguru Universiti Baghdad. Walaupun telah bergelar
mahaguru tetapi beliau masih merasakan kekurangan pada ilmu
pengetahuan yang dimiliki. Lantaran itu, beliau meninggalkan
jawatannya dan beralih ke bidang tasawuf dengan merantau ke
Makkah sambil berguru dengan ahli-ahli sufi yang terkenal di
sana.
Selain belajar dan mengkaji,. Al-Ghazali juga banyak menulis.
Dianggarkan beliau telah menulis 300 buah buku mencakupi pelbagai
bidang ilmu pengetahuan seperti mantik, akhlak, tafsir, ulumul
Quran, falsafah, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sebahagian
besar hasil tulisannya telah hangus dibakar oleh tentera Moghul
yang menyerang kota Baghdad. Antara kitab yang musnah termasuk :
40 Jilid Tafsir, Sirrul Alamain (Rahsia Dua Dunia), dan al
Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu Yang Harus Disembunyikan Dari
Orang'orang Yang Bukan Ahlinya,). Cuma 84 buah buku tulisan
beliau sahaja yang berjaya diselamatkan. Antaranya ialah :
1. Al Munqiz Min al Dhalal (Penyelamat Kesesatan)
2. Tahafut al Falsafah (Penghancuran Falsafah)
3. Mizanul Amal (Timbangan Amal)
4. Ihya Ulumuddin (Penghidupan Pengetahuan)
5. Mahkun Nazar (Mengenai Ilmu Logik)
6. Miyarul Ilmu
7. Maqsadil Falsafah (Tujuan Falsafah).
Imam al-Ghazali banyak memberikan sumbangannya kepada pemimpin
dan umat Islam. Antara sumbangan dan jasa Imam al-Ghazali
Rahimahullahu Ta’ala adalah ;
1. Sebagai Penasihat Agung Perdana Menteri Nizam al-Mulk
2. Menjadi Pensyarah Kanan di Universiti Nizamiah, Baghdad dan
Cawangan Naisabur
3. Mendokong fahaman al-Asya’irah atau dikenali dengan nama mazhab
Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.
4. Menolak fahaman ahli falsafah yang meresap dalam Ilmu Kalam.
5. Pelopor kepada golongan sufi.
6. Menghasilkan banyak kitab/karya dalam pelbagai bidang ilmu
termasuk dalam bidang falsafah, mantiq, tasawuf, akhlak,
kenegaraan dan siasah/politik. (Fauziah Hj. Muhammad Ramli dan
Aminah Idris 2003)
ALIRAN PEMIKIRAN IMAM AL-GHAZALI
Islam diresapi budaya dan pemikiran Parsi, Yunani, Rom, India
dan lain-lain semasa perkembangan pada zaman Abbasiyah. Ini
kerana berlaku penterjemahan buku-buku asing ke bahasa arab yang
menyebabkan pemikiran pada waktu itu bercampur dengan nilai-
nilai kemasyarakatan, politik dan ekonomi serta pemikiran lain di
kalangan masyarakat Islam. Perkembangan ini menjadi salah satu
asas kepada lahirnya banyak aliran pemikiran di kalangan
masyarakat Islam. Semua ini mewujudkan perpecahan dan perseteruan
antara satu sama lain. Antara kumpulan tersebut ialah ahli ilmu
kalam, penganut Batiniah, ahli falsafah dan ahli tasawuf.
Al-Ghazali mendapati setelah mengkaji secara mendalam, apa yang
diberikan oleh ilmu kalam itu lebih banyak mudharat daripada
manfaat. Penemuan kekeliruan dan kesesatan lebih banyak daripada
penemuan pengetahuan.Ilmu kalam tidak berjaya mencapai makrifat
yang hakiki, sebaliknya menjadi penghalang kepada jalan tersebut.
Walaupun al-Ghazali mengakui ilmu logik, tetapi beliau
mempertikaikan ilmu ketuhanan ahli falsafah keranan ia membuat
kesimpulan, keputusan dan rumusan mengikut sangkaan dan andaian
sahaja.Beliau menolak ajaran falsafah yang merosakkan akidah.
Beliau cuba mengkaji dengan mendalam dan mencari hakikat ajaran
aliran sufi.Beliau menyedari bahawa ahli sufi tidak hanya setakat
mempelajari teori sahaja, malahan mereka memerlukan penghayatan
praktis tentang teori tersebut.Penghayatan dalam bidang berkenaan
membantu perkembangan mental yang amat berkesan.
DEFINISI ILMU
Dari segi etimologi :
Ilmu merupakan perkataan arab iaitu ‘alima yang bererti
mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu
dengan sebenarnya. Menurut Kamus Dewan Terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka (2010), ilmu didefinisikan sebagai : pengetahuan dalam
perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain.Ilmu dari segi
terminologi :
Memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang
sesuatu yang datang dari ALLAH swt yang diturunkan kepada rasul-
rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek
lahiriah dan batin.
Secara umumnya, ilmu didefinasikan sebagai pengetahuan dan
kepandaian mengenai sesuatu bidang yang disusun secara bersistem
menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk
menerangkan yang berkait dengan bidang ilmu tersebut.
Perbezaan pengertian Ilmu antara
Islam dan Barat
Dalam pengertian barat moden,
ilmu hanyalah merujuk kepada
pengenalan atau persepsi yang
jelas tentang fakta. Fakta
pula merujuk kepada perkara-
perkara yang boleh dilihat dan
dirasai oleh pancaindera zahir
Islam mengabungkan agama dan
ilmu. Tiada penentangan antara
agama dan ilmu dalam islam
malah agama itu sendiri
dianggap sebagai ilmu dan ilmu
adalah agama. Istilah ilmu
merangkumi pelbagai perkara
dan bersifat empiris.
Kewujudan perkara lain diluar
keupayaan pancaindera tersebut
dianggap bukan fakta dan tidak
termasuk dalam bidang ilmu.
Mengikut pandangan mereka
secara auti matrik ajaran agma
terkeluar daripada takrif atau
ruang ilmu dan dianggap
sebagai kepercayaan semata-
mata.
antarnya Al-quran, Syariah,
Sunnah Iman dan lain-lain.Ilmu
merupakan teras dalam sistem
pendidikan islam. Penekanan
terhadap ilmu jelas terdapat
dalam Al-Quran dan Sunnah.
Selain itu, mendapat
pengiktirafan Allah sebagai
sumber tertinggi ilmu
pengetahuan manusia wahyu
terawal yang telah diturunkan
kepada nabi Muhammad saw.
KLASIFIKASI ILMU IMAM AL-GHAZALI DALAM ISLAM
Klasifikasi ilmu menurut perspektif Islam amat berbeza jika
dibandingkan dengan klasifikasi ilmu oleh pihak Barat di mana
dalam klasifikasi ilmu Islam, pembahagian ilmu itu disusun
berdasarkan keutamaan dan kepentingan ilmu yang didasari kepada
al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini dilihat berbeza dengan klasifikasi
ilmu Barat di mana ilmu itu dibahagikan berdasarkan hierarki yang
hanya melihat kepada perspektif dunia semata-mata. Berdasarkan
kepada perspektif ini, umat Islam dilihat lebih komprehensif dan
teratur dalam mengklasifikasi ilmu iaitu berjaya menggabungkan
antara ilmu wahyu dan ilmu akli. (Wan Mohd Nor Wan Daud 2005)
Secara umumnya, para sarjana muslim membahagikan ilmu itu kepada
dua bahagian iaitu ilmu abadi (qadim) dan ilmu baru (hadith). Ilmu
yang abadi (qadim) ini adalah bersifat kekal yang disandarkan
kepada dhat Allah S.W.T.. Manakala ilmu yang baru (hadith) terdiri
daripada tiga kategori iaitu yang terbukti dengan sendirinya,
primer dan demonstratif. (Wan Mohd Nor Wan Daud 2005)
Al-Ghazali menjelaskan secara terperinci mengenai klasifikasi dan
sumber ilmu serta hubungan dengan tuntutan sosial dalam kitab
ihya ulum al-din juzuk 1 pada bab kedua dan ketiga. Pembahagian
itu terdiri daripada tiga kriteria, iaitu berdasarkan tingkat
kewajipan terhadap ilmu fardu ain dan fardu kifayah, sumber ilmu
syariah serta bukan syariah dan berdasarkan fungsi sosial ilmu
al-mahmudah dan al-mazmumah. (Zainuddin 1991). Klasifikasi ilmu
yang lebih umum dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu ilmu al-
Muamalah dan ilmu al-Mukasyafah.Ilmu yang kedua iaitu ilmu laduni
ilmu terus dari Allah SWT dan dimasukkan ke dalam hati manusia
yang putih bersih daripada dosa dan maksiat. (Abdul Salam Yussof
2010).
Istilah hati mempunyai dua pengertian.Pengertian pertama, hati
dari aspek fizikal adalah seketul daging yang tergantung dalam
rongga dada sebelah kiri badan manusia.Pengertia kedua menyatakan
bahawa al-Qalb adalah keperluan yang paling asasi bagi manusia
yang dapat memikirkan sesuatu sama ada baik atau buruk dan
mengetahui maklumat atau ilmu. Pengertian pertama roh, dari sudut
psikologi adalah sama dengan al-qalb, walaupun berbeza definisi
dari segi material. Roh unsur halus yang berfungsi sebagai
tonggak kehidupan manusia dan kehilangannya bermaksud
kematian.Dari aspek fizikal unsur halus ini bersumber dalam hati
yang disebarkan oleh darah ke seluruh tubuh manusia. Pengertian
kedua, roh adalah bisikan rabbani yang menjadi hakikat hati. Roh
dan hati mempunyai persamaan dengan erti bisikan. Itulah yang
dimaksudkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud :
“Mereka bertanya kepadamu tentang hakikat roh.Katakanlah roh itu urusan Tuhan
aku” (al-Isra’:85)
Hati diumpamakan seperti cermin dan terhalang daripada melihat
gambar-gambar dalam cermin adalah berpunca daripada salah satu
lima sebab iaitu rosaknya cermin itu adalah kekurangan pada hati
seperti anak kecil dan orang gila. Cermin itu telah kotor dan
berkarat iaitu akibat maksiat dan kotoran dosa yang menghitamkan
hatinya.Kedudukannya menyimpang dari posisi gambar iaitu hatinya
menyimpang daripada Tuhan.Wujud tabir yang menghalang antara
cermin dan gambar, iaitu hijab apabila terdapat sisa syahwat atau
kerosakan akidah yang menutup.Tidak tahu di mana posisi gambar
itu, iaitu tidak tahu ke mana arah dia menuntut ilmu. Sepatutnya
seseorang mesti beriman secara menyeluruh termasuklah beriman
kepada perkara ghaib, bagaimana dia boleh menuntut sesuatu yang
tidak diketahui. (al-Ghazali 2000).
KLASIFIKASI ILMU MENURUT IMAM AL-GHAZALI
1. Klasifikasi ilmu berdasarkan Kelompok Masyarakat
Al-Ghazali telah mengklasifikasikan ilmu yang berdasarkan
kelompok masyarakat kepada empat kumpulan iaitu ilmu kalam,
falsafah, ajaran Ismailiah dan tasawuf. Ia mempunyai status yang
berbeza bagi hierarki ilmu yang terkemudian ini.Sementara ilmu
kalam tidak mempunyai kedudukan yang kukuh dalam klasifikasi ini,
namun penting untuk membela keyakinan dan keimanan.Falsafah
ditempatkan di tempat yang terpisah dari hierarki utama
klasifikasi ini.Sebahagian disiplin ilmu ini diterima dan
sebahagian yang lain ditolak kerana bertentangan dengan ajaran
Islam terutama berkaitan dengan metafizik. Ajaran batiniah tidak
disebut dalam klasifikasi ini kerana semuanya bercanggah dengan
ajaran Islam dan di luar keperluan umat Islam.Tasawuf mendapat
kedudukan yang khusus dan ditempatkan sebagai salah satu daripada
dua cabang utama ilmu.
Tujuan klasifikasi ilmu disusun untuk memelihara keperluan
pendidikan Islam dengan menjelaskan kedudukan disiplin ilmu
masing-masing serta hubungannya dengan disiplin yang lain.Secara
dasarnya beliau membahagikan keseluruhan disiplin ilmu kepada dua
kelompok utama, iaitu ilmu-ilmu praktis dan ilmu-ilmu
spiritual.Kedua-dua cabang ilmu ini mempunyai kaitan yang rapat
dengan cara memperoleh ilmu melalui pancaindera, rasional dan
spiritual murni.Perbahasan utama dan terbanyak dalam kitab Ihya
Ulum al-Din tertumpu pada ilmu praktis di samping cabang yang
kedua.
Al-Ghazali menggariskan klasifikasi ilmu praktis berdasarkan
status hukum untuk mempelajari ilmu itu. Atas dasar pertimbangan
ini, ilmu praktis terdiri daripada dua cabang : pertama ilmu
fardu ain iaitu hukum mempelajari adalah fardu ain dan kedua
ialah ilmu fardu kifayah iaitu hukum mempelajari fardu kifayah.
Dalam situasi tertentu, ilmu fardu kifayah berkemungkinan berada
pada tahap fardu ain, iaitu apabila sebuah masyarakat tidak
mempunyai sejumlah ahli yang mencukupi pada sesuatu bidang ilmu
yang amat diperlukan demi kesejahteraan ahli masyarakat.
Ilmu tasawuf
Dalam karyanya, al-Ghazali menegaskan kepentingan tasawuf. Beliau
memasukkan tentang sifat-sifat hati sebagai ilmu yang wajib
dipelajari. Oleh itu ilmu fardu ain termasuk ilmu tauhid yakni
tentang keesaan Tuhan,’ilm al-sirr’iaitu imu tentang rahsia dan
sifat hati dan ilmu syariat iaitu berkaitan tentang kewajipan dan
larangan Tuhan. Al-Ghazali menasihati muridnya melalui pertanyaan
Allah semasa di alam kubur, “wahai hambaku! Kenapa engkau
sepanjang tahun memperhatikan kebersihan tempat pandangan manusia
kepadamu yakni anggota zahir kamu tetapi engkau tidak peduli
kepada tempat pandanganku yakni hatimu walaupun sesaat. Dan
setiap hari Allah SWT memandang ke dalam hatimu lalu berfiran
kenapa kamu hanya memberikan perhatian kepada selain daripada
aku, sedangkan kau dikelilingi dengan ihsan Aku.Apakah engkau
sebenarnya tuli dan tidak mendengar lagi” (al-Ghazali 1997).
Al-Ghazali menasihati muridnya dengan menyatakan : “Apabila kamu
belajar sesuatu ilmu atau mengulangkaji, hendaklah ilmu yang
dipelajar itu boleh memperbaiki hatimu dan membersihkan
jiwamu.Andai kata jika kamu mengetahui bahawa umur kamu hanya
tinggal satu minggu sahaja lagi, sudah pasti kamu tidak akan
sibuk dengan ilmu feqah iaitu ilmu khilaf dalam mazhab dan teori
akhlak, ilmu usul, ilmu kalam dan seumpama.Ini adalah kerana kamu
tahu bahawa segala ilmu yang kamu sebut tadi tidak memberi faedah
kepadamu.
KLASIFIKASI ILMU BERDASARKAN ILMU MUAMALAT
Ilmu Muamalat ialah ilmu yang dituntut mengamalkannya setelah
diketahui.Al-Ghazali membahagikan al’ilm al-muamalat kepada dua
kumpulan, iaitu ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Dalam keadaan
tertentu, ilmu fardu kifayah menjadi fardu ain apabila belum
cukup orang dalam sebuah masyarakat menguasai ilmu
tersebut.Setiap orang mesti memiliki ilmu fardu ain sebelum
mendapatkan ilmu fardu kifayah. Selepas itu, mereka perlu
memastikan keutamaan pembelajaran berdasarkan keperluan
masyarakat.
Ilmu fardu ain pada dasarnya merujuk kepada ilmu asas yang wajib
dipelajari oleh semua orang. Hal ini bertepatan dengan tugas dan
peranan sebagai hamba dan khalifah Allah sama ada individu dan
sebagai ahli masyarakat (Mohd Idris 1990). Hukum mempelajari
sesuatu ilmu menjadi fardu ain yakni tanggungjawab yang wajib
dipikul oleh setiap individu, sementara ilmunya berkaitan syariat
dan segala cabangnya dimulai dengan al-Quran dan ibadat dasar
seperti syahadah, solat, puasa, zakat dan lain-lain, kerana ia
adalah ilmu untuk mengetahui cara mengamalkan perkara yang
wajib.Ilmu fardu ain terdiri daripada tiga bidang asas :
1. Iman berkaitan kepercayaan.Ia wajib dipelajari oleh setiap
orang Islam.Apabila seseorang akil baligh, dia mesti mempelajari
maksud mengucap dua kalimah syahadah, iaitu mengaku tidak ada
Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah SWT. Al-
Ghazali berpendapat bahawa sudah mencukupi mempelajari dan
menerima secara taklid sahaja.
2. Melaksanakan perintah-perintah agama iaitu berkaitan kehidupan
harian.Contohnya, apabila waktu solat, dia wajib mempelajari
bagaimana melaksanakannya dengan sempurna seperti berwuduk.
Seseorang tidak wajib mempelajari kecuali diperlukan pada waktu
terdekat. Oleh itu tidak perlu mempelajari tentang puasa sehingga
bulan Ramadhan tiba.Perkara ini sama juga mempelajari tentang
zakat oleh orang kaya.
3. Menghindarkan larangan Allah. Oleh itu mempelajari ilmu
tentang larangan agama adalah wajib iaitu memadai dengan
mengetahui perkara-perkara dilarang yang wujud pada masa kini.
Seseorang wajib memiliki maklumat tentang ilmu larangan tersebut
supaya dapat memberi amaran kepada masyarakat dengan penuh
kesedaran.
Al-Ghazali berpandangan semua orang tidak wajib menghabiskan
masa dalam jurusan ilmu fikah yang begitu rumit. Pengajian
berkaitan syariat perlulah dikaji secara lebih sederhana untuk
diamalkan dalam kehidupan setiap Muslim. Ini sejajar dengan
pendapat Ibnu Sahnun, berpendapat bahawa hanya al-Quran dan
ibadah-ibadah pokok Islam sahaja yang wajib dipelajari, manakala
ilmu selebihnya dianggap sebagai pelengkap dan setiap Muslim
boleh memilih untuk mempelajarinya atau tidak.
Istilah ilmu fardu kifayah merujuk kepada perintah Tuhan dan
bersifat mengikat masyarakat Muslim sebagai kesatuan untuk
mempelajarinya yakni bukan diwajibkan kepada setiap anggota
masyarakat mempelajarinya.Imam Syafei adalah orang yang pertama
memperkenalkan istilah tersebut dan mendefinisikannya sebagai
kewajipan, tetapi jika sudah dijalankan oleh sejumlah orang
Islam, maka kaum Muslimin yang lain tidak berdosa jika tidak
menjalankan kewajipan tersebut. Contoh, ilmu perubatan untuk
memelihara kesihatan tubuh manusia, ilmu matematik untuk
keperluan jual beli, pembahagian harta dan pusaka serta lain-
lain. Begitu juga sebahagian ilmu perindustrian atau perusahaan
dianggap ilmu fardu kifayah contohnya ilmu perusahaan, pertanian,
penenunan, pembekaman dan jahit menjahit.
Al-Ghazali berpandangan bahawa untuk menjadi pakar dalam sesuatu
bidang ilmu itu bukan sahaja menjadi fardu atau kewajipan tetapi
adalah perbuatan yang digalakkan atau suatu perbuatan utama
terpuji. Mendalami ilmu Matematik yang rumit dan ilmu perubatan
yang sukar dan lain-lain tidak benar-benar diperlukan.Tetapi imu-
ilmu tersebut memberikan potensi yang lebih daripada sekadar yang
diperlukan. Walaupun al-Ghazali menyeru kepada tasawuf, zuhud dan
tawakal tetapi beliau tidak menyeru untuk mengabaikan dunia
seperti bertani, industri, perubatan dan lain-lain. Bahkan
menganggap hal tersebut sebagai fardu kifayah ke atas seluruh
umat Islam. Apabila tidak cukup jumlah untuk memenuhi keperluan
di bidang-bidang tersebut, seluruh umat Islam dianggap berdosa.
Ilmu Fardu kifayah terbahagi kepada dua jenis iaitu ilmu syariat
dan bukan syariat. Apa yang dimaksudkan imu syariat oleh al-
Ghazali ialah ilmu yang diperoleh dari para nabi.
ILMU MUKASYAFAH
Al-Ghazali menyatakan bahawa ilmu mukasyafah adalah ilmu yang
dituntut mengetahuinya sahaja. Sementara ilmu muamalat wajib
mengamalkan setelah mengetahui dan ilmu muamalat adalah jalan
menuju kepada ilmu mukasyafah.Al-Ghazali menyebut ilmu ini dengan
sebutan lain iaitu imu laduni. Menurut Nasr (1976) mendefinisikan
ilmu manusia ke dalam tiga bentuk yang beroperasi dalam tingkat
kesedaran : Ilmu yang diperoleh adalah berdasarkan bentuk reaksi
ransangan gerak balas. Ia dimiliki oleh binatang dan sebahagian
besar makhluk yang hidup termasuk tumbuh-tumbuhan.Ilmu rasional
berdasarkan hasil pemprosesan otak dan perumusan konsep-konsep.Ia
diberi nama ‘ilm al-aqliyyah dan disampaikan melalui qalb. Qalb pula
boleh disamakan dengan pemikiran yang rasional, diambil daripada
ayat al-Quran yang bermaksud : “Ketahuilah dengan mengingati
Allah, pasti qalb itu menjadi tenang” (Surah al-Ra’ad 13:28).
Ini disimpulkan demikian kerana otak atau minda itu tempat segala
operasi dan emosi yang mempengaruhi roh. Ilmu Intuitif adalah
bentuk ilmu disampaikan melalui roh yang tertinggi yang dapat
dicapai oleh manusia sama ada dalam bentuk wahyu, mimpi dan
tingkah laku naluri seperti pembinaan sarang burung atau sarang
labah-labah dalam bentuk geometri rumit. Ilmu ini diberi nama
zauq atau ilmu hikmat. Terdapat interaksi terus menerus di antara
ketiga-tiga tingkat kesedaran ini untuk menunjukkan kelebihan
tetapi disampaikan melalui qalb atau minda yang rasional dalam
waktu sedar atau melalui roh ketika waktu sedang tidur (Hassan
1991). Oleh sebab itu tidur disebut dalam al-Quran sebagai mati.
Firman Allah yang bermaksud :”Dialah yang mematikan kamu yakni
menidurkan pada waktu malam”(al-An’am 6 :60).
Menurut Zainuddin (1991), sikap manusia kepada Allah dengan cara
sufi ini menuntut agar manusia mengenal Allah sebelum itu.Al-
Ghazali dapat mencapai ilmunya kepada Allah adalah melalui
falsafah sebelum cara sufi. Oleh kerana itu peranan akal dalam
ilmu sufiah atau ilmu laduni masih nampak jelas, bahkan beliau
mensyaratkan peranan akal fikiran dalam mencapai ilmu laduni
iaitu : Mempelajari sebanyak mungkin ilmu yang diharuskan dan
dianjurkan. Memperbanyakkan ibadah (al-riadah) yang benar dan
mendekatkan diri kepada Allah SWT.”Berfikir iaitu jiwa yang telah
belajar dan berlatih dengan ilmu, kemudian berfikir tentang ilmu
tersebut dengan syarat berfikir yang benar maka akan dapat
membuka hal-hal yang ghaib” (Zainuddin 1991). Menurut al-Ghazali,
pada hakikatnya ilmu sufi adalah ilmu yang mendalami amalan akal
fikiran untuk mencapai ilmu yang jernih dan bersih daripada
campuran alam deria, iaitu menghendaki seseorang melepaskan diri
daripada dunia deria dan tenggelam dalam batin manusia. Namun
begitu tidak ramai orang yang dapat mencapai ilmu sufi tersebut.
Al-Ghazali menjelaskan bahawa ilmu yang tidak dipergunakan oleh
pemilik adalah suatu ilmu yang negatif dan tidak bernilai.Ilmu
perlu disusuli dengan panduan bagaimana cara mengamalkannya,
kemudian dilakukan dengan ikhlas dan tekun. Al-Ghazali menyebut
bahawa semua manusia akan binasa kecuali orang yang berilmu.
Semua orang berilmu akan binasa kecuali orang yang
mengamalkannya.Semua orang yang mengamalkan ilmunya juga akan
binasa kecuali orang yang ikhlas dalam beramal.
Sains atau falsafah undang-undang dan sains skolastik
(jurisprudence and dialetical theology).
Sementara itu, klasifikasi ilmu pada pandangan al-Ghazali dilihat
agak kompleks di mana beliau mengkasifikasikan ilmu berdasarkan
kepada kelompok-kelompok kumpulan; klasifikasi berdasarkan kepada
tahap kewajipan, sumber ilmu dan klasifikasi berdasarkan fungsi
sosial. Hal ini banyak dibincangkan oleh al-Ghazali dalam kitab
beliau Ihya’ `Ulum al-Din dan al-Risalah al-Ladunniyah.
Sebagai kesimpulannya walaupun terdapat perbezaan dalam
klasifikasi ilmu yang dibuat oleh para sarjana muslim, ia hanya
berdasarkan kepada suasana dan latar belakang pemikiran mereka
masing-masing. Namun begitu, semua ilmu adalah dari Allah S.W.T.
sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Attas bahawa beberapa
klasifikasi ilmu yang dibuat oleh ahli falsafah, para hukama’ dan
ahli sufi sebenarnya adalah didasarkan kepada pendidikan
seseorang muslim yang akhirnya mempunyai kesatuan ilmu juga iaitu
ilmu dari Allah S.W.T..26
KLASIFIKASI ILMU BERDASARKAN SUMBER ILMU
Imam al-Ghazali mengargumentasikan pendapatnya, iaitu ilmu-ilmu
syari’ah dan aqliyyah saling lengkap-melengkapi dan tidak pernah
berlaku kontradiksi antara ilmu-ilmu tersebut. Oleh kerana
keterbatasan fungsi akal untuk mengetahui sesuatu, maka wahyu
akan dijadikan sandaran oleh akal bagi membimbing dan ia amat
ditekankan oleh Imam al-Ghazali. Keseluruhan ilmu fardu kifayah
terbahagi kepada dua kategori, iaitu ilmu syari’ah dan ilmu bukan
syari’ah (ghairu syari’ah).
Kelompok pertama meluputi segala ilmu yang membahaskan hal-hal
keagamaan secara langsung dan secara umum diperoleh dan
dikembangkan berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Sebaliknya, ilmu-ilmu selain daripada itu dianggap sebagai
kelompok kedua, iaitu ilmu bukan syari’ah. Imam al-Ghazali
mendefinisikan ilmu syari’ah ialah ilmu yang diperoleh daripada
para nabi dan tidak hadir kepada mereka melalui akal seperti ilmu
matematik, melalui eksperimen seperti ilmu perubatan atau melalui
pendengaran seperti ilmu linguistik.
Menurut Imam al-Ghazali juga, keseluruhan ilmu syari’at adalah
terpuji. Ilmu ini dikelas berdasarkan tahap kepentingannya
daripada memahami dan mengamalkan ajaran tersebut. Beliau telah
mengkategorikan ilmu syari’ah kepada empat bahagian, iaitu :
1. Ilmu Dasar atau Teras, dibahagikan kepada empat bahagian iaitu
al-Quran, Sunnah Rasulullah s.a.w., Ijmak ulama serta petunjuk
(irsyad) dan nasihat para sahabat Rasulullah s.a.w. Teras ilmu
ini ialah tentang al-Quran, Sunnah Rasulullah s.a.w., pendapat
sahabat dan Ijmak para ulama. Menurut Imam al-Ghazali, pendapat
orang yang hidup semasa zaman Rasulullah s.a.w. yakni para
sahabat adalah sangat penting disebabkan mereka hidup ketika
wahyu masih lagi diturunkan dan mereka memiliki alasan-alasan
kuat yang ttidak dimiliki oleh orang lain. Kesemua mereka menurut
Imam al-Ghazali adalah merupakan sumber utama ajaran Islam dan
tanpanya kebenaran dalam memahami asas dan tuntutan ajaran Islam
tidak akan tercapai.
2. Ilmu Pecahan Ilmu Dasar. Bidang ilmu ini adalah untuk pemahaman
dan penafsiran ijtihad terhadap ilmu dasar atau ilmu teras.
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali telah mengklasifikasikan ilmu
pecahan ilmu dasar kepada dua bahagian, iaitu ilmu yang berkaitan
dengan keduniaan seperti ilmu fikah dan ilmu yang berkaitan
dengan akhirat seperti ilmu yang berkaitan dengan hati (qalb) dan
akhlak. Ini adalah yang dimaksudkan oleh beliau sebagai ilmu
berkaitan urusan akhirat dan diredai oleh Allah s.w.t. kepada
manusia.
Dengan kedudukan seperti ini, Imam al-Ghazali tidaklah bermaksud
menyatakan bahawa ilmu fiqah terputus atau terpisah dengan agama
tetapi korelasinya tidak secara langsung. Ternyata Imam al-
Ghazali berani mengambil risiko dengan membetulkan tanggapan
bahawa ilmu fiqah adalah disiplin ilmu yang bertunjangkan
perbahasan berkaitan keduniaan. Sedangkan pada zaman itu, fiqh
merupakan disiplin ilmu yang sangat popular dan terhormat dalam
kancah akademik Muslim.
Beliau sendiri menyedari hal itu sehingga beliau terus
menyediakan pelbagai hujah yang kuat sebagai jawapan kepada para
fuqaha yang mengkritiknya. Di samping menegaskan bahawa terdapat
hubungan ilmu fiqah dengan syari’at, beliau juga mengutarakan
kewujudan perubahan definisi perkataan fiqh sendiri yang mana
ianya lebih menekankan kepada hal-hal luaran. Menurut beliau,
perkataan fiqh sebenarnya merujuk kepada ilmu tentang jalan
menuju ke akhirat dan tentang rahsia hati. Sedangkan para fuqaha
sibuk dengan berhujah terhadap persoalan-persoalan yang kurang
penting dan tidak realistik.
3. Ilmu Muqaddimat, yakni adalah ilmu yang sangat diperlukan untuk
mempelajari ilmu-ilmu teras iaitu al-Quran, Sunnah Rasulullah
s.a.w., pendapat sahabat dan ijmak para ulama. Imam al-Ghazali
menetapkan bahawa ilmu nahu dan ilmu bahasa pada hakikatnya tidak
termasuk ke dalam ilmu syari’at tetapi mesti dipelajari oleh
setiap orang Islam kerana bahasa agama Islam adalah bahasa Arab.
4. Ilmu Mutammimah, iaitu ilmu-ilmu yang berkaitan dengan al-
Quran. Contohnya ilm makharijul huruf wal al-faz yakni tempat keluar
huruf dan sebutan, ilmu qiraat, ilmu tafsir yang berkaitan dengan
maksud al-Quran, ilmu nasakh wal mansukh, lafaz umum dan khusus,
serta lafaz nas dan zahir dan cara mengamalkan sebahagian
daripada lafaz-lafaz tersebut. Begitu juga ilmu yang mengkaji
tentang riwayat para sahabat dan sejarah hidup mereka.
Imam al-Ghazali mendefinisikan ilmu aqliyyah iaitu ilmu yang
dicapai atau diperoleh melalui daya intelek manusia semata-mata.
Beliau telah membahagi ilmu aqliyyah berdasarkan kepercayaan
agama kepada tiga kumpulan yang berbeza, iaitu ilmu terpuji, ilmu
tercela dan ilmu yang diharuskan. Tetapi beliau hanya
membincangkan dua kumpulan ilmu sahaja iaitu ilmu terpuji dan
ilmu terkeji.
Menurut Osman Bakar (1997), dalam perbahasan kitab Ihya Ulum al-Din
tidak ada satu pun ilmu aqliyyah disebut sebagai ilmu fardu ain
oleh Imam al-Ghazali. Berkaitan ilmu aqliyyah yang menjadi fardu
kifayah hanyalah ilmu matematik dan ilmu perubatan yang disebut
secara jelas dan terang. Namun begitu, terdapat kemungkinan juga
beliau memasukkan ilmu logik sebagai satu disiplin ilmu aqliyyah
yang menjadi fardu kifayah. Ini dapat disimpulkan daripada
penegasan bahawa logik adalah alat yang sangat diperlukan bagi
ilmu kalam, sedangkan ilmu kalam adalah fardu kifayah. Imam al-
Ghazali juga mengembangkan sikap positif terhadap pengkhususan
disiplin ilmu aqliyyah. Menurutnya, walaupun tidak diperlukan
mendalami secara halus seperti ilmu matematik dan perubatan,
namun ia boleh memperkuat pelaksanaan apa saja yang dianggap
berfaedah tetapi bukanlah bersifat wajib.
KLASIFIKASI ILMU BERDASARKAN FUNGSI SOSIAL
Berikut adalah argumentasi yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali
berkenaan dengan klasifikasi ilmu berdasarkan fungsi sosial :
1. Ilmu Terpuji, iaitu ilmu yang sepenuhnya dianggap terpuji secara
mutlak yakni semua ilmu syari’ah dan berkaitan dengan ibadah
kepada Allah s.w.t. Ilmu ini dapat menyucikan jiwa, melepaskan
diri daripada perbuatan yang tercela, mendorong memahami kebaikan
serta mengerjakannya, mengajar manusia berusaha untuk mendekatkan
diri mereka kepada Allah s.w.t. serta mencari keredaan-Nya.
Akhirnya membuat persiapan di dunia ini untuk kehidupan yang
kekal abadi di akhirat.
Sebahagian ilmu bukan syari’ah sangat diperlukan oleh masyarakat
dalam kehidupan serta pergaulan harian mereka. Sesebuah
masyarakat tidak mungkin teratur tanpa adanya individu yang
mendalami secara khusus ilmu tersebut dan mereka berbakti kepada
anggota masyarakat. Ilmu-ilmu tersebut adalah ilmu fardu kifayah
seperti ilmu perubatan, matematik dan ilmu perusahaan. Berkaitan
dengan ilmu perusahaan, menurut beliau urusan dunia tidak stabil
tanpa adanya amal perbuatan manusia. Bidang pekerjaan manusia
berkisar kepada tiga kelompok utama iaitu :
a) Bidang pekerjaan yang asas. Kehidupan di dunia tidak akan
tertegak tanpa adanya kelompok ini. Kelompok ini terdiri
daripada empat sektor iaitu :
Pertanian untuk mempersiapkan makanan
Penenunan untuk menyediakan pakaian
Pembangunan perumahan untuk kediaman
Sains politik iaitu cara pemerintahan, menyusun dan mentadbir
negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
b) Bidang prapekerjaan asas. Contohnya pertukangan besi untuk
keperluan sektor agrikultur seperti terhasilnya alat jentera
pembajak dan alat pengasingan kapas daripada bijinya yang mana
alat itu melengkapi penenunan kain.
c) Bidang pelengkap bagi pekerjaan asasi. Contohnya memproses
tepung untuk menjadi roti dalam usaha melengkapi usaha di bidang
pertanian serta kerja memotong dan menjahit kain dalam usaha
untuk menyempurnakan sektor agrikultur.
2. Ilmu terpuji pada kadar tertentu sahaja. Yakni ilmu sekiranya
manusia mempelajari dan mendalaminya, pasti akan menyebabkan
berlaku kekacauan dan keraguan fikiran. Bahkan kadang-kadang
mendorong penuntut ilmu tersebut menjadi kufur dan ingkar kepada
Allah s.w.t. Contohnya, ilmu metafizik daripada cabang ilmu
falsafah.
3. Ilmu tercela. Definisi ilmu yang tercela ialah ilmu yang
merugikan pemiliknya atau anggota masyarakat sama ada dari sudut
kehidupan dunia seperti ilmu sihir, tulisan-tulisan azimat dan
mantera-mantera serta sebahagian cabang ilmu falsafah. Namun
begitu, Imam al-Ghazali menyatakan dengan tegas bahawa ilmu itu
bukan tercela secara asas semula jadi. Ia tercela disebabkan satu
satu faktor berikut :
a) Ilmu yang mendatangkan mudarat atau kerosakan pada pemiliknya
dan juga orang lain. Sebagai contoh ilmu sihir, mantera-mantera
dan tulisan-tulisan azimat yang secara lazimnya digunakan supaya
mendatangkan bencana atau kecelakaan kepada seseorang. Kebanyakan
sihir menyebabkan retaknya persahabatan manusia yang saling
mencintai dan berkasih sayang, menyebarkan kedengkian dan
perpecahan dalam hati mereka. Pendek kata ilmu sihir sebagai
medium atau alat untuk melakukan kejahatan dan bukannya sebagai
alat untuk melakukan kebaikan.
b) Ilmu yang mendatangkan bahaya yang lebih besar seperti ilmu
nujum dan ilmu astrologi. Menurut Imam al-Ghazali, ilmu ini
terbahagi kepada dua jenis iaitu ilmu falak dan ilmu untuk
membuka rahsia sesuatu dengan petunjuk bintang. Ilmu falak adalah
ilmu yang tidak tercela sedangkan ilmu membuka rahsia sesuatu
dengan petunjuk bintang adalah tercela di sisi syarak. Ini kerana
ia akan menyebabkan timbul keraguan dalam kalangan manusia
terhadap Allah s.w.t. dan akhirnya mengkufuri-Nya.
Contohnya, pengkaji bintang itu mengkhabarkan tentang kejadian-
kejadian di langit atau bintang berdasarkan penglihatan atau
penyelidikan, seterusnya dia memberitahu orang lain tentang
sesuatu peristiwa masa hadapan yang masih jauh akan berlaku.
Akibatnya orang ramai akan mengagumi kemampuan dan meyakini
ramalan-ramalannya yang belum pasti tepat dan benar. Kadang-
kadang dia menggunakan kesempatan ini bagi mendakwa dirinya
menerima wahyu dan mengisytiharkan kepada orang ramai agar tunduk
kepadanya dan mendokong kehendaknya yang tidak baik itu. Lama-
kelamaan akan tersebar luas kekufuran kepada Allah s.w.t.
c) Tidak ada faedah ilmiah untuk mengkaji dan mendalami itu
tersebut. Bahkan jika mendalaminya boleh membawa kepada syirik
dan kekufuran kepada Allah s.w.t. Imam al-Ghazali memberikan
contoh, misalnya mempelajari ilmu yang rumit sebelum ilmu yang
mudah, mempelajari ilmu yang samar-samar sebelum ilmu yang
jelas. Begitu juga penyelidikan tentang rahsia ketuhanan. Beliau
juga mengemukakan sebahagian ilmu lain seperti ilmu metafizik
dalam cabang ilmu falsafah.
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa sebagaian manusia tidak mampu
mempelajari ilmu seperti ini. Mereka diumpamakan seperti bayi
yang masih menyusu dan akan ditimpa penyakit jika diberi makanan
seperti daging burung dan pelbagai manisan yang sedap dimakan
tetapi tidak mampu dicerna oleh perut. Dalam erti kata lain,
wujudnya perbezaan bakat dan kemampuan di antara individu
tersebut.
4. Ilmu yang diharuskan. Dalam kumpulan ini ialah ilmu-ilmu yang
tidak bermanfaat tetapi tidak pula membahayakan. Antaranya ialah
ilmu-ilmu kebudayaan seperti kesusasteraan dan ilmu puisi yang
tidak mengandungi unsur-unsur tidak berfaedah dan merugikan.
Sebaliknya digalakkan jika ilmu puisi atau ilmu kesusasteraan
boleh mendorong manusia melakukan kebaikan dan berakhlak mulia.
Demikian juga halnya dengan ilmu sejarah. Imam al-Ghazali
menyatakan bahawa antara kepentingan ilmu sejarah ialah akan
merenungkan kita kepada perihal bangsa-bangsa yang lalu dari segi
akhlak, sejarah para nabi serta sejarah raja-raja dalam bidang
kenegaraan dan politik. Natijahnya sehingga kita dapat mengambil
pengajaran (ibrah) dan faedah daripada semua peristiwa itu, sama
ada dalam bidang agama mahupun duniawi.
ILMU FALSAFAH
Sebagai tambahan kepada klasifikasi yang pertama, Imam al-Ghazali
juga mengambil asas falsafah sebagai sebahagian disiplin ilmu.
Jika falsafah diletakkan dalam klasifikasi ilmu, kedudukannya
ialah ilmu bukan syari’ah (ghairu syari’ah) tetapi diharuskan
mempelajarinya. Berdasarkan pandangan beliau, falsafah bukan
menekankan satu disiplin ilmu sahaja tetapi mengandungi enam
elemen ilmu di dalamnya, termasuk ilmu matematik aritmetik dan
geometrik iaitu ilmu yang dibina di atas pembuktian yang tidak
ada alasan untuk menentang setelah memahami dan mengerti serta
tidak berkaitan dengan agama.
Bagi Imam al-Ghazali ilmu ini diharuskan mempelajarinya kecuali
apabila dipelajari jelas nampak membawa kepada kemudaratan.
Sebagai contoh, apabila seseorang mempelajari ilmu tersebut
menjadi kagum terhadap hakikatnya dengan dalil pembuktian yang
rumit sehingga mengagumi ilmu falsafah yang terdiri pelbagai
bidang termasuk metafizik yang di dalamnya terdapat perkara yang
menggoncang akidah. Justeru itu, Imam al-Ghazali melarang
sebahagian orang untuk mempelajari ilmu tersebut kerana ditakuti
tergoncang hatinya. Menurut Imam al-Ghazali, orang yang lemah
perlu dihindari daripada mempelajari ilmu metafizik dalam
falsafah. Hakikat ini dapatlah diibaratkan menjaga seorang kanak-
kanak kecil yang duduk di tepi sungai kerana dikhuatiri kanak-
kanak tersebut akan jatuh ke dalam sungai, atau ibarat lain
seperti menghindari mu’allaf yang baru memeluk Islam supaya tidak
bergaul bebas dengan orang-orang bukan Islam (kafir).
Ilmu logik iaitu ilmu yang membincangkan tentang dalil serta
syarat dan kalimah ungkapan yang digunakan termasuk ilmu yang
boleh dipelajari walaupun menimbulkan bahaya seperti dalam ilmu
pasti. Ilmu ini tidak ada pertalian langsung dengan syari’ah sama
ada dalam hal menafikan atau menetapkannya. Ilmu ini adalah ilmu
untuk meneliti cara berdalil, syarat suatu mukadimah, syarat
suatu batasan yang benar dan cara bagaimana menyusun suatu
batasan dan lain-lain. Dalam hal ini, disiplin ilmu tidak ada
yang harud diingkari. Walau bagaimanapun, ilmu logik ini sering
disebut oleh ulama ilmu kalam dan ahli perdebatan untuk membina
hujah (Mohd. Yusof 1998).
Ilmu metafizik iaitu ilmu yang membincangkan tentang zat Allah
s.w.t. Dalam hal ini banyak terjadi kesalahan di kalangan ahli
falsafah dan orang yang ingin mencari kebenaran. Menurut Profesor
Syeikh Dr. Yusof al-Qardawi (1996), mereka tidak mampu untuk
memberikan bukti masalah ketuhanan dengan apa yang ditetapkan
oleh ilmu logik. Atas dasar ini mereka sering berbeza pendapat.
Aliran pemikiran Aristotle hampir dekat dengan pendapat para ahli
falsafah Islam seperti al-Farabi dan Ibnu Sina. Kesalahan utama
ahli falsafah ada dua puluh masalah. Tiga daripada masalah
tersebut wajib dikafirkan penganutnya sedangkan tujuh belas
masalah lain hanya sampai ke peringkat bida’ah yang menyesatkan
(bid’ah dhalalah). Justeru itu, bagi kanak-kanak kecil atau orang
yang lemah pegangan akidah perlu diawasi dalam mempelajari ilmu
metafizik ini kerana dikhuatiri bergelumang dengan kekufuran dan
bid’ah yang dilarang oleh syari’at Islam.
Untuk mengungkap kesalahan pemikiran ahli falsafah berkaitan
masalah tersebut, Imam al-Ghazali telah menyusun kitab Tahafat al-
Falasifah. Berkaitan dengan tiga masalah yang yang berkontradiksi
dengan pegangan di kalangan umat Islam iaitu : mereka mengatakan
bahawa jasad manusia tidak dibangkitkan lagi dan hanya roh yang
mendapat seksaan ataupun pahala. Justeru itu, menurut mereka,
seksaan dan pahala kesemuanya bersifat rohani semata-mata.
Golongan ahli falsafah ini meyakini kewujudan roh, tetapi mereka
mengingkari kewujudan jasad dan syari’at dalam perkara-perkara
yang dibicarakan.
Golongan ahli falsafah ini juga mengatakan bahawa Allah s.w.t.
mengetahui alam ini secara global sahaja dan tidak mengetahui
secara terperinci. Situasi dan kondisi ini menyebabkan mereka
telah menjadi kufur kepada Allah s.w.t. Mereka juga mengutarakan
argumentasi bahawa alam ini adalah qadim dan bersifat azali.
Tidak ada seorang Muslim pun yang berpendapat seperti pendapat
ahli falsafah tersebut. Dalam ilmu fizik, sebahagiannya
membincangkan tentang sifat sesuatu benda dan ciri-cirinya serta
terjadinya sesuatu perubahan. Sebahagian lain ilmu fizik pula
membincangkan tentang hubungan beberapa sebab dan akibat.
Terdapat juga dalam ilmu ini aliran yang mengingkari adanya roh,
jiwa atau ajaran tentang rosaknya roh itu sehingga susun disiplin
ilmu ini berlawanan dengan syarak dan agama yang benar. Lantaran
itu, Imam al-Ghazali menganggap hal ini sebagai satu kebodohan
dan bukan satu disiplin ilmu. Menurut beliau alam ini tunduk
kepada kehendak Allah s.w.t. Tuhan yang mengawasi seluruh alam
ini. Imam al-Ghazali juga berpendapat iaitu apabila disiplin ilmu
dipelajari dengan pendekatan yang betul pasti tidak ada
bahayanya.
Sains politik iaitu ilmu yang disusun untuk kemaslahatan duniawi
dan mendidik jiwa serta moral. Sumber ilmu ini diambil dari
kitab-kitab Allah s.w.t., ketentuan para nabi, wali dan ahli
tasawuf. Namun begitu, para ahli falsafah telah menambah ilmu
tersebut dengan beberapa pendapat mereka sehingga disiplin ilmu
ini mengandungi dua bahaya, iaitu kadang-kadang orang yang
mendengar ilmu ini terus mencampakkannya kerana menganggap
disiplin ilmu ini berasal daripada ahli falsafah. Dengan ini
bermakna dia menyingkirkan kalam Allah s.w.t.
Keduanya, kadang-kadang ia dapat diterima dan diyakini dengan
sebaik-baiknya oleh ahli falsafah dan beranggapan fakta-fakta itu
adalah hikmat para nabi dan wali dalam ilmu tersebut. Oleh kerana
itu, bagi mereka yang mempelajarinya harus menapis serta
mempertimbangkan secara mendalam, mengambil yang benar dan
menghindarkan yang salah. Etika dan semua pendapat mereka dalam
bidang ini merujuk kepada pembatasan sifat jiwa, moral, menyebut
jenisnya dan bagaimana cara mengubati dan menyembuhkannya.
RUMUSAN
Imam al-Ghazali adalah seorang daripada golongan agamawan yang
bersikap terbuka, kreatif dan proaktif dalam menangani isu-isu
komtemporari terutama berkaitan pendidikan dalam sebuah
masyarakat di zamannya. Beliau banyak terlibat dalam bidang
penulisan secara lebih serius. Ketokohan Imam al-Ghazali dalam
bidang pendidikan amat tinggi sekali seperti ketokohan Ibnu
Shahnun, al-Farabi, al-Qabisi, Ikhwanusafa, dan Ibnu Juma’ah.
Keilmuannya sangat luas dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan
khususnya dalam bidang falsafah, usul, fiqh, ilmu kalam, tasawuf,
kemasyarakatan, pendidikan, sains politik dan lain-lain lagi.
Kepakaran beliau dalam pelbagai bidang tersebut melahirkan idea-
idea pendidikan yang menonjol sejak abad kelima Hijrah
sehinggalah masa kini. Imam al-Ghazali menjadi menjadi pembimbing
umat dan seorang imam mujtahid pada zamannya. Namanya terkenal di
seluruh dunia dan keutamaannya tersohor di kalangan umat Islam.
Amat tidak adil mengatakan bahawa Imam al-Ghazali telah memilih
jalan sufi yang pasif dan menjauhkan diri dari permasalahan
kehidupan masyarakat. Buktinya beliau tidak terus menerus
mengundurkan dirinya serta beruzlah melainkan kembali kepada
kehidupan masyarakat sekitarnya setelah berhasil mengubah keadaan
dirinya dan memperbetulkan model pemikiran dan konsep
keagamaannya.
Para cendekiawan Islam sama ada pada zamannya atau zaman
selepasnya amat tertarik dengan daya pemikiran dan falsafah yang
diketengahkan oleh beliau untuk tatapan umat Islam di seluruh
dunia. Sebagai seorang pengkritik kepada ilmu falsafah, beliau
juga tidak terlepas daripada dipertikaikan sebagai seorang ahli
falsafah. Contohnya Ibnu Rusy telah menulis sebuah buku
berjudul Tahafut al-Tahafut sebagai jawapan balas terhadap dakwaan
Imam al-Ghazali yang menentang pemikiran falsafahnya. Walau
bagaimanapun perkara tersebut dianggap sebagai satu kebiasaan
para ilmuan mendatangkan hujah dan dalil terhadap perselisihan
pendapat di kalangan mereka.
Adalah disarankan supaya pihak-pihak yang berkuasa menyemak
semula struktur, hierarki dan penarafan bahasa Arab sebagai
subjek teras seperti bahasa Inggeris kepada semua pelajar Islam
di peringkat rendah. Bagi Imam al-Ghazali ilmu ini pada
hakikatnya ilmu syari’at tetapi mesti dipelajari untuk
mempelajari ilmu-ilmu teras iaitu ilmu al-Quran, al-Sunnah,
pendapat para sahabat dan ijmak ulama. Di samping itu bahasa Arab
merupakan bahasa rasmi agama Islam.
RUJUKAN
Abdul Salam Yussof. 2010. Idea-idea Pendidikan berkesan al-Ghazali dan Konficius.Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.
Al-Ghazali. 2000. Pedoman Orang Mukmin. Terjemahan Osman Jantan.Singapura : Pustaka Nasional.
Al-Ghazali. 1979. Bimbingan Mukmin. Terjemahan Syed Ahmad Samit.Singapura : Pustaka Nasional.
Che Zarrina Sa’ari dan Mohd Kamil Hj. Ab. Majid (2000), “Epistemologi Islam Menurut IbnKhaldun”, Jurnal Usuluddin
Dewan Bahasa & Pustaka. 2010. Kamus Dewan. Edisi Keempat. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa & Pustaka
Fauziah Hj. Muhammad Ramli & Aminah Idris. 2003. Pendidikan Islam. KualaLumpur : Dewan Bahasa & Pustaka
Ibn Khaldun, `Abd al-Rahman. (1996). Muqaddimah Ibn Khaldun, Cetakan 3. Beirut : Dar al-Fikr
Mohd. Idris Jauzi. 1990. Faham Ilmu : Pertumbuhan dan Implikasi .Kuala Lumpur :Nurin Enterprise.
Mohd. Yusof Othman. 1998. Isu-isu Ilmu dan Pemikiran. Kajang : ArasMega.
Osman Bakar. 1997. Islam and Confucianism : A Civilizational Dialogue. Kuala Kumpur :Centre for Civilizational Dialogue, University Malaya.
Osman Bakar (1998), Classification Of Knowledge in Islam, Cambridge, UK: The Islamic TextsSociety.
Wan Mohd Nor Wan Daud (2005), Falsafah Dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib al-Attas: SatuHuraian Konsep Asli Islamisasi, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya,
Yusof al-Qardawi. 1996. Al-Hayatul Rabbaniyyah Wal Ilm. Jordan : Darul
al-Furqon
Zainuddin. 1991. Seluk Beluk Pendidikan dari Al-Ghazali. Jakarta : Penerbit CV. Bumi Aksara.
Top Related