Nota- RAWATAN ISLAM DAN PENGAMALAN KAEDAH RAWATAN YANG MERAGUKAN

12
1 RAWATAN ISLAM DI NUSANTARA: ANALISIS TERHADAP PENGAMALAN KAEDAH RAWATAN YANG MERAGUKAN Khadher Ahmad 1 Sedek Ariffin 2 Thuraya Ahmad 3 Norhasnira binti Ibrahim 4 Abstrak Dalam perkembangan semasa kini, didapati bahawa pertumbuhan pusat rawatan alternatif berteraskan “rawatan Islam” berkembang dengan pesat sekali sejajar dengan perkembangan teknologi kini. Hal ini memperlihatkan kepada permintaan terhadap rawatan berasaskan “tibb al-nabawi” kian mendapat perhatian ramai. Persoalannya, adakah perkhidmatan rawatan yang ditawarkan tersebut benar-benar berasaskan rawatan Nabawi? Melalui kajian di 23 pusat rawatan Islam di Malaysia, terdapat 20 kaedah dan pendekatan rawatan yang dipraktikkan dalam rawatan penyakit. Daripada 20 kaedah tersebut terdapat lapan kaedah dan pendekatan yang tidak mempunyai dalil nas yang jelas membenarkannya. Namun, dua daripadanya mempunyai dalil yang menunkjukan pengharam. Oleh itu, melalui metode deduktif, artikel ini bertujuan untuk menjelaskan dengan lebih terperinci terhadap enam kaedah yang meragukan tersebut dan pada akhirnya menetapkan statusnya dari sudut hukum Islam semasa. Kata Kunci: Rawatan Islam, Rawatan Alternatif, Nusantara, Pusat Rawatan Islam, Analisis. Pengenalan Sambutan terhadap rawatan alternatif di Malaysia kini dilihat semakin menggalakkan sejajar dengan pertumbuhan pusat-pusat rawatan alternatif yang tidak lagi berteraskan klinikal semata- mata seperti hospital dan klinik. Namun, pusat-pusat rawatan alternatif tersebut menggunakan pelbagai pendekatan dalam rawatan yang ditawarkan. Antaranya perubatan berasaskan doa-doa yang disebutkan rawatan Islam, perubatan homeopathy, perubatan aura (rekki), perubatan berasaskan warna (terapi warna), perubatan herba dan lain-lain lagi. Demikian juga perubatan bertunjangkan kepada “rawatan Islam” yang didapati berkembang dengan pesat dengan pertumbuhan pusat-pusat rawatan Islam. Daripada penelitian yang dijalankan, 1 Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran & al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur (Emel: [email protected]) 2 Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran & al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur. (Emel: [email protected]) 3 Pensyarah di Jabatan al-Quran & al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur. (Emel: [email protected]) 4 Pensyarah di Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, N. Sembilan. (Emel: [email protected]).

Transcript of Nota- RAWATAN ISLAM DAN PENGAMALAN KAEDAH RAWATAN YANG MERAGUKAN

1

RAWATAN ISLAM DI NUSANTARA: ANALISIS TERHADAP PENGAMALAN KAEDAH

RAWATAN YANG MERAGUKAN

Khadher Ahmad1

Sedek Ariffin2

Thuraya Ahmad3

Norhasnira binti Ibrahim4

Abstrak

Dalam perkembangan semasa kini, didapati bahawa pertumbuhan pusat rawatan

alternatif berteraskan “rawatan Islam” berkembang dengan pesat sekali sejajar

dengan perkembangan teknologi kini. Hal ini memperlihatkan kepada permintaan

terhadap rawatan berasaskan “tibb al-nabawi” kian mendapat perhatian ramai.

Persoalannya, adakah perkhidmatan rawatan yang ditawarkan tersebut benar-benar

berasaskan rawatan Nabawi? Melalui kajian di 23 pusat rawatan Islam di Malaysia,

terdapat 20 kaedah dan pendekatan rawatan yang dipraktikkan dalam rawatan

penyakit. Daripada 20 kaedah tersebut terdapat lapan kaedah dan pendekatan yang

tidak mempunyai dalil nas yang jelas membenarkannya. Namun, dua daripadanya

mempunyai dalil yang menunkjukan pengharam. Oleh itu, melalui metode deduktif,

artikel ini bertujuan untuk menjelaskan dengan lebih terperinci terhadap enam

kaedah yang meragukan tersebut dan pada akhirnya menetapkan statusnya dari sudut

hukum Islam semasa.

Kata Kunci: Rawatan Islam, Rawatan Alternatif, Nusantara, Pusat Rawatan Islam,

Analisis.

Pengenalan

Sambutan terhadap rawatan alternatif di Malaysia kini dilihat semakin menggalakkan sejajar

dengan pertumbuhan pusat-pusat rawatan alternatif yang tidak lagi berteraskan klinikal semata-

mata seperti hospital dan klinik. Namun, pusat-pusat rawatan alternatif tersebut menggunakan

pelbagai pendekatan dalam rawatan yang ditawarkan. Antaranya perubatan berasaskan doa-doa

yang disebutkan rawatan Islam, perubatan homeopathy, perubatan aura (rekki), perubatan

berasaskan warna (terapi warna), perubatan herba dan lain-lain lagi.

Demikian juga perubatan bertunjangkan kepada “rawatan Islam” yang didapati berkembang dengan

pesat dengan pertumbuhan pusat-pusat rawatan Islam. Daripada penelitian yang dijalankan,

1 Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran & al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur

(Emel: [email protected]) 2 Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran & al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur.

(Emel: [email protected]) 3 Pensyarah di Jabatan al-Quran & al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur. (Emel:

[email protected]) 4 Pensyarah di Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, N. Sembilan.

(Emel: [email protected]).

2

pertumbuhan pusat rawatan Islam berlaku melalui beberapa cara iaitu diasaskan melalui sesuatu

pertubuhan atau persatuan seperti Darussyifa’, Persatuan Perubatan Islam Darussalam dan Pusat

Rawatan Islam al-Manarah (PRIM), atau berteraskan syarikat perniagaan, atau premis tertentu, atau

di kediaman peribadi dan ada yang bergerak secara solo dan berkumpulan tanpa sebarang premis.

Antaranya seperti Perubatan Islam al-Hidayah, Sinar Zamdurrani, Pusat Rawatan Islam Darul

Ruqiyyah, Pusat Rawatan Sinar Nur, Pusat Rawatan Terapi Hikmah (Kedai Bekam dan Resdung),

Kartika Buana: Pusat Rawatan Tradisional Islam Berasaskan al-Quran dan Pusat Rawatan Qalbun

Sakinah yang bergerak dalam sebuah premis khusus. Manakala Akademi Rawatan Islam Nur Ehsan

(AKRINE), Pusat Rawatan Islam Gshahmisteri, Rawatan Islam Darul Manzil (RIDA), Pusat

Rawatan Ikhtiar Darul Syifa’ (PURIDAS), Pusat Rawatan Islam al-Madani (PRIA), Pusat Rawatan

Teknologi al-Quran dan Asma al-Husna, Perubatan Islam 7 Puteri, dan Pusat Rawatan Islam al-

Musataqim adalah antara pusat rawatan Islam yang beroperasi berhampiran dengan kediaman

pengasasnya.

Pertumbuhan ini menunjukkan bahawa sambutan terhadap rawatan berasaskan kepada pedekatan

rawatan Islam semakin mendapat perhatian masyarakat. Dalam isu ini, adakah semua pusat rawatan

yang melebalkan perkhidmatan rawatan yang dijalankan itu sebagai “rawatan Islam” benar-benar

berada di bawah petunjuk al-Quran, hadith, dan sejajar dengan pandangan para ulama atau

sebaliknya?

Skop dan Metodologi

Berdasarkan kepada analisis yang telah dijalankan terdapat 20 kaedah yang dipraktikkan dalam

rawatan penyakit di pusat-pusat rawatan Islam. Daripada 20 kaedah tersebut, sebahagian kaedah

dipraktikkan berdasarkan sumber dalil yang jelas daripada al-Quran, hadith atau pandangan para

ulama. Pada sebahagian kaedah yang lain, didapati bahawa tiada dalil jelas yang mengharuskan

penggunaan kaedah rawatan tersebut sehingga sebahagiannya meragukan dan tidak sewajarnya

dilabelkan sebagai “rawatan Islam.” Jadual 1.0 di bawah menyenaraikan 20 kaedah rawatan dan

sumber pendalilannya berdasarkan sama ada dari al-Quran, hadith atau sunnah, pandangan ulama

atau tiada sebarang sumber yang membenarkan dan tidak pula melarangnya.

Jadual 1.0: Ketepatan Kaedah dan Pendekatan Rawatan di Pusat-Pusat Rawatan Islam di Malaysia Mengikut Sumber

Pendalilannya

Bil. Pendekatan dan Kaedah Rawatan

Sumber Pendalilan

Al-Quran Hadith Pandangan

Ulama

Tiada

Dalil

1. Kaedah Bacaan Ruqyah al-Shar‘iyyah / /

2. Kaedah Jampi dan Mentera /

3. Kaedah “Scanning” (Diagnosis) /

4. Kaedah Tepukan Dan Sapuan /

5. Kaedah Pukulan Dengan Alatan Tertentu /

6. Kaedah Mencari Barang Sihir /

7. Kaedah Membatalkan Sihir dan

Memusnahkan Bahan Sihir /

8. Kaedah Memberi Minum Air Jampi/Ruqyah / /

9. Kaedah Memberi Minum Air Yang Dilarutkan

Dari Tulisan Ayat al-Quran Atau Doa /

10. Kaedah Mandi / /

3

11. Kaedah Batin Atau Kekuatan Jiwa /

12. Kaedah Ilmu Sihir Untuk Merawat Sihir /

13. Kaedah Bekam / /

14. Kaedah Rawatan Jarak Jauh / /

15. Kaedah Membunuh Jin /

16. Kaedah Menarik dan Menyedut Keluar Jin /

17. Kaedah Memerangkap Jin /

18. Kaedah Terapi Solat / /

19. Kaedah Dialog dan Mengislamkan Jin /

20. Kaedah Terapi al-Quran / /

Artikel ini tidak akan menjelaskan secara terperinci setiap daripada kaedah dan pendekatan yang

disenaraikan di atas. Fokus utama perbahasan adalah perbincangan terhadap lapan kaedah yang

tiada sumber dalil. Walaupun demikian, jika kaedah rawatan tersebut jelas diharamkan atau

dilarang berdasarkan sumber nas yang jelas, maka ia turut tidak termasuk dalam perbincangan ini.

Oleh itu, hanya kaedah dan pendekatan yang tidak mempunyai sumber yang jelas sahaja akan

diteliti dan dibahaskan dengan terperinci bagi menentukan status kaedah rawatan tersebut sama ada

dibenarkan ataupun tidak.

Hasil dan Dapatan Kajian

1. Kaedah dan Pendekatan Rawatan Yang Tiada Sumber Dalil

Melalui penelitian yang telah dilakukan, terdapat lapan daripada 20 kaedah yang tidak mempunyai

dalil yang jelas membenarkan penggunaan kaedah rawatan tersebut dalam rawatan penyakit. Lapan

kaedah tersebut adalah Kaedah Jampi dan Mentera; Kaedah “Scanning” (Diagnosis); Kaedah Batin

Atau Kekuatan Jiwa; Kaedah Ilmu Sihir Untuk Merawat Sihir; Kaedah Membunuh Jin; Kaedah

Menarik dan Menyedut Keluar Jin; Kaedah Memerangkap Jin dan Kaedah Dialog dan

Mengislamkan Jin.

Apabila dirujuk kepada dalil yang melarang sesuatu pendekatan atau kaedah rawatan, terdapat dua

kaedah yang jelas dilarang dan diharamkan penggunaannya dalam rawatan penyakit. Dua kaedah

tersebut adalah Kaedah Jampi dan Mentera dan Kaedah Ilmu Sihir Untuk Merawat Sihir.

Bagi Kaedah Jampi dan Mentera, terdapat dalil yang jelas daripada hadith Nabi SAW yang

melarang menggunakan jampi dan mentera khususnya daripada jenis jampi dan mentera yang

memuja dan menyeru makhluk halus, mengandungi kata-kata kufur atau kata-kata yang tidak

difahami maknanya. Daripada ‘Awf bin Malik al-Ashja‘i berkata: Ketika zaman Jahiliah, kami

melakukan jampi. Maka kami bertanyakan Rasulullah (tentang perkara itu): “Wahai Rasulullah,

bagaimanakah hukum, terhadap yang demikian?” Maka sabda Nabi SAW: “Kemukakan kepada ku

jampi kamu itu; tidak mengapa menjampi selagi ia tidak mengandungi syirik (kepada Allah).”

(Muslim, 2000, no.hadith 5732, h.1068)

4

Manakala Kaedah Ilmu Sihir Untuk Merawat Sihir larangnya adalah jelas berdasarkan kepada

hadith Nabi SAW yang melarang pendekatan sedemikian digunakan untuk merawat orang yang

terkena sihir. Kaedah ini dinamakan dalam hadith sebagai “al-Nushrah”. Daripada Jabir RA

berkata: “Rasulullah SAW telah ditanya tentang al-Nushrah. Maka sabda Nabi SAW: “(al-

Nushrah) adalah amalan syaitan.” (Abu Dawud, 2000, h.1507; al-Fifi, t.t, h.152)

Walaupun terdapat perbezaan pandangan para ulama berhubung dengan al-Nushrah ini, namun apa

yang dimaksudkan dalam hadith adalah merujuk kepada penggunaan ilmu sihir untuk merawat sihir

yang dikenakan ke atas seseorang. Al-Hasan al-Basri mengatakan bahawa al-Nushrah adalah

daripada (jenis) sihir (Ibn Athir, 1979, j.5, h.128) dan tidak dihalalkan (dibatalkan) sihir melainkan

melalui tukang sihir. Musa al-Fifi yang memetik pendapat Ibn Baz mengatakan bahawa yang

dimaksudkan dengan menghalalkan (membatalkan) sihir melalui tukang sihir adalah dengan

menggunakan al-Nushrah al-Shaytaniyyah yang menjadi amalan tukang sihir. Perkara ini tidak

diharuskan bahkan ia merupakan amalan syaitan seperti mana disebutkan oleh Nabi SAW dalam

hadith riwayat Abu Dawud tersebut. (Khadher, 2012, h.159)

2. Kaedah Rawatan Islam Yang Meragukan

Daripada lapan kaedah yang disebutkan sebelum ini, dua daripadanya terdapat dalil yang jelas

melarang penggunaannya dalam rawatan penyakit. Oleh itu, hanya enam kaedah dan pendekatan

sahaja yang memerlukan penelitian dan penjelasan lanjut berhubung dengan status pengamalannya.

Kaedah rawatan tersebut adalah:

Pertama: Kaedah “Scanning” (Diagnosis)

Kaedah ini bertujuan untuk mengimbas atau mengesan kehadiran makhluk halus dalam tubuh badan

pesakit. Teknik imbasan dilakukan oleh perawat dengan meletakkan tangan dan menyentuh badan

pesakit atau memicit pada bahagian tertentu seperti celah jari antara ibu jari dan jari telunjuk untuk

mengesan keberadaan makhluk halus dalam badan. Teknik imbasan ini juga dilakukan tanpa

sentuhan melainkan dengan cara perawat meletakkan tapak tangan hampir dengan tubuh pesakit

yang disertakan bacaan ruqyah. Tindak balas pesakit seperti mengerang kesakitan, meronta-ronta

meminta dilepaskan atau berlaku perubahan suara pesakit kepada suara orang lain selepas dilakukan

imbasan tersebut menunjukkan kewujudan makhluk halus dalam tubuh badan pesakit. (Khadher,

2012, h.255)

Walaupun demikian, terdapat juga kaedah “scanning” yang dilakukan dengan cara pesakit

dikumpulkan dalam satu bilik bersama dengan perawat untuk melalukan proses rawatan. Bagi

pesakit yang kali pertama datang untuk rawatan, proses rawatan tersebut dinamakan sebagai proses

“scanning” dan pesakit diminta untuk mengamalkan bahan-bahan rawatan yang dibekalkan untuk

tempoh tertentu. Selain itu, terdapat juga perawat yang melakukan “scanning” untuk mengesan

kehadiran makluk halus atau mengesan jenis penyakit dengan menggunakan gerak hati dan

5

ilhamnya. Walaupun begitu persoalan yang timbul adalah adakah seseorang itu sentiasa diberi

ilham dan gerak hati setiap kali melakukan rawatan dan bagaimana gerak hati dan ilham tersebut

boleh didapati oleh perawat?

Berhubung dengan kaedah ini, terdapat dua pandangan yang boleh dirujuk dalam menentukan

statusnya sama ada dibenarkan atau tidak dalam rawatan penyakit. Pertama, iaitu tidak boleh atau

haram untuk menggunakan kaedah ini dalam proses rawatan jika perawat mendakwa bahawa

terdapat jin yang mendiami tubuh pesakit itu dengan jumlah tertentu seperti lima ekor, sepuluh ekor

dan sebagainya. Hal ini kerana, dakwaan tersebut memperlihatkan bahawa perawat itu mempunyai

pengetahuan tentang hal-hal yang ghaib dan dakwaan tersebut menyamai dakwaan dalam kalangan

tukang sihir, tukang tilik, bomoh, dukun dan lain-lain. Tambahan lagi, ia merupakan sesuatu

dakwaan yang tidak dapat dibuktikan secara jelas. Persoalan berhubung dengan perkara-perkara

ghaib adalah urusan Allah SWT dan hanya Dia yang Maha Mengetahui. Firman Allah SWT dalam

surah al-Naml ayat 65: “ Katakanlah lagi: tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui

perkara yang ghaib melainkan Allah!" dan dalam surah al-Jinn ayat 26: "Tuhanlah sahaja yang

mengetahui segala yang ghaib, maka ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu

kepada sesiapapun.”

Dalam ayat yang lain, Allah SWT menjelaskan bahawa makhluk jin tersebut dapat melihat dan

memerhati gerak laku manusia, sedangkan manusia tidak diberi kelebihan tersebut untuk melihat

makhluk halus itu. Dari itu, jelas menunjukkan bahawa perawat sama sekali tidak dapat untuk

menetapkan jumlah jin secara pasti yang mendiami tubuh seseorang pesakit. Jika diketahui jumlah

tersebut bermakna terdapat unsur dakwaan seperti tukang sihir atau bomoh dan terdapat

persahabatan antara perawat dengan makhluk yang membantu dalam rawatan yang dijalankan serta

kemungkinan ia juga hanya penipuan semata-mata. Firman Allah SWT dalam surah al-A‘raf ayat

27: "Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat

melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-

orang yang tidak beriman.”

Tambahan lagi, syaitan dan makhluk halus juga tidak mengetahui persoalan-persoalan ghaib

sepertimana penjelasan al-Quran yang menyebutkan kisah kewafatan Nabi Sulaiman AS.

Kewafatan baginda hanya diketahui oleh syaitan atau jin yang bekerja untuk baginda setelah

baginda terjatuh disebabkan oleh tongkat yang digunakan untuk mengelak baginda jatuh reput

dimakan oleh anai-anai. Firman Allah SWT dalam surah Saba’ ayat 14: “Setelah Kami tetapkan

berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang

kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia

tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara

yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang

menghina.”

6

Manakala kaedah scanning menggunakan gerak hati atau ilham untuk mengesan jenis penyakit atau

mengesan kehadiran makhluk halus dalam badan pesakit, ia memerlukan suatu perbahasan yang

khusus. Hal ini kerana, dalam persoalan gerak hati atau ilham, maka tidak boleh untuk mengatakan

bahawa apa yang dikatakan atau apa yang didakwa tersebut adalah benar. Kemungkinan dakwaan

tersebut adalah sangkaan semata-mata. Jika demikian, kemungkinan menyamai ucapan dan

dakwaan para bomoh, dukun dan pawang. Sedangkan menyerupai amalan para bomoh adalah

dilarang dalam Islam.

Kedua, sekiranya proses scanning dilakukan dengan hanya membacakan ruqyah-ruqyah tertentu ke

atas pesakit yang disihir, lalu terdapat tindak balas dari pesakit maka keadaan ini dibenarkan dengan

syarat tiada sebarang dakwaan daripada perawat yang mengatakan bahawa terdapat sejumlah jin

(dengan bilangan tertentu) yang mengganggu atau mendiami tubuh pesakit tersebut. Antara tindak

balas pesakit selepas di ruqyah adalah seperti tiba-tiba mengerang kepanasan, menjerit dan

meronta-ronta, berubah perwatakan dari sudut percakapannya atau bersuara garau, bertindak

agresif, melawan dan lain-lain keadaan lagi. (Khadher, 2011, h.6)

Kedua: Kaedah Rawatan Batin atau Kekuatan Jiwa

Melalui kaedah rawatan batin atau kekuatan jiwa ini, pesakit dirawat tanpa kehadiran perawat atau

perawat datang merawat pesakit ketika pesakit tidur pada waktu malam, merawat dalam mimpi atau

perawat hadir bertemu dengan pesakit tanpa disertai jasadnya. Dalam keadaan yang lain, terdapat

juga kaedah batin digunakan untuk meminta jin yang berada dalam tubuh pesakit yang disihir

mencari dan mendapatkan bahan-bahan yang telah digunakan untuk menyihir individu itu. Selepas

itu, diminta pula jin itu untuk mengambil bahan-bahan itu dan seterusnya bahan-bahan itu dibakar

dengan menyebutkan ayat-ayat al-Qur’an. Semua teknik mencari dan membatalkan sihir dilakukan

secara batin sahaja. Pesakit yang dikuasai oleh jin sihir itu akan melakukan isyarat mengambil

barang sihir dan seterusnya membakar barang sihir itu menggunakan ayat-ayat al-Qur’an atau doa

tertentu berdasarkan kepada arahan perawat. (Khadher, 2012, h.285)

Kaedah rawatan batin atau melalui kekuatan jiwa adalah hampir menyerupai kaedah rawatan jarak

jauh, tetapi kedua-dua kaedah ini adalah berbeza. Kaedah rawatan jarak jauh melibatkan

penggunaan alatan perhubungan untuk berkomunikasi di antara perawat dan pesakit. Namun,

kaedah batin atau kekuatan jiwa tidak melibatkan sebarang perantaraan atau alatan ketika rawatan

berlangsung. (Khadher, 2012, h.286).

Penggunaan kaedah ini dalam rawatan banyak menimbulkan keraguan. Bahkan, kesahihan rawatan

sedemikian turut diragui. Tambahan pula, menggunakan khidmat jin dalam rawatan adalah suatu

perbuatan yang dilarang dalam Islam kerana makhluk tersebut tidak mendatangkan kebaikan

kepada manusia melainkan menambahkan lagi kesesatan. Hal ini dapat dirujuk kepada ayat 6 surah

al-Jin, maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang

dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua

7

golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong

dan jahat.” (Khadher, 2012, h.288).

Ketiga: Kaedah Rawatan Jarak Jauh

Kaedah rawatan jarak jauh adalah kaedah yang dilakukan untuk rawatan penyakit tanpa kehadiran

pesakit dan dilakukan melalui penggunaan alatan perhubungan tertentu seperti telefon, internet dan

lain-lain. Rawatan yang dilakukan oleh perawat adalah melalui percakapan dalam telefon di mana

perawat dan pesakit tidak bersemuka, tetapi mereka berkomunikasi ketika itu antara satu sama lain

walaupun jarak antara mereka beribu batu. Dalam keadaan lain, perawat juga merawat pesakit

dengan menggunakan gambar pesakit yang dibawa oleh keluarga pesakit. Keadaan ini lazim

berlaku disebabkan pesakit yang disihir enggan datang mendapatkan rawatan. Ini bermakna,

perawat akan membacakan ruqyah ke atas pesakit yang berada di dalam gambar tersebut.

Berhubung dengan penggunaan kaedah ini dalam rawatan penyakit, pengkaji mendapati bahawa

konsep “jarak jauh” adalah menepati konsep seseorang saudara itu mendoakan kesejahteraan dan

kesembuhan saudaranya tanpa pengetahuan saudara itu. Berdoa dengan cara demikian, lebih

mengundang kemakbulan daripada Allah SWT. Daripada Abi al-Darda’, berkata, Rasulullah SWT

bersabda: Maksudnya:“Sesiapa sahaja dari kalangan hamba yang Muslim berdoa untuk

saudaranya dibelakangnya (tanpa diketahui oleh saudaranya itu), kecuali Malaikat akan berdoa

kepada seperti itu juga.” (Muslim, 2000, no.hadith 6927, h.1152).

Walaupun secara konsepnya sama, namun apa yang amat perlu diberi perhatian adalah dari sudut

cara pengalaman kaedah ini ketika rawatan dijalankan. Rawatan tersebut mestilah menggunakan

ruqyah-ruqyah yang dibenarkan iaitu bukan menggunakan jampi serapah atau mentera yang

menyeru makhluk halus, tidak menggunakan bahan-bahan rawatan yang diharamkan seperti bahan

daripada najis atau darah, tiada sebarang dakwaan palsu atau yang meragukan dan beri‘tiqad

bahawa kesembuhan dari Allah dan usaha yang dilakukan itu adalah ikhtiar semata-mata.

Tambahan lagi, jika perawat mendakwa bahawa rawatan jarak jauh tersebut akan dibantu oleh

makhluk halus yang akan datang merawat pesakit pada waktu malam, maka kaedah sedemikian

adalah termasuk dalam erti kata memohon pertolongan makhluk halus yang merupakan kaedah

yang ditegah seperti disebutkan dalam ayat 6 surah al-Jinn. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan

bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan

melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan

permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Keempat: Kaedah Membunuh Jin

Kaedah membunuh jin adalah kaedah yang digunakan untuk merawat penyakit yang berkaitan

dengan rasukan makhluk halus. Perawat akan menggunakan pelbagai cara untuk membunuh jin ada

mendiami tubuh pesakit itu. Terdapat beberapa cara yang digunakan untuk membunuh jin seperti

menyembelih jin dengan menggunakan alatan tertentu seperti kayu atau rotan dan dilakukan isyarat

8

sembelihan, meracun jin menggunakan air ruqyah dengan niat meracun jin yang berada dalam

tubuh pesakit, atau membakar jin menggunakan ayat-ayat ruqyah tertentu.

Persoalannya, adakah manusia boleh membunuh jin sesuka hati dan benarkah jin tersebut terbunuh

dengan kaedah yang dijalankan tersebut? Berhubung dengan membunuh jin, terdapat hadith yang

menceritakan tentang seorang pemuda yang telah membunuh jin yang menyerupai seekor ular

hitam sehingga menyebabkan beliau terbunuh. “Abu Sa‘id RA melanjutkan ceritanya: ‘Kami

menghadap Rasulullah SAW dan menceritakan kejadian itu kepada baginda. Lalu kami berkata

kepadanya: “Mohonlah kepada Allah agar menghidupkan kami dengan kebahagiaan kami. Baginda

menjawab: “Mohonlah ampun untuk sahabat kalian itu.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya di

Madinah terdapat golongan jin yang telah masuk Islam, maka jika kalian melihat sebahagian

mereka –dalam rupa ular– berilah peringatan tiga hari. Dan apabila kamu masih melihatnya

setelah itu, bunuhlah ia kerana sebenarnya dia adalah syaitan.” (Muslim, 2000, no.hadith 5839,

h.1075).

Walaupun demikian, dalam hadith menunjukkan bahawa jin tersebut terbunuh disebabkan oleh

penyeruaannya sebagai seekor ular hitam. Sedangkan, dalam pengamalan di pusat rawatan Islam,

hanya sekadar isyarat sahaja dilakukan untuk membunuh jin tersebut dan benarkah jin itu dapat

dibunuh dalam rupa asal kejadiannya? Ibn al-‘Abbas mengatakan bahawa membunuh jin tanpa hak

adalah tidak harus sepertimana tidak harus untuk membunuh seorang manusia. Ini kerana berlaku

zalim tidak dibenarkan dalam apa jua keadaan. Begitu juga, tidak dibenarkan seseorang untuk

menzalimi orang lain walaupun dalam kalangan orang kafir seperti disebutkan dalam ayat 8 surah

al-Ma’idah: Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu

mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa

jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa.”

Ibn Taymiyyah dalam risalahnya “Idah al-Dalalah fi ‘Umum al-Risalah” mengatakan bahawa

sesungguhnya seorang perawat (al-Raqi) telah membunuh jin, tetapi khabarkan kepadanya bahawa

sesungguhnya jin itu telah menipu golongan perawat dengan cara sedemikian. (Ibn Taymiyyah, t.t,

h.33) Beliau juga menyatakan bahawa membunuh jin tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh

adalah haram sebagaimana haramnya membunuh manusia, sebab yang demikian itu adalah

termasuk dalam perlakuan zalim sepertimana diharamkan untuk membunuh seorang kafir. (Ibn

Taymiyyah, t.t, h.33). Perkara ini dijelaskan dalam ayat 8 surah al-Ma’idah. (Ibn Taymiyyah, 2005,

j.19, h.52-53).

Pada pandangan pengkaji, jin dapat dibunuh secara pasti apabila ia berupa sesuatu makhluk Allah

seperti anjing hitam, kala jengking ataupun ular sepertimana dijelaskan dalam hadith. Walaupun

demikian, apabila membunuh jin dengan keadaan asal kejadiannya, perkara ini sangat meragukan

kerana tidak ada bukti yang jelas menunjukkan bahawa jin itu benar-benar telah terbunuh, tidak

pula dapat dilihat dengan mata kasar dan kemungkinan besar ia penipuan semata-mata.

9

Kelima: Kaedah Menarik dan Menyedut Keluar Jin

Kaedah menarik keluar atau menyedut jin adalah kaedah yang dilakukan oleh perawat dengan

melakukan isyarat menarik menggunakan tangan pada bahagian kaki atau mana-mana anggota

badan pesakit sambil membaca ruqyah tertentu. Kaedah ini dilaksanakan setelah perawat

mengenalpasti keberadaan jin dalam tubuh pesakit dan ia enggan untuk berunding secara baik serta

tidak mahu keluar dari tubuh pesakit.

Berhubung dengan masalah ini, pengkaji melihat bahawa jika dikatakan benar-benar menarik keluar

seekor jin itu dari tubuh seseorang kemungkinan ia adalah perkara yang tidak logik akal. Namun,

apa yang diperhatikan dan difahami perawat hanya melakukan isyarat tarik sahaja dengan

menggunakan tangan dengan disertakan arahan supaya jin tersebut segera meninggalkan tubuh

pesakit itu. Dalam kontek tersebut, terhadap hadith yang menyebutkan bahawa Nabi SAW

mengarahkan agar syaitan yang merasuk dalam tubuh seseorang sahabat itu keluar. Daripada

‘Uthman bin Abi al-‘As RA berkata: Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW melantik aku sebagai

gabenor di Taif, ada sesuatu yang mendatangiku di dalam solat sehingga aku tidak mengetahui

solatku itu. Apabila aku melihat keadaan demikian, aku pergi menemui Nabi SAW. Baginda

bertanya (kepadaku): “(Kamu) Ibn Abi al-‘As?” Aku menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.” Sabda

Nabi SAW: “Apakah yang menyebabkan engkau datang kemari?” Aku menjawab: “Wahai

Rasulullah, ada sesuatu yang mendatangiku ketika dalam solatku sehingga aku tidak mengetahui

hal keadaan solatku itu.” Sabda Nabi SAW: “Itu adalah syaitan (yang mengganggu mu), dekatkan

lah dirimu”. Maka aku mendekati baginda SAW dan aku duduk dihujung atas tapak kakiku.” Lalu

baginda SAW memukul dadaku dengan tangannya dan meludahi mulutku, sambil berkata:

“Keluarlah wahai musuh Allah!” Baginda mengulanginya tiga kali lal bersabda: “Kembalilah

kepada tugasmu”. Kata Uthman: “Sesungguhnya aku tidak menyangka ada lagi yang

mengganggku selepas itu.” (Ibn Majah, t.th, no.hadith 3548, j.2, h.117)

Perkara ini dikukuhkan lagi dengan hadith lain daripada Ya‘la bin Murrah daripada bapa berkata:

Maksudnya: “Seorang wanita datang bertemu dengan Nabi SAW bersama dengan anaknya yang

mengalami lamam. Lalu Nabi SAW bersabda: “Keluarlah musuh Allah, aku Rasulullah”. Kata

Murrah lagi: “Maka dia pun sembuh.” (Ahmad, 2001, no.hadith 17549)

Oleh itu, dalam konteks menarik atau menyedut keluar jin dari tubuh seseorang, pengkaji melihat

bahawa perawat hanya melakukan isyarat untuk menarik sahaja dan belum tentu jin itu mengikut

arahan yang diberikan untuk keluar dari tubuh tersebut. Hal ini bermakna, kaedah ini boleh

dilakukan dengan arahan yang jelas disertakan dengan isyarat menarik keluar, tetapi dari sudut

kesahihan sama ada jin itu benar-benar keluar atau tidak dari tubuh badan pesakit itu hanya berserah

pada Allah SWT. Mungkin selepas tarikan itu di buat, perawat perlu membacakan ruqyah lagi bagi

mengetahui keadaan sebenar pesakit. Bahkan, sangat perlu bagi setiap peraway supaya sentiasa

berwaspada dan jangan mudah percaya dengan makhluk halus tersebut kerana kemungkinan besar

untuk golongan itu menipu adalah sangat tinggi.

11

Keenam: Kaedah Memerangkap Jin

Kaedah memerangkap jin ini dilakukan setelah proses rundingan antara perawat dengan jin yang

menguasai tubuh pesakit yang disihir tersebut gagal dan jin enggan keluar secara baik dari tubuh

pesakit. Perawat akan memasukkan tapak tangan sehingga pergelangan tangan pesakit ke dalam

balang kaca tersebut dan ditarik jin masuk ke dalam botol itu sambil membaca ruqyah serta

menggunakan isyarat tangan menarik jin ke dalam balang kaca itu.

Berhubung dengan Kaedah Memerangkap Jin tiada dalil yang menyatakan bahawa Rasulullah

SAW pernah berbuat demikian. Walaupun begitu, terdapat hadith yang menyebutkan bahawa Nabi

SAW pernah bercadang untuk menangkap Ifrit atau Iblis yang datang mengganggu baginda ketika

solat. Namun, apabila baginda teringat doa Nabi Sulaiman AS, baginda membatalkan niat tersebut.

(Muslim, 2000, no.hadith 1211). Dari hadith berkenaan dapat difahami bahawa Nabi Muhammad

S.A.W hanya berusaha untuk mengelak atau berlindung daripada gangguan itu, bukan bertujuan

untuk menangkap atau memerangkap jin tersebut. Bahkan, secara logik akalnya, golongan jin ini

tidak terperangkap dengan sesuatu bekas kerana mereka bebas bergerak dan dapat menembusi

sesuatu jirim atau benda.

Oleh yang demikian, menangkap jin dan mengurungnya dalam sesuatu bekas adalah perkara yang

meragukan sehingga tidak terdapat bukti jelas bahawa golongan tersebut dapat diperangkap

sedemikian rupa.

Ketujuh: Kaedah Dialog dan Mengislamkan Jin;

Kaedah rawatan melalui pendekatan ini adalah dengan cara perawat berusaha untuk memanggil jin

yang mendiami tubuh pesakit supaya masuk ke dalam badan waris pesakit. Selepas itu, jin tersebut

akan dipaksa keluar dengan pendekatan berdialog dan berhujah dengan jin itu. Pada masa yang

sama perawat cuba untuk berdakwah kepada jin itu supaya menganut agama Islam. Menurut

sebahagian perawat, pendekatan ini sesuai dilakukan kerana jin yang mendiami tubuh pesakit

adalah sangat wajar dipaksa keluar kerana ia telah menyakiti tubuh badan pesakit yang bukan

merupakan haknya. Jika usaha mengislamkan jin itu berjaya, ini akan dapat mengelakkan daripada

penyakit atau sihir tersebut berulang dan sebagai makhluk Allah sesama Islam adalah tidak wajar

menyakiti antara satu sama lain. Terdapat dua hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW

telah mengislamkan Qarin yang mendampingi baginda (Muslim, 2000, no.hadith 7108 dan 7110).

Walaupun demikian, persoalannya adakah boleh dipaksa jin itu memeluk Islam dan jika jin itu

masuk Islam, adakah di atas kerelaannya untuk berbuat demikian? Tidak ada bukti yang jelas untuk

menunjukkan tindakan ini benar-benar dapat membantu menghalau jin itu keluar dari tubuh pesakit

dan seterusnya sembuh. Namun, tidak dinafikan perkara sedemikian boleh berlaku walaupun pada

realitinya ia banyak menimbulkan keraguan.

11

Pada pandangan pengkaji, jika perawat itu dapat berdialog dan berdakwah kepada jin tersebut

sehingga jin itu rela untuk memeluk agama Islam, maka tindakan tersebut adalah wajar dilakukan.

Perawat itu perlu menjelaskan kedudukan jin itu setelah Islam dan tidak wajar untuk menyakiti

sesama saudara seIslam.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa dalam menyebut tentang

rawatan Islam, tidak semua rawatan yang dipraktikkan tersebut menepati ciri-ciri rawatan Nabi

SAW. Sebahagian daripada kaedah rawatan yang dipraktikkan tersebut adalah yang bercanggah

dengan syariat Islam, ada yang meragukan dan ada juga yang memerlukan penelitian dan

perbincangan yang lebih terperinci untuk mengetahui status pengamalannya dalam rawatan

penyakit.

Oleh yang demikian, berhubung dengan kaedah dan pendekatan yang tidak mempunyai dalil yang

jelas ini, pengkaji dapat meringkas status pengamalan dan keterangannya seperti dalam Jadual 2.0

di bawah;

Jadual 2.0: Keterangan Ringkas Berhubung dengan Status Rawatan Menurut Islam

Bil. Pendekatan dan

Kaedah Rawatan Keterangan Ringkas Berhubung dengan Status Rawatan Menurut Islam

1. Kaedah Jampi dan

Mentera

Jelas diharamkan berdasarkan terdapat dalil dari hadith yang melarang

menggunakan jampi atau mentera.

2. Kaedah “Scanning”

(Diagnosis)

Kaedah ini dilarang sekiranya disertakan dengan dakwaan secara pasti

jumlah jin yang berada dalam tubuh seseorang pesakit. Sekirannya

dikenalpasti hanya melalu tanda-tanda tertentu atau melalui pengalaman

perawat, maka ia dibenarkan.

3. Kaedah Batin Atau

Kekuatan Jiwa

Penggunaan kaedah ini dalam rawatan banyak menimbulkan keraguan.

Bahkan, kesahihan rawatan sedemikian turut diragui. Tambahan pula,

menggunakan khidmat jin dalam rawatan adalah suatu perbuatan yang

dilarang dalam Islam kerana makhluk tersebut tidak mendatangkan

kebaikan kepada manusia melainkan menambahkan lagi kesesatan

4. Kaedah Ilmu Sihir Untuk

Merawat Sihir

Kaedah ini jelas diharamkan kerana sesuatu yang jahat atau tidak baik

bukanlah ubat kepada sesuatu yang daripada unsur jahat jua.

5. Kaedah Rawatan Jarak

Jauh

Kaedah ini adalah kaedah yang dibenarkan sekalipun perawat dan

pesakit tidak bersemuka. Namun, apa yang lebih utama ada lah rawatan

tersebut perlulah menggunakan ruqyah yang dibenarkan, menggunakan

bahan yang halal, tiada pemujaan atau memohon pertolongan makhluk

halus.

6. Kaedah Membunuh Jin

Jin boleh dibunuh sekiranya mengancam nyawa manusia. Pembunuhan

itu boleh sekiranya dalam bentuk penyamaran dengan rupa binatang

seperti ular hitam, kala jengking dan lain-lain. Namun, jika membunuh jin

dalam rupa bentuk asal perkara tersebut meragukan kerana tidak ada

bukti yang dapat menunjukkan bahawa jin tersebut tersebut atau

terbakar. Tambahan lagi tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

7. Kaedah Menarik dan

Menyedut Keluar Jin

Kaedah ini meragukan dari sudut sama ada jin tersebut benar-benat

dapat ditarik keluar ataupun tidak. Namun, dari sudut cara tarikan dengan

menggunakan isyarat dan arahan yang jelas adalah tidak menyalahi

hukum.

8. Kaedah Memerangkap

Jin

Kaedah ini meragukan dari sudut sama ada jin tersebut boleh ditangkap

dan dikurung dalam satu bekas. Tiada dalil yang jelas berhubung perkara

12

ini.

9. Kaedah Dialog dan

Mengislamkan Jin

Kaedah ini boleh dilakukan dengan tujuan untuk berdakwah kepada jin.

Namun, amat perlu untuk berhati-hati kerana kemungkinan ia adalah tipu

helah mahkluk tersebut.

Rujukan

Abu Dawud, Sulayman bin al-Asy‘at al-Sajastani al-Azdi (2000), Sunan Abi Dawud, dalam dalam

Mawsu‘ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah, al-Riyad: Dar al-Salam li al-Nashr wa al-

Tawzi‘.

Ahmad bin Hanbal Abu ‘Abd Allah al-Syaibani (1421H/2001M), Musnad al-Imam Ahmad bin

Hanbal, ditahqiqkan oleh Shu‘aib al-Arnu’ut et.al, Beirut: Mu’assasah al-Risalah.

Ibn Taymiyyah, Taqiy al-Din Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin Taymiyyah al-Harrani

(1426H/2005M), Majmu‘ al-Fatawa, ditahqiqkan oleh Anwar al-Baz dan ‘Amir al-Jazzar,

al-Mansurah: Dar al-Wafa’.

__________________ (t.t) Idah al-Dalalah fi ‘Umum al-Risalah, al-Riyad: Maktabah al-Riyad al-

Hadithah.

Jazari, Abu al-Sa‘adat al-Mubarak bin Muhamad al- (1399H/1979M), al-Nihayah fi Gharib al-

Hadith wa al-Athar, ditahqiq oleh Tahir Ahmad al-Zawi dan Mahmud Muhammad al-

Tanahi, Beirut: al-Maktab al-‘Ilmiyyah

Khadher Ahmad & Rushdi Ramli, “Hukum Semasa Dalam Rawatan Islam: Isu Terhadap

Pengamalan Kaedah “Scanning” Dalam Rawatan Penyakit Gangguan Makhluk Halus”,

(Kertas Kerja dibentangkan dalam Seminar Hukum Islam Semasa VII, 14 & 15 Disember

2011).

Khadher Ahmad (2012), “Analisis Hadith-Hadith Mengenai Rawatan Sihir Dalam Al-Kutub Al-

Sittah: Aplikasi Di Pusat Rawatan Islam Di Malaysia” (Tesis Ijazah Doktor Falsafah,

Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala

Lumpur).

Khadher Ahmad dan Ishak Suliaman (2011), “Hadith-Hadith Mengenai Sihir dan Rawatannya

Dalam al-Kutub al-Sittah: Satu Analisis Kualitatif” dalam al-Bayan: Jurnal of al-Quran &

al-Hadith, Kuala Lumpur: Jabatan al-Quran & al-Hadith, Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya.

Muhammad bin Yazid Abu ‘Abd Allah al-Qazwaini selepas ini Ibn Majah (t.t), Sunan Ibn Majah,

ditahqiqkan oleh Muhammad Fuad ‘Abd al-Baqi, Beirut: Dar al-Fikr.

Musa bin Muhammad bin Jabir al-Fifi, (t.t), Ahadith al-Sihr wa al-Ruqiyyah fi al-Kutub al-Sittah:

Riwayah wa Dirayah, (Tesis di al-Jami‘ah al-‘Alamiyyah al-Amrikiyyah (American’s

International University), Beirut dibawah penyeliaan al-Husayn bin Muhammad Shawat.

Muslim bin al-Hajjaj Abu Husain al-Qusyairi al-Naisaburi (2000M), Sahih Muslim dalam

Mawsu‘ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah, al-Riyad: Dar al-Salam li al-Nashr wa al-

Tawzi‘.