PEMBUDAYAAN KEUSAHAWANAN ISLAM MENUJU AL ...

15
4 th International Virtual Conference on Economics, Entrepreneurship and Management (4 th ICEEM) Nilai July 30, 2021 PEMBUDAYAAN KEUSAHAWANAN ISLAM MENUJU AL-FALAH: CABARAN GLOBALISASI ERA COVID-19 Anita Ismail 1 , Farah Laili Muda @ Ismail 2, Mashitah Sulaiman 3 and Sakinah Ahmad 4 1&2 Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia 3 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia 4 Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia Abstrak. Keusahawanan merupakan bidang strategik yang sentiasa menjadi perhatian dan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Falsafah keusahawanan Islam berpandukan kepada falsafah ekonomi itu sendiri yang mana perniagaan adalah berasaskan kepada Rabbani atau bercirikan ketuhanan sekaligus mewujudkan hubungan atau pengaruh elemen kerohanian dalam kegiatan keusahawanan. Kerohanian merupakan aspek penting dalam konteks keusahawanan Islam dalam hubungan pembudayaan keusahawanan Islam menuju al-falah iaitu mencapai kejayaan hakiki dunia dan akhirat. Malah isu pencapaian usahawan Melayu yang dikaitkan dengan sikap juga dilihat berkait rapat dengan nilai keagamaan sebagai salah satu jalan penyelesaian. Memulakan sebuah perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah, antara masalah yang perlu dihadapi untuk memulakan perniagaan adalah kekurangan dari sudut kewangan. Tambahan pula, dalam keadaan ekonomi yang kurang baik kesan daripada COVID- 19, masalah ini sudah tentu lebih dirasai. Oleh yang demikian, salah satu cara mengatasi masalah tersebut adalah dengan cara penjimatan dan mengurangi beberapa kos yang mana dilihat sesuai dengan bajet yang sedia ada. Dalam masa yang sama, dengan cara ini, sudah tentu mampu mengoptimumkan keuntungan perniagaan. Selain itu, perniagaan secara dalam talian juga boleh mengurangkan kos pemasaran produk dengan cara free marketing. Dengan pengurangan kos yang boleh dibuat jika berniaga dalam talian, secara tidak langsung dapat mengoptimumkan keuntungan perniagaan. Masyarakat Islam khususnya di Malaysia menerapkan budaya keusahawanan sehingga dapat menghasilkan golongan usahawan Muslim yang berjaya serta berdaya saing di peringkat global. Kata kunci : Keusahawanan, Islam, Al-Falah, Globalisasi 1.0 Pengenalan Keusahawanan merupakan bidang strategik yang sentiasa menjadi perhatian dan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Rasulullah telah membuktikan bahawa keusahawanan merupakan kerjaya strategik yang perlu dihayati oleh umat Islam seluruhnya. Buktinya, terdapat ramai usahawan Muslim yang berjaya pada awal perkembangan Islam termasuk Nabi Muhammad, Abu Bakar, Uthman Bin ‘Affan, ‘Umar al -Khattab, Zaid Bin Arqam, Thalhah Bin ‘Ubaid al-Allah, ‘Abd al -Rahman al-Auf dan sebagainya (Shuhairi & Ku Halim, 2010). Sebagai usahawan, mereka bukan sahaja berjaya dalam perusahaan yang diceburi, tetapi turut mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah. Malahan, mereka juga lebih berkaliber

Transcript of PEMBUDAYAAN KEUSAHAWANAN ISLAM MENUJU AL ...

4th International Virtual Conference on Economics, Entrepreneurship and Management

(4th ICEEM)

Nilai July 30, 2021

PEMBUDAYAAN KEUSAHAWANAN ISLAM MENUJU AL-FALAH:

CABARAN GLOBALISASI ERA COVID-19

Anita Ismail1, Farah Laili Muda @ Ismail2, Mashitah Sulaiman3 and Sakinah Ahmad4

1&2 Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia

3 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

4 Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

Abstrak. Keusahawanan merupakan bidang strategik yang sentiasa menjadi perhatian dan

sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Falsafah keusahawanan Islam berpandukan

kepada falsafah ekonomi itu sendiri yang mana perniagaan adalah berasaskan kepada Rabbani

atau bercirikan ketuhanan sekaligus mewujudkan hubungan atau pengaruh elemen kerohanian

dalam kegiatan keusahawanan. Kerohanian merupakan aspek penting dalam konteks

keusahawanan Islam dalam hubungan pembudayaan keusahawanan Islam menuju al-falah iaitu

mencapai kejayaan hakiki dunia dan akhirat. Malah isu pencapaian usahawan Melayu yang

dikaitkan dengan sikap juga dilihat berkait rapat dengan nilai keagamaan sebagai salah satu

jalan penyelesaian. Memulakan sebuah perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah, antara

masalah yang perlu dihadapi untuk memulakan perniagaan adalah kekurangan dari sudut

kewangan. Tambahan pula, dalam keadaan ekonomi yang kurang baik kesan daripada COVID-

19, masalah ini sudah tentu lebih dirasai. Oleh yang demikian, salah satu cara mengatasi

masalah tersebut adalah dengan cara penjimatan dan mengurangi beberapa kos yang mana

dilihat sesuai dengan bajet yang sedia ada. Dalam masa yang sama, dengan cara ini, sudah tentu

mampu mengoptimumkan keuntungan perniagaan. Selain itu, perniagaan secara dalam talian

juga boleh mengurangkan kos pemasaran produk dengan cara free marketing. Dengan

pengurangan kos yang boleh dibuat jika berniaga dalam talian, secara tidak langsung dapat

mengoptimumkan keuntungan perniagaan. Masyarakat Islam khususnya di Malaysia

menerapkan budaya keusahawanan sehingga dapat menghasilkan golongan usahawan Muslim

yang berjaya serta berdaya saing di peringkat global.

Kata kunci: Keusahawanan, Islam, Al-Falah, Globalisasi

1.0 Pengenalan Keusahawanan merupakan bidang strategik yang sentiasa menjadi perhatian dan sentiasa

berubah mengikut peredaran zaman. Rasulullah telah membuktikan bahawa keusahawanan

merupakan kerjaya strategik yang perlu dihayati oleh umat Islam seluruhnya. Buktinya,

terdapat ramai usahawan Muslim yang berjaya pada awal perkembangan Islam termasuk Nabi

Muhammad, Abu Bakar, Uthman Bin ‘Affan, ‘Umar al-Khattab, Zaid Bin Arqam, Thalhah Bin

‘Ubaid al-Allah, ‘Abd al-Rahman al-Auf dan sebagainya (Shuhairi & Ku Halim, 2010).

Sebagai usahawan, mereka bukan sahaja berjaya dalam perusahaan yang diceburi, tetapi turut

mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah. Malahan, mereka juga lebih berkaliber

berbanding bangsa lain termasuk Yahudi (Ab. Mumin & Suhaili, 2009).

Keusahawanan atau lebih dikenali dengan perniagaan merupakan bidang pilihan umat

Islam khususnya pada awal kedatangan Islam, malah tidak terkecuali Rasulullah sendiri.

Berdagang menyusuri semenanjung tanah Arab bersama kafilah dagang Arab yang lain.

Falsafah keusahawanan Islam berpandukan kepada falsafah ekonomi itu sendiri yang mana

perniagaan adalah berasaskan kepada Rabbani atau bercirikan ketuhanan (al-Qaradhawi)

sekaligus mewujudkan hubungan atau pengaruh elemen kerohanian dalam kegiatan

keusahawanan. Kerohanian merupakan aspek penting dalam konteks keusahawanan Islam.

Konsep kerohanian berkait rapat dengan Islam kerana segala aspek kehidupan seseorang

Muslim bergantung kepadanya memandangkan tujuan penciptaan manusia ialah untuk

beribadat kepada Allah SWT. Malah isu pencapaian usahawan Melayu yang dikaitkan dengan

sikap juga dilihat berkait rapat dengan nilai keagamaan sebagai salah satu jalan penyelesaian.

Lantaran itu dalam Islam tidak ada pemisah antara aspek keduniaan dan kerohanian kerana

keyakinan dan ketaatan terhadap Allah SWT berlaku dalam semua sudut kehidupan.

Kegemilangan Islam terus disokong oleh golongan-golongan usahawan yang terdiri daripada

para sahabat dan tabi’in. Para sahabat telah membuktikan bahawa perniagaan merupakan

sumber utama dalam menggerakkan ekonomi umat Islam. Islam juga secara langsung amat

menyokong dan memberikan ruang yang cukup luas bagi urusan jual beli dan perniagaan ini.

Perniagaan yang dijalankan pada ketika itu lebih telus dan jauh daripada masalah-masalah

penipuan.

Kajian ini membincangkan bagaimana masyarakat Islam khususnya di Malaysia dapat

menerapkan budaya keusahawanan dalam keadaan ekonomi yang kurang baik kesan daripada

COVID-19, kerana melalui pembudayaan inilah dapat menghasilkan golongan usahawan

Muslim yang kental dan berdaya saing di peringkat global.

2.0 Budaya Tradisi Keusahawanan daripada Perspektif Islam

Di dalam Islam, keusahawanan dilihat dalam konteks yang luas iaitu tugas manusia sebagai

hamba dalam memenuhi tuntutan sebagai hubungan manusia dengan Allah sebagai Pencipta

dan hubungan manusia dengan manusia (Mohd, 2015). Dalam erti kata lain, ia adalah satu

bentuk ibadat yang mendapat ganjaran di sisi Allah sekiranya dilaksanakan berteraskan nilai-

nilai Islam. Ini bertepatan dengan pendapat oleh Adnan dan Mohamad (2002) bahawa

pengamal perlu peka dengan amal mereka untuk memakmurkan dunia dan mendapat redha di

sisi Allah.

Jika disoroti sejarah Islam, jelas terbukti bahawa para nabi juga menceburi bidang

keusahawanan. Sejak kecil baginda Rasulullah S.A.W telah Bersama-sama dengan bapa

saudaranya terlibat dengan penternakan kambing manakala setelah menginjak remaja,

Rasulullah SAW mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan iaitu bidang yang sinonim

dengan dunia keusahawanan. Kegigihan Rasulullah S.A.W akhirnya menjadikan baginda

seorang usahawan yang hebat bukan sahaja di Mekah dan Madinah bahkan di seluruh rantau

Tanah Arab. Faktor utama kejayaan Rasulullah S.A.W sebagai seorang usahawan adalah

akhlaqnya yang mulia dan terpuji yang berjaya meyakinkan pelanggan di samping penyusunan

strategi yang mantap. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, Islam bukan saja mementingkan

urusan akhirat dalam memastikan kekuatan rohani penganutnya tetapi juga hal-hal yang

cenderung ke arah perancangan, pengurusan sumber dan kemahiran-kemahiran lain (Mohd.

Zain, 2015).

Mengulas lanjut tentang kecenderungan yang perlu umat Islam titikberatkan, Al-

Ghazali berpendapat agar seorang usahawan atau peniaga menepati ciri-ciri peniaga atau

usahawan yang mendapat rahmat dan reda Allah S.W.T. Al-Ghazali turut menekankan empat

perkara yang perlu diberi perhatian iaitu kesahihan (amalan atau pekerjaan atau akad yang

dilakukan menurut syara’), utamakan keadilan (jauhi apa jua bentuk kezaliman atau

penindasan), berbuat baik (kepada diri dan pelanggan), menjaga agama (dalam apa jua situasi

keadaan). Jika al-Ghazali mengaitkan pendapat beliau tentang dengan aspek kerohanian, Ibnu

Khaldun pula dalam kitab beliau al-Muqaddimah menghubungkannya dengan aspek sosiologi.

Menurut Ibnu Khaldun, perniagaan adalah satu bidang yang mudah terdedah kepada elemen

penipuan, pengkhianatan, ketidakjujuran yang merugikan peniaga atau usahawan itu sendiri

bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat. Justeru, adalah penting kepada peniaga dan pedagang

untuk berlaku jujur, gigih, bijaksana, berani serta sanggup menghadapi cabaran dan risiko

(Mohd. Zain, 2014).

Seperti juga Ibnu Khaldun yang mengaitkan keusahawanan dengan aspek sosiologi,

Siddiqi (1979) berpendapat, keusahawanan dalam masyarakat Islam sebagai aktiviti yang

terarah kepada keuntungan yang memuaskan, perkhidmatan kepada masyarakat dan sikap

saling membantu. Ini membuktikan bahawa, keusahawanan dalam Islam bukan terhad kepada

faktor pendapatan dan keuntungan sahaja bahkan turut menekankan aspek kebajikan dan

sumbangan terhadap keperluan dan kemaslahatan ummah. Manakala bagi al-Qardhawi (2001),

keusahawanan yang ditonjolkan soal nilai dan akhlaqnya melalui aktiviti seperti pengeluaran

dan perkhidmatan adalah salah satu bentuk ibadah yang memberi manfaat kepada manusia

untuk meningkatkan taraf hidup agar lebih sempurna.

Dalam usaha untuk menggalakkan keusahawanan sebagai salah satu pembangunan

kerjaya, menurut prinsip Islam, kehidupan bukanlah satu perlumbaan. Oleh yang demikian,

Islam menitikberatkan perinsip bantu membantu dan tolong menolong yang dibina

berlandaskan semangat komunikasi dan kerjasama dalam ekonomi. Justeru, mengamalkan

nilai-nilai murni keusahawanan perlu menjadi asas dalam setiap aktiviti keusahawanan yang

dijalankan.

2.1 Budaya Tradisi Ciri-ciri Keusahawanan Islam

Budaya bermaksud kemajuan fikiran dan akal budi (cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya)

manakala keusahawanan pula adalah merupakan kata terbitan usahawan yang merujuk kepada

perkara-perkara yang berkaitan dengan usahawan (Kamus Dewan, 2005). Untuk menyemai

budaya keusahawanan ini kita perlu mengenali dan mengetahui apakah ciri-ciri dan gelagat

yang perlu ada dan harus diamalkan oleh setiap usahawan muslim (Ab Ghani & Sarif, 2005).

Antara ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:

a. Mengamalkan nilai-nilai murni keusahawanan

Nilai dan akhlak tidak dapat dipisahkan daripada keusahawanan. Ia merupakan asas

pembentukan peribadi setiap individu muslim termasuklah usahawan. Nilai dan gelagat inilah

yang menyebabkan mereka berjaya mengharungi pelbagai rintangan dalam perniagaan. Antara

nilai dan gelagat yang wujud adalah seperti berani menanggung risiko, berdikari, mempunyai

ciri-ciri kepimpinan, murah hati, optimis, kuasa, perihatin, keperluan pencapaian yang tinggi,

keyakinan diri dan banyak lagi. Ciri-ciri, gelagat serta sikap-sikap tersebut boleh dikategorikan

sebagai sikap yang positif atau terpuji (mahmudah). Baginda berjaya membuktikan bahawa

dengan mengamalkan sifat-sifat yang baik, perniagaan masih menguntungkan malah lebih baik

berbanding peniaga yang tidak jujur.

Keuntungan yang menjadi objektif baginda bukanlah semata-mata keuntungan

kebendaan tetapi keredaan Allah adalah lebih utama. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang

boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu

beriman kepada Allah dan Rasulnya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan

ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik

bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Al-Saf (61): 10-11)

b. Konsep Ubudiyah

Islam sebagai agama yang syumul tidak memisahkan segala urusan perniagaan dengan

nilai-nilai agama. Perniagaan bukan sahaja dianggap sebagai kerjaya tetapi juga dikira ibadat

dalam Islam dan akan mendapat ganjaran sewajarnya di akhirat. Firman Allah yang bermaksud:

“Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya. Dan

sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

(al-Zalzalah (99):7-8)

c. Jaringan perniagaan yang kukuh

Antara strategi utama Rasulullah apabila hijrah umat Islam berlaku adalah membina

masjid dan seterusnya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Strategi ini merupakan

asas kepada pengukuhan dan kekuatan masyarakat Islam yang masih baru di Madinah pada

ketika itu. Ternyata strategi ini berjaya untuk membentuk ummah yang kuat dan berjaya

mengalahkan musuh yang datang daripada luar (M.S. Ramadhan, 1996). Usahawan muslim

seharusnya mempunyai jaringan keusahawanan yang kuat agar mereka dapat saling bantu-

membantu memperkuat antara satu sama lain. Ini dinyatakan dengan jelas dalam mafhum hadis

yang berbunyi:

“Diriwayatkan daripada Abu Musa bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Muslim sesama

muslim adalah seperti sebuah bangunan yang saling kuat memperkuat antara satu sama

lain”.

d. Tadbir urus korporat yang baik

Tadbir urus korporat merujuk kepada sistem di mana sesebuah syarikat diurus dan

dikawal selia. Dalam konsep tadbir urus ini, fokus diberikan kepada soal-soal berkenaan

tanggungjawab, akauntabiliti, ketelusan, kesepakatan dan kepimpinan. Lembaga pengarah

bertanggungjawab dalam pentadbiran syarikat manakala pemegang saham berperanan untuk

melantik pengarah-pengarah dan juruaudit dan memastikan struktur yang betul sentiasa

berjalan (Manap Said, 2001). Hal ini penting bagi memastikan setiap individu dalam organisasi

menjalankan tugas masing-masing dan tidak menyalahgunakan kuasa yang ada demi

kepentingan peribadi.

e. Kreatif dan inovatif

Kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan

mengembangkan sesuatu idea yang asli. Manakala inovatif adalah perihal memulakan sesuatu

yang baru. Sebagai individu yang sentiasa mengenal pasti peluang, nilai kreatif dan inovatif

merupakan nilai yang amat penting bagi setiap individu usahawan. Sifat inovatif ini amat

digalakkan oleh Islam memandangkan Allah menciptakan setiap sesuatu adalah untuk

digunakan oleh manusia. Hal ini dinyatakan melalui ayat yang bermaksud:

“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi”

(Al-Baqarah. 2: 29

2.2 Bermula daripada Hati dan Apa yang Ada di Tangan

Abdul Rahman bin Auf sama sekali tidak berharap kepada bantuan dan belas kasihan daripada

orang lain. Pada beliau, nikmat Allah yang dipinjamkan kepadanya begitu banyak. Tercatat

dalam sejarah, beliau menolak bantuan daripada orang kaya di Madinah, iaitu Saad bin Rabi

dengan baik (Zakaria, 2014).

Demi kecintaan Saad bin Rabi kepada saudaranya dan golongan Muhajirin, beliau

mengatakan kepada Abdul Rahman bin Auf,

“Saudara, ketahui yang saya adalah seorang Ansar yang banyak harta, dan sekiranya

saudara sudi, ambil separuh kekayaan saya. Saya juga mempunyai dua orang isteri dan

kiranya saudara sudi, saya sedia menceraikan seorang daripada mereka supaya saudara

dapat mengahwininya.”

Mendengarkan kata-kata sahabatnya itu, Abdul Rahman bin Auf menjawab,

“Saudaraku, semoga Allah akan memberikan berkat kepada keluarga dan harta benda

saudara. Jangan difikirkan tentang diri say aini. Yang penting bagi saya, saudara sudi

menunjukkan saya jalan menuju ke pasar.”

Abdul Rahman bin Auf memulakan pernigaan dengan menjual keju dan minyak di

pasar kerana itu sahaja yang ada di tangannya ketikan berhijrah ke Madinah. Sekiranya ada

yang bertanya tentang rahsia perniagaannya, Abdul Rahman bin Auf menjawab, “Aku merasa

untung yang sedikit kerana aku tahu Allah memberkati.”

2.3 Paradigma Kaya

Keberkatan harta bermaksud suatu yang sukar diperkatakan kerana sifatnya yang relatif.

Namun, kepada Allah juga kita berserah dan bertawakal. Allah menyatakan,

“Apa sahaja harta rampasan perang yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya yang

berasal daripada penduduk-penduduk kota, adalah untuk Allah dan Rasul supaya harta

itu tidak beredar dalam kalangan orang kaya sahaja di antara kamu.”

(Al-Hasyr: 7)

Harta adalah nikmat kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada sesiapa sahaja

yang di kehendaki-Nya. Umat Islam perlu bijak mengurus kehidupan di dunia supaya seimbang

dengan kehidupan di akhirat nanti. Memilik kekayaan yang diberkati dapat memberikan

ketenangan jiwa dan minda yang hakiki kepada pemilikNya.

2.4 Menjadi Hebat dengan Sabar, Syukur dan Zuhud

Sabar menjadikan manusia lebih manusiawi. Menurut pandangan Imam Ghazali,

“Sabar adalah ciri khas milik manusia dna tidak dimiliki oleh haiwan atau kekurangan-

kekurangannya dan tidak pula dimiliki oleh kekurangan-kekurangannya dan tidak pula

dimiliki oleh malaikat atas sifat-sifat kesempurnaannya sebagai hamba yang taat

kepada Allah.”

(Ihya Ulumuddin)

Syukur biasanya melibatkan tindak balas seseorang kepada apa jua kelebihan sama ada

dari segi harta mahupun kekuatan yang dimiliki, syukur adalah bukti keimanan kepada Allah

atas segala nikmat yang dikurnikan kepada seseorang. Berbeza dengan kufur, iaitu

menggunakan nikmat pada tempat yang bertentangan dengan tujuan penciptaannya terbentuk

daripada tipu daya iblis. Allah menyatakan,

“Sesungguhnya apabila kamu bersyukur, maka Kami akan menambah (nikmat)

kepadamu, dan sekiranya kamu mengingkari nimat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku

begitu dahsyat.”

(Surah Ibrahim: 7)

Zuhud ertinya meninggalkan dunia melainkan kadar yang patut daripadanya. Menurut

istilah, zuhud adalah berpaling dan meninggalkan sesuatu yang disayangi, bersifat kebendaan,

atau kemewahan duniawi dengan mengharap dan menginginkan sesuatu yang lebih baik dan

kekal abadi di akhirat kelak. Sifat zuhud adalah mekanisme kawal selia yang bekesan dan dapat

menjana kekayaan secara berterusan. Zuhud melatih sifat khuatir (khauf) dan penuh harapan

(raja’) dalam meningkaktkan produktiviti dan pembangunan diri.

3.0 Menuju al-Falah: Kejayaan Hakiki Dunia dan Akhirat

Keusahawanan adalah salah satu sumber untuk mencari rezeki melalui cabang ibadah dan

muamalah yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT (Nor Hafiza, 2012). Hal ini

bersesuaian dengan ayat al-Quran yang bermaksud:

“Dan Allah SWT menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

(Al-Baqarah, 2: 275)

Hadis Nabi Muhammad SAW tentang perniagaan dan usahawan yang merupakan salah

satu sumber rezeki terbesar dan menjanjikan pulangan yang lumayan. Antara hadis Rasulullah

SAW yang bermaksud:

“Dorongan atas kamu ialah perniagaan kerana di dalamnya 9/10 daripada adalah punca

rezeki.”

(Riwayat at-Tirmizi)

3.1 Amalan Kerohanian dalam Keusahawanan

Terdapat lima tema utama berkaitan ciri-ciri dan amalan kerohanian dalam kalangan

usahawan berjaya iaitu Yakin Kuasa Allah, Tawakkal, Akhlak, Amalan dan Qana’ah

Mubarak, Rahman Yaacob, (2015). Setiap tema utama ini mempunyai beberapa subtema

yang menjelaskan lagi kedudukan ciri-ciri kerohanian ini dari perspektif informan. Keyakinan

kuasa Allah ini mempunyai dua subtema iaitu percaya bahawa kurniaan rezeki adalah

daripada-Nya semata-mata, dan ini membawa kepada pentingnya hubungan dalam konteks

hamba dengan Tuhannya. Konsep tawakkal digambarkan melalui dua subtema iaitu berusaha

dengan sedaya upaya dan kemudiannya berserah kepada ketentuan. Allah SWT. Akhlak pula

merujuk kepada tiga subtema iaitu menyempurnakan amanah khususnya dalam skop

usahawan, kejujuran dan keikhlasan dalam menjalankan urus niaga serta menjauhi segala

bentuk perkara yang dilarang oleh agama.

Sementara itu, tema amalan dalam skop fardu ain dan kifayah merujuk beberapa

subtema iaitu niat yang betul menjalankan perniagaan, doa dan solat yang mencerminkan

hubungan dengan Allah SWT, mengeluarkan zakat dan bersedekah serta menyempurnakan

tanggungjawab sosial atau perkara kebajikan. Tema terakhir iaitu qana’ah mempunyai dua

subtema iaitu bersyukur atau mencukupi dengan apa yang diperoleh dan reda terhadap

ketentuan Ilahi dengan kesabaran.

3.2 Keusahawanan dan Konsep al-Falah

Dalam perspektif Islam, keseimbangan seseorang usahawan memperolehi kejayaan dunia dan

pada masa yang sama memenuhi tuntutan agama dan syariat dikenali sebagai usahawan ‘al-

Falah’ (Ali, Abu & Sawari (2021). Justeru, konsep al-Falah adalah suatu pencapaian

cemerlang mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia meliputi kerohanian, kebendaan,

moral dan ini selaras dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, iaitu orang yang khusyu’ dalam

solatnya, dan orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak

berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang memelihara kemaluannya,

kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka

sesungguhnya mereka tidak tercela”

(Surah al-Mukminun: 1-6)

Menurut Shuhairimi, Muhammad & Solahuddin (2018), beliau merumuskan bahawa

perbincangan definisi keusahawanan antara perspektif Islam dan Barat adalah dibezakan oleh

elemen ketuhanan atau kerohanian yang merujuk kepada tanggungjawab dalam memenuhi

tuntutan sebagai hamba dan khalifah. Para sarjana Islam jelas meletakkan definisi usahawan

bukan sahaja mementingkan sudut keuntungan material tetapi meletakkan sebagai suatu bentuk

ibadah dalam mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Konsep al-Falāḥ merangkumi lima prinsip iaitu rezeki yang halal, qanāᶜah (bersyukur

atau reda dengan apa yang diperolehi), taufik (petunjuk), saᶜādah (kebahagian) dan jannah

(syurga) (al-Qurtubī, 1967). Kelima-lima prinsip ini membezakan aspek kejayaan dalam

konteks Islam dengan yang lain kerana turut menekankan soal kejayaan dan kesejahteraan di

akhirat sebagai matlamat utama. Oleh itu, selain aspek keuntungan dan perkembangan bisnes,

kejayaan dalam konteks ini ialah keupayaan usahawan untuk menghayati konsep pengabdian

terhadap Allah s.w.t. dan mengamalkannya dalam aktiviti perniagaan. Firman Allah s.w.t.

bermaksud:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan

pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu

(keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba- hamba

Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya

yang melimpah-limpah)….”

(al-Qaṣaṣ ayat 77)

Dengan kata lain, konsep al-Falāḥ dapat difahami sebagai pencapaian yang cemerlang

dalam seluruh aspek kehidupan manusia sama ada dari segi ketaatan, kerohanian, kebendaan

dan akhlak. Selain itu, kejayaan dalam skop perbincangan ini juga berkait rapat dengan

konsep barakah ( ةكرب ) atau keberkatan.

4.0 Cabaran Globalisasi Era COVID-19

Peningkatan kesedaran pengguna dan pandangan pengguna pasaran memacu peluang dan

potensi pasaran global. Namun masih terdapat cabaran yang harus dihadapi oleh usahawan

dalam memajukan perniagaan mereka malahan pandemik Covid-19 yang menyerang dunia ini

menambahkan cabaran mereka kerana seperti yang diketahui pandemik ini memberikan impak

negatif kepada pertumbuhan ekonomi. Dengan adanya inisiatif daripada pihak kerajaan dalam

menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana

Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sangat komprehensif membantu perusahaan kecil dan

sederhana (PKS) terus beroperasi meskipun dalam keadaan sukar (Kamaruddin & Wahid,

2020).

Akibat daripada pandemik COVID-19 ia telah mengubah sekaligus mencetuskan fenomena

baru aktiviti perniagaan khususnya dalam kalangan peniaga kecil-kecilan (Rashid & Hassan, 2020).

Keadaan ini menunjukkan bahawa, situasi pada masa kini telah melayakkan penggunaan meluas

teknologi digital dalam kalangan masyarakat sehingga mampu merancakkan aktiviti urusniaga di

antara peniaga dan pengguna masing-masing. Usahawan telah bersedia dengan pelbagai strategi

bagi memantapkan aktiviti perniagaan mereka. Usahawan menyedari bahawa perniagaan digital

merupakan transformasi utama sebagai strategi teras perniagaan di samping sesuai sebagai realiti

norma baharu perniagaan pada masa hadapan.

4.1 Penggunaan E-Dagang Sebagai Sumber Keunggulan Bersaing Perusahaan

Menurut Suhana dan Maisharah (2016), e-dagang secara umumnya adalah “satu sistem yang

membolehkan penjualan dan pembelian barangan atau perkhidmatan oleh penjual dan

pengguna di Internet”. Selari dengan peredaran zaman, platform e-dagang lebih banyak

digunakan oleh pengguna masa kini dalam transaksi jual beli barang berbanding pembelian

secara langsung di kedai atau di pasar raya. Selain itu, platform ini juga disifatkan sebagai

platform yang lebih mudah digunakan dan dikatakan lebih mesra pelanggan menyebabkan ia

semakin popular di kalangan pengguna. Bagi memastikan transaksi jual beli itu sah di sisi

syarak, ia haruslah memenuhi syarat-syarat atau rukun jual beli, dan terhindar daripada

larangan-larangan tersebut. Menurut Ahmad Jazlan, Joni Tomkin dan Mohd Borhanuddin

(2015), terdapat tiga isu syariah yang terdapat dalam transaksi jual beli atas talian atau e-

dagang, iaitu isu kelayakan pihak yang terlibat dalam kontrak, isu barang jualan e-dagang dan

isu bentuk kontrak e-dagang. Ketiga-tiga isu ini perlu diteliti bagi menentukan keharusan

penjualan atas talian.

a. Isu kelayakan pihak yang terlibat dalam kontrak jual beli

Bagi transaksi jual beli, pihak yang melakukan kontrak, iaitu penjual dan pembeli

haruslah memenuhi syarat keahlian yang ditetapkan oleh syarak. Keahlian yang dimaksudkan

adalah kedua-dua pihak seharusnya terdiri daripada orang yang berakal dan mumaiyiz, dan

tidak disyaratkan baligh (Saad, 2015). Oleh itu, disebabkan penjualan secara e-dagang tidak

berlaku secara fizikal, sukar untuk memastikan keahlian pihak-pihak yang terlibat dalam

transaksi tersebut. Hal ini bakal menimbulkan masalah kerana, jika salah seorang daripada

pihak yang melakukan transaksi tidak menepati keahlian yang ditetapkan oleh syarak, maka

transaksi jual beli atas talian tersebut terbatal. Walau bagaimanapun, hal ini boleh diselesaikan

dengan penjual menyediakan borang pendaftaran elektronik pada laman web untuk diisi oleh

pembeli berkenaan butiran peribadinya, seperti nama, alamat surat-menyurat, alamat e-mel dan

nombor telefon. Perkara ini juga sudah banyak dipraktikkan dalam pelbagai platform e-dagang

seperti Shopee, Lazada, Carousell dan sebagainya.

b. Isu barang jualan e-dagang

Terdapat dua perkara yang perlu dilihat dan diteliti pada barang yang dijual secara atas

talian, iaitu hukum melakukan kontrak ke atas barang yang tidak dapat dilihat (ghaib) ketika

kontrak dilakukan, dan hukum melakukan kontrak ke atas barang yang masih belum ada. Sedia

maklum, barangan yang dijual secara atas talian tidak dapat dilihat oleh pembeli ketika kontrak

dilakukan. Jika melihat kepada rukun barang yang hendak dijual, barang tersebut mesti wujud

ketika kontrak dilakukan, walau bagaimanapun dalam keadaan jual beli atas talian, syarat

tersebut tidak dapat dipenuhi. Walau bagaimanapun, berdasarkan pendapat mazhab Maliki,

Hambali dan sebahagian Syafii, jual beli barang yang ghaib ketika kontrak dilakukan adalah

sah dengan syarat barang tersebut perlu dinyatakan sifat dan ciri-cirinya secara terperinci

(Ahmad Jazlan, Joni Tomkin dan Mohd Borhanuddin, 2015).

Bagi masalah penjualan barang yang masih belum ada, kebanyakan pendapat ulama’

membenarkan pelaksanaannya, dengan syarat ia mengikut syarat jual beli salam, dan tidak sah

jika dilakukan dengan cara jual beli yang biasa.

Antara syarat-syarat jual beli salam adalah:

i. Barang yang dijual perlu dinyatakan sifat dan ciri-cirinya, sama ada daripada

segi jenis barang, kualiti, jumlah dan sebagainya.

ii. Barang yang dijual mampu diserahkan oleh pembeli kepada penjual

berdasarkan tempoh yang ditetapkan.

iii. Lafaz salam atau salaf yang jelas menunjukkan niat untuk suatu kontrak

pendahuluan modal.

c. Bentuk kontrak e-dagang

Pelaksanaan jual beli secara atas talian menjadikan alat elektronik sebagai perantara

antara penjual dan pembeli. Ahmad Jazlan, Joni Tomkin dan Mohd Borhanuddin (2015)

menyatakan bahawa dalam e-dagang berlakunya kontrak secara digital, yang mana komputer

pembeli berinteraksi dengan komputer penjual, dan setiap data yang dihantar melalui dua buah

komputer tersebut boleh dicetak maka kontrak yang berlaku dalam e-dagang ialah kontrak

secara bertulis. Kontrak yang dilakukan secara bertulis sama seperti kontrak yang dilakukan

secara lafaz. Oleh itu, tiada masalah untuk kontrak jual beli atas talian ini dibuat secara bertulis.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan transaksi yang berlaku sah di sisi syarak, penjual dan

pembeli harus memastikan berlaku ijab dan kabul dalam satu majlis, jika tidak, maka kontrak

jual beli tersebut tidak sah.

Secara teorinya transaksi jual beli atas talian atau e-dagang selari dengan hukum syarak,

selagi mana ia mematuhi segala rukun asas jual beli dan tidak terlibat dengan perkara yang

dilarang seperti riba dan lain-lain. Oleh itu, menjadi satu tanggungjawab kepada penjual dan

pembeli Muslim untuk mempraktikkan e-dagang ini dengan cara yang betul dengan memenuhi

rukun-rukun jual beli dan meninggalkan larangannya bagi mengelakkan berlakunya transaksi

yang tidak sah.

4.2 Potensi E-Dagang

Terdapat beberapa potensi yang menjadikan e-dagang sangat sesuai dipraktikkan pada masa

kini. Antaranya adalah wujud peluang yang lebih luas berbanding perniagaan biasa, dapat

mengoptimumkan keuntungan perniagaan, dan dapat memaksimumkan konsep al-Falah.

a. Peluang yang lebih besar

Dengan perkembangan dari sudut teknologi, kebanyakan daripada pengguna lebih

selesa untuk membeli barangan keperluan secara atas talian berbanding membeli secara di

fizikal di pasar raya. Hal ini dibuktikan dengan statistik yang dikeluarkan oleh Sellbrite.com

yang mendakwa lebih daripada satu bilion pengguna Internet pernah membeli barangan secara

atas talian. Faktor utama yang mendorong pelanggan untuk membeli barangan secara atas

talian adalah faktor kepercayaan dan keselamatan. Mengambil kira keadaan semasa yang

membimbangkan dengan penambahan kes Covid-19, pengguna sudah tentu lebih selesa untuk

membeli barangan secara atas talian. Hal ini kerana, ia lebih menjamin keselamatan berbanding

memberi barangan secara fizikal di kedai atau pasar raya. Di Malaysia, antara tiga platform e-

dagang yang menghadapi peningkatan pesanan sepanjang tempoh PKP berlangsung adalah

Shopee, Lazada dan Tesco Online (Nurul Hidayah, 2020). Hal ini jelas menunjukkan keadaan

semasa yang dihadapi oleh masyarakat seluruh dunia membuka peluang yang besar kepada

peniaga untuk memulakan perniagaan secara atas talian.

Selain itu, dengan penggunaan e-dagang juga, pembeli mampu membeli barangan

dengan lebih selesa berbanding pembelian barangan secara fizikal. Selari dengan nilai

keusahawanan dalam Islam yang memberi penekanan terhadap sistem pengurusan

keusahawanan yang baik, seseorang usahawan Muslim seharusnya mengambil kira keselesaan

serta kemahuan pengguna dalam mengurus perniagaan bagi meningkatkan lagi hasil jualan dan

keuntungan perniagaan. Oleh yang demikian, peluang ini seharusnya diambil serius oleh

seorang peniaga sebagai salah satu cara untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedia ada.

b. Pasaran lebih luas

Platform e-dagang mampu mencapai jangkauan yang lebih meluas berbanding

perniagaan secara fizikal. Dengan wujudnya capaian Internet dan teknologi canggih yang boleh

digunakan di seluruh dunia, sudah tentu ia menjadi satu peluang yang besar kepada peniaga

untuk mengembangkan perniagaan. Dengan e- dagang, sesuatu produk boleh dipasarkan

dengan lebih meluas memenuhi kehendak pengguna tempatan mahupun antarabangsa.

Tambahan pula, saban tahun, penganut agama Islam di seluruh dunia menunjukkan

peningkatan. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan permintaan terhadap produk-produk

halal juga semakin meningkat. Peluang ini seharusnya diambil oleh pengusaha-pengusaha

Muslim, khususnya untuk mengembangkan dan memperkenalkan perniagaan mereka

menggunakan platform e-dagang. Tambahan pula, jika dilihat dari sudut kaca mata Islam,

perkara ini sangat dituntut, khususnya dalam hal memenuhi keperluan masyarakat Muslim di

sesetengah negara yang mana penganut agama Islam merupakan penduduk minoriti seperti

negara-negara di Eropah.

c. Mengoptimumkan keuntungan

Memulakan sebuah perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah, antara masalah yang

perlu dihadapi untuk memulakan perniagaan adalah kekurangan dari sudut kewangan.

Tambahan pula, dalam keadaan ekonomi yang kurang baik kesan daripada Covid-19, masalah

ini sudah tentu lebih dirasai. Oleh yang demikian, salah satu cara mengatasi masalah tersebut

adalah dengan cara penjimatan dan memotong beberapa kos yang mana dilihat sesuai dengan

bajet yang sedia ada. Dalam masa yang sama, dengan cara ini, sudah tentu mampu

mengoptimumkan keuntungan perniagaan. Selain itu, perniagaan secara atas talian juga boleh

mengurangkan kos pemasaran produk dengan cara free marketing. Perniagaan secara fizikal di

kedai kebiasaannya menggunakan risalah atau poster untuk mempromosikan produk dari kedai

mereka. Hakikatnya, cara tersebut perlu mengeluarkan kos yang banyak berbanding cara

pemasaran perniagaan atas talian yang lebih efisien dan lebih mudah mendapat capaian

pengguna tanpa mengeluarkan sebarang modal. Perniagaan atas talian juga mampu

mengurangkan beberapa kos lain berbanding perniagaan secara fizikal di kedai seperti kos

pengangkutan, kos pekerja tambahan dan sebagainya. Dengan pengurangan kos yang boleh

dibuat jika berniaga atas talian, secara tidak langsung dapat mengoptimumkan keuntungan

perniagaan.

d. Memaksimumkan konsep al-Falah

Al-Falah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud kejayaan.

Secara umumnya, al- Falah adalah kemenangan atau kejayaan seseorang yang taat, beramal

salih dan bersih daripada unsur syirik dengan keimanan yang dimilikinya (al-Qurtubi, 1967).

Untuk mencapai al-Falah, seseorang itu harus mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna

dalam setiap aspek kehidupan. Menurut Zain (2016), konsep al-Falah memberi penekanan

terhadap aspek akhlak dan pengabdian manusia kepada Allah S.W.T. dalam segala kegiatan

yang dilakukan, serta memberi komitmen dan sumbangan terhadap kesejahteraan masyarakat.

Perniagaan atas talian mempunyai potensi yang baik untuk dipraktikkan oleh usahawan

Muslim masa kini. Oleh itu, sebagai seorang usahawan Muslim, potensi yang wujud pada

perniagaan atas talian ini seharusnya digunakan sebaiknya. Walau bagaimanapun, terdapat

beberapa cabaran yang perlu dihadapi bagi memastikan perniagaan atas talian ini mampu untuk

bersaing dengan pasaran semasa. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan menitik

beratkan soal ilmu pengetahuan, khususnya dalam bidang perniagaan Islam dan pengurusan

dalam kalangan usahawan e-dagang, mengadakan kerjasama antara usahawan bagi

mengurangkan persaingan dan meningkatkan idea-idea baharu dalam perniagaan e-dagang,

dan usahawan seharusnya mendisiplinkan diri dengan mengamalkan budaya-budaya

keusahawanan Islam.

4.3 Cabaran Globalisasi

Globalisasi dan liberalisasi walaupun membawa kesan negatif kepada sesetengah negara,

namun ia juga memberi kesan positif dilihat dari sudut peningkatan peluang baru tetapi tidak

semua pengusaha mampu merebut peluang ini disebabkan kekurangan yang dimiliki dari segi

akses untuk kredit, latihan, teknologi serta informasi yang diperlukan bagi merebut peluang

dari Iiberalisasi perdagangan (Idris, 2003). Globalisasi perdagangan dihubungkan dengan

liberalisasi dasar dagangan yang telah mengubah cara kerja, pemikiran, penggunaan dan

mengurangkan halangan terhadap perdagangan bebas. Kapitalisme merupakan alat atau

mekanisme utama kepada globalisasi ekonomi. Menurut Waters (1995), hubungan ekonomi

global dibentuk melalui perdagangan, pelaburan pengeluaran, pertukaran, kewangan, migrasi

buruh, amalan organisasi dan kerjasama antarabangsa.

Oleh itu globalisasi dan liberalisasi penghapusan sekatan perdagangan antarabangsa

dan kebebasan pergerakan modal dengan tujuan mewujudkan pasaran global. Ini membolehkan

modal bergerak dengan mudah antara negara, syarikat berupaya mengurus pengeluaran secara

berskala global dalam mencari sumber pada kos yang murah dan untung yang tinggi melampaui

sempadan negara. Menghadapi fenomena ini, setiap pengusaha atau perlu membuat persiapan

yang rapi khususnya dari segi teknologi maklumat, pengurusan strategik dan penyelidikan dan

pembangunan demi untuk bersaing dalam dunia perniagaan. Syarikat-syarikat terpaksa

meningkatkan kecekapan kos serta meningkatkan kualiti dan sentiasa menggalakkan inovasi

demi ketahanan dalam arus persaingan. Pasaran global dipacu oleh ilmu pengetahuan,

kemahiran dan inovasi yang berterusan.

Persaingan di peringkat antarabangsa menuntut kepada peningkatan kualiti produk,

keberkesanan kos, strategi pemasaran yang berkesan, penguasaan teknologi maklumat,

pembangunan sumber manusia yang berterusan kualiti melalui pendidikan dan kemahiran serta

ekonomi yang berteraskan pengetahuan. Selain itu, mereka perlu bijak mengatur srategi-

strategi perancangan pasaran, perletakan harga, promosi dan pengagihan. Justeru, terdapat

beberapa prinsip yang perlu diikuti dalam memenuhi tuntutan perubahan dalam era globalisasi.

Oleh kerana masa berubah, peniaga perlu melakukan perubahan dengan melihat dunia

pengurusan perniagaan secara lebih dinamik bersesuaian dengan tuntutan masa. Dalam

menghadapi tuntutan perubahan masa, tidak ada organisasi dan syarikat besar atau kecil,baik

lama atau baru yang tidak dapat ditewaskan. Syarikat yang dapat kekal kedudukannya dalam

pasaran ialah syarikat yang mampu mengatasi tuntutan perubahan secara bersepadu. Organisasi

juga tidak harus terlalu yakin dengan kekuatan yang ada dan kejayaan yang dicapai pada masa

lampau kerana kekuatan saya saing itu sentiasa berubah mengikut keperluan masa. Sesebuah

organisasi juga berubah kerana anggota organisasi terbabit berubah.

5.0 Kesimpulan

Keusahawanan merupakan bidang strategik yang perlu diceburi oleh lebih ramai umat

Islam di Malaysia terutama mengahadapi era COVID-19 ini. Selain daripada objektif ekonomi,

keusahawanan mengandungi nilai-nilai murni yang harus dihayati oleh masyarakat Islam.

Antara nilai-nilai yang wujud meliputi sifat sabar, berani menanggung risiko, kreatif,

berpengetahuan tinggi, bersungguh-sungguh dan pelbagai sifat mahmudah yang lain. Ciri- ciri

dan nilai dalam keusahawanan ini sebenarnya merupakan nilai-nilai yang sejajar dengan

tuntutan Islam. Selain itu, perniagaan dan keusahawanan itu sendiri merupakan kerjaya yang

mendapat tempat yang cukup istimewa dalam Islam. Oleh yang demikian, usaha perlulah

digembeling agar bidang keusahawanan dan perniagaan ini menjadi bidang pilihan umat Islam

semula sebagaimana yang telah ditunjukkan melalui sejarah Rasulullah dan para Sahabat.

Kesedaran perlulah diterapkan kepada keseluruhan lapisan masyarakat Islam melalui

pembudayaan nilai dan sikap usahawan. Dengan menghayati dan membudayakan nilai-nilai

keusahawanan ini, masyarakat Islam akan secara langsung atau tidak langsung akan berusaha

dengan lebih keras dan cuba meningkatkan kemampuan diri untuk meningkatkan taraf sosial

dan ekonomi mereka. Ini akan mendekatkan mereka dan seterusnya menjadikan perniagaan

dan keusahawanan sebagai bidang kerjaya pilihan di masa akan datang.

References

Al-Quran

Ab Ghani, A. M., & Sarif, S. (2005). Penerapan budaya keusahawanan dalam masyarakat

Islam.

Ab. Mumin Ab Ghani dan Suhaili Sarif, ‘Keusahawanan Islam: Pembudayaan Di Kalangan

Masyarakat Islam’, dalam Keusahawanan Islam: Konsep dan Isu-Isu Pelaksanaannya

(eds. Nor ‘Azzah Kamri et. al.; Kuala Lumpur: Jabatan Syariah dan Pengurusan,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2009).

Adnan Alias & Mohamad Dahlan Ibrahim. (2002). Keusahawanan Islam. Selangor. Prentice

Hall.

Ahmad Jazlan, M.J., Joni Tomkin, B. & Mohd Borhanuddin, Z. (2015). Isu-isu Syariah

Dalam Pelaksanaan E-dagang. Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, (10), 68-80.

Ali, M. M., Abu, M. F., & Sawari, S. S. M. (2021). Explorasi Kajian Literatur Konsep

Usahawan Al-Falah Menurut Pandangan Ahli Sarjana [Exploration Of Literature Study

Of The Concept Of Al-Falah Entrepreneur According To The View Of

Scholars]. QALAM International Journal of Islamic and Humanities Research, 1(1),

107-118.

Al-Qurtubi, Abu ‘Abd Allah Muhammad Ibn Ahmad al-Ansari. (1967). Al-Jami’ li Ahkam al-

Quran (Known as Tafsir al-Qurtubi). Cairo: Dar al-Kutub al-‘Arabiyyah.

Al-Qaradawi, Yusuf. (2001). Dawr al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad al-Islami. Al-Qahirah.

Maktabah Wahbah.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan. DBP.https://prpm.dbp.gov.my/

Ibnu Khaldun. (1967). Muqaddimah Ibnu Khaldun. Jil.3. alQahirah. Maktabah Dar al-Turath.

Idris, N. A. (2003). Daya saing usahawan wanita Melayu menghadapi cabaran

globalisasi. Prosiding Persidangan Kebangsaan Pusat Pengajian Sosial,

Pembangunan & Persekitaran" Cabaran Pembangunan Dilema Persekitaran, 12-13.

Kamaruddin, N., & Wahid, H. (2020). Potensi dan Cabaran Pengusaha Perusahaan Kecil dan

Sederhana (PKS) dalam Pemasaran Produk Makanan Halal semasa Pandemik Covid-

19. Journal of Management and Muamalah, 10(2), 1-20.

Manap Said (2001), The Role of academicians in Corporate Governance Initiatives, Kertas

kerja dalam Seminar Corporate Governance and Best Practices in Malaysia.

Mohd Zain Mubarak (2015) Konsep keusahawanan Islam: terminologi, kerohanian dan al-

falah. In: Konsep Keusahawanan Sosial Islam: suatu pengenalan. Universiti Malaysia

Kelantan, Kota Bharu, pp. 1-21.

Mubarak, M. Z., Rahman, A. H. A., & Yaacob, M. R. (2015). Elemen kerohanian dalam

keusahawanan Islam: kajian terhadap usahawan berjaya di negeri Kelantan. Journal of

Business and Social Development, 3(1), 43-53.

Muhammad Said Ramadan al-Buti (1996). Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah. Beirut: Dar al-Fikr,

Nor Hafiza Othman. (2012). Nilai dan etika perniagaan dalam Islam bagi membentuk

usahawan bertakwa.

Nurul Hidayah, B. (2020, Mac 25). Beli-belah Secara 'Online' Rancak Ketika PKP. My Metro.

Diakses pada Julai 24, 2020,

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/558385/beli-belah- secara-online-

rancak-ketika-pkp

Rashid, S. M. R. A., & Hassan, F. (2020). Amalan dan penglibatan peniaga kecil melalui

perniagaan digital semasa Pandemik COVID-19 di Malaysia. GEOGRAFI, 8(2), 1-20.

Saad, A. M. (2015). Fiqh Muamalat. Irbid: Dar-AlKetab Publishers.

Shuhairimi Abdullah dan Ku Halim Ku Ariffin. (2010). Keusahawanan Islam (Perlis: Unit

Penerbitan, Universiti Malaysia Perlis.

Shuhairimi Abdullah, Muhammad Shukri Bakar & Solahuddin Abdul Hamid. (2018).

Transformasi Usahawan al-Falah Satu Refleksi. Penerbit Universiti Malaysia Perlis.

Siddiqi, M. N. (1979). The Economics Enterprise in Islam. Markazi Maktaba Islami. New

Delhi.

Solahudin Abdul Hamid & Kamarudin Ahmad (2016). Pembudayaan Usahawan Dalam Islam:

Teori Dan Aplikasi. Journal of islamic Business, Vol 1 (1), pp. 1-12.

Suhana, S. & Maisharah, (2016). Kajian Potensi Penggunaan E-dagang (E-Commerce) di

Kalangan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Agromakanan di

Malaysia. Economic and TechnologyManagement Review.

Waters. M. (1995). Globalisation. London: Routlegde.

Zain, M. (2016). Keusahawanan Islam: Rasulullah SAW dan Sahabat Sebagai Ikon Usahawan

Berjaya. Bachok: Penerbit UMK.

Zakaria, A. H. (2014). Rahsia Jutawan Islam: Abdul Rahman Bin Auf. PTS Professional.