Post on 08-Feb-2023
DIPLOMA WORK BASED LEARNING (WBL) KOLEJ KOMUNITI
Zaidi bin Othman
Jabatan Pengajian Kolej Komuniti
Kementerian Pendidikan Malaysia
1.0 Pengenalan
Kolej Komuniti telah ditubuhkan melalui Memorandum No. 398/2225/00 yang
dikemukakan oleh Menteri Pendidikan kepada Jemaah Menteri pada 5 Julai 2000
tentang konsep penubuhan dan pelaksanaan Kolej Komuniti di setiap kawasan
parlimen. 12 buah kolej komuniti rintis telah mula beroperasi pada tahun 2001. Pada
tahun 2004, Kabinet telah bersetuju menjadikan kolej komuniti sebagai Hab
Pembelajaran Sepanjang Hayat. Kini terdapat sejumlah 90 kolej komuniti di seluruh
negara di bawah seliaan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti.
Penubuhan kolej komuniti memberi peluang pendidikan dan latihan yang lebih luas
khususnya kepada masyarakat setempat untuk meningkat kemahiran dan
pengetahuan serta taraf sosio eknomi melalui program-program pendidikan di
peringkat sijil dan diploma serta melalui program pembelajaran sepanjang hayat
yang fleksibel dan mudah akses. Di samping itu, kolej komuniti juga disaran
memainkan peranan kritikal dalam memenuhi kehendak sosial dan keperluan tenaga
manusia selaras dengan dasar Kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golong
pekerja mahir demi merealisasikan matlamat Wawasan 2020.
2.0 Fasa Penubuhan Kolej Komuniti
Sejak ditubuhkan pada tahun 2001, kolej komuniti telah melalui 4 fasa yang penting.
Fasa ini adalah satu penambahbaikan kepada sistem kolej komuniti. Setiap fasa ada
kelebihannya sendiri.
Fasa Penubuhan (2001-2006)
Fasa Penjenamaan Semula (2007-2009)
Fasa Pengukuhan (2010-2012)
Fasa Pemerkasaan Kolej Komuniti (2013-2015)
2.1 Fasa Penubuhan (2001–2006)
Pada peringkat awal kolej komuniti merupakan laluan alternatif kepada pendidikan
tertiari yang memberi penekanan kepada pendidikan seumur hidup, latihan dan
kemahiran melalui pelaksanaan kursus pendek dan penawaran Sijil Kolej Komuniti
sepenuh masa yang mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam.
2.2 Fasa Penjenamaan Semula (2007–2009)
Mesyuarat Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (National Implementation Task
Force - NITF) pada 27 Jun 2006 telah menetapkan pelaksanaan Penjenamaan
Semula Kolej Komuniti sebagai salah satu program berimpak tinggi di bawah RMKe-
9. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah:
Memperkenalkan program Work-Based Learning dengan kerjasama Syarikat
Berkaitan Kerajaan (GLC);
Memperkenalkan Kemudahan Elaun Pelajar bagi membantu pelajar kurang
berkemampuan untuk menyambung pelajaran di kolej komuniti; dan
Menubuhkan kolej komuniti cawangan bagi menyebarluas perkhidmatan kolej
komuniti.
2.3 Fasa Pengukuhan (2010 - 2011)
Program Pengukuhan Kolej Komuniti telah dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana
Menteri pada 14 Julai 2010 bagi memperkukuh lagi peranan kolej komuniti sebagai
institusi pendidikan dan latihan serta hab pembelajaran sepanjang hayat kepada
komuniti setempat. Antara inisiatif yang berjaya dilaksanakan adalah penawaran Sijil
Modular Kebangsaan (SMK) dan penubuhan Pusat Usahawan di semua kolej
komuniti.
2.4 Pemerkasaan Kolej Komuniti (2013-2015)
Pemerkasaan Kolej Komuniti merupakan satu komitmen bagi memperkukuh asas
yang telah lama diperkenalkan, dipupuk dan dibina oleh kolej komuniti. Ianya
berfokus kepada enam teras untuk memacu kemajuan kolej komuniti dengan
memantap dan menambahbaik kualiti penyampaian dan perkhidmatan kolej komuniti
sebagai penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang
utama di Malaysia.
3.0 Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET)
Terdapat beberapa pendekatan dan kaedah pelaksanaan latihan kemahiran dalam
bidang teknikal dan vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh institusi pendidikan.
Kaedah yang dipilih seharusnya dapat melahirkan graduan yang mempunyai
kemahiran teknikal dan soft-skills yang diperlukan oleh pihak industri. Ini
diperkuatkan lagi dengan dapatan kajian di Britain, pihak industri berpendapat
institusi kemahiran perlu memasukkan unsur vokasional di dalam kurikulumnya
tetapi tidaklah ditahap sehingga pelajar-pelajarnya boleh bekerja dengan kemahiran
yang diperolehi tanpa sebarang latihan. Ini memandangkan, pihak industri lebih suka
memberi latihan di tempat kerja dan pihak institusi vokasional memberikan latihan
asas. Kurikulumnya meliputi pengetahuan asas, kemahiran komunikasi, kemahiran
teknikal serta etika kerja.
Pada tahun 1960an, UNESCO telah menyarankan TVET dijadikan dari sebahagian
daripada keseluruhan system pendidikan bersepadu dengan memberi pendekatan
kepada budaya. TVET bukan sahaja, memberi latihan kemahiran dan pengetahuan
sebagai persediaan untuk untuk bekerja tetapi juga di memberi keperibadian dan
sahsiah pelajar, antaranya adalah;
Memenuhi kehendak pendidikan am untuk perkembangan sahsiah dan
tingkahlaku
Dilengkapi dengan kefahaman, kebolehan membuat pertimbangan dan
Dapat membuat penyesuaian dalam persekitaran yang berubah
Bagi memenuhi keperluan industri maka kaedah-kaedah yang menggabungkan
industri dan institusi telah dipilih untuk dilaksanakan. Hasil proses penjenamaan
semula Kolej Komuniti pada 2 Februari 2007, suatu program baru iaitu program
Diploma berkonsep Work-Based Learning (WBL) telah dibentuk khusus untuk
dilaksanakan di Kolej Komuniti. Ianya telah dilancarkan YAB Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu. Konsep pelaksanaannya adalah
merupakan gabungan pembelajaran dan latihan di tempat kerja serta pembelajaran
teknikal atau vokasional di kolej komuniti. Bagi melaksanakan pogram yang lebih
dikenali sebagai diploma WBL ini, pihak syarikat/industry/GLC telah dilibatkan
daripada peringkat penggubalan kurikulum, pelaksanaan pengajaran dan latihan,
serta penilaian secara bersama dengan kolej komuniti.
4.0 Definisi Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL)
Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) merupakan salah satu kaedah
penyampaian pengajaran dan pembelajaran yang inovatif. Pendekatan ini
melibatkan kerjasama antara institusi dan syarikat berkaitan untuk melahirkan
pekerja mengikut perkembangan semasa. Kerjasama ini mengambil kira aspek-
aspek penting yang terlibat dalam sesuatu sistem pendidikan iaitu pembangunan
kurikulum, penyampaian pengajaran dan pembelajaran dan pentaksiran serta
peperiksaan. Pendekatan ini memastikan supaya pengetahuan, kemahiran dan juga
sikap yang positif dapat diterap ke dalam diri pelajar dengan lebih berkesan.
Pendekatan ini adalah selaras dengan amalan peringkat antarabangsa sebagai
contoh, Washington State University mendefinisikan WBL sebagai pengalaman
pembelajaran di mana pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi di institusi dan
di industri adalah berkaitan dengan apa yang diperlukan di alam kerja sebenar. WBL
juga menekankan aktiviti-aktiviti dan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran
untuk membantu pelajar-pelajar membangun dan memenuhi perancangan kerjaya
dan pendidikan individu.
Perlaksanaan program WBL di peringkat industri memerlukan kerjasama daripada
industri dan ia bukanlah perkara yang mudah. Akta School to Work Opportunities,
1994 mendapati bahawa tiga majikan daripada dua belas program yang dijalankan
mempunyai masalah untuk melatih pelajar berbanding pekerja dan lima daripadanya
mengalami masalah berkaitan menyediakan tempat untuk pelajar WBL (Bailey dan
Hughes, 1999) namun syarikat tetap berminat untuk bekerjasama. Walau
bagaimanapun Crutis (1986) mendapati kerjasama antara industri dengan institusi
pendidikan dalam merancang program pendidikan adalah di tahap minima. Pihak
industri sebagai pengguna tenaga kerja perlu bekerjasama bagi mengenal pasti
latihan-latihan kemahiran yang diperlukan. Dengan adanya perhubungan ini
program-program pendidikan vokasional menjadi lebih berkaitan terhadap kehendak
industri.
Berdasarkan kajian tinjauan luar negara, Deissinger (2001) dan Kraemer (1993)
sistem dual yang berbentuk latihan vokasional merupakan sebuah program
kerjasama antara agensi kerajaan dan industri serta sebahagian daripada sistem
pembelajaran di Jerman yang berjaya menyediakan peluang pekerjaan untuk anak-
anak muda di sana. Senario ini telah dibuktikan bahawa hanya 4.5 peratus sahaja
pengangguran di kalangan anak muda di Jerman yang juga merupakan negara
kedua terendah berdasarkan data yang diperolehi dari Eurostate pada 1990.
Di Malaysia, perubahan yang pantas terhadap teknologi dan pasaran telah
membentuk satu permintaan kepada pendidikan vokasional dan organisasi latihan
untuk menghasilkan graduan yang mampu bersaing dalam era globalisasi (Yusri,
2009). Unit Perancang Ekonomi Malaysia (EPU) (2006) menyatakan bahawa
Malaysia perlu memperbaiki dan meningkatkan kualiti tenaga kerja dengan
meningkatkan modal insan berpendidikan dan berkemahiran. Sehubungan dengan
itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa program latihan untuk mengurangkan
jurang ketidakpadanan (mismatch) di kalangan pelajar dengan keperluan tenaga
kerja dalam sektor industri. Untuk memelihara pembangunan modal insan,
penekanan diberikan kepada pembangunan secara holistik merangkumi
pengetahuan dan kemahiran serta membentuk sahsiah dan akhlak yang baik (EPU,
2006).
5.0 Sejarah Pelaksanaan Diploma WBL di Kolej Komuniti
Pada peringkat awal, program diploma WBL dilaksanakan kepada semua lulusan
kolej komuniti untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma. Program ini
ditawarkan selama setahun setengah dan khas kepada lulusan sijil Kolej Komuniti.
Ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar lepasan sijil kolej komuniti untuk
melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Peluang ini diberikan
dengan mengambil kira pencapaian akademik pelajar termasuk pengalaman kerja
selepas tamat pengajian peringkat sijil. Tempoh program diploma ini ialah dengan
minimum 3 semester dan maksimum 6 semester. Pelajar dikehendaki menjalani
latihan di syarikat selama dua semester dalam bentuk teori dan praktikal atau secara
WBL selama satu semester di kolej komuniti. WBL melibatkan semester 5 dan 6 di
mana pelajar yang mengikuti program ini akan mendapat pengalaman kerja sebenar
di tempat kerja untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Pada semester 7
pelajar-pelajar dikehendaki kembali meneruskan pengajian di kolej komuniti dengan
mengambil beberapa modul untuk mengukuhkan komponen akademik dalam bidang
berkaitan. Kesinambungan pembelajaran yang berkonsepkan kemahiran telah
menuntut Kolej Komuniti membentuk program diplomanya sendiri. Secara tidak
langsung program diploma yang dijalankan di kolej komuniti dapat menampung
sebahagian lulusan sijil yang ingin meningkatkan taraf akademik mereka tetapi tidak
mendapat tempat samaada di politeknik atau IPT lain.
Proses WBL merupakan proses pembelajaran yang merangkumi pengalaman
bekerja dan para pelajar perlu melalui proses pembelajaran di institusi dan menimba
pengalaman serta aplikasi kemahiran di industri yang berkaitan dengan apa yang
diperlukan di alam kerja sebenar (Winsconsin Department of Public Instruction,
2007). Program WBL melibatkan kursus-kursus diploma yang telah dilaksanakan
pada Julai 2007 ialah Diploma Teknologi Automotif, Diploma Hotel dan Katering,
Diploma Fesyen dan Aparel, Diploma Teknologi Elektrik dan Diploma Teknologi
Komputer. Sebanyak 11 buah kolej komuniti terlibat bagi tujuan penawaran diploma
peringkat pertama ini. Pada Julai 2008 pula 5 diploma yang telah laksanakan pada
Julai 2007 akan diteruskan dengan 7 buah kolej baru menawarkan tempat
disamping kolej yang sedia ada dan terdapat 6 kursus baru diperkenalkan iaitu
DiplomaTeknologi Senibina, Diploma Teknologi Pengiklanan, Diploma
Penyelenggaraan Fasiliti, Diploma Teknologi Pemprosesan Makanan, Diploma
Pelancungan dan Pengembaraan dan Diploma Perakaunan Perniagaan. Sebanyak
11 buah kolej terlibat bagi tujuan penawaran diploma peringkat pertama dan ini
menjadikan 29 buah kolej terlibat dalam penawaran diploma kolej komuniti peringkat
kedua.
Program WBL ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari lulusan kolej
komuniti. Ini telah terbukti seramai 1,139 pelajar Diploma WBL telah berjaya
menamatkan pengajian dan seterusnya dianugerahkan Diploma Kolej Komuniti.
Kebanyakan graduan diploma WBL ini terpilih untuk berkerja di industi/syarikat
dimana mereka belajar. Sebanyak 33 industri/syarikat telah menandatangani
Perjanjian Persefahaman dengan Kementerian bagi melaksanaan program WBL.
Antara industri/syarikat berkerjasama adalah dalam program WBL ini adalah
Mesianiga Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Bhd., Proton Holding Bhd., DRB-Hicom
Bhd., dan Naza Kia Sdn. Bhd.
5.1 Prorgram Diploma WBL Baharu
Bermula tahun 2013, program Diploma telah diubahsuai mengikut keperluan semasa
dan industri. Tempoh program ini adalah telah dipendekkan kepada 24 bulan
bersamaan dengan 2 tahun dengan kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Program ini ditawarkan secara sepenuh masa selama 6 semester iaitu 2 tahun.
Pelajar akan mengikuti pengajian di kolej komuniti selama 4 semester sebelum
menjalani WBL di industri terpilih selama 2 semester. Ianya ditawarkan kepada
lulusan kolej komuniti yang mempunyai pengalaman berkerja dalam program yang
ditawarkan. Program diploma ini adalah bidang baharu yang mempunyai permintaan
yang amat ditinggi di industri. 2 diploma yang telah ditawarkan pada tahun 2013
adalah Diploma in Games Arts dan Diploma in Telecommunication Technology.
Program Diploma in Telecommunication Technology ditawarkan di Kolej Komuniti
Kuala Langat pada sesi Julai 2013 dan akan dipindahkan ke Kolej Komuniti
Ampang. Manakala Program Diploma in Electronics (Mobile Devices) akan
ditawarkan di Kolej Komuniti Bentong mulai sesi Nov 2014. Bagi melaksanakan 2
program diploma ini, kolej komuniti telah berkerjasama dengan Syarikat Codemaster
Studios Sdn. Bhd. dan Syarikat Huawei Sdn. Bhd.
Pada tahun 2014, program diploma WBL diperluaskan lagi, 5 lagi program akan
ditawarkan kepada lulusan kolej komuniti dan lepasan SPM yang setaraf. Program
yang akan ditawarkan adalah seperti berikut:
1. Diploma Terapi Kecantikan
2. Diploma Dandanan Rambut
3. Diploma Computer Aided Design & Drafting (Oil & Gas)
4. Diploma Mobile Devices
5. Diploma Teknologi Solar Fotovoltan
6.0 Peranan Industri / Syarikat
Industri / syarikat yang dipilih akan bersama untuk menghasilkan pembangunan
kurikulum mengikut teknologi yang terkini. Industri/syarikat juga sebagai
memperkaitkan pembelajaran dengan peranan bekerja sebenar di tempat kerja di
mana terdapat tiga komponen yang berkait dan memberi sumbangan yang sangat
penting dalam pembelajaran di tempat kerja. Komponen tersebut adalah tentang
menstrukturkan peluang pembelajaran di tempat kerja; menyediakan latihan kerja
atau peluang belajar yang sesuai dan mengenal pasti serta menyediakan peluang-
peluang belajar atau kerja yang berkaitan di luar kebiasaan pekerja menjalankan
kerja dikehendaki menyediakan ruang untuk proses pembelajaran dan pengajaran
dapat dijalankan di industry/syarikat. Ini bermaksud proses pembelajaran yang
dilaksanakan dengan kerjasama antara institusi dengan pihak industri, iaitu proses
pembelajaran pelajar secara praktikalnya dilaksanakan sepenuhnya di industri.
Industri/ syarikat juga dikehendaki menyediakan pensyarah pembimbing sebagai
individu dalam kalangan pekerja di sektor industri yang terlibat dalam proses
pelaksanaan WBL yang dipertanggungjawabkan dalam proses pengajaran dan
penilaian pelajar serta membimbing pelajar untuk mencapai hasil pembelajaran yang
dikehendaki. Pensyarah pembimbing ini adalah individu atau pekerja yang
mempunyai ciri-ciri terbaik yang melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan
sempurna, berpengetahuan, mempunyai sifat peribadi yang terpuji, memberi
maklum balas dan respon kepada pelajar serta menjadi model peranan dan contoh
teladan yang baik kepada pelajar dalam mencapai matlamat pembelajaran mereka.
Pensyarah pembimbing ini juga akan diberikan tanggungjawab untuk menilai
pencapaian pelajar di industri / syarikat.
Pelaksanaan program WBL ini telah memberikan kebaikan kepada industri/syarikat
Ini dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar WBL dan menjadi seorang calon
pekerja yang akan memenuhi kehendak industri kerana telah merasai pengalaman
dan suasana bekerja di industri. Keistimewaan ini dapat membantu pelajar WBL
untuk bersaing dalam mendapatkan pekerjaan. Semasa program WBL juga , pelajar
dapat mengenal pasti bahawa ilmu akademik amat berguna dalam kehidupan
mereka dan ini merupakan satu insentif kepada pelajar untuk belajar dengan lebih
tekun.
7.0 Kelebihan Pada Pelajar Diploma
Program Diploma secara WBL ini secara tidak langsung dapat memberi peluang
kepada pelajar dalam menyediakan diri dengan pengalaman sebenar di
industri/syarikat. Ianya amat berbeza dengan Latihan Industri (LI) di peringkat sijil
kerana terdapat silibus yang perlu dipenuhi dan diikuti oleh pelajar. Pelajar secara
tidak langsung terpaksa mendapatkan semua kemahiran bagi memastikan tuntutan
silibus dipenuhi dan akhirnya akan lahirlah pelajar yang benar-benar kompeten
seperti yang dikehendaki di dalam pasaran kerja sekarang.
8.0 Cadangan Program Baharu
Dengan mengambilkira pelbagai perubahan yang dijangka akan berlaku di peringkat
global akibat kepantasan perubahan teknologi, perubahan demografi dan latar
belakang sosio-ekonomi penduduk di negara ini, keperluan untuk menawarkan
program yang menepati kehendak komuniti dan masyarakat setempat di masa
hadapan akan wujud. Antara bidang-bidang yang dicadangkan adalah merangkumi
bidang seperti berikut:
Teknologi Tinggi (High Tech High Value)
Teknologi Hijau
Kesihatan dan Sains
Pendidikan Kewarganegaraan
Hab Halal
Gerontologi
9.0 Kesimpulan
Sesungguhnya Program Diploma secara WBL ini adalah merupakan program yang
sangat unik. Program yang mempunyai kekuatannya tersendiri dan pastinya akan
menyumbang kepada pembangunan negara. Adalah menjadi tanggungjawab kita
bersama agar program ini dapat kita perbaiki dari masa ke semasa agar ianya lebih
kemas dan teratur. Pertambahan staf untuk menjalankan program ini adalah
merupakan faktor yang penting dan perlu diberi perhatian. Sokongan dari semua
pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung amatlah diperlukan agar
program ini dapat berjalan dengan lancar. Semoga harapan semua pihak untuk
melihat Program Diploma secara WBL ini berjaya akan menjadi kenyataan.
Hasli dari pemintaan pelajar bagi program WBL, telah berjaya menghasilkan
graduan yang mampu berdaya saing. Kurikulum yang dibentuk daripada
perbincangan antara pihak syarikat/industri dan kolej komuniti telah melahirkan
pelajar yang berkemahiran tinggi. Tambahan pula kurikulum dibina telah mendapat
kerjasama yang baik dari industri. Penglibatan syarikat/industri dari peringkat
penggubalan kurikulum, pelaksanaan pengajaran dan latihan serta penilaian
bersama kolej komuniti membuktikan kesungguhan semua pihak yang terlibat.
Adalah diharapkan agar program WBL ini dapat diteruskan memandangkan
kebolehpasaran graduan kolej komuniti menunjukkan peratusan yang sangat
cemerlang dari tahun ke tahun.
RUJUKAN
Abdul Shukur Abdullah (2004). ―Strategi Melahirkan Tenaga Kerja Manusia
Bertaraf Dunia‖. Bengkel SKU/SKT. April 2004.
Ahmad B. Othman. 2005. The National Dual Training System: An alternative Mode
of Training for Producing K-Workers in Malaysia? Published in Aminah, et al. 2005.
Human Resource Development: Practices and Directions for a Developed Malaysia.
Serdang: Universiti Putera Malaysia
Anuar Ahmad (2007). ― Pelatihan Dan Pengambilan Tenaga Kerja.‖ Kuala Lumpur.
Ary. D. (2002). ―Testing New Curriculum of Design of Manufacturability (DFM) in
Technical Education.‖ Journal of Industrial Technology, vol 20(4), hal 1-8.
Bailey, T. dan Hughes, K. (1999). ―Employer Involvement in Work Based Learning
Programs.‖ Columbia University : Tesis.
Bahagian Pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti : http://jppkk.mohe.gov.my.
Bank Negara Malaysia (2003). ―Kajian Pengangguran Di Malaysia‖. Dewan Bahasa
dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Benson, J.T. (2007). ―Winsconsin Department of Public Instruction.‖ Madison:
Winsconsin.
Best, J. dan Kahn, H. (1998). ‖Employment and Utilization of Paraeducators in
Inclusive Settings‖. The Journal of Special Education. Bensalem: Vol.35, Iss. 1; pg.
54.
Campbell, A. (2002). ―Factors that Influence Winnipeg Employers to Participate in
Post-Secondary Co-operative Education Programs in Technical Communication.‖
University of Manitoba : Tesis
Chua, Yan Piaw (2006). ―Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah
Penyelidikan‖. Kuala Lumpur : McGraw-Hill Malaysia Sdn. Bhd.
Dr. Abdul Rahim Ahmad, Mohamad Asri Ahmad dan Hj Anuar Ismail (2007).
―Community College Education Through Collaborative Engagement and
Partnerships‖. Kuala Lumpur.
Glass, A., Higgins, K. dan McGregor, A. (2002). ―Delivering Work Based Learning.‖
University of Glasgow: Training and Employment Research Unit.
Green, G. P. (2005). ―Work Based Learning in Rural America: Employer
Participation in School To Work Programs and Apperenticeships.‖ Journal of
Research in Rural Education. 20(16).hlm
Hart, H. dan Glick-Smith, J.L. (1994). ―Trainning in Technical Communication :
Ideas for a partnership between the academy and the workplace. Technical
Communication, 41, 399-405.
Hughes, K.T., Moore, D.T. dan Bailey, T.R. (1999). ―Work Based Learning and
Academic Skills.‖: IEE Working Paper.
Ismail Mohd Salleh (1989). ―Masalah Pendidikan Teknik dan Vokasional.‖ Dewan
Masyarakat, Februari. Halaman 15-16.
Jabatan Statistik Negara (1995). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Jabatan Pembangunan Kemahiran. 2009. Panduan Pelaksanaan Sistem Penilaian
Sistem Latihan Dual Nasional. Malaysia: Kementerian Sumber Manusia.
Jackson, W. (2008). ―Training In British Industry.‖ Emerald Group, Vol 50, No1.
Jailani bin Md. Yunos, Wan Mohd Rashid bin Wan Ahmad, Noraini bte Kaprawi,
Wahid bin Razally. 2006. System of Technical & Vocational Education & Training in
Malaysia (TVET). 2nd International TT-TVET EU-Asia-Link Project Meeting. Malang:
VEDC.
Kraemer, D. (1993). ―The Dual System of Vocational Training in Germany.‖ :
ProQuest Educational Journal, Vol 41.
Lewis. C.R. (1996). ―Curriculum Development In Vocational And Technical
Education: Planning, Content, and Implementation.” Boston: Allyn and Bacon.
Loose, G. and Abdul Hakim Juri (2008). ―Experience-Based Training for Malaysia:
Private Sector Involvement in Training K-Workers‖.
Majdan Daud (2002). ‖Technology And Vocational Technical Education, Globalization And Future Trends‖. Universiti Kebangsaan Malaysia. Kuala Lumpur. Mills, V. dan Whittaker, S. (2001). ―Work Based Learning in Scottish Higher
Education : Policy and Practice‖ Emerald Journal, 8(02), 64-69.
Zuraidah Mohd Zain. 2008. TVET in Malaysia. Malaysia: Universiti Malaysia Perlis.