sejarah

download sejarah

of 5

description

maklumat

Transcript of sejarah

Berdasarkan pernyataan di atas, bincangkan sejauh manakah penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah dapat memainkan peranan melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memantapkan pendidikan Sejarah ke arah mencapai matlamat pendidikan Sejarah dalam membentuk sikap patriotisme, kewarganegaraan dan nilai murni ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu selari dengan konsep Satu Malaysia. Oleh itu, mata pelajaran Sejarah telah dijadikan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua murid dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai Tahun 4. Melalui pengetahuan dan kefahaman terhadap aspek sejarah negara mampu melahirkan murid yang berjiwa patriotik. Malah matlamat pendidikan sejarah adalah bertujuan memupuk semangat setia Negara dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah tanah air. Dalam Sejarah KSSR, terdapat elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang menjadi asas dalam melahirkan warganegara yang mempunyai identiti kebangsaan, membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai kesepaduan sosial dan integrasi nasional. Ini menjadikan salah satu usaha untuk melengkapkan murid-murid dengan perkembangan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman nilai murni serta penerapan semangat jati diri sebagai warga Malaysia. Oleh sebab itulah elemen kewarganegaraan dan nilai sivik ini menjadi tonggak utama dalam mata pelajaran Sejarah KSSR kerana ia dapat membantu melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu, berbangga sebagai rakyat Malaysia, setia kepada negara, semangat kekitaan, berdisiplin, aktif dan bermaklumat dalam mengamalkan dan menghayati ciri-ciri warganegara yang cemerlang.Isi kandungan kurikulum Sejarah memperlihatkan sumbangan semua kaum terhadap proses kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan. Oleh sebab itulah murid-murid sekolah perlu didedahkan dan dikongsikan dengan sejarah Negara ini supaya mereka mengetahui dan memahaminya. Jika murid-murid yang masih peringkat kanak-kanak dipupuk awal untuk menghargai, menghayati, mengkaji dan menerokai sejarah seperti dalam peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan mengetahui dan memahami sejarah Malaysia, murid-murid akan berasa bangga dengan sejarah asal usul negara. Malah apabila murid-murid menghayati dan menelusuri sejarah dan peristiwa kemerdekaan Malaysia, murid-murid akan turut merasai kepayahan yang dilalui oleh tokoh-tokoh kemerdekaan dan orang-orang yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Malaysia. Oleh sebab itu, golongan pendidik yang akan mengajar mata pelajaran Sejarah kepada murid-murid seawal Tahun 4 perlu peka dengan teknik dan pendekatan yang sesuai untuk memastikan murid-muridnya dapat memahami dan menguasai sejarah kemerdekaan negara dengan sebaik mungkin. Jika murid-murid di peringkat kanak-kanak lagi sudah memahami dan berjaya menghayati betapa peritnya untuk mencapai sebuah kemerdekaan, mereka akan faham kenapa kemerdekaan perlu dipertahankan oleh semua lapisan masyarakat bermula daripada mereka sebagai generasi pelapis negara masa akan datang.Penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam Sejarah sekolah rendah turut juga memastikan murid-murid untuk mengamalkan sikap dan perlakuan berhemah. Perkara ini memang sudah termaktub dalam Rukun Negara yang merupakan salah satu perkara yang wajib disanjung, dihayati dan diaplikasikan dalam kehidupan oleh semua lapisan masyarakat seawal usia kanak-kanak lagi kerana ia adalah tunjang kepada lahirnya warganegara Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik. Masalah gejala sosial dalam kalangan masyarakat kita pada dekad ini meningkat kerana kurangnya penghayatan terhadap Rukun Negara. Jika penghayatan terhadap Rukun Negara dilakukan dan diterapkan seawal mungkin terhadap kanak-kanak, gejala sosial tidak mungkin akan berlaku kerana dalam diri mereka telah ada nilai-nilai sivik yang kukuh akarnya kerana telah disemai dan dijaga dari peringkat mereka kanak-kanak lagi. Isi pelajaran sejarah juga turut menyemai sikap menghormati kepelbagaian agama dan budaya yang wujud dalam Malaysia amnya dan di persekitaran murid-murid khususnya. Penerapan nilai ini sedari usia kanak-kanak amat membantu murid-murid menghormati kehidupan masa kini dan masa hadapan dengan penuh semangat perpaduan. Selaku pewaris negara, murid-murid perlulah ditanam sedari awal semangat mempertahankan lambang-lambang dan simbol-simbol kebesaran negara serta menjaga kemuliaan perkara-perkara tersebut kerana simbol dan lambang-lambang seperti bendera Jalur Gemilang yang merupakan lambang maruah bangsa dan negara.Penerapan perasaan kekitaan dan kesetiaan kepada bangsa dan negara Malaysia dalam elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam mata pelajaran Sejarah KSSR dapat membentuk sikap sepunya dan kebersamaan malah ia turut dapat memupuk perasaan taat dan setia pada negara dari peringkat sekolah rendah lagi. Dalam aspek ini, murid-murid dibimbing untuk menghormati amalan kepelbagaian kaum, budaya serta agama yang memang wujud dalam negara sejak dari dahulu lagi. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai medium pengajaran dan pembelajaran Sejarah KSSR sedikit sebanyak dapat menyemai semangat bersatu padu di kalangan murid-murid yang diajar. Perasaan kekitaan dan kesetiaan dikalangan rakyat Malaysia menjadi tulang belakang kepada kemajuan dan pembangunan negara, oleh sebab itu generasi muda perlulah bangga dengan pencapaian negara kerana ia adalah hasil tulen dari air tangan rakyat dan pemimpin kita sendiri. Dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah juga turut menerapkan mentaati Raja dan negara. Ini perlu kerana Malaysia adalah sebuah neraga demokrasi berperlembagaan yang mana masih mengekalkan institusi beraja sebagai salah satu tonggak negara yang telah wujud sejak sekian lamanya. Oleh sebab itulah, kenapa perlunya mata pelajaran Sejarah diajar di peringkat sekolah rendah lagi supaya murid-murid lebih faham pentingnya menghormati institusi Raja dan pemimpin negara untuk mengekalkan negara ini sebagai sebuah negara yang bersatu padu, aman dan makmur.Perkongsian masa depan oleh semua lapisan masyarakat perlu disemai dalam diri murid-murid sekolah rendah kerana ini dapat membina keyakinan dalam diri mereka dan bertanggungjawab untuk mencorak negara ke arah yang lebih baik pada masa depan. Perkara ini perlu dilakukan dan disemai semasa mereka masih kanak-kanak supaya mereka bersedia dengan segala cabaran apabila meningkat dewasa dan berjaya menanganinya dengan dengan fikiran yang rasional dan positif. Jatuh dan bangunnya sesebuah negara adalah seratus peratus bergantung kepada rakyatnya. Jika rakyatnya telah rosak akhlak, tidak bersatu padu dan hilang semangat patriotik, maka tidak mustahil kegemilangan yang kita ada sekarang akan lenyap ditelan oleh sikap jahil lapisan pelapis iaitu kanak-kanak yang ada pada masa kini Segala warisan yang telah kita miliki sejak dari dahulu perlulah dijaga supaya tidak lupus ditelan zaman, seperti kekayaan sumber asli negara yang banyak memberi pendapatan kepada negara. Oleh itu, murid-murid sekolah rendah perlu diajar dan dibimbing supaya mereka tahu tanggungjawab mereka untuk menjaga apa-apa sahaja warisan negara untuk kegunaan masa depan mereka nanti.Dalam perlembagaan, kanak-kanak yang lahir di negara ini adalah secara automatik menjadi warganegara negara dengan sendirinya. Sebagai warganegara, murid-murid sekolah rendah perlu diajar dan dididik untuk bertanggungjawab ke atas negaranya supaya keamanan dan perpaduan yang sedia ada dapat dikekalkan malah dimantapkan lagi. Oleh itu, elemen kewarganegaraan dan penerapan nilai sivik dalam mata pelajaran Sejarah KSSR adalah banyak menjurus kepada perkara tersebut. Perkara yang dititikberatkan dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah sekolah rendah adalah seperti mempertahankan identiti negara, mempertahankan warisan negara, menerima perbezaan antara kaum, budaya dan agama supaya generasi muda mengetahui dan memahami tanggungjawab mereka sebagai warganegara dengan sepenuh hati. Di samping itu, murid-murid sekolah rendah perlu dilatih untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang dan peraturan dari sekecil-kecil peraturan di sekolah hingga undang-undang yang melibatkan keamanan negara. Murid-murid sekolah telah diajar dan dibimbing dengan tanggungjawab mereka sebagai warganegara akan sentiasa sedar sehinggalah mereka meningkat dewasa dan dengan pengetahuan serta penghayatan ini akan menjadikan mereka sebagai warga yang bertanggungjawab dengan kemajuan dan kemakmuran negara ini pada masa akan datang. Elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang terakhir dalam sukatan Sejarah KSSR ialah nilai keterikatan emosi kepada negara Malaysia. Dalam elemen ini, murid-murid akan disemai dan diajar untuk mempunyai perasaan cinta akan negara yang mendalam dan berusaha mempertahankannya daripada anasir-anasir dalam dan luar negara yang boleh menyebabkan hilangnya negara kita yang aman, makmur dan maju ini. Golongan kanak-kanak harus dibimbing dan diajar untuk mengambil contoh dan teladan pejuang-pejuang kemerdekaan yang gigih serta mempunyai semangat cintakan negara yang mendalam. Oleh sebab itulah mata pelajaran Sejarah didahului dengan mempelajari, mengetahui dan menghayati sejarah asal usul negara. Memang tidak dinafikan lagi dalam usaha melahirkan warganegara Malaysia bersatu padu dan bersemangat patriotik bermula dari bangku sekolah lagi. Melalui mata pelajaran Sejarah dan kini ia akan diajar pada murid Tahun 4 iaitu bermula pada tahun 2014 nanti yang mana akan mendidik dan memberi ilmu ke arah semangat cintakan negara dengan mendalam. Selain mempelajari sejarah awal asal usul negar, isi kandungan pelajaran Sejarah ini juga turut mengajar murid-murid sekolah untuk menghargai warisan negara, menghargai identiti negara, menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara, bersyukur dengan keharmonian antara semua kaum dan agama serta turut menerapkan nilai berbangga dengan semua pencapaian negara.Jesteru itu, kurikulum Sejarah sekolah rendah merupakan satu bentuk kurikulum yang menjurus kepada usaha melahirkan warganegara yang bersatu apdu, mempunyai perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia, berpengetahuan dan mengahayati serta mengamalkan ciri-ciri warganegara yang cemerlang. Elemen-elemen yang diterapkan dalam kurikulum Sejarah KSSR ini diharapkan dapat menjadi wadah dalam menerapkan nilai-nilai yang akan membentuk kehidupan masyarakat yang lebih patriotik dan mempunyai jati diri. Matlamat KSSR memang berharat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, berketrampilan diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai. Selain berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaanm KSSR juga menggunapakai empat tonggak pendidikan UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization atau Organisasi Pendidikan, Ilmu Pengetahuan, dan Kebudayaan PBB) iaitu, belajar untuk mengetahui, untuk bertindak, untuk hidup bersama dan untuk membentuk peribadi. Oleh itulah elemen kewarganegaraan dan penerapan nilai sivik dalam kurikulum Sejarah KSSR adalah salah satu usaha untuk memperkasakan perpaduan antara rakyat Malaysia yang bersemangat patriotik. Usaha ini melalui kurikulum Sejarah tiada noktahnya. Kurikulum Sejarah sekolah rendah adalah sebagai wadah terbaik untuk merealisasikan usaha untuk melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.