ISI KANDUNGAN
PENGENALAN.............................................................................................................1-2
TAKRIF / MAKSUD MUNAFIK.....................................................................................3-4
SEJARAH MUNAFIK...................................................................................................5-7
TOKOH MUNAFIK.....................................................................................................8-10
CIRI-CIRI MUNAFIK.................................................................................................11-32
SIFAT-SIFAT KHUSUS MUNAFIK DI ZAMAN NABI SAW.........................................11
SIFAT-SIFAT ASAS/DOMINAN MUNAFIK.................................................................17
SIFAT-SIFAT UMUM MUNAFIK.................................................................................27
ISU SEMASA BERKENAAN MUNAFIK..................................................................33-35
PENDAPAT BERKENAAN MUNAFIK.....................................................................36-38
KESIMPULAN..........................................................................................................39-40
LAMPIRAN...............................................................................................................41-42
RUJUKAN......................................................................................................................43
PENGENALAN
Kita amat bersyukur kepada Allah SWT kerana sebagai umat yang terakhir kita
dijanjikan dengan insentif pahala dan bonus ganjaran yang cukup besar serta lumayan
daripada amalan yang kecil dan yang mudah untuk kita lakukan, apalagi kalau amalan
yang besar dan rumit, tentu sekali ganjarannya tidak terhitung oleh manusia. Keadaan
ini kerana sifat Maha Pemurah (al-Rahman) dan Maha Penyayang (al-Rahim) Allah
SWT ke atas hamba-Nya yang teguh iman dan sentiasa tabah hati menghadapi ujian
dalam dakwah agama-Nya yang diredai iaitu Islam.
Sekiranya umat terdahulu menghadapi ujian dakwah daripada iblis dan manusia
kuffar yang jelas kesesatan mereka, tetapi umat Nabi terakhir ini menghadapi satu lagi
cabaran tambahan iaitu golongan manusia munafik. Ternyata sekali cabaran daripada
kaum munafik ini amat sukar dan mencabar segenap kekuatan yang ada kerana
mereka hidup bersama kita, yang juga mempunyai nama seumpama kita dan
sebahagian besar watak zahir mereka juga adalah seperti kita.
Islam merupakan agama dakwah, dan bukan semata-mata agama anutan yang
menjadi milik individu atau kaum tertentu, oleh itu ia hendaklah disampaikan kepada
sesiapa sahaja manusia di mana-mana sahaja di muka bumi ini. Dalam tugas dakwah
ini, umat Islam yang sememangnya memikul amanah sebagai pendakwah) menghadapi
pelbagai tribulasi yang ada kalanya amat mencabar kesabaran dan keimanan. Perkara
ini tidak terkecuali, bahkan lebih hebat lagi dalam usaha dakwah terhadap golongan
manusia yang disebut sebagai munafik tadi.
Walaupun dari segi sejarah kita melihat bahawa mereka ini wujud di zaman
Rasulullah SAW, namun hakikat sebenar manusia seperti ini tetap wujud pada bila-bila
masa sahaja selama mana Islam dianuti oleh manusia. Perkara telah menjadi lumrah
alam di mana apabila ada kebaikan maka ada kejahatan, apabila ada Islam maka ada
kufur dan apabila ada keimanan maka ada nifak.
Page | 1
Di dalam Islam golongan munafik dilihat sebagai manusia yang berpenyakit, oleh
itu kita dapati dalam kitab suci al-Quran al-Karim dan juga hadis-hadis Nabi SAW serta
kitab-kitab yang dihasilkan oleh para ulama, telah pun dikemukakan garis panduan
kepada seluruh umat Islam umumnya dan kepada pendakwah secara khususnya dalam
menghadapi mereka.
Sesungguhnya kalaulah kita menoleh kepada catatan sejarah, perkara seperti ini
tidak mengejutkan umat Islam sehingga diberi liputan yang begitu meluas. Fenomena
sebegini sudah berlaku sejak zaman kerasulan dahulu lagi, Cuma wajah dan rupa
kemunafikan itu yang berbeza-beza antara satu masa dengan masa yang lain. Jikalau
kemunculan mereka di zaman lampau ditaja oleh golongan Yahudi yang memusuhi
Baginda SAW, maka tidak mustahil kemunculan munafik di zaman moden ini juga ditaja
oleh mereka atau konco-konco mereka seperti Kristian atas apa nama sekalipun
sebagai musuh tradisi Islam.
Page | 2
TAKRIF / MAKSUD MUNAFIK
Perkataan ‘munafik’ berasal daripada bahasa Arab. Kalimah asalnya ialah kata kerja
(nāfaqa) نافق kata nama terbitannya (masdar) dalam dua bentuk iaitu منافقة
(munāfaqatan) dan .(nifaqan/nifaq) نفاقا Kalimah kata kerja nāfaqa ini bererti
bersembunyi di dalam lubang. Dikatakan juga bahawa nifāq berasal dari kata nama
(’al-nāfiqā) النافقاء yang bererti lubang di bawah tanah menjadi tempat bersembunyi
haiwan atau bilik pada perut kanggaru untuk menyembunyikan anaknya (al-Mu’jam al-
Wasit, 2: 942).
Apabila kata nama nifak tadi di nisbah/sandarkan kepada manusia maka ia
menggambarkan suatu keadaan di mana apa yang nyata atau yang zahir berlainan
daripada apa yang tersembunyi di dalam hati. Dalam bahasa yang mudah ia boleh
diterjemahkan sebagai ‘pura-pura’. Daripada perkataan tadi lahirlah istilah Munafik yang
secara umumnya diterjemahkan sebagai: Seorang yang menyembunyikan permusuhan
pada seseorang dengan menampakkan kebaikannya ataupun seorang yang menutup
kekufuran hatinya dengan cara menzahirkan keimanan pada lidah dan pada perbuatan
anggotanya. (al-Bustani, 1970: 644)
Perkataan nifak itu apabila dihubungkan langsung dengan Islam ia membawa
maksud yang khusus iaitu keadaan di mana seorang itu menampakkan Islam dan
kebaikan pada perkataan dan tingkah laku zahir dan dalam masa yang sama
menyembunyikan kekufuran dan kejahatan yang berada di dalam hati. Sebagai contoh
mudah seseorang mendirikan solat ketika berada bersama dengan orang Islam untuk
mengelakkan daripada dilabelkan oleh masyarakatnya sebagai tidak beriman
sedangkan masyarakatnya adalah masyarakat Islam dan namanya jelas nama seorang
Islam. Dia tidak akan menjadikan dirinya berada pada status keluar daripada Islam
(murtad) kerana mempunyai tujuan dan agenda tertentu sama ada tujuan dan agenda
itu yang lahir daripada dirinya sendiri ataupun yang ditaja oleh pihak-pihak tertentu.
Page | 3
Mufasir Imam al-Qurtubi (1967: 195) berkata “ Dinamakan seseorang itu munafik
kerana dia menzahirkan sesuatu yang berlainan daripada apa yang ada di dalam
hatinya”. Keadaan ini ditasybihkan (disamakan) dengan kanggaru yang (ربوع)
mempunyai bilik di perutnya dengan menyembunyikan anaknya.
Berdasarkan penjelasan tadi, pengertian munafik dalam istilah Islam boleh
disimpulkan sebagai: orang yang menzahirkan Islam atau iman dalam kata-kata dan
tindak tanduk sehariannya secara sengaja (mempunyai niat jahat) untuk
menyembunyikan kekufuran dan kebencian di dalam hatinya terhadap Islam. Rangkai
kata dengan sengaja yang digariskan di bawahnya itu memberi maksud bahawa
perbuatan pura-pura itu dilakukan dengan niat dan tujuan yang jelas.
Menurut Dr. Ali Abdul Halim Mahmud (1994, 3: 199) golongan munafik ialah
mereka yang menonjol-nonjolkan kebaikan mereka untuk menyembunyikan kejahatan
dan menunjuk-nunjukkan kebenaran untuk menyembunyikan kebatilan mereka. Tujuan
mereka melakukan tindakan demikian adalah untuk melemahkan umat Islam dan
menjatuhkan Islam itu sendiri. Dalam masa yang sama, melalui perbuatan tersebut
mereka cuba untuk mencari keuntungan diri sendiri yang bersifat duniawi.
Page | 4
SEJARAH MUNAFIK
Gerakan munafik bermula di Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Sebelum
kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah, beliau merupakan seorang yang sangat
berpengaruh di sana sebagaimana kedudukan Abu Sufyan di Makkah. Selepas
Peperangan Bu’as, penduduk Madinah sudah bersepakat untuk melantik Abdullah bin
Ubai sebagai ketua di Madinah, malah mahkotanya pun sudah siap dibuat. Masyarakat
Madinah bersetuju melantik Abdullah bin Ubai menjadi raja menunjukkan dia memiliki
sifat-sifat yang menyebabkan dia dihormati dan dimuliakan.
Sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, kaum Yahudi sudah lama
bertapak di sana. Kaum Yahudi dikenali sebagai ahli Kitab, orang beragama yang
memiliki peradaban yang mulia berbanding orang-orang Arab Madinah. Kaum Yahudi
juga menguasai bidang ekonomi dan mempunyai kekuatan dalam bidang ketenteraan.
Kaum Yahudi yang dikenali sebagai ahli agama, ahli ilmu, ahli ekonomi dan ahli
ketenteraan menyebabkan mereka dipandang tinggi oleh orang Arab Madinah.
Lantaran itu, orang Arab Madinah suka meniru peradaban Yahudi tetapi mereka tidak
memeluk agama Yahudi. Bagi orang Arab agama Yahudi dilihat sebagai khusus untuk
orang Yahudi sahaja. Walaupun tidak menerima agama Yahudi, banyak nilai-nilai moral
Yahudi diterima pakai oleh orang Arab Madinah.
Golongan Arab Madinah yang berilmu merupakan orang yang paling banyak
mencedok peradaban Yahudi dan meng’Arab’kan peradaban tersebut, termasuklah
Abdullah bin Ubai. Kumpulan Abdullah bin Ubai mempraktikkan nilai-nilai moral yang
lebih tinggi daripada orang Arab Madinah yang lain. Oleh kerana itu, mereka dipandang
tinggi dan dihormati. Ketika Perang Bu’as hampir berlaku di antara dua golongan
terbesar di Madinah, kumpulan Abdullah bin Ubai menentang suku-suku mereka yang
mahu berperang itu. Bila peperangan berlaku, Abdullah bin Ubai juga tidak ikut serta
dalam peperangan tersebut. Sikap berkecuali dirinya itu menyebabkan dia dicadangkan
untuk menjadi raja setelah kedua-dua pihak yang berperang itu berdamai.
Page | 5
Walaupun menimba dari telaga Yahudi, namun ahli fikir Arab Madinah
mempertahankan ke-Araban mereka. Sikap yang demikian menyebabkan terbentuk
aliran pemikiran yang kabur. Ia bukan Yahudi dan bukan juga Arab. Mereka
menganggap diri mereka setaraf dengan orang Yahudi yang berilmu dan mereka lebih
mulia daripada umat Arab yang jahil. Oleh kerana apa yang terbentuk dalam aliran
pemikiran mereka tidak jelas, maka tidak ada satu bentuk kepercayaan atau akidah
yang mereka pertahankan. Mereka mempertahankan satu perkara sahaja, iaitu
merekalah golongan Arab yang paling pintar dan orang-orang Arab yang lain tidak
sama dengan mereka.
Apabila agama Islam datang ke Madinah dibawa oleh orang Arab Makkah,
kumpulan Abdullah bin Ubai sejak awal-awal lagi telah menolaknya. Mereka
menganggap apa yang baru datang itu lebih rendah daripada apa yang ada dengan
mereka. Mereka menjadi golongan yang tidak mempertahankan sebarang kepercayaan
dan juga tidak ada satu kepercayaan yang mereka terima. Sebagaimana golongan
Yahudi yang menganggap semua bangsa di dunia lebih rendah daripada mereka,
begitu juga kumpulan Abdullah bin Ubai yang meminum air daripada telaga Yahudi,
menganggap semua orang Arab lebih rendah daripada mereka. Mereka adalah
golongan yang sudah ada keputusan untuk mengunci mata, telinga dan hati mereka
daripada segala agama yang datang kepada mereka.
Arus perkembangan Islam melanda Madinah dengan pantas dan menyeluruh.
Dalam tempoh kurang dari satu tahun, hampir keseluruhan penduduk Madinah sudah
memeluk agama Islam. Segala aktiviti tertumpu kepada Nabi Muhammad SAW dan
agama Islam. Kumpulan Abdullah bin Ubai yang memandang diri mereka sebagai lebih
mulia itu tidak ada pilihan lain melainkan ikut serta di dalam rentak perkembangan
Madinah supaya tidak tersisih. Namun, penyertaan mereka sebenarnya bertujuan
mencari jalan merampas semula kekuasaan di Madinah sebagaimana sebelum
kedatangan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW. Mereka mahu orang-orang
Makkah meninggalkan Madinah.
Page | 6
Oleh kerana mereka tidak mempunyai satu bentuk kepercayaan yang jelas dan
tidak ada satu agama dipertahankan, mereka boleh bergerak cergas dalam apa juga
medan kepercayaan atau agama. Istilah dosa, pahala, syurga, neraka, hari kiamat,
halal dan haram tidak ada pada mereka. Akhirat tidak ada dalam pandangan mereka.
Apabila tidak ada agama yang diperjuangkan dan tidak ada kepercayaan kepada
perkara ghaib, kumpulan tersebut menyertai kegiatan agama orang lain dalam keadaan
yang dipanggil ‘MUNAFIK’. Mereka memakai baju agama padahal mereka tidak ikhlas
berbuat demikian dan tidak merelakannya.
Page | 7
TOKOH MUNAFIK
ABDULLAH BIN UBAY BIN SALUL
Abdullah bin Ubay bin Salul adalah salah seorang pemimpin daripada Bani Khazraj.
(al-‘Asymawi, 3: 105-106) Imam al-Qurtubi (CD Holy Qur’an, Version 6.5) ketika
mentafsirkan ayat 4 daripada surah al-Munafiqun menerangkan gambaran fizikal
Abdullah bin Ubay dengan memetik kata-kata Ibnu Abbas r.a: “Abdullah bin Ubay
adalah seorang lelaki yang tegap tubuh badan, sihat dan tampan serta petah berbicara
sehingga apabila dia bercakap Rasulullah SAW mendengarnya.”
Abdullah bin Ubay adalah ketua kaum munafik Madinah pada zaman kerasulan
Nabi Muhammad SAW. Sebagai ketua salah satu suku yang berpengaruh di Madinah,
dia menyimpan cita-cita besar untuk menjadi raja di Madinah. Untuk tujuan tersebut dia
telah mengumpulkan penduduk Madinah menjadi pengikutnya dan menjalankan
gerakan menghalang mereka daripada menerima Islam dan membenci Nabi SAW.
Namun begitu, usaha mereka dapat dipatahkan oleh Nabi SAW dan juga para sahabat
r.a dengan bimbingan dan petunjuk daripada wahyu Allah SWT. Di dalam al-Qur’an
terdapat ayat-ayat yang diturunkan berkaitan dengan peribadi Abdullah bin Ubay ini.
Dialah yang telah merancang dan melaksanakan banyak perkara untuk melemahkan
umat Islam di Madinah.
Ketika semua penduduk Madinah memeluk Islam, tak terkecuali isteri dan anak-
anak Abdullah bin Ubai sendiri. Salah seorang anaknya bernama Abdullah bin Abdullah
bin Ubai, biasa dipanggil Abu Hubab. Sebelum masuk Islam namanya Hubab. Setelah
masuk Islam namanya menjadi Abdullah. Dia seorang anak yang soleh, imannya telah
merasuk ke dalam tulang sumsumnya. Walaupun dia tahu ayahnya berubah menjadi
pengkhianat, menjadi seorang munafik, dia tidak sekali-kali menderhaka kepada
ayahnya.
Page | 8
Semasa akhir hayatnya Abdullah bin Ubai ditimpa sakit tenat. Dengan bibir yang
gementar dan semakin membiru Abdullah bin Ubai meminta kepada anaknya agar
dipanggilkan Rasulullah SAW mendoakan kebaikan untuknya. Abu al-Abbas yang
menyaksikan peristiwa itu beranggapan mustahil bagi Rasulullah datang menemui
tokoh munafik tersebut. Dugaan Abu al-Abbas meleset sama sekali apabila Rasulullah
datang bersama Umar al-Khattab. Abdullah bin Ubai memohon agar Baginda bersedia
melepaskan jubahnya dan menyelimuti tubuhnya dengan jubah tersebut. Kalau dengan
berselimut jubah itu tidak juga menyembuhkan penyakitnya Abdullah masih berharap
biarlah dia mati berselimutkan jubah Rasulullah itu. Rasulullah SAW menunaikan
permintaan Abdullah bin Ubay sehinggalah akhirnya Abdullah meninggal dunia dalam
penderitaan dan kesakitan di bawah jubah Rasulullah.
Peristiwa itu membuatkan Sayidina Umar tertanya-tanya kerana dia tidak
menyangka Rasulullah akan berbuat sejauh itu terhadap ketua munafik yang telah
banyak menabur fitnah dan memecahbelahkan umat Islam. “Alangkah beruntungnya
Abdullah bin Ubay, dia meninggalkan dunia dengan berselimutkan jubah Baginda yang
suci. Para sahabat yang setia pun belum tentu mendapat keistimewaan itu”. Demikian
ucapan Sayidina Umar r.a. Dengan nada yang lembut Baginda menjawab: “Sahabatku
Umar, Sesungguhnya jubah Rasulullah tidak akan menyelamatkan Abdullah bin Ubay
atau sesiapa sahaja dari azab Allah sebab manusia hanya selamat dengan iman dan
takwa masing-masing.”
Setelah kematian Abdullah bin Ubai, anaknya, Abdullah meminta Baginda
mengimami solat jenazah bapanya. Rasulullah bersetuju kerana ingin menjaga hati
sahabatnya, bukan kerana memuliakan Abdullah bin Ubai. Ketika Rasulullah hendak
pergi menyembahyangkan Abdullah Bin Ubai, Umar Al-Khattab cuba menghalang
Baginda untuk melakukan sedemikian. Beliau bertanya kepada Rasulullah, mengapa
hendak dibuat sedemikian sedangkan Abdullah Bin Ubai dengan jelasnya telah
menentang dan mengkhianati Baginda ketika waktu hidupnya. Baginda menjawab:
“Sama sahaja sama ada aku meminta ampun kepadanya ataupun tidak”.
Page | 9
Peristiwa ini telah dirakam di dalam Al-Quran dalam surah At-Taubah ayat 80,
“(Orang-orang munafik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau
engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta
ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali
mengampunkan mereka yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah
dan Rasul-Nya dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang
fasik.”
Selepas selesai solat jenazah, tiba-tiba badan Nabi S.A.W berpeluh kerana
turunnya wahyu, surah At-Taubah ayat 84, “Dan janganlah engkau sembahyangkan
seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah
engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada
Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati sedang dalam keadaan fasik (derhaka)”. Ayat ini
adalah teguran daripada Allah S.W.T supaya melarang Nabi S.A.W
menyembahyangkan atau menziarahi kubur orang-orang munafik.
Page | 10
CIRI-CIRI MUNAFIK
Di bawah ini dihuraikan sifat-sifat munafik dengan pembahagian kepada sifat-sifat
khusus di zaman Nabi SAW, sifat-sifat asas dan juga sifat-sifat umum mereka.
SIFAT-SIFAT KHUSUS MUNAFIK DI ZAMAN NABI SAW
Sentiasa mengintai peluang untuk memperdayakan nabi dan orang-orang
mukmin
Tujuan mereka dengan perbuatan yang demikian ialah untuk menangguk di air keruh
bagi memperoleh keuntungan diri mereka sendiri. Allah SWT menjelaskan sifat buruk
mereka ini di dalam firman-Nya di dalam Surah an-Nisa’ ayat 141:
“(Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu
(berlakunya sesuatu) kepada kamu, maka kalau kamu mendapat kemenangan
daripada Allah (dalam sesuatu peperangan) berkatalah mereka: Bukankah kami turut
berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima harta rampasan
perang), Dan jika orang-orang kafir pula yang mendapat bahagian lalu berkatalah
mereka kepada orang-orang kafir: Bukankah kami turut membantu kamu dan
mempertahankan kamu (daripada serang balas) orang-orang Mukmin? Maka Allah
menghakimi kamu semua di hari kiamat nanti. Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi
jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang beriman. “
Page | 11
Page | 12
Ayat ini menyatakan bahawa orang-orang munafik bersifat talam dua muka dengan
menyebelahi orang-orang Mukmin di satu pihak dan menyebelahi orang-orang kafir di
pihak yang lain menurut keadaan mana mereka boleh mendapat keuntungan dunia.
Pengecut (belot dan lari dari peperangan)
Sejarah telah membuktikan bahawa golongan munafik telah belot terhadap Rasulullah
SAW iaitu di dalam Peperangan Uhud, firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘lmran ayat
146-147:
“Dan bahaya menimpa kamu pada hari dua pasukan berhadapan antara satu sama lain
(Peperangan Uhud). Maka dengan izin Allah, Dia hendak mengetahui orang-orang
yang benar-benar beriman dan juga Dia hendak mengetahui orang-orang munafik yang
apabila dikatakan kepada mereka: Marilah berjuang di jalan Allah atau bertahan! (Lalu)
mereka berkata: Kalau kami tahu berperang kami mengikuti kamu! Mereka pada hari itu
(sebenarnya) lebih condong kepada kekafiran daripada keimanan. Mereka berkata di
mulut apa yang bukan di hati, dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka
sembunyikan."
Page | 13
Begitu juga keadaannya di dalam Peperangan al-Ahzab di mana Allah SWT
telah mendedahkan sifat pengecut mereka sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-
Ahzab ayat 12-20.
Al-Syahid Sayyid Qutb (1994, 21: 140) dalam mentafsir ayat ini telah
berpendapat bahawa Peperangan al-Ahzab merupakan ujian sebenar bagi umat Islam
kerana perbuatan orang-orang munafik yang belot kepada tentera musuh dan
sebahagian daripada mereka pula enggan turut serta berperang untuk
mempertahankan Madinah dengan membawa berbagai-bagai alasan. Di samping itu
peperangan ini jugalah yang menjelaskan perbezaan sebenar dan nyata antara orang
Mukmin dan orang munafik.
Membuat tuduhan palsu (fitnah) terhadap Ummul Mukminun Sayidatina ‘Aishah
r.a
Allah SWT telah memaparkan kejahatan golongan munafik ini dalam firman-Nya di
dalam surah al-Nur ayat 11:
“Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu
juga. Janganlah kamu mengira bahawa itu memburukkan kamu, tetapi ia memberi
kebaikan kepada kamu. Setiap orang mendapat balasan daripada dosa yang
dikerjakan. Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar, dia akan
menerima azab yang amat berat.”
Page | 14
Sebab turun ayat ini ialah untuk menolak pendustaan golongan munafik yang
telah menuduh Sayiditina ‘Aishah r.a melakukan perbuatan serong dalam peristiwa
kembali daripada peperangan Bani Mustalaq. Fitnah ini telah menjadikan Rasulullah
SAW dan keluarganya berada dalam keadaan yang amat berdukacita.
Melalui ayat ini al-Qur’an menegaskan bahawa tuduhan palsu golongan munafik
tidak dapat menjejaskan nama baik isteri Rasulullah SAW yang suci itu. Sebaliknya ia
mendatangkan kebaikan di atas kesabaran menghadapinya dan Allah SWT
menjanjikan azab yang amat dahsyat kepada orang-orang munafik tersebut.
Perkara yang sangat menggelisahkan hati Nabi SAW menghadapi peristiwa
khabar al-ifk ialah di mana isu itu berlarutan hingga lebih sebulan dan wahyu Allah SWT
tidak turun sepanjang tempoh itu bagi mengatasi masalah tuduhan fitnah itu. Rasulullah
SAW dan keluarga menghadapi tekanan yang begitu berat dan ia menjadi semakin
berat apabila di kalangan orang-orang Islam yang lemah imannya turut sama
menyebarkan berita dusta itu.
Meskipun Rasulullah SAW dan isterinya menghadapi fitnah yang begitu dahsyat,
malah pada zahirnya Allah SWT membiarkan Nabi-Nya menempuh masa yang agak
panjang dalam dilema, sehingga orang munafik menuduh bahawa Muhammad SAW
sudah dimurkai oleh Tuhannya, namun keadaan itu menjadi bukti bahawa Nabi SAW
mempunyai tahap kesabaran yang sangat tinggi.
Oleh itu satu dari tujuan Allah SWT melambatkan turunnya wahyu bagi
menyelesaikan isu khabar al-ifk ialah untuk memperlihatkan aspek keinsanan pada diri
Nabi SAW. Ia memberi pengertian bahawa Baginda Rasulullah SAW adalah manusia
yang hidup seperti manusia yang lain, iaitu menghadapi kesulitan dan masalah dalam
hidup seharian. Dalam masa yang sama perkara tersebut menjadi bukti tentang sifat
kenabiannya iaitu kesabaran yang begitu tinggi untuk menjadi contoh tauladan kepada
umat Islam. Dengan itu kedudukan Nabi sebagai manusia itu perlu ditekankan dalam
mendidik ummah, kerana sejarah telah mencatatkan adanya umat terdahulu yang
menafikan sifat kemanusiaan nabi bahkan mendewakan nabi-nabi hingga ke taraf
Tuhan.
Page | 15
Page | 16
Membuat pakatan dengan golongan kafir untuk membunuh Rasulullah SAW dan
memerangi orang-orang mukmin
Kitab-kitab sejarah memaparkan bahawa di sepanjang sirah Rasulullah SAW golongan
munafik tidak pernah berhenti membuat pakatan dengan orang-orang kafir dan juga
membantu orang-orang Yahudi dalam memerangi golongan Mukminun. Tujuan
daripada komplot mereka ini tidak lain tidak bukan ialah untuk melemahkan umat Islam
dan menjatuhkan agama Islam. Salah satu tindakan mereka untuk mencapai tujuan
tersebut ialah usaha mereka untuk membunuh Nabi SAW.
Selepas peperangan Bani al-Nadhir umpamanya orang-orang Yahudi telah kalah
dan dihalau keluar daripada Madinah. Golongan munafik amat berdukacita dengan
keadaan yang menimpa sekutu mereka ini disebabkan mereka telah membantu Bani al-
Nadhir di dalam peperangan tersebut (tahun ke-4H).
Selain daripada itu di dalam peperangan Bani Mustalaq pula (juga di tahun yang
sama) Abdullah bin Ubai dan kuncu-kuncunya telah melaga-lagakan antara golongan
Ansar dan Muhajirin. Mereka telah membuat fitnah bahawa orang-orang lelaki Muhajirin
telah memukul lelaki daripada golongan Ansar. Hasrat mereka daripada fitnah itu ialah
supaya tentera Islam berpecah belah. (Bashmeil, 1973: 81). Perkara ini dinyatakan oleh
al-Qur’an melalui firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 74:
Page | 17
“Mereka itu bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka (orang-orang munafik)
tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Sesungguhnya mereka telah
mengucapkan perkataan kufur dan telah menjadi kafir sesudah Islam serta mereka
berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu
membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah
Allah dan Rasul-Nya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya."
Mendustakan janji Allah dan Rasul
Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 12 :
“Dan ingatlah ketika orang-orang munafik dan orang yang berpenyakit di dalam hati
mereka berkata: Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kamu selain daripada
tipu daya.”
Ayat ini diturunkan ketika terjadi Peperangan al-Ahzab (Khandaq) di mana
sewaktu Rasulullah dan para sahabat r.a menggali parit lalu kelihatan batu putih dan
bundar. Rasulullah SAW pun dengan sebuah cangkul dan memukul batu itu lalu
terpancar sinaran bagaikan kilat. Baginda memukul pula batu kedua sehingga tiga kali
dan terjadi perkara yang sama. Setelah itu Baginda bersabda yang bermaksud
“Diperlihatkan kepadaku pusaka merah dan putih yang keduanya akan diberikan
kepada umatku.”
Mendengarkan ucapan Baginda Nabi SAW itu, orang-orang munafik saling
mengerdip mata dan melontarkan cemuhan:
Page | 18
“Lihatlah dia (Nabi SAW) menimang kita dengan harta pusaka kisra (raja Parsi)
dan kaisar (raja Rom), padahal kita tidak dapat kencing pun kerana ketakutan
terhadap musuh.”
(Hadis riwayat al-Nasa’i)
Imam al-Qurtubi (Holy Qur’an, v: 6.5) ketika mentafsir ayat 12 daripada Surah al-Ahzab
di atas menyatakan bahawa terdapat sekumpulan lebih daripada tujuh puluh orang
munafik di situ. Dua orang daripada mereka yang berkata seperti di atas tadi ialah
To‘mah bin Abiraq dan Ma‘tab bin Qusyair. Allah SWT lalu menurunkan ayat di atas tadi
yang menjelaskan pengingkaran kaum munafik terhadap janji Allah dan Rasul-Nya.
Namun begitu Allah SWT telah menjadikan janji-Nya itu satu kebenaran dengan
kemenangan yang dicapai oleh umat Islam. Para sahabat r.a berhasil mencapai
kemenangan di kedua-dua empayar tersebut dan Islam akhirnya tersebar di sana.
SIFAT-SIFAT ASAS/DOMINAN MUNAFIK
Selain daripada sifat-sifat khusus yang menjadi identiti kaum munafik di zaman
kerasulan yang lampau, berikut ini dijelaskan beberapa ciri umum orang munafik, bukan
untuk diikuti, namun agar jangan sampai sifat-sifat tersebut melekat pada diri kita.
Sebagaimana yang sering diungkapkan, bahawa kita mengetahui keburukan bukan
untuk dikerjakan, namun agar dapat berhati-hati. Sesungguhnya sesiapa yang tidak
mengetahui keburukan, maka memungkinkan dia terjerumus ke dalamnya.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim
bermaksud:
“Ada empat perkara yang jika ada pada diri seseorang maka dia menjadi
seorang munafik yang sebenarnya (kafir), dan jika seseorang memiliki kebiasaan
salah satu dari padanya, maka bererti dia memiliki satu kebiasaan (ciri) nifak
sampai ia meninggalkannya, iaitu; jika diberi amanah dia mengkhianati, jika
berbicara dia berbohong, jika berjanji dia mengingkari, dan jika bertengkar dia
berucap kotor.”
Page | 19
Page | 20
Maksud hadis di atas menjelaskan sifat asas yang disebutkan oleh Nabi SAW
pada diri munafik. Sifat paling asas bagi orang munafik seperti yang disebutkan di
dalam Sahih Bukhari dan Muslim dalam “Kitab Tanda-tanda Munafik” ialah berdusta
dalam percakapan, mungkir dalam berjanji, khianat dalam amanah yang diberikan
kepadanya dan melampaui batas di dalam pertengkaran (fujur).
Sabda Rasulullah SAW lagi di dalam hadis lain bermaksud:
“Tanda orang munafik itu tiga, iaitu apabila bercakap dia berdusta, apabila
berjanji dia mungkirinya dam apabila diberi amanah kepadanya dia
mengkhianatinya.”
(HR Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan penjelasan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi SAW di
bawah ini disenaraikan sifat-sifat asas yang ada pada golongan munafik termasuklah
antaranya:
Ragu-ragu dan tidak tetap pendirian antara iman dan kufur/menyebarkan
keraguan terhadap segala yang berkaitan dengan Islam
Allah SWT telah menjelaskan di dalam firman-Nya di dalam surah an-Nisa’ ayat 137-
138:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kufur, kemudian beriman semula
dan kufur sekali lagi, lalu bertambah-tambahlah kekufuran mereka, maka Allah tidak
sekali-kali mengampunkan dosa mereka dan sekali-kali tidak memberi hidayah.
Page | 21
Sampaikan berita kepada orang-orang munafik itu sesungguhnya disediakan untuk
mereka azab yang amat pedih.”
Page | 22
Mereka terus mencari muslihat agar dapat menghasut manusia lain supaya ragu
bahkan lebih dahsyat lagi mereka mendorong sikap permusuhan terhadap ajaran Islam.
Allah telah menggambarkan sikap jahat mereka tatkala mengapi-apikan kaum Muslimin
di dalam Peperangan al-Ahzab di mana mereka mengatakan, bahawa Allah dan Rasul-
Nya hanya memberikan janji bohong.
Begitu juga munafikun di masa kini, mereka tanpa rasa segan membuat
propaganda untuk mengaburkan ajaran Islam seperti ucapan mereka, bahawa jilbab
hanyalah adat orang Arab, penentangan terhadap hukum dan hak Wanita dengan
slogan feminisme, hukum rejam dan qisas adalah perlanggaran terhadap hak asasi
manusia dan sebagainya lagi.
Keraguan mereka terhadap aspek-aspek dalam ajaran Islam disebarkan pula
kepada manusia lain. Mereka yang kurang asas pendidikan Islam yang menyeluruh
sudah tentu akan mudah menerima pandangan mereka. Perkara ini terjadi kerana
mereka yang menimbulkan keraguan ini bukanlah bercakap di atas angin, sebaliknya
mereka mengemukakan hujah dan dalil tetapi hujah dan dalil itu telah diubah suai atau
diselitkan cara pemikiran orientalis.
Bertolak daripada keraguan mereka terhadap kebenaran Islam inilah yang
menjerumuskan pula mereka kepada perbuatan bercakap dusta, khianat, terhadap
amanah, tidak menunaikan janji dan melampaui batas dalam bercakap/bertengkar.
Banyak bersumpah/bersumpah palsu
Firman Allah di dalam surah al-Mujadalah ayat 16:
“Mereka menjadikan sumpah-sampah mereka sebagai perisai, lalu mereka
menghalang (manusia) dari jalan Allah, kerana itu mereka mendapat azab yang amat
menghinakan.”
Page | 23
Bagaimanakah umat Islam kini menjadi pewaris kepada golongan munafik?
Terdapat di kalangan kita yang menjejakkan kaki ke masjid, namun sanggup menjadi
saksi palsu, melafazkan sumpah palsu di mahkamah untuk mendapatkan habuan dunia
yang memberikannya azab di hari akhirat nanti.
Mereka yang sanggup bersumpah palsu ini sudah tentulah seorang yang
berbohong dalam sumpahnya itu. Mereka juga orang yang cuba menegakkan benang
basah untuk meraih kepercayaan orang lain terhadap dirinya. Jadi dalam dirinya
terhimpun beberapa sifat nifak itu secara serentak yang menambahkan lagi
kemunafikannya itu.
Suka berdusta dan bermuka-muka
Dusta adalah sifat yang paling dominan dari seorang munafik, dan kedustaan terbesar
adalah mengatakan keimanan, padahal hatinya benar-benar ingkar. Golongan munafik
selalu dikenali dengan kedustaan yang senantiasa melekat pada mereka, di mana pun
tempat mereka berada, dalam setiap gerak dan diam mereka. Allah SWT telah
berfirman di dalam surah al-Munafikun ayat 1:
“Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad) mereka berkata:
Kami mengaku bahawa sesungguhnya engkau sebenarnya Rasul Allah! Dan Allah
sememangnya mengetahui bahawa engkau sebenarnya Rasul-Nya, serta Allah
menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka itu adalah dusta belaka."
Page | 24
Ayat di atas menjelaskan perlakuan dusta munafik pada zaman kerasulan Nabi
Muhammad SAW. Sifat ini diwarisi oleh kaum munafik selama-lamanya kerana kata
Imam Ibnu Taimiyyah bahawa apabila Allah SWT menyebut nifak maka disebut
bersama dusta dan begitulah sebaliknya apabila Allah SWT menyebut dusta maka
disebut bersama nifak. Kita perhatikan ayat-ayat berikut daripada surah al-Baqarah ayat
9-10:
Ayat-ayat di atas dan juga hadis yang masyhur tentang tanda munafik yang
diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim menyatakan perangai menipu, dusta
dan bohong tidak terpisah daripada orang munafik. Oleh itu apabila seorang itu
berdusta sama ada dengan sungguh-sungguh untuk sesuatu urusan ataupun secara
main-main atau untuk tipu muslihat maka ingatlah di dalam hatinya tercetak satu
lingkaran besar daripada lingkaran-lingkaran munafik.
Begitu halnya dengan seorang yang berdusta di dalam percakapannya untuk
tujuan menarik perhatian, menghibur atau menjadikan orang ketawa dengan cakap
bohongnya itu seperti lakunya seorang sang ahli lawak jenaka. Kita lihat peringatan dan
amaran keras yang diberikan oleh Nabi SAW melalui hadisnya yang bermaksud:
"Celaka baginya! Celaka baginya! Celaka baginya! Iaitu sesiapa yang berbicara
lalu dia berbohong agar orang-orang tertawa dengannya.”
(Hadis hasan riwayat Imam Ahmad di dalam kitab Musnadnya)
Page | 25
Setiap orang Muslim yang suka berdusta bererti telah terkena virus kemunafikan,
maka dia hendaklah segera berusaha mengubati penyakit ini dan hendaklah
mengelakkan diri sejauh mungkin daripadanya. Dalam kata-kata hikmat pernah disebut
bahawa “Termasuk dosa terbesar adalah lisan yang banyak berdusta (al-lisan al-
kadzub).”
Mungkir janji
Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah ayat 77:
“Maka Allah menimbulkan kemunafikan pada hati mereka sampai kepada waktu
mereka menemui Allah kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang telah
mereka ikrarkan kepada-Nya dan juga kerana mereka selalu berdusta.”
Seorang Muslim yang dihinggapi penyakit munafik akan sentiasa mencari helah
dalam hidupnya untuk menyelamatkan dirinya daripada sebarang tohmahan negatif
daripada sesiapapun. Dia juga akan sentiasa mempermainkan kata-kata untuk
mempertahankan diri daripada gelaran yang tidak diingini dan mencari seribu dalih
untuk terhindar daripada dipandang serong oleh orang lain.
Seseorang yang memberi janji kepada seorang lain maka dia memberi harapan
kepada orang lain dan perkara ini tidak dilarang oleh Islam. Namun begitu seorang
yang dipengaruhi sifat nifak, dia suka memberi harapan dengan janji-janjinya tetapi
cepat pula dia melupakan janji tersebut dengan sengaja (berpura-pura). Perkara
sebeginilah yang dilarang di dalam hadis yang menyebut tentang tanda-tanda munafik
yang terkenal itu.
Page | 26
Mengkhianati amanah
Kaum munafik disebutkan oleh Nabi SAW dalam hadisnya mengenai tanda-tanda
munafik seperti yang telah dijelaskan termasuklah mengkhianati amanah yang
diberikan kepercayaan kepadanya. Kaum munafik sentiasa mencari jalan untuk
menghindarkan diri daripada memikul dan melaksanakan amanah yang diterima kerana
mereka sebenarnya bukanlah seorang yang beriman.
Amanah termasuklah semua perkara yang menjadi tanggungjawab yang wajib
dilaksanakan iaitu termasuklah amanah terhadap Allah dan Rasul-Nya dalam tugas
dakwah dan jihad, amanah terhadap masyarakat dan negaranya, amanah terhadap ahli
kerabatnya dan juga amanah terhadap dirinya sendiri. Seorang Mukmin ialah orang
yang sentiasa menjaga amanah-amanah tersebut dan berusaha untuk
melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan yang terbaik menurut
kemampuannya kerana dia mengharapkan balasan baik daripada Allah. Firman Allah
SWT dalam surah al-Mu’minun, ayat 1 dan 8:
“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. ……. Dan mereka yang
menjaga amanah dan janji mereka.”
Kebencian Islam terhadap orang yang mengkhianati amanah digambarkan oleh
Baginda Rasulullah SAW di dalam hadisnya daripada Abdullah bin Umar yang
bermaksud:
"Sesungguhnya pada hari kiamat Allah akan meletakkan pada pengkhianat itu
sebuah bendera lalu dikatakan: Ingatlah, inilah pengkhianat kepada si fulan! ”
(HR Muslim)
Page | 27
Page | 28
Sementara di dalam riwayat yang lain dinyatakan:
“Setiap pengkhianat mempunyai bendera pada hari kiamat. ”
(HR Muslim)
Suka menipu
Para munafik ini, mulut mereka sangat manis, penampilan mereka cukup menarik dan
meyakinkan, namun hati mereka amat dengki terhadap Islam dan kaum Mukmin. Hidup
mereka bergantung kepada orang lain, tidak mampu untuk berdiri tegak menunjukkan
sikap dan jati diri mereka sendiri, sehingga Allah menyifatkan mereka sebagai batang
kayu yang tersandar. Ketika berada di kalangan Mukmin mereka berlagak (rnenipu)
Mukmin dan ketika berkumpul dengan orang-orang kafir mereka menampakkan
keasliannya sebagai orang kafir. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 142:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah
(dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah
pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan
munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan
malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada
manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula
tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali
(jarang-jarang). ”
Page | 29
Hidup seorang munafik adalah seperti satu spesies haiwan yang dipanggil sumpah-
sumpah. Munafik adalah manusia yang tidak mempunyai jati diri, mereka bergantung
kepada perkara lain atau pihak lain untuk terus hidup. Penipuan yang mereka lakukan
ialah dengan menyembunyikan kejahatan yang begitu tebal di dalam hati mereka
dengan menonjol-nonjolkan sedikit kebaikan yang dilakukan. Rasulullah SAW
menjelaskan keadaan mereka ini melalui hadisnya yang bermaksud:
“Sungguh akan datang satu kaum pada hari Kiamat dengan amal-amal
kebajikan bagai pohon yang berduri di Makkah, tetapi Allah menjadikan amal-
amal itu seperti debu yang berterbangan. Para sahabat bertanya: Wahai
Rasulullah, bukankah mereka itu orang-orang Islam? Baginda SAW menjawab;
Ya, mereka mengerjakan solat sebagaimana kamu, berpuasa sebagaimana
kamu, mereka mempunyai harta lebih yang mereka sedekahkan, juga bagi
mereka sebahagian daripada malam (melaksanakan tahajud). Akan tetapi jika
mereka berada seorang diri dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah
mereka langgar. ”
(HR Ibnu Majah)
Tidak ikhlas di dalam ibadah
Sesungguhnya orang-orang yang beribadah dalam keadaan tidak ikhlas adalah mereka
yang berpura-pura beriman kepada Allah sekalipun mereka amat rajin dalam
melaksanakan ibadah tersebut. Keadaan ini berpunca daripada keraguan di dalam hati
mereka antara iman dan kufur. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-
Nya di dalam surah al-Hajj ayat 11:
Page | 30
"Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi. Maka
jika dia memperoleh kebaikan tetaplah dia dalam keadaan itu, dan jika dia ditimpa oleh
bencana berbaliklah dia ke belakang. Rugilah dia di dunia dan di akhirat. Yang
demikian itu adalah kerugian yang amat nyata.“
Dr Wahbah al-Zuhaili (Tafsir al-Munir, 1991, 17: 169) ketika mentafsir ayat ini
menyatakan bahawa kalimah “harf” di dalam ayat di atas bermaksud “dipinggir” iaitu
terdapat satu golongan manusia yang menyembah Allah tanpa keyakinan di hatinya
atau dengan niat yang tidak baik dan tidak ikhlas. Keadaan mereka tidak selamat
kerana dipinggir tadi yang memungkinkan mereka terjatuh atau terjerumus. Mereka
inilah yang tergolong sebagai kaum munafikun.
Begitu juga pandangan Imam al-Qurtubi (Holy Qur’an, v. 6.5) di dalam tafsirnya
yang menyatakan bahawa maksud daripada ayat:
“ialah golongan munafik yang mana mereka itu disifatkan berada di tepi jurang atau
bukit iaitu dalam keadaan syak antara iman dan kufur.” Kedudukan mereka adalah
dalam bahaya kerana kemungkinan besar terjerumus atau terjatuh ke jurang tersebut.
Sifat-sifat dan perilaku nifak ini jika ianya bersusun dalam diri seseorang, maka
ia boleh menjadikan seorang itu terkeluar daripada Islam. Umpamanya jika seorang itu
ragu-ragu terhadap kebenaran maka ini mendorongnya kepada perbuatan suka
mencari alasan untuk menzahirkan kebenaran yang palsu bagi menutup kekufurannya
itu. Dalam usahanya mencari alasan tadi maka sudah tentu perkara dusta, tipu akan
terseret sama dalam percakapan dan tindakannya. Inilah penipuan dan pengkhianatan
besar yang berlaku dalam diri seorang itu yang menjerumuskannya kepada munafik
iktiqadi yang membawa kepada kufur. Hal ini berdasarkan kepada hadis sahih yang
telah disebutkan di atas tadi:
Page | 31
“Ada empat perkara yang jika ada pada diri seseorang maka dia menjadi
seorang munafik yang sebenarnya (kafir), dan jika seseorang memiliki kebiasaan
salah satu dari padanya, maka bererti dia memiliki satu kebiasaan (ciri) nifak
sampai ia meninggalkannya, iaitu; jika diberi amanah dia mengkhianati, jika
berbicara dia berbohong, jika berjanji dia mengingkari, dan jika bertengkar dia
berucap kotor". ”
(HR Muttafaq ‘alaih)
Ketika mengulas hadis ini Imam al-Tirmizi berkata, “Makna nifak dalam kandungan
hadis tersebut, menurut para ahli ilmu adalah nifak amali (nifak dalam perilaku dan
perbuatan). Seperti diketahui umum bahawasanya manusia itu tidak terlepas dari
melakukan kesalahan dan dosa, sehingga sering kali dalam diri manusia itu terkumpul
kebiasaan-kebiasaan iman dan kebiasaan-kebiasaan kufur, kebiasaan baik dan
kebiasaan buruk.”
SIFAT-SIFAT UMUM MUNAFIK
Selain daripada sifat-sifat yang dinyatakan tadi, terdapat banyak lagi ayat-ayat al-
Qur’an yang menjelaskan sifat-sifat umum orang-orang munafik, iaitu:
Berasa senang mengejek-ejek ajaran Islam dan kaum Muslimin
Perkara ini berlaku kerana pada dasarnya mereka bukanlah orang Islam, setiap kali
turun ayat maka semakin hebat mereka menunjukkan sifat jengkel mereka terhadap
Islam. Hal sebegini pernah terjadi pada perang Tabuk, di antara mereka ada yang
mengejek Nabi SAW dan para sahabat dengan menyebut mereka sebagai besar perut,
pendusta dan penakut. Maka Allah menurunkan ayat dalam surah al-Taubah ayat 65-
66:
Page | 32
Page | 33
“Katakanlah, “Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu
berolok-olok? ” Tidak usah kamu meminta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. ”
Amat banyak di zaman ini manusia yang mengejek dan merendahkan kaum
Muslimun dan para ulama dan mereka yang konsisten dengan Islam, baik ia
diungkapkan melalui kata-kata mahupun disimpan di hati. Ada yang menghina dengan
mengata-ngatakan sebagai orang kolot dan ketinggalan zaman, pengacau dan
pengganas, kaku dan ekstrem. Ejekan dan olokan mereka terhadap kaum Muslimun
yang benar-benar beriman begitu memuncak sehingga sampai menyakiti dengan
kekerasan fizikal iaitu dengan melancarkan serangan-serangan atas nama
mempertahankan kedaulatan sempadan negara umpamanya.
Enggan mempelajari agama
Selain daripada itu sifat umum para munafik juga ialah tidak mahu mempelajari Islam,
dan tidak mahu mengetahuinya dan tidak ingin mendalaminya kerana takut bertambah
tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Ini sangatlah jelas kerana mereka pada
dasarnya memang membenci Islam, maka Allah SWT menjelaskan bahawa orang
munafik tidak mengetahui dan tidak memahami Islam bahkan tidak memahami
kehidupan.
Apabila diajak kepada kebaikan mereka dengan Iancar menjawab umur masih
muda, atau hidup masih panjang lagi dan masih ada masa untuk bertaubat ataupun
sekurang-kurangnya alasan mereka apabila diajak ke majlis-majlis ilmu yang
memanfaatkan dunia dan akhirat maka mereka berkata: “Pergilah engkau dahulu, aku
akan menyusul kemudian.” Setelah berlalu majlis itu beberapa ketika, dia tidak juga
muncul sehinggalah selesai majlis itu. Hari esoknya begitu juga, dan minggu hadapan
pun seperti itu juga. Akhirnya setelah bulan berlalu dia Iantas berkata: “Kerja banyak tak
siap.!” Apa yang berlaku sebenarnya dia berbual kosong, menonton siaran langsung
atau tidur atau mengelamun menanti habisnya waktu. Inilah sebenarnya sifat nifak yang
besar kerana terhimpun dalam dirinya percakapan dusta, tidak menunaikan janji dan
tidak amanah terhadap kerja yang dipikul juga tidak memanfaatkan masa dengan
sebaiknya.
Page | 34
Page | 35
Mendirikan solat dalam keadaan malas
Firman Allah di dalam surah an-Nisa’ ayat 142:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas
penipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka bermaksud riya’
(dengan solat itu) di hadapan manusia dan tidaklah mereka menyebut Allah melainkan
sedikit sahaja.”
Golongan munafik adalah mereka yang berpura-pura di dalam hidup dan
sentiasa bersikap ragu-ragu antara iman dan kufur, jadi tidak hairan jikalau mereka
masih mendirikan solat untuk menutup kekufuran hati mereka terhadap Islam, namun
begitu solat itu didirikan dalam keadaan malas dan sangat berat. Sifat malas di dalam
solat ini terzahir melalui berbagai keadaan sama ada dilakukan dalam keadaan tergesa-
gesa sebagaimana seperti ayam patuk makanan. Juga malas diperlihatkan melalui
keadaan mengantuk dan letih lesu tidak ada semangat beribadah dalam solatnya itu.
Malas juga boleh diperhatikan pada seorang yang melengah-lengahkan waktu
solatnya itu umpamanya solat Zohor dilaksanakan pada akhir waktu untuk terus
disambung dengan solat Asar, begitu juga Maghrib dilewatkan dengan sengaja untuk
disambungkan dengan waktu Isyak. Malas juga berlaku apabila seorang yang amat
berat untuk melaksanakan solat Isyak dan Subuh kerana tujuan yang tiada uzur syarie.
Apalagi kemalasan ini kalau dilihat pula pada solat-solat sunat yang pada mereka
langsung tidak ada peruntukan waktu dan tenaga untuk melaksanakannya.
Page | 36
Menonjol-nonjolkan kebaikan yang telah nyata
Firman Allah dalam surah al-Munafikun ayat 4:
“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka itu menjadikan kamu kagum.
Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan (dengan penuh perhatian) perkataan
mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa
setiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang
sebenarnya). Maka berwaspadalah terhadap mereka, semoga Allah membinasakan
terhadap mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)? ”
Orang munafik memang amat terlekat dengan sifat bermuka-mukanya itu. Cara
yang paling mudah untuk mereka menutup kekufuran di hati mereka ialah dengan
melakukan sedikit kebajikan untuk orang lain lalu mereka canangkan jasa yang sedikit
itu kepada umum ibarat resmi ayam bertelur sebiji riuh sekampung.
Perbuatan begitu menurut Islam sangat merugikan kerana sudahlah amalan
kebajikan itu hanya sedikit sahaja lalu dipertontonkan pula untuk menarik perhatian
dengan tujuan-tujuan keduniaan, maka hancur berterbangan amalan kebajikan itu
ibarat debu ditiup angin entah ke mana hilangnya.
Page | 37
Mempersendakan kebenaran
Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 64:
“Orang-orang munafik itu takut akan diturunkan kepada mereka suatu surah yang
menerangkan apa yang tersembunyi di dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka;
“Teruskanlah ejekanmu (kepada Allah dan Rasul-Nya). Sesungguhnya Allah akan
menyatakan apa yang kamu sembunyikan itu. "
Kaum munafik adalah termasuk dalam golongan kafir bahkan lebih sesat lagi
daripada itu. Perkara ini terbukti kerana persendaan golongan kuffar adalah kerana
kejahilan mereka atau kerana kesesatan hati mereka, tetapi persendaan golongan
munafikun ini adalah kerana kesesatan hati mereka dan ditambah lagi dengan penyakit
yang bersarang di hati mereka iaitu untuk menyesatkan lagi orang lain yang melihat
keraguan dan persendaan mereka terhadap kebenaran Islam. Oleh itu memang
patutlah apabila ditegaskan oleh Allah SWT bahawa golongan munafik ini ditempatkan
pada kerak neraka.
Berbangga dengan dosa yang dilakukan
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 205-206:
Page | 38
“Dan apabila dia berpaling (daripada kamu) dia berjalan di bumi untuk melakukan
kerosakan padanya, dan merosakkan tanaman dan binatang ternak. Dan Allah tidak
menyukai kerosakan. Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah.”
Bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah
(balasannya) neraka Jahanam. Dan Jahanam itu tempat tinggal yang seburuk-
buruknya.”
Orang munafik yang rosak hatinya bukan sahaja menyuruh kepada
kemungkaran tetapi juga mereka berbangga dan bermegah dengan kemungkaran dan
kejahatan yang dilakukan. Kita nampak di suatu sudut mereka berbangga dengan
sedikit kebaikan yang mereka lakukan dengan menonjol-nonjolkannya, di suatu sudut
lain pula mereka berbangga dan bermegah-megah dengan kemungkaran yang
dilakukan kerana didorong oleh tujuan-tujuan keduniaan dan kepentingan diri sendiri
yang bersifat material dan sementara.
Perkara seperti yang dinyatakan di atas dapat kita saksikan paparannya saban
masa di dada akhbar dan media yang lain bahkan dalam media arus perdana yang
dibaca dan ditonton oleh khalayak ramai termasuk kanak-kanak. Kita saksikan segelintir
artis, bahkan dari kalangan pemimpin masyarakat tanpa rasa segan dan malu
mendedahkan perbuatan jahat mereka untuk meraih keuntungan diri sendiri yang boleh
diperoleh dalam pelbagai bentuk.
Dalam masa yang sama syarikat-syarikat media yang terlibat dengan
pendedahan gejala-gejala maksiat tanpa terikat dengan etika dan nilai-nilai-nilai akhlak
mengaut keuntungan komersial berganda-ganda. Inilah fenomena yang telah menular
ke dalam masyarakat Islam hasil daripada ledakan maklumat tanpa batasan dan
peniruan budaya nifak dan fasik melalui arus globalisasi.
Page | 39
ISU SEMASA BERKENAAN MUNAFIK
Orang munafik itu sangat membahayakan, sehingga pelbagai sifat buruk dan kecaman
Allah ke atas mereka dibentangkan di dalam berbagai-bagai surah al-Qur’an. Mereka
bergaul bersama umat Islam di dalam perkampungan, di rumah, pagi dan petang, lalu
mereka membocorkan rahsia kepada musuh, mengintai untuk mencari titik kelemahan
di kalangan umat Islam. Tindakan-tindakan munafik sebagai musuh terbesar Islam
sangat jelas membahayakan umat Islam. Tindakan mereka yang paling berbahaya
adalah persekongkolan/komplot mereka dengan golongan Yahudi untuk menyerang
Islam dari pelbagai sudut.
Kerosakan di muka bumi merupakan inti pati daripada bahaya yang ditimbulkan
oleh kaum munafik. Kerosakan yang dimaksudkan ialah seperti persengketaan dan
permusuhan yang boleh membawa kepada perpecahan manusia dan peperangan,
keruntuhan nilai akhlak, kemusnahan alam (walaupun ditentukan oleh Allah SWT tetapi
ia berpunca daripada perbuatan tangan manusia yang durjana) dan lain-lain gejala
negatif yang bertentangan dengan nilai agama dan tamadun manusia yang diciptakan
oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik kejadian.
Kaum munafik akan sentiasa mendapat sokongan dan tajaan musuh Islam yang
lain untuk melakukan pelbagai bentuk kerosakan. Kita melihat sendiri di kalangan
pemimpin masyarakat Islam yang telah berpihak kepada musuh-musuh Islam sama ada
golongan Yahudi mahupun Nasrani (Kristian) untuk menghancurkan umat Islam dalam
pelbagai bentuk serangan fizikal dan tanah air. Sebahagian daripada bumi umat Islam
menjadi milik sekutu mereka dengan sikap hipokrit mereka itu.
Cuba kita renung dan bayangkan penderitaan dan kesengsaraan yang
ditanggung oleh umat Islam yang tertindas di bumi sendiri dalam mempertahankan
kedaulatan tanah air daripada dikuasai oleh penceroboh kafir sedangkan segalanya itu
adalah hasil daripada pengkhianatan saudara seagama dan sebangsa sendiri.
Page | 40
Contoh yang paling nyata berlaku kerosakan ialah apa yang berlaku di Palestine
sejak sekian lama, di Afghanistan dan di bumi Iraq. Kita tidak musykil dan rasa terkilan
jika kerosakan itu berlaku akibat daripada bencana alam seperti banjir, kebakaran atau
lain-lain, namun kita amat bersedih dan terkilan apabila kerosakan itu berlaku hasil
daripada perbuatan tangan manusia daripada kalangan umat Islam hipokrit yang
memang sengaja ingin melihat kehancuran masyarakat Islam dan tanah air umat Islam
untuk mendapat habuan dunia.
Kaum munafik cuba mencari sebarang jalan untuk menimbulkan kekacauan
masyarakat dengan pembohongan dan pendustaan. Kemuncak daripada segala
pembohongan mereka ialah hasutan dan fitnah yang ditaburkan terhadap kebenaran
Islam dengan rupa dan warna. Contoh kontemporari dalam hal ini dapat kita lihat
daripada perbuatan seorang wanita yang bertaraf Profesor Pengajian Islam bumi
Amerika yang telah melanggar hukum Syarak dengan begitu berani menjadi imam solat
Jumaat untuk barisan jemaah lelaki dan wanita atas alasan mengubah tradisi
masyarakat Arab dalam ibadah kerana Nabi SAW adalah dari Bangsa Arab.
Perbuatannya itu untuk menjelaskan bahawa Islam bersifat universal dan tidak terikat
dengan adat tradisi sesuatu kaum. Perbuatan dan kata-kata ini merupakan fitnah yang
amat besar ke atas junjungan Nabi SAW dan juga syariat Allah SWT.
Kita berharap agar beliau segera kembali kepada akidah dan ajaran Islam
sebenarnya dan memperbetulkan semula kesilapan yang mendatangkan keuntungan
kepada pihak musuh Islam. Apakah kebaikan yang dapat diraih oleh Islam dan umatnya
daripada tindakan ini selain daripada mengundang pelbagai kecelaruan pemikiran di
kalangan masyarakat awam. Inilah antara perlakuan golongan Muslim moden atas
nama Islam Liberal yang cuba mentafsir semula nas syariat mengikut kebebasan akal
fikiran sendiri dan mengetepikan pandangan ulama muktabar yang terdahulu. Begitu
juga dengan apa yang dilakukan oleh penulis-penulis seperti Salman Rushdie, Taslima
Nasreen dan beberapa lagi individu yang bernama Islam telah dengan lantang dan
berani memfitnah Nabi dan menghina Islam melalui hasil penulisan mereka.
Page | 41
Perpecahan umat Islam adalah salah satu bentuk kerosakan yang sangat besar
bagi umat Islam. Bukan hanya sekarang munculnya manusia yang menggunakan nama
Islam untuk mendapat pengaruh hebat di persada antarabangsa, akan tetapi sejak
zaman Rasulullah SAW lagi kaum munafik selalu mencari peluang untuk mengadu
domba dan memecah belah umat. Kalau di zaman klasik dahulu kaum munafik
membina masjid palsu untuk tujuan memecahbelahkan umat Islam maka apa yang
dilakukan oleh Kemal Atartuk di Turki tidak kurang besar kesannya yang sama
sepertinya.
Musuh-musuh Islam sentiasa bimbang dan khuatir dengan kekuatan dan
solidariti umat Islam. Oleh itu mereka akan cuba mengintai peluang untuk merobohkan
benteng ini dengan apa muslihat sekalipun. Kita nampak peranan dan kerjasama kaum
Yahudi dan Nasara sebagai musuh tradisi Islam dalam melaga-lagakan umat Arab
dalam isu penubuhan Negara Palestine. Mereka mengadu domba para pemimpin
masyarakat Islam di negara-negara umat Islam seperti yang berlaku di Pakistan,
Afghanistan, Iraq dan di mana-mana sahaja.
Keadaan menjadi bertambah parah apabila wujud dari kalangan pemimpin
masyarakat Islam sendiri yang bersifat hipokrit dan turut sama bersekongkol dengan
kaum kuffar itu untuk menambahkan lagi penderitaan umat Islam. Akhirnya umat Islam
membunuh sesama sendiri untuk mempertahankan pegangan dan dasar perjuangan
masing-masing. Apabila berlaku perkara-perkara yang disebutkan tadi, maka golongan
musuh Islam yang berdiri di belakang munafik yang bertopengkan nama dan wajah
Islam tadi akan bukan sahaja tersenyum lebar bahkan bersorak gembira dengan
kejayaan mereka Inilah antara beberapa bahaya yang timbul akibat daripada perbuatan
nifak, semoga Allah sentiasa melindungi kita darinya.
Page | 42
PENDAPAT BERKENAAN MUNAFIK
Allah SWT berfirman tentang keadaan golongan munafik:
“Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada
Allah dan Hari Kemudian”. Padahal mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka
hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal mereka tidak
perdayakan melainkan diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Di hati
mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit kepada mereka dan adalah bagi
mereka seksaan yang pedih sebab mereka telah berdusta. Dan apabila dikatakan
kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”, mereka menjawab:
“Kami tidak lain melainkan orang yang membuat kebaikan”. Ketahuilah bahawa mereka
itu adalah orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar. Dan apabila
dikatakan kepada mereka, “Berimanlah sebagaimana orang yang telah beriman”.
Mereka berkata, “Apakah harus kami beriman seperti orang-orang bodoh itu beriman?”
Ketahuilah mereka itulah orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak ketahui. Dan
apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman mereka berkata, “Kami telah
beriman”. Apabila bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka, mereka berkata, “Kami
berserta kamu. Kami tidak lain melainkan memperolok-olokkan (orang yang beriman).”
(Surah Al-Baqarah: 8-14)
Oleh kerana golongan munafik hidup dalam kepura-puraan, mereka sangat takut jika
rahsia mereka diketahui oleh orang lain. Firman-Nya:
“Orang-orang yang munafik itu takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surat
yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Katakanlah kepada
mereka: "Teruskanlah ejekan-ejekanmu (terhadap Allah dan Rasul-Nya)".
Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takuti itu.”
(Surah At-Taubah: 64)
Page | 43
Golongan munafik menyebarkan ajaran yang menyalahi syariat Islam. Apabila syariat
meletakkan peraturan amal makruf dan mencegah kemungkaran, mereka akan menilai
yang makruf sebagai keuntungan duniawi dan yang mungkar pula sebagai kerugiannya.
Mereka menganggap zakat dan sedekah bukan sebagai amal makruf kerana ia
merugikan dari segi keduniaan. Firman-Nya:
“Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang
lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat
yang makruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada
Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik, itulah
orang-orang yang fasik.”
(Surah At-Taubah: 67)
Golongan munafik juga berani menggunakan nama Allah bagi menutup kesesatan dan
kekufuran mereka. Allah SWT memerintahkan agar Nabi SAW berjihad memerangi
orang munafik kerana mereka adalah orang-orang yang kufur. Firman Allah SWT:
“Wahai Nabi! Berjihadlah terhadap kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah
terhadap mereka. Tempat kembali mereka adalah jahanam dan itulah yang seburuk-
buruk kesudahan. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak
pernah berkata, padahal mereka pernah mengatakan kalimat kufur dan mereka telah
kafir sesudah Islam dan mereka sangat mengingini apa yang tidak dapat mereka capai.
Dan tidaklah kebencian mereka itu melainkan kerana Allah dan Rasul-Nya telah
memperkayakan orang yang beriman dengan kurnia-Nya. Tetapi jika mereka bertaubat
adalah baik bagi mereka dan jika mereka berpaling, Allah akan azabkan mereka
dengan satu azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan tidak ada bagi mereka
pembantu di bumi dan tidak ada penolong.”
(Surah At-Taubah: 73-74)
Page | 44
Al-Quran memberi peringatan tentang ancaman golongan munafik terhadap
keselamatan dan kepercayaan orang yang beriman. Allah SWT telah menamakan satu
surah al-Quran dengan surah ‘Al-Munafiqun’, bagi mengingatkan kaum Muslimin betapa
bahayanya kehadiran golongan munafik di dalam masyarakat kaum Muslimin. Allah
SWT menggesa Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin pada semua zaman agar
sentiasa berwaspada terhadap tipu daya dan fitnah yang datang daripada golongan
munafik. Firman-Nya:
“Apabila orang munafik datang kepada kamu mereka akan berkata, “Kami mengakui
bahawasanya kamu Rasul Allah,” padahal Allah mengetahui bahawasanya engkau
pesuruh-Nya dan Allah menyaksikan bahawasanya kaum munafik itu adalah orang
yang berdusta. Mereka jadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perlindungan, lalu
mereka menghalangi manusia dari jalan Allah. Sesungguhnya buruk apa yang telah
mereka kerjakan. Yang demikian lantaran beriman kemudian mereka kufur, lalu
dimeterai atas hati mereka; oleh itu mereka tidak dapat memahami. Dan apabila
engkau lihat mereka, menghairankan kamu tubuh-tubuh mereka; dan jika mereka
berkata-kata, engkau dengarkan perkataan mereka. Mereka seolah-olah kayu yang
disandarkan. Tiap-tiap teriakan mereka sangka buat membahayakan mereka. Mereka
adalah musuh; maka hendaklah engkau awasi mereka. Allah melaknati mereka! Ke
manakah mereka dipalingkan?"
(Surah Al-Munafiqun: 1-4)
Page | 45
KESIMPULAN
Orang-orang munafik merupakan golongan manusia yang malang. Dengan sifat nifak
(pura-pura) yang ada pada mereka menjadikan mereka orang yang sering kali susah
hati dan sentiasa hidup dalam kegelisahan. Mereka tidak berada dalam realiti hidup
yang sebenarnya bahkan hidup terawang-awang kerana terpedaya oleh perbuatan
nifak mereka sendiri.
Mereka ini termasuk dalam kelompok manusia yang dilaknat oleh Allah SWT
namun begitu bagi kita umat Islam yang secara langsung memikul amanah sebagai
pendakwah disarankan supaya mencari peluang untuk menyedarkan mereka. Mereka
perlu dipimpin dan diajak supaya kembali kepada kebenaran. Tidak dapat dinafikan
bahawa tugas ini amat sukar sekali kerana penentangan mereka terhadap Islam tidak
nampak secara terang-terangan. Bahkan dalam keadaan tertentu pula mereka ini lebih
bahaya daripada orang-orang kafir musyrik yang memang jelas kekufuran mereka.
Menurut ibarat pepatah Melayu golongan munafik dikatakan sebagai musuh
dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam atau talam dua muka. Tugas
dakwah menjadi bertambah sulit dan sukar apabila mereka bukan sahaja menentang
Islam secara tersembunyi tetapi menghasut orang lain untuk menentang Islam ibarat
kata baling batu sembunyi tangan atau mereka menghalang pula orang lain daripada
menerima dakwah dan mencari kebenaran.
Satu perkara lain yang dirasakan perlu untuk dinyatakan di sini agar di kalangan
kita umat Islam hendaklah sentiasa berusaha menghindarkan diri daripada mempunyai
sifat-sifat orang seperti yang disebutkan. Sekiranya kita tidak berwaspada maka
dibimbangi kita termasuk dalam golongan yang dilaknat oleh Allah SWT yang
menyebabkan kita terpinggir daripada rahmat-Nya
Page | 46
Kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan ciri-ciri nifak yang kadangkala kita
sendiri tidak sedar ia wujud dalam diri sendiri atau ia berlaku dalam hidup seharian.
Perbuatan-perbuatan seperti bersolat dalam keadaan malas (umpamanya rasa berat,
mengantuk), menunjuk-nunjuk amalan kebajikan (riyak), atau suka menonjol diri
dengan kelebihan yang ada pada diri (yang bermotifkan takbur atau ujub) dan
sebagainya seharusnya dikaji (muhasabah) supaya semuanya itu tidak bersarang
dalam diri kita. Semuanya ini akan merugikan kita untuk jangka masa panjang
walaupun dalam jangka masa pendek untuk hidup dunia ini ia kelihatan seperti remeh
atau tidak perlu difikirkan dengan membiarkan ia berlalu begitu sahaja, sedangkan ia
sebenarnya melingkari hidup dan amat membelenggukan.
Jadilah kita satu umat yang mempunyai fikrah dan cita-cita yang satu arah untuk
sama-sama membimbing diri kita kepada kebenaran dan menjauhkan diri kita daripada
kesesatan dalam apa sahaja aliran sama ada fasik, nifak, zindiq ataupun kufur. Dengan
usaha sebegini mudah-mudahan kita sebagai umat Islam yang satu arah ini dirahmati
oleh Allah SWT dan dijauhi daripada malapetaka yang membinasakan umat.
Semoga sikap munafik (pura-pura) ini kita membencinya sebagaimana kita
merasa jijik untuk berada di dalam lubang najis dan kita tidak akan menipu diri sendiri
untuk berpura-pura di dalam hidup. Kita sering mengutuk orang-orang munafik yang
sememangnya mempunyai agenda untuk meruntuhkan Islam di mana mereka
menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam dengan pakaian dan rupa seorang
Muslim. Dalam masa yang sama jika kita tidak berwaspada, diri kita juga mungkin
mempunyai ciri-ciri nifak yang ada pada golongan munafik tersebut. Oleh itu kita juga
sepatutnya merasa benci dengan diri kita sendiri sekiranya melakukan sesuatu
daripada perbuatan orang munafik. Untuk itu kita hendaklah dengan segera
menyedarinya dan berusaha membaikinya.
Sekiranya tugas dakwah kita terhadap golongan munafik menghadapi kebuntuan
maka tidak harus ada rasa kecewa atau istilah putus asa dalam kamus hidup kita
sebagai golongan Mukmin sebaliknya serahkan lah keadaan itu kepada kebijaksanaan
Allah untuk menentukan nasib mereka.
Page | 47
LAMPIRAN
Page | 48
Page | 49
RUJUKAN
Virus Munafik, Wan Sidah Wan Ismail, Pusat Penerbitan Universiti (UPENA)
50 Tanda-Tanda Orang Munafik, Drs. Hanafi Mohamad, Al-Hidayah Publication
Tanda-tanda Orang Munafik dalam Al-Quran, Dr. Muhammad Yusuf ‘Abdu, Al
Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd.
Siapa Munafik?, Muhammad Al-Hamid, Jasmin Enterprise
Page | 50
Top Related