a. ALLAH LAH YANG MENUNAIKAN SETIAP HAJAT
Setiap hajat yang diminta dan telah diperolehi adalah datang
daripada Allah. Firman Allah SWT:
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku,
maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan
permohonan orang yang berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka
itu memenuhi (segala perintah)-Ku, agar mereka selalu berada dalam
kebenaran."
(Surah al-Baqarah ayat 186)
Adakala seorang hamba lupa untuk berdoa kepada Allah untuk
hajat rezeki tetapi Allah tidak pernah lupa untuk menunaikan hajat
rezekinya. Adakala seorang hamba lupa untuk berdoa kepada Allah
untuk hajat kesihatan tetapi Allah tidak pernah lupa untuk menunaikan
hajat kesihatannya. Dan ada hajat-hajat penting yang seorang hamba
itu tidak mengetahuinya dan masih lagi Allah tidak lupa untuk
memenuhi setiap hajat-hajat hamba tersebut dan Allah akan terus
menunaikan setiap hajat itu.
Adakala seorang hamba meminta untuk perkara yang mereka
mahu tetapi lupa meminta kepada perkara yang mereka perlu. Ada
yang meminta perkara yang dibenci Allah, tetapi lupa untuk meminta
perkara yang disukai Allah. Dan ada yang hanya meminta untuk hajat
dunia tetapi lupa untuk meminta hajat akhirat pula.
Seperti mana di kedai makan, seseorang yang meminta air teh
akan mendapat dua perkara iaitu air teh dan gelas, tetapi seseorang
yang meminta gelas hanya mendapat gelas. Maka seperti itu juga
sesiapa yang meminta akhirat, pasti Allah berinya dua perkara iaitu
akhirat yang disertakan kepadanya dunia. Namun sesiapa yang hanya
meminta dunia, maka dunia sahaja lah yang dia akan dapat.
kebiasaan seorang hamba apabila berpeluang memiliki doa
yang makbul, tentunya doa itu untuk hajat dunianya sahaja. Namun,
para wali serta ulama terdahulu yang memiliki doa yang makbul,
sangat prihatin terhadap apa yang mereka ingin doakan. Apabila doa
yang makbul hanya digunakan untuk hajat dunia dan tidak digunakan
untuk hajat akhirat, mereka akan merasa suatu kerugian yang besar.
Suatu kisah mengenai Ibnu Habirah iaitu penulis buku al-Ifshah
merupakan salah seorang menteri yang paling agung dan paling
zuhud dalam sejarah islam. Beliau merupakan tokoh yang menjawat
jawatan menteri pada masa pemerintahan al-Mustanjid (empayar
Abbasiyah). Beliau juga menganut akidah salafi, bermazhab Hambali,
ahli hadis dan orang yang takut kepada Allah SWT.
Pada suatu petang hari Jumaat, beliau duduk di majlis yang
membahas hadith. Salah seorang ulama membacakan suatu hadith
kepadanya. Lalu beliau menangis dengan tangisan yang kuat
sehingga orang-orang berkata, “Mungkin dia akan meninggal malam
ini.”
Ketika datang ke kota Mekah, ternyata kaum muslimin di kota
itu sedang menderita akibat terik matahari yang panas membakar. Air
habis, orang-orang mencari air ke sana ke mari. Mereka hampir binasa
kerana kehausan. Ibnu habirah kemudian berwuduk lalu mengangkat
kedua tangannya seraya berdoa, “Ya Allah, siramilah kami dengan
hujan, ya Allah, siramilah kami dengan hujan.”
Ketika matahari hampir terbenam, hujan telah turun dengan
lebat membasahi penduduk Mekah. Hujan itupun diiringi dengan salji
dan embun. Melihat keadaan ini, Ibnu Habirah mengambil air itu dan
berkata, “Seandainya tadi aku memohon keampunan kepada Allah!
Seandainya tadi aku memohon keampunan kepada Allah!”
Dewasa ini, ramai yang keliru mengenai perkara yang perlu dan
tidak perlu diperolehi. Mereka akan menangis jika gagal memperoleh
hajat yang membinasakan mereka dan mereka menjauhi daripada
hajat yang bakal menyelamatkan mereka. Mereka menangis dan
kecewa apabila gagal di dalam uji bakat nyanyian atau lakonan dan
gagal dalam berjudi dan nombor ekor, walhal ketika mereka telah
gagal dalam perkara tersebut, mereka sedang terselamat daripada
perkara yang membinasakan.
Doa juga merupakan senjata orang Islam yang dengannya
orang Islam dapat menyelesaikan masalah dunia dan akhirat. Zaman
ini tidak ramai yang meyakini bahawa masalah boleh diselesaikan
dengan doa sedangkan orang-orang terdahulu telah banyak
dipermudahkan masalah-masalahnya selepas berdoa.
Terdapat suatu kisah mengenai seorang ahli hikmah bernama
Muttahrrif. Ketika, Hajaj bin Yusuf memenjarakan Mauruq al-‘Ajali,
Muttharrif berkata pada para sahabatnya, ”Mari kita berdoa.
Aminkanlah.”
Lalu beliau berdoa dan teman-temannya mengaminkan doa
tersebut. Ketika waktu Isya tiba, Hajaj keluar dan memerintahkan
Mauruq untuk dibebaskan.
Barang siapa yang bersangka baik terhadap doa yang diminta
dan tidak bersangka buruk terhadapnya maka doanya pasti
dimakbulkan. Dan tidak pula sesuatu doa itu dimakbulkan sekiranya
awal-awal lagi sudah bersangka buruk terhadap doa tersebut dan tidak
yakin ia akan dimakbulkan.
b. BERHARAP DAN MEMINTALAH HANYA PADA ALLAH
Manusia suka meminta kepada manusia tetapi tidak mahu
untuk meminta kepada Allah SWT. Mereka juga suka menjaga
hubungan baik dengan manusia tetapi memutuskan hubungannya
dengan Allah SWT. Manusia telah meminta sesuatu kepada yang
tidak dapat memberi apa-apa yang mereka minta dan meninggalkan
jauh Allah yang sebenarnya Maha memberi semua yang manusia
minta.
Pernah suatu hari Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa
dengan cucu kepada Umar bin Al-Khattab, seorang yang warak, zuhud
lagi alim bernama Salim bin Abdullah bin Umar al-Khattab. Keduanya
berada di Baitullah. Khalifah bertanya: “Apakah kamu mempunyai
hajat kepadaku, wahai Salim?”
Salim menjawab: “Wahai Sulaiman tidakkah engkau malu
mengatakan itu padahal engkau berada di Baitullah?”
Kemudian Salim keluar dan Sulaiman menunggunya di luar
Baitullah dan kembali bertanya: “Apakah kamu mempunyai keperluan
kepadaku?”
Salim bertanya juga: “Keperluan dunia atau akhirat, wahai
khalifah?”
Sulaiman menjawab: “Keperluan dunia.”
Salim berkata: “Adapun tentang keperluan dunia, kepada Yang
Memilikinya pun aku tidak pernah meminta, bagaimana mungkin aku
memintanya kepada yang tidak memilikinya?”
Dalam kisah yang lain, telah datang seorang lelaki memberikan
wang sebanyak 40 dinar kepada Rabi’ah Adawiyah rah. Ia berkata
kepada Rabi’ah Adawiyah rah, “gunakanlah wang ini untuk keperluan-
keperluanmu”.
Mendengar perkataan itu, Rabi’ah Adawiyah menangis. Ia
mengadahkan mukanya ke langit, seraya berkata, “Tuhan telah
mengetahui, bahwa aku malu meminta barang-barang duniawi
kepada-Nya, padahal Dia lah yang memiliki dunia ini. Oleh kerana itu,
bagaimana mungkin aku akan meminta duniawi kepada orang yang
sebenarnya tidak memiliki dunia itu?”.
Ada di kalangan kita yang meminta dan permintaannya ditunaikan
dan ada juga yang meminta dan permintaannya tidak ditunaikan. Jika
ia tidak ditunaikan awal mungkin ia akan ditunaikan lewat. Jika
permintaannya tidak sesuai dengan keadaanya ketika itu, maka ia
diganti dengan sesuatu yang lebih baik oleh Allah kerana Allah lebih
mengetahui apa yang hamba-Nya lebih perlu.
Seperti mana seorang anak bongsu yang masih kecil memegang
baju ayahnya dan meminta duit seratus ringgit, kemudian ayahnya
tidak memberi duit itu tetapi menggantikannya dengan gula-gula.
Namun begitu, apabila anak sulungnya pula meminta duit seratus
ringgit untuk perbelanjaan di universiti, maka ayah itu akan segera
memberi duit itu kepada anak sulungnya.
Bukanlah ayah itu seorang yang berat sebelah, tetapi dia lebih tahu
apa yang sesuai dan apa yang tidak sesuai dalam menunaikan
permintaan anak-anaknya itu.
Maka perlulah kita fahami bahawa Allah hanya memberi apa
yang kita perlu dan bukan apa yang kita mahu. Seperti mana kata-kata
ulama, “kamu ada kehendak dan Allah juga ada kehendak. Allah buat
apa yang Allah hendak dan bukan apa yang kamu hendak.”
Telah berkata Syeikh Ibnu Athaillah As-Sakandar, “Janganlah
kau tuntut Tuhanmu kerana tertundanya keinginanmu, tetapi tuntutlah
dirimu sendiri kerana engkau telah menunda adabmu kepada Allah.”
BERSYUKUR DI KALA SUKAR ATAUPUN SENANG
Bersyukur kepada manusia hanyalah ketika datangnya
kesenangan dan kemudahan. Apabila perkara yang tidak disukai
menimpa ke atas manusia, maka mereka sukar untuk bersyukur
terhadapnya. Namun, apabila mereka mula mencari hikmah disebalik
musibah yang menimpanya, hikmah yang dijumpai itu jauh lebih
bernilai daripada kesenangan yang selalu mereka dapat.
Kita diberi nikmat kesihatan dan diberi nikmat keluarga atau
kawan sebagai peneman, lalu Allah uji dengan tidak memberi apa
yang kita inginkan. Kemudian kita merungut dan kecewa kerana hal itu
walhal nikmat yang sedia ada itu sudah cukup besar tetapi kita tidak
memandangnya.
Ulama menyebut bahawa “Sifat seseorang yang tidak
bersyukur, apabila diberi sesuatu dia tidak pandang, dan apa yang dia
belum dapat, dia bebel-bebelkan. Oleh itu, apabila kita tidak mampu
dapat apa yang kita sukai, maka sukailah sahaja apa yang kita telah
dapat.”
Sabda Rasulullah saw, “Sesungguhnya Allah meredhai seorang
hamba yang memakan dengan sekali makan dan meminum dengan
sekali minum, kemudian dia memuji Allah terhadap rezeki itu.”
Tanda seseorang yang bersyukur ialah dia memperbesarkan
nikmat yang diberi meskipun nikmat itu kecil sahaja. Ini kerana dia
lebih memandang keagungngan Pengurnianya iaitu Allah swt lebih
daripada memandang apa yang dikurniakan. Namun untuk bersyukur
juga tidak begitu mudah. Untuk bersyukur terhadap nikmat yang diberi
itu, tidak ramai yang mampu, apatah lagi untuk bersyukur terhadap
musibah yang menimpa.
Adakala seseorang hamba itu telah rasai dan telah memiliki
setiap perkara yang nikmat di dunia, namun apabila mendengar
perkara-perkara tentang solat, menutup aurat atau perintah-perintah
Allah, telinganya bagai terbakar dan hatinya ingin menjauhinya.
Abu Darda’ radhiyallahu’anhu berkata, “Aku senang dengan
kemiskinan, kerana hal itu semakin membuatku merendah kepada
Rabbku. Aku senang dengan kematian, kerana kerinduanku kepada
Rabbku. Dan aku menyukai sakit, kerana hal itu akan menghapuskan
dosa-dosaku.”
Telah berkata Siriy Assaqathi, “Barang siapa tidak meghargai
nikmat, maka nikmat itu akan diambil dalam keadaan ia tidak
mengetahuinya.”
SESUNGGUHNYA BERSAMA KESULITAN ADANYA KESENANGAN
Kita mengenali musibah sebagai sesuatu yang buruk, sesuatu
teruk dan sesuatu yang dibenci. Kita tidak dapat mengaitkan musibah
dengan sesuatu yang baik dan dan sesuatu yang disukai. Namun,
benarkah setiap musibah itu terlalu buruk dan langsung tiada
kebaikan?
Allah berfirman:
“maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”
(surah asy-syarh: 5-6)
Allah memberitahu kita bahawa, sebagaimana bersama
kesenangan adanya kebaikan, maka bersama kesusahan juga tetap
adanya kebaikan. Dalam apa-apa keadaan yang ditimpakan kepada
manusia sama ada susah atau senang, mereka akan diberi pelbagai
kebaikan melaluinya. Sekiranya kita redha dengan apa yang berlaku
dan bersangka baik, maka mata kita akan dibuka untuk melihat jutaan
kebaikan yang bakal menunggu.
Terdapat perkara buruk yang tidak mampu dihilangkan daripada
seseorang melalui nasihat atau ilmu melainkan ia hanya dihilangkan
dengan didatangkan musibah atau kesusahan kepadanya. Ini kerana
musibah membantu menghilangkan riak daripada hati, menghilangkan
kelalaian, menghilangkan fikiran yang sempit dan menghilangkan
rakan-rakan yang buruk.
Seorang yang kaya dan riak, apabila di timpa musibah lalu dia
menjadi miskin, maka musibah itu menghilangkan dirinya daripada
sifat riak. Seorang yang lalai apabila di timpa musibah lalu dia sakit,
maka musibah itu membawanya kembali untuk ingat kepada kematian.
Seorang yang berfikiran sempit, apabila ditimpa musibah lalu dia
dibenci orang ramai, maka dengan musibah itu dia akan memperbaiki
dirinya dan mula berfikiran jauh. Seorang yang berkawan dengan
kawan yang buruk, apabila di timpa musibah lalu kawan yang buruk itu
meninggalkan dia, maka dengan musibah itu dia telah mengenali sifat
sebenar kawan-kawannya itu.
Untuk sentiasa bersyukur, kita hendaklah sentiasa memandang
nikmat Allah yang masih kita miliki dan jangan terlalu memandang
nikmat yang masih belum kita miliki atau nikmat yang telah di ambil
oleh-Nya.
Terdapat satu peristiwa yang berlaku pada zaman dahulu,
seorang murid telah mengadu kepada gurunya iaitu seorang ulama
besar bahawa rumahnya telah dirompak. Lalu dia mengatakan bahawa
sesuatu yang pelik telah berlaku ketika dia dirompak.
Murid itu menceritakan, “ketika aku diikat oleh perompak
tersebut, ketua mereka telah membisikkan sesuatu kepadaku bahawa
“bersyukurlah kamu kepada Allah kerana sekurang-kurangnya aku
menceroboh rumahmu dan aku merompak hartamu. Apa
pandanganmu jika iblis menceroboh hatimu dan merompak iman dan
taqwamu. Lalu apa yang kamu ada untuk hidup di akhirat?”
Murid itu seolah-olah tersedar lalu berkata, “aku halalkan
bagimu hartaku dunia dan akhirat”
Apabila musibah ditimpa kepada nikmat yang sementara dan
Allah telah selamatkan daripada menimpa kepada nikmat yang lebih
besar lagi, maka pasti seseorang akan lebih menghargai apa yang
masih ada daripada bersedih mengenangkan apa yang telah hilang.
Pernah seorang ulama sufi berkata, “apa sahaja yang berlaku
kepada kami atau musibah yang dipandang buruk oleh orang awam,
kami menikmatinya sebagai anugerah Tuhan”
Apabila kebenaran bertentangan dengan nafsu maka manusia
tertutup hatinya dan tertutup pandangannya untuk melihat kebenaran
itu. Akibat daripada ini, ramai yang tidak mampu melihat apa-apa
kebaikan daripada musibah yang menimpa. Ada di antaranya
berputus asa dalam hidup, selalu tertekan, menjadi gila dan akhirnya
membunuh diri.
Maka bersangka buruk dengan musibah atau kesukaran hidup
menghijabkan mata daripada melihat ribuan kebaikan yang datang
melaluinya. Akibatnya ramai manusia yang semakin jauh daripada
Allah setelah ditimpa musibah.
MELIHAT MUSIBAH DARI PANDANGAN AKHIRAT
Barang siapa tidak diuji dengan bencana atau kesusahan, maka
tidak ada sebuah kebahagiaanpun baginya di sis Allah. (Adh-
Dhahhak).
Manusia tidak tahu apa yang baik untuk dirinya dan apa yang
tidak baik untuk dirinya. Allah lah yang lebih tahu apa yang baik dan
tidak pula Allah menzalimi hamba-hambanya. Dinyatakan ulama
bahawa sekiranya ditimpa musibah, seseorang itu perlu memahami:
Allah telah menetapkan pada zatNya yang Maha Agung
iaitu Dia tidak akan menzalimi mahkluk-mahklukNya.
o Dari anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw
bersabda “sesungguhnya besarnya pahala
bergantung dengan besarnya ujian atau penderitaan.
Dan sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu
kaum, Dia akan menguji mereka (dengan
penderitaan). Oleh itu, barangsiapa yang meredhai
ujian Allah, Allah juga akan meredhainya. Dan
barangsiapa yang tidak redha, Allah juga tidak
meredhainya.
Allah turunkan musibah adalah kerana ingin
menghampus dosa manusia sehingga manusia itu nanti
bertemu dengan Allah dengan jasad yang bersih dari
segala dosa dan Allah cinta kepadanya.
o Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa
Rasulullah saw bersabda: kadangkala seorang
mukmin dan seorang mukminah tetap berada
dalam ujian dan penderitaan disebabakan dirinya
sendiri, anak-anaknya dan harta kekayaannya.
(akibat dari itu terhampus dosanya) sehingga dia
bertemu dengan Allah (dalam keadaan) yang tiada
dosa yang tinggal padanya. (HR Tirmizi)
Allah timpakan musibah untuk mengalih pandangan
manusia daripada lalai darinya menjadi ingat kepadanya.
Jika sudah selesa, manusia cepat lupa dan lalai. Bagaimanakah
manusia masih boleh tergelak menikmati maksiat sedangkan di
belakang manusia itu telah berdiri malaikat azab yang telah bersiap
sedia menenggelamkan bumi yang mereka pijak? Mengapa asyik
membela kemungkaran sedangkan langit boleh runtuh pada bila-bila
masa saja? Mengapa mereka mabuk melayan nafsu sedangkan
malaikat maut mengintai dari dekat, sedekat urat leher yang melekat?
Dalam satu athar diriwayatkan bahawa Umar berkata, “Setiap kali
aku ditimpa musibah, aku berfikir empat perkara, dengan demikian
jiwaku akan merasa tenang, iaitu:
Pertama: Aku berfikir siapakah yang memberikan aku musibah ini?
Dia adalah Allah. Maka dengan segera jiwaku menjadi tenang.”
Kedua: Aku berfikir bahawa Allah mampu menimpakan kepadaku
musibah yang lebih besar daripada yang kuhadapi, dan Allah hanya
memberikanku setakat ini sahaja, lantas aku memuji Allah atas
musibah yang sedikit ini.”
Ketiga: aku selalu ingat sabda Rasulullah bermaksud:
“Tidaklah seorang mukmin terkena satu duri dan yang lebih besar
daripada itu kecuali Allah mengangkatnya satu darjat atau
menghapuskan daripadanya satu dosa.” (Daripada ‘Aisyah, Riwayat
Muslim)
Keempat: Aku berfikir bahawa musibah ini hanyalah di dunia dan
bukannya musibah di akhirat.
Untuk seseorang dekat dengan Allah, perlu kepada hati yang
dekat dengan Allah. Dan hati yang dekat dengan Allah kerap kali
datang apabila musibah menjengah kehidupan kita. Bila dia sedih, dia
semakin khusyuk di dalam solatnya dan di dalam doanya, bila dia ingin
keluar daripada kesedihan di dunia maka dia akan berfikir untuk
kebahagiaan di akhirat,
Hidup yang senang adalah keinginan semua umat manusia,
namun seringkali pula kesenangan itu telah membawa manusia jauh
daripada Tuhan mereka. Dan kesedihan hidup adalah kebencian
semua umat manusia, namun seringkali pula kesedihan itu telah
membawa manusia kembali dekat kepada Tuhan mereka.
Apabila kita hidup di dunia dengan senang lenang maka untuk
menangis di dalam doa menjadi sukar. Tetapi, manusia yang sentiasa
diuji oleh Allah itu akan dilembutkan hatinya lalu baginya menangis di
dalam doa menjadi mudah.
Dari Abdullah Bin ‘Amru Bin ‘As r.huma berkata, rasulullah saw
bersabda ketika menceritakan tentang ahli neraka: penghuni-penghuni
neraka (ketika di dunia) keras hatinya, orang-orang yang bengis,
bermegah diri, sombong, suka menghimpunkan harta dan kekayaan
berlebihan. Dan ahli-ahli syurga itu adalah orang yang lemah, dan
orang-orang yang tertekan.(HR Musnad Ahmad)
Dari Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa nabi saw bersabda:
pada hari kiamat nanti seorang yang syahid akan dipanggil dan akan
dihisab, kemudian seorang yang dermawan dan banyak bersedekah
akan dipanggil dan mula dihisab. Kemudian akan dibawa seorang
yang sering ditimpa bala dan kesusahan, tidak ada baginya hisab dan
tidak ada untuknya pengadilan. Kemudian ditunjukkan kepada mereka
betapa banyaknya ganjaran bagi orang-orang yang bersabar dalam
bala dan kesusahan sehingga orang-orang yang hidup senang
berangan-angan; alangkah baiknya jika tubuhnya dipotong-potong
dengan gunting, supaya mendapat ganjaran musibah tersebut. (HR
Tabrani)
Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a dari Nabi Saw bersabda, ”Tiada
suatu musibah (penyakit) yang menimpa badan seorang mukmin,
malainkan Allah Swt akan menghapus dosa dosanya.” Mendengar hal
itu Ubai bin Ka’ab berdo’a ,”Ya Allah! Saya memohon kepada-Mu agar
tubuh Ubai bin Ka’ab selalu ditimpa sakit panas sampai dia bertemu
dengan-MU, tetapi sakit panas yang menimpaku itu jangan sampai
menghalangiku untuk mengerjakan solat, puasa, haji, umrah dan
berjihad dijalan-Mu.” Maka pada saat itu pula dia mendapat sakit
panas dan sakitnya itu tidak pernah hilang sampai dia meninggal dunia
tetapi dalam keadaan sakit panas itu dia tetap dapat menjalankan
ibadah solat berjama’ah, puasa, haji, umrah dan berjihad dijalan Allah.”
(HR. Ibnu Asyakir).
Dalam riwayat lain, diberitakan dari Abu Sa’id Al Khudri ra
berkata, ”Ada seeorang yang berkata, ”Ya Rasulallah, bagaimanakah
menurutmu apabilah penyakit penyakit itu menimpa kami apakah
balasan yang akan kami terima?” Nabi Saw bersabda, ”Penyakit-
penyakit itu menjadi kifarat (penghapus).” “Walaupun penyakit itu
ringan?” Nabi menjawab, ”Ya walaupun tertusuk duri atau yang lebih
ringan dari itu.”
Setelah mendengar sabdaan Nabi Saw maka Ubai bin Ka’ab
berdoa untuk dirinya supaya dia tertimpa sakit kuat hingga akhirnya
beliau meninggal, tetapi dia meminta supaya sakitnya ini tidak
menghalanginya untuk menunaikan haji, umrah, solat dan jihad.
Teryata doa Ubai dikabulkan dan apabila seseorang meletakan
tanganya ditubuh Ubai maka ia mendapati tubuhnya semakain panas
hal ini terjadi sampai beliau wafat.” (HR Ibnu Asyakir)
Berdasarkan daripada ayat al-Quran dan Hadith tersebut,
musibah atau kesusahan tersembunyi pelbagai hikmah kepada
manusia sekiranya manusia benar-benar melihat dari sudut
pandangan akhirat. Inilah punca kepada kejayaan sahabat-sahabat
ra.hum di dalam menempuh ujian di dunia. Mereka sentiasa
memandang dari sudut akhirat sehingga setiap musibah yang
ditimpanya dilihat baik baginya.
Maka perlulah manusia itu bersyukur terhadap apa sahaja yang
menimpa dirinya kerana di dalam ujian Allah itu ada tersembunyi
jutaan kebaikan dan keberkatan yang menunggu mereka di akhirat.
Satu orang yang berkat hidupnya akan di lapangkan Allah dadanya.
Walaupun hidup di rumah yang kecil, tetapi rumah yang kecil itu akan
terasa lapang baginya. Tetapi orang yang tidak berkat hidupnya akan
disempitkan Allah dadanya, walaupun hidup di dalam rumah yang
besar, tetapi rumah yang besar itu terasa sempit baginya.
Terdapat seorang remaja bermasalah telah lari dari rumah
sedangkan dia memiliki keluarga yang kaya dan rumah yang besar.
Setelah ditanya mengenai sebab dia melarikan diri, maka remaja itu
menjawab, “Rumah saya terlalu besar dan luas sehingga ia
menjauhkan saya daripada melihat wajah ibu bapa saya di dalamnya.”
Dari Syaddad Bin Aus r.a meriwayatkan, aku mendengar
Rasulullah saw bersabda: sesungguhnya Allah swt telah berfirman:
(Apabila) Aku menimpakan kepada seorang hambaku yang mukmin
(dengan kesengsaraan, kesukaran, penyakit dan sebagainya) dan dia
memuliakanku (tetap bersyukur kepadaku) meskipun malapetaka ini
ada padanya, Aku perintahkan (malaikat untuk) terus mencatit semua
amal kebaikannya sebagaimana dia kerjakan pada waktu dia sihat.
(HR Tabrani, Majma uz Zawaid dan Musnad Ahmad)
Islam adalah agama yang sentiasa memberikan motivasi
berbentuk ganjaran akirat agar kita tidak terlalu melihat kehidupan dari
sudut pandangan keduniaan. Apabila manusia terlalu melihat musibah
daripada sudut pandangan keduniaan, maka mereka akan terlebih
dahulu berputus asa dalam hidup. Dan apabila manusia melihat
musibah itu dari pandangan akhirat, mereka akan sukar untuk
berputus asa dalam hidup dan masih mampu menikmati hidup dengan
kebahagiaan. Dan kebahagiaanlah perkara yang setiap manusia ingin
mencarinya namun sedikit sekali yang dapat.
BERLAPANG DADA DAN JANGAN MENYEMPITKANNYA
Manusia seharusnya berlapang dada dalam menghadapi
keadaan persekitaran yang baru dan jangan terlalu berkeras dengan
pendapat sendiri sehingga mencetuskan pergaduhan. Oleh itu, jalan
bagi mengatasi tekanan hidup ialah melapangkan dada dan jangan
menyempitkannya.
Suatu keuntungan bagi mereka yang memiliki hati yang lapang
manakala suatu kerugian bagi mereka yang memiliki hati yang sempit.
Ini kerana hati yang sempit sering kali menggagalkan seseorang
walaupun dia benar. Namun hati yang lapang, sukar menggagalkan
seseorang walaupun dia silap atau kalah.
Seganggam kopi jika diletakkan di dalam secawan air, ia
menjadi sangat pahit, tetapi sekiranya kopi tersebut diletakkan di
dalam sebaldi air, maka pahit itu akan hilang. Begitu juga sekiranya
seseorang itu melapangkan dadanya, maka masalah yang datang
tidak menjadi pahit baginya. Tetapi apabila manusia menyempitkan
dadanya, masalah kecil akan menjadi sangat besar dan membawa
kepahitan seumur hidup.
Ujian yang berlaku tetap akan berlaku dan ia tidak akan pergi
walaupun menangis air mata darah sekalipun. Maka lapangkan dada
ini agar masalah yang dihadapi tidak terasa begitu berat. Masalah itu
hanya bermasalah pada hari ia berlaku dan ia tidak lagi suatu masalah
pada hari yang mendatang. Dan kesusahan hari ini hanya
menyedihkan kita untuk hari ini, namun pada masa akan datang ia
akan sangat dikenang dan dihargai. Bukankah kita pernah ketawa
apabila bercerita semula ujian-ujian yang pernah di lalui kepada rakan-
rakan?
TAULADAN DARIPADA KISAH NABI AYUB YANG DITIMPA MUSIBAH
“Ingatlah akan hamba-Ku Ayyub, ketika dia berseru kepada tuhanNya:
Sesungguhnya aku telah diganggu syaitan sehingga susah dan terseksa.”
(Surah Shad ayat 41)
Syaitan pernah meminta keizinan daripada Allah untuk menguji
Nabi Ayyub, lalu dia berkata, “Tuhanku, berilah aku kekuatan untuk
menggoda Ayyub; maka perhatikanlah bagaimana saya membuat dia lupa
mengingatiMu dan menyibukan dia daripada beribadat kepadaMu.”
Maka Allah pun memberikan kekuasaan kepada Iblis terhadap
sesuatunya, kecuali jiwa(hati) dan lidah(ucapanya) Nabi Ayyub. Maka Iblis
menuju ke tepi laut lalu berseru dengan seruan yang sangat keras,
sehingga semua bangsa Jin baik jantan ataupun bertina berkumpul di
sisinya seraya berkata: “Apakah gerangan yang menimpa engkau?”
Iblis menjawab: “Sesungguhnya saya mendapat kesempatan yang
belum pernah saya perolehi seperti ini sejak daripada saya telah berhasil
mengeluarkan Adam dari syurga. Maka, oleh sebab itu, bantulah saya
dalam memperdayakan Ayyub.”
Maka mereka cepat-cepat bertebaran dan membakar serta
merosakan semua harta kekayaan Nabi Ayyub a.s. Lalu Iblis pergi
menemui Nabi Ayyub a.s yang sedang berdiri menunaikan solat di dalam
rumah ibadahnya.
Kata Iblis “Apakah engkau tetap menyembah Tuhanmu dalam
keadaan yang kritikal ini, sesungguhnya Dia, Tuhanmu telah menuangkan
api dari langit, yang memusnahkan semua harta kekayaanmu, sehingga
semuanya menjadi abu?”
Nabi Ayyub tidak menjawabnya sehingga dia selesai
menyempurnakan solatnya, lalu Nabi Ayyub berkata: “Alhamdulillah! Dia
yang telah memberikan kurnia lalu mengambilnya pula dari saya.”
kemudian dia bangkit kembali meneruskan solatnya.
Maka Iblis pun pulang dengan tangan hampa, serta merasa terhina
dan menyesali terhadap kegagalannya. Dan Nabi Ayyub itu mempunyai
14 orang anak, lapan lelaki dan enam orang wanita dan mereka setiap
hari akan makan di rumah-rumah saudaranya. Dan ketika itu mereka
sedang berada di rumah saudaranya yang terbesar iaitu Hurmula.
Maka berkumpullah para syaitan dan mengelilingi rumah itu serta
melemparkan rumah itu bersama anak-anak Nabi Ayyub a.s sehingga
mereka itu mati semuanya di satu meja makan. Di antara mereka, ada
yang sedang memasukan sesuap makanan ke dalam mulutnya dan ada
pula yang sedang memegang gelas di tanganya.
Maka Iblis pergi kepada Ayyub, sedangkan dia(Ayyub) dalam
keadaan berdiri menunaikan solat. Kata Iblis “Apakah engkau tetap
menyembah Tuhanmu? sesungguhnya Dia telah melempar rumah di
mana anak-anak mu berada, sehingga mereka mati semuanya?”
Nabi Ayyub tidak menjawab sedikitpun, sehingga dia selesai
mengerjakan solatnya. Lalu Nabi Ayyub berkata: “Hai Iblis terkutuk,
Alhamdulillah! Dia telah member dan mengambilnya pula dari saya.
Semua harta dan anak adalah fitnah untuk laki-laki dan wanita, maka Dia
(Allah) mengambilnya dari saya, sehingga saya dapat bersabar lagi
tenang untuk beribadah kepada Tuhan saya.”
Iblis pun kembali dengan tangan hampa, rugi besar dan terkutuk.
Lalu Iblis datang kembali, sedangkan Nabi Ayyub sedang mengerjakan
solat. Maka ketika Nabi Ayyub sujud, Iblis meniupkan di hidung dan
mulutnya sampai badan Nabi Ayyub a.s berkembang dan berpeluh
banyak dengan banyak sehingga dia merasa badannya menjadi berat.
Berkata isterinya Rahmah: “Ini semua adalah kerana kesusahanmu
terhadap harta yang telah musnah dan anak-anak yang telah mati,
sedangkan engkau tetap beribadah di waktu malam dan berpuasa di
siang hari tanpa henti-hentinya walaupun satu saat dan masih juga tidak
merasa cukup.”
Lalu Nabi Ayyub a.s terkena penyakit kudis seluruh tubuhnya,
mulai dari kepala sampai ke kakinya, bahkan mengalir dari badannya
darah bercampur nanah serta berulat yang berjatuhan dari kudis di
badannya. sanak saudaranya dan teman-temannya menjauhkan diri
daripadanya kerana musibah itu.
Nabi Ayyub a.s mempunyai tiga isteri. lalu dua daripada tiga isteri-
isterinya meminta cerai dan diapun menceraikannya. Kini Nabi Ayyub
hanya tinggal satu isteri iaitu Rahmah, yang selalu melayaninya siang
malam sehingga datanglah para wanita tetangganya seraya berkata: “Hai
Rahmah! Kami semua takut kalau penyakit suamimu Ayyub akan menjalar
kepada anak-anak kami. Maka keluarkanlah dia dari lingkungan kita ini.
kalau tidak, maka kami akan mengeluarkan engkau disini dengan cara
paksa!!”
Maka Siti Rahmah pergi dengan membungkus pakaiannya, serta
membawanya (Nabi Ayyub a.s) dan berseru dengan suara yang keras:
“Aduh berat sungguh bebanan ini, kami harus pergi merantau dan
berpisah. mereka telah mengusir kami dari negeri kami dan kampong
kami.”
Siti Rahmah mendukung Nabi Ayyub di punggungnya sedangkan
air mata mengalir di pipinya, dia terpaksa pergi jauh sambil menangis
melihat keadaan rumah lamanya yang sudah rosak dan dijadikan tempat
pembuangan sampah. kemudian Siti Rahmah meletakkan Nabi Ayyub di
atas sampah. Lalu keluarlah penduduk desa itu dan mereka melihat
keadaan Nabi Ayyub, maka mereka berkata: “Bawalah suamimu itu jauh-
jauh dari kami, kalau tidak maka akan kami bawakan anjing-anjing kami
biar memakannya.”
Siti Rahmah pun membawanya sambil menangis ketempat yang
jauh dan meletakkannya di tempat itu, Siti Rahmah berulang alik ke
tempat itu daripda rumahnya dengan membawa kapak dan tali temali,
untuk membuat rumah dari kayu. Kemudian dia datang lagi dengan
membawa segulung tikar dan menghamparkannya di bawah Nabi Ayyub
dan diambilkannya pula batu untuk bantalnya dan membawa tempat air
yang biasa digunakan oleh para penggembala untuk beri minum binatang-
binatang ternak mereka.
Nabi Ayyub berkata kepada Siti Rahmah, “Kembalikan engkau, dan
saya berpesan kepadamu, seandainya engkau mahu, aku bebaskan
engkau dariku dan meninggalkan aku di sini.”
Kata Siti Rahmah, “Engkau jangan khuatir, wahai suamiku,
sesungguhnya saya tidak akan meninggalkan engkau selama hayat di
kandung badan.”
Siti Rahmah lalu pergi ke sebuah desa dan bekerja setiap hari
memotong roti dan dia dapat memberi makan suaminya Ayyub. Namun
apabila penduduk desa mengetahui bahawa dia adalah isteri Ayyub. Maka
mereka tidak mahu lagi memberinya pekerjaan, malahan mereka berkata:
“Pergilah engkau jauh-jauh kerana kami merasa jijik kepadamu.”
Maka Siti Rahmah menangis dan berdoa: “ Ya Tuhanku, Engkau
talah melihat keadaanku, sesungguhnya terasa sempit dunia ini bagiku,
sedang orang-orang telah merendahkan kami di dunia ini, maka janganlah
Engkau kiranya merendahkan kami di akhirat kelak, ya Tuhanku!”
Adalah Nabi Ayyub, seringkali terdapat ulat yang terjatuh dari
badannya, maka diambilnya dan diletakkannya kembali dibadanya dan dia
berkata: “Makanlah olehmu setiap apa-apa yang telah direzekikan
kepadamu oleh Allah swt.” Maka tidak tertinggal dagingnya dan hanyalah
tinggal tulang-belulang yang dilapisi kulit dengan jaringan saraf saja yang
kelihatan. Namun hatinya tidak pernah kosong dari rasa syukur kepada
Allah dan lidahnya tidak pernah diam dari zikir kepada Allah. Ada
diriwayatkan bahawa Nabi Ayyub mengalami sakit seperti itu selama 18
tahun.
Pada suatu hari Siti Rahmah berkata kepada Nabi Ayyub: “Engkau adalah
seorang Nabi yang mulia terhadap Tuhanmu, seandainya engkau berdoa
kepada Allah swt supaya Dia (Allah) menyembuhkanmu?”
Kata Nabi Ayyub a.s kepada Siti Rahmah: “Lapan puluh tahun.
Sesungguhnya saya merasa malu kepada Allah swt, untuk meminta
kepadaNya sebab waktu cubaanNya belumlah memadai dibandingkan
masa senangku.”
Dan ketika badan Nabi Ayyub sudah tidak ada lagi daging yang
akan dimakan, maka ulat-ulat itu saling memakan di antara mereka,
hingga akhirnya tinggal dua ekor ulat yang selalu berkeliaran di badan
Nabi Ayyub dalam usaha mencari daging tetapi tidak mereka dapatinya
kecuali hati dan lidah Nabi Ayub. Maka yang satu pergi ke hati dan
memakan hatinya dan satu lagi pergi ke lidah dan menggigitnya.
Disaat itulah Nabi Ayyub a.s berdoa kepada Tuhannya seraya
berkata: “Sesungguhnya aku telah ditimpa bahaya yang dahsyat,
sedangkan Engkau Zat Yang Maha Pengasih.”
Hal ini tidaklah termasuk dalam kategori keluh kesah dan tidak pula
bererti keluar dari golongan orang yang sabar. Oleh kerana itu Allah swt
berfirman:
“Sesungguhnya dia Kami dapatkan sebagai orang yang sabar.”
Kerana sesungguhnya, Nabi Ayyub itu tidak bersusah hati terhadap
hartanya dan anak-anaknya, yang telah hilang musnah, bahkan dia
merasa susah kerana cemas terputus “dari syukur dan zikir” kepada Allah
swt. Maka seakan akan dia berkata: “Tuhanku, aku bersabar atas segala
cubaanMu selama hatiku masih sibuk untuk bersyukur kepada Mu dan
lidahku dapat berzikir kepada Mu, dan apabila keduanya itu telah rosak
(hilang) daripadaku, bererti terputuslah cintaku dan zikirku pada Mu. Maka
aku tidak menjadi bersabar terhadap terputusnya keduanya itu,
sedangkan engkau Zat Yang Maha Pengasih dan Penyayang.”
Kemudian Allah swt memberikan wahyu kepadanya: “Ya Ayyub,
lidah, hati dan ulat adalah milik Ku, sedangkan rasa sakitpun milik Ku,
apakah ertinya susah?”
Diterangkan pula: “Bahawa Allah swt memberikan wahyu
kepadanya: “Sesungguhnya ada 70 orang Nabi yang meminta, seperti
halmu ini kepada Ku, dan Aku hanya memilih engkau sebagai tambahan
kemuliaanmu dan ini hanya bentuk lahirnya saja bencana, akan tetapi
hakikatnya cinta-kasih.”
Dan sesungguhnya Nabi Ayyub merasa susah kalau hati dan
lidahnya dimakan ulat, kerana dia selalu sibuk bertafakkur dan berzikir
kepada Allah swt, kalau keduanya dimakan, maka dia tidak dapat lagi
bertafakkur dan berzikir kepadaNya.
Lalu Allah swt menjatuhkan kedua ulat itu dari diri Nabi Ayyub,
maka yang satu jatuh di air, kelak menjadi lintah yang dapat
menyebabkan orang sakit kekurangan darah dan yang satu lagi jatuh di
darat yang kelak menjadi lebah yang mengeluarkan madu yang
mengandungi ubat untuk manusia.
Kemudian datanglah Malaikat Jibril a.s dengan membawa dua
buah delima dari syurga. Kata Nabi Ayyub a.s, “Ya Jibril, apakah Tuhanku
masih ingat kepadaKu?”
Kata Jibril: “Ya, dan Dia mengirimkan salam kepadamu, serta
menyuruh mu memakan kedua buah delima ini, maka akan sembuh
seperti biasa daging dan tubuhmu.”
Ketika Nabi Ayyub memakan kedua delima itu, Jibril a.s berkata:
“Berdirilah dengan izin Allah!”
Maka Nabi Ayyub pun berdiri. Jibril berkata lagi: “Berjalanlah
dengan kedua kakimu.”
Maka Nabi Ayyub memukulkan kakinya yang kanan ke tanah
sehinggalah keluar air hangat dan dia lalu mandi dengan air itu, kemudian
dari kakinya yang kiri terpancarlah air dingin, sehingga dia minum dari air
tersebut.
Kemudian, berkat daripada kesabaran, Allah keluarkan
daripadanya hikmah dan kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya.
hilanglah segala penyakitnya, baik yang dibahagian luar mahupun di
bahagian dalam. Dan tubuhnya menjadi lebih gagah tegap dari
sebelumnya dan wajahnya lebih bersinar daripada bulan purnama.
Setelah sembuh dari sakitnya Allah memberinya kesempatan umur
yang panjang kepadanya sehingga dia memperoleh anak kembali, bahkan
kali ini Allah menggantikan anaknya dengan jumlah yang lebih besar dari
yang dia miliki dahulu. malahan, anak-anaknya yang dia perolh
kemudianitu lebih baik dan lebih soleh.
Sebagaimana firman Allah swt:
“Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan
penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya,
keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari
Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada
Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).”
(al-Anbiya:84)
Top Related