UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

12
BAB II PERPINDAHAN ILMU OBJEKTIF Membincangkan konsep perpindahan ilmu. Menjelaskan latar belakang sejarah perpindahan ilmu dari dunia Islam ke dunia Barat. Membincangkan faktor dan kesan daripada berlakunya perpindahan ilmu dari dunia Islam ke dunia Barat. PENDAHULUAN Perkembangan ilmu di barat menyaksikan berlakunya gerakan pembudayaan ilmu dan intelektual secara besar- besaran pada sekitar abad ketiga belas hingga abad ketujuh belas Masihi. Kebangkitan ini merangkumi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti kesusasteraan, kesenian, seni bina, sains, matematik dan sebagainya. Kebanyakan penulis Barat mengatakan kebangkitan ini bermula di Itali dan kemudiannya tersebar ke seluruh Eropah. Walau bagaimanapun kesahihan pandangan tersebut dipertikaikan oleh Robert Briffault (1876- 1948) dalam ensiklopedia sejarahnya yang terkenal, “The Making of Humanity” dengan menegaskan bahawa Renaissance yang sebenarnya telah berlaku melalui kebudayaan Islam dan bermula di Sepanyol dan bukannya di Itali. Kata Briffault lagi: “It is highly probable that but for the Arabs, modern European civilization would never have arison at all.” Catatan sejarah menunjukkan bahawa pada abad-abad pertengahan, Eropah sedang mengalami zaman yang paling mundur dan gelap gelita. Ketika jalan-jalan di kota- kota besar seperti London masih berlumpur, jalan-jalan raya di Baghdad telahpun berturap dengan batu-batu. Begitu juga ketika kota-kota besar di Eropah sedang diselimuti kegelapan, sedangkan kota-kota di negara- negara umat Islam telah diterangi oleh lampu-lampu jalan raya yang berderetan. Kota-kota besar di Eropah sunyi sepi daripada kegiatan intelektual dan keilmuan,

description

nota kuliah UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu

Transcript of UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

Page 1: UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

BAB II

PERPINDAHAN ILMU

OBJEKTIF Membincangkan konsep perpindahan ilmu. Menjelaskan latar belakang sejarah perpindahan ilmu dari

dunia Islam ke dunia Barat. Membincangkan faktor dan kesan daripada berlakunya

perpindahan ilmu dari dunia Islam ke dunia Barat.

PENDAHULUAN

Perkembangan ilmu di barat menyaksikan berlakunya gerakan pembudayaan ilmu dan intelektual secara besar-besaran pada sekitar abad ketiga belas hingga abad ketujuh belas Masihi. Kebangkitan ini merangkumi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti kesusasteraan, kesenian, seni bina, sains, matematik dan sebagainya.

Kebanyakan penulis Barat mengatakan kebangkitan ini bermula di Itali dan kemudiannya tersebar ke seluruh Eropah. Walau bagaimanapun kesahihan pandangan tersebut dipertikaikan oleh Robert Briffault (1876-1948) dalam ensiklopedia sejarahnya yang terkenal, “The Making of Humanity” dengan menegaskan bahawa Renaissance yang sebenarnya telah berlaku melalui kebudayaan Islam dan bermula di Sepanyol dan bukannya di Itali. Kata Briffault lagi:

“It is highly probable that but for the Arabs, modern European civilization would never have arison at all.”

Catatan sejarah menunjukkan bahawa pada abad-abad pertengahan, Eropah sedang mengalami zaman yang paling mundur dan gelap gelita. Ketika jalan-jalan di kota-kota besar seperti London masih berlumpur, jalan-jalan raya di Baghdad telahpun berturap dengan batu-batu. Begitu juga ketika kota-kota besar di Eropah sedang diselimuti kegelapan, sedangkan kota-kota di negara-negara umat Islam telah diterangi oleh lampu-lampu jalan raya yang berderetan. Kota-kota besar di Eropah sunyi sepi daripada kegiatan intelektual dan keilmuan, manakala bandar-bandar utama di dunia Islam seperti Baghdad, Kaherah, Damsyik, Toledo, dan Cordova merupakan pusat perkembangan tamadun dan intelektual. Di sinilah bermulanya kehidupan baru yang akhirnya berkembang menjadi Tamadun Moden terutama Eropah. Sehubungan dengan itu, J. Chipperfield dalam tulisannya, The Artistic and Scientific Acheivements of Early Islam antara lain menyebut:

Page 2: UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

“Kekuatan dan keagungan Islam yang berada pada kemuncaknya telah dijelmakan dalam pemaparan gemilang daripada tamadunnya dengan beberapa gelombang kemunculan. Ia bermula dari abad ke 10 hingga abad ke 15 Masihi. Waktu itu kota-kota seperti London dan Paris masih merupakan bandar-bandar yang usang dengan jalan-jalan raya yang dipenuhi lumpur, sistem saliran yang berbau busuk lagi menyedihkan dengan rumah-rumah berupa pondok kecil yang diperbuat daripada kayu. Tetapi di sana, di sebelah Timur Tengah, telah wujud pancaran cahaya di bahagian-bahagian tertentu dengan bandar-bandar yang cerah bermandi cahaya; tersergam indah bangunan-bangunan dengan hasil kerja kesenian tangannya. Konstantinople, ibu empayar Rom Timur yang merupakan bandar terpencil lagi tersorok telah ditawan oleh tentera Islam Turki pada 1453M dan kemudian ditukarkan namanya menjadi Islambul (kota Islam). Nama ini kemudiannya diubah menjadi Istambul oleh Barat. Kota ini menjadi pusat pembelajaran dan kebudayaan Islam terbesar pada waktu itu. Minuman air seperti kopi telah sedia dikenali dan menjadi kegemaran orang-orang Arab sejak abad ke 9 M. Ia mengambil masa selama tujuh kurun bagi orang-orang Barat untuk menghasilkan ramuannya. Kopi mocha adalah berasal dari bandar Mocha di negara Arab (sebuah bandar yang terkenal dengan eksport kopi). Pada tahun 1580 kopi ini telah dieksport ke Italy, disusuli kemudiannya ke London, Oxford, dan Paris. Semua itu tidak berlaku kecuali sesudah tahun 1683M.”

Apa yang dikenali sebagai ‘sains’ muncul di Eropah sebagai natijah daripada semangat penyelidikan baru, metode percubaan, penelitian dan ukuran baru (new methods of investigation, experiment, observation and measurement). Semangat dan metode saintifik ini telah diperkenalkan oleh orang-orang Islam ke dunia Eropah. Berbeza dengan orang-orang Greek yang lebih berminat dalam teori dan generalisasi (falsafah), orang Islam mengarahkan pemerhatian mereka kepada mencari fakta-fakta yang konkrit dan cuba mendapatkan maklumat yang tepat berhubung dengan sesuatu fenomena. Mereka membuat penyelidikan dan percubaan bagi membuktikan sesuatu teori itu benar-benar tepat. Sumbangan umat Islam terhadap perkembangan ilmu di Eropah meliputi pelbagai bidang. Walau bagaimanapun sumbangan umat Islam yang paling ketara ialah dalam bidang sains sebagaimana dinyatakan oleh Briffault dengan katanya:

“Science is the most momentous contribution of Arab civilization to the modern world .... It was not science only which brought Europe back to life. Other and manifold influences from the

2

Page 3: UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

civilization of Islam communicated its first glow to European life.”

Pendedahan Islam kepada dunia Barat adalah melalui corak pemerintahan Islam di Sepanyol terutamanya dari segi layanan pemerintah terhadap rakyat, keadaan masyarakat, hubungan antara agama dan ilmu yang tidak terpisah. Ramai pelajar dari Eropah mengunjungi pusat-pusat pembelajaran Islam di Sepanyol dengan maksud mencari ilmu pengetahuan yang hanya boleh ditemui di sana pada waktu itu.

Ilmu dan tamadun masyarakat Islam tersebar di seluruh Eropah terutamanya menerusi usaha-usaha penterjemahan secara besar-besaran dan pembukaan beberapa buah universiti di Barat. Abad ke 12 dan 13 M adalah tahap kemerosotan ciri-ciri kreatif sains muslim sedangkan kegiatan terpenting di Barat pada masa itu ialah peniruan dan penyerapan bahan-bahan intelektual dan kebudayaan. Menurut Sarton, dunia Barat menyifatkan kedua-dua abad tersebut sebagai ‘zaman peralihan’ dan ‘penyatuan’ apa yang ada di timur oleh Barat.

Penyebaran ilmu ke Barat ini terus berkembang melalui cara-cara yang telah dinyatakan tetapi satu hakikat yang terpaksa diterima bahawa pada zaman tersebut segala ilmu pengetahuan yang berkembang di barat adalah bersumberkan daripada ilmu cendekiawan Arab dan Islam. Ini bertepatan dengan tulisan Phillip K. Hitti (1886-1978)1 dalam bukunya History of the Arabs:

“Between the middle of the eight and the beginning of the thirteen centuries .... The Arabic speaking people were the main bearers of the torch of culture and civilization throughout the world. Moreover they were the medium through which ancient science and philosophy were recovered, supplemented and transmitted in such a way as to make possible the renaissance of Western Europe.”

PROSES PENGHIJRAHAN ILMU

Ilmu dan tamadun orang Islam tersebar di seluruh Eropah terutamanya menerusi usaha-usaha terjemahan yang dilakukan secara besar-besaran. Contohnya, di Toledo, sekolah terjemahan yang teratur telah lahir hasil daripada inisiatif

1 Beliau ialah Philip Khuri Hitti, lahir di Shilman pada tahun 1886M di Suriah Uthmaniyyah (kini Lebanon). Seorang orientalis dan pengkaji Islam kenamaan yang memperkenalkan sejarah kebudayaan Islam Arab ke Amerika. Beragama Kristian Maronit, iaitu salah satu cabang mazhab dalam Katholik. Pada asalnya penganut mazhab ini menggunakan bahasa Aram, bagaimanapun sejak abad ke 18 Masihi mereka menggunakan bahasa Arab. Hitti banyak menulis buku khususnya yang berkaitan dengan sejarah dan kebudayaan Arab serta lain-lain peradaban.

3

Page 4: UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

Archbishop Reymond I (1126-1152). Siri-siri penterjemahan telah berkembang pesat sekitar tahun 1135 hingga 1284 Masihi. Pada tahun 1145, Robert of Chester telah menyiapkan terjemahan karangan al-Khwarizmi dalam bidang algebra dan pada tahun yang sama juga Robert bersama dengan Hermenn the Dalmatian telah menyempurnakan terjemahan al-Quran buat pertama kalinya dalam sejarah.

Dalam usaha penyebaran ilmu orang Islam di Eropah, sarjana bernama Gerbert Aurillac (955-1003M)2 telah membawa balik buku-buku matematik dan astronomi serta mengajar murid-muridnya kedua-dua ilmu tersebut sehingga beliau mendapat kredit sebagai orang pertama yang memperkenalkan sistem perpuluhan. Adelard of Bath3 seorang sarjana berbangsa Inggeris pada abad ke-12 yang mampu menguasai bahasa Arab dengan baik telah menterjemahkan karya-karya umat Islam (Arab) seperti astrologi, astronomi, falsafah, dan matematik ke bahasa Latin. Beliau juga telah membawa pulang bersamanya sejumlah koleksi buku yang banyak dari Cordova dan telah menyebarkannya dengan aktif di England dan Perancis. Seorang lagi yang memberikan sumbangan yang aktif dalam penyebaran ilmu ke Barat ialah Daniel de Morley (1140-1210M)4 yang telah datang ke Cordova untuk mempelajari ilmu matematik dan astronomi dan kemudian menerbitkan terjemahan karya besar al-Khawarizmi dalam ilmu algebra. Beliau juga mempopularkan angka perpuluhan yang telah disempurnakan dan dikenali kemudiannya sebagai algoritma (algorithm).

Antara mereka yang aktif mempopularkan karya-karya orang Islam ialah Gerard of Cremona (1114-1187M)5. Beliau telah menghasilkan tidak kurang daripada 60 buah terjemahan termasuk kitab Almagest dan Astronomi Ibn al-Haytham dengan menghabiskan usianya selama 50 tahun di Cordova. Begitu juga dengan Micheal Scot yang telah mengunjungi Cordova beberapa kali dengan tujuan untuk mendapatkan manuskrip-manuskrip

2 Lahir di kawasan pergunungan Auvergne di tengah Perancis. Mempelajari bahasa Latin dengan seorang guru bernama Raymond. Atas cadangan seorang rahib, Gerbert dibawa ke Sepanyol untuk mempelajari sains dan matematik yang sedang berkembang di sana ketika itu.

3 Adelard of Bath (Latin: Adelardus Bathensis). Catatan sejarah tentangnya kehidupannya disebut antara 1116-1142M. Dilahirkan di bandar Bath di England

4 Seorang sarjana dan ahli falsafah Inggeris. Lahir di Norfolk. Pernah menuntut ilmu di Oxford dan Paris.5 Gerard of Cremona (Italian: Gerardo da Cremona; Latin: Gerardus Cremonensis)

dilahirkan di Cremona. Beliau merupakan seorang penterjemah yang prolifik dan banyak mengalih karya-karya bahasa Arab ke bahasa Latin terutama yang bercorak sains ketika beliau berada di Toledo.

4

Page 5: UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Eropah. Proses kebanjiran para pelajar Eropah yang datang mempelajari ilmu pengetahuan di Sepanyol dan kegiatan penterjemahan telah berterusan sehingga ke hari-hari terakhir pemerintahan kerajaan Islam di sana.

Pada zaman Constantine African, peperangan dan permusuhan Kristian terhadap orang Islam semakin menjadi-jadi sama ada di Sepanyol mahupun di Pulau Sicilly yang menyaksikan institusi-institusi pengajian tinggi Islam pada waktu itu berpusat di Toledo. Pada tahun 1085 Masihi, kota Toledo telah jatuh ke tangan tentera Kristian. Orang Islam diberi 'ultimatum', iaitu kata dua sama ada menganut agama Kristian atau dibunuh (biasanya dibakar). Ramai ilmuwan Muslim di institusi-institusi pengajian tinggi di sana terpaksa mengaku sebagai Kristian demi untuk menyelamatkan nyawa masing-masing. Golongan ini dinamakan ‘Mozarabes’. Mereka bagaimanapun memainkan peranan yang utama dalam menyebarkan ilmu pengetahuan Islam ke seluruh Eropah sehingga membolehkan pusat pengajian Islam di Toledo terus menerima kunjungan daripada orang-orang Eropah untuk mempelajari ilmu daripada cendekiawan Arab-Muslim.

FAKTOR-FAKTOR PENGHIJRAHAN ILMU

Penghijrahan ilmu ke Barat dapat dilihat melalui beberapa faktor seperti peranan Peperangan Salib, pembukaan Pulau Sicilly, hubungan diplomatik dan kebudayaan, Andalus dan juga gerakan penterjemahan daripada bahasa Arab ke bahasa Latin.

i. Perang SalibPeperangan Salib yang dilancarkan oleh orang-orang Kristian Eropah ke atas negara-negara Islam selama hampir 200 tahun dan menerusi lapan siri peperangan antara tahun 1097-1270M telah meninggalkan kesan kepada orang-orang Eropah. Antara kesan-kesan peperangan ini kepada orang-orang Eropah ialah:i. Dalam bidang keintelektualan Perang Salib telah

mematangkan pemikiran orang-orang Eropah. Interaksi daripada peperangan menyebabkan orang barat belajar bahasa Arab serta menguasai teknik dan kemahiran daripada orang-orang Islam. Contohnya, apabila Sultan Mamalik al-Ashraf al-Khalil menggunakan burung merpati untuk menghantar berita peperangan, ia telah ditiru oleh orang-orang Barat. Ramai orang Eropah berminat terhadap ilmu pengetahuan contohnya Constantine yang telah

5

Page 6: UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

mendalami ilmu perubatan di Andalus sementara Leonard dari Pisa, Itali telah mempelajari ilmu matematik.

ii. Dalam bidang sosial, orang-orang Barat meneliti hati budi orang-orang Islam yang bertimbang rasa seperti tidak membunuh orang-orang yang tidak melawan, kanak-kanak, kaum wanita dan orang tua. Mereka juga meniru cara orang-orang Islam merawati pesakit-pesakit yang cedera dalam peperangan.

iii. Dalam bidang ekonomi, mereka terpegun melihat pelabuhan-pelabuhan Islam seperti di Syria, penggunaan Laut Mediteranean sebagai penghubung, serta penguasaan teknik baru dalam pertanian, industri, dan kraftangan.

iv. Dalam bidang keagamaan, mereka menyedari bahawa cara kekerasan untuk menyebarkan agama tidak akan berjaya. Oleh itu, mereka mula mengkaji ilmu, budaya, dan cara hidup orang Islam untuk memudahkan kerja-kerja menyusup jarum untuk menghancurkan orang-orang Islam. Antaranya ialah suatu ketetapan telah dibuat oleh Raja Louis Perancis dengan melancarkan 'serangan pemikiran' terhadap orang-orang Islam.

ii. Pulau SicillyKedudukan pulau Sicilly di tengah-tengah antara Eropah dengan benua Afrika telah menjadikannya sebagai jambatan pengaliran tamadun Islam ke Eropah. Pulau Sicilly telah dibuka pada abad ke-2 Hijrah (902-1091M), iaitu pada zaman Khalifah al-Mansur. Bidang ilmu pengetahuan telah berkembang di sini sehingga ke zaman Dinasti Fatimiyyah. Cendekiawan Barat ramai yang datang ke pulau ini sehinggalah ia dijajah oleh orang-orang Norman. Namun, orang-orang Norman telah mengekalkan ciri-ciri keislaman di pulau ini malahan membayar gaji yang mahal untuk orang-orang Islam yang berkhidmat di Sicilly.

iii. Hubungan Diplomatik dan KebudayaanPara pemerintah kerajaan Islam sama ada di Baghdad, Andalusia dan tempat-tempat lain telah mengambil inisiatif untuk menyebarluaskan Islam melalui dasar pintu terbuka, iaitu mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara bukan Islam khususnya di Eropah. Contohnya, pada zaman pemerintahan Khalifah Hisham I (172 - 180 H), kerajaan Jerman telah menghantar satu rombongan diplomatik ke Cordova yang diketuai oleh King Phillip Weelmin yang bertujuan untuk mengkaji sistem pentadbiran dan keintelektualan Islam.

6

Page 7: UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

Sementara itu, Khalifah Harun al-Rasyhid di Baghdad pula telah dikunjungi oleh Maharaja Charlemange dari Perancis. Hasil daripada lawatan diplomatik tersebut, kedua-dua pihak telah melakukan pertukaran kebudayaan dan buku-buku ilmiah. Antara barang-barang yang dibawa pulang ke Perancis ialah jam air, kain-kain yang bermutu tinggi, permaidani, dan wangi-wangian.

iv. AndalusAndalus yang juga dikenali sebagai Semenanjung Iberia (merangkumi Sepanyol dan Portugal) telah dipengaruhi oleh orang-orang Islam sejak kurun ke 8M. Andalus pertama kalinya dibuka oleh kerajaan Islam pada zaman kerajaan Umawiyah di bawah pemerintahan khalifah al-Walid bin Abdul Malik pada bulan Julai 710 M. Pembukaan rasmi sepenuhnya pula bermula apabila pemerintahan Visigoth dikalahkan oleh Tariq bin Ziyad lima tahun kemudiannya, iaitu pada tahun 715 M. Andalus mencapai keagungannya pada zaman Khalifah Abdul Rahman III (912-961M) dan Islam terus bertapak kukuh sehingga 1492 M. Sumbangan utama tamadun Islam di Andalus ialah memaju dan membangunkan bandar-bandar seperti Cordova, Toledo, Seville dan Granada yang dipenuhi dengan keindahan seni bina, budaya keintelektualan, perdagangan, dan kesusasteraan. Di samping itu, banyak sekolah dan universiti yang dibina yang sebahagiannya diasaskan di masjid-masjid. Kegemilangan Andalus sebagai jambatan aliran ilmu dan tamadun Islam ke Eropah telah dicatatkan oleh Khawaja Abd al-Wahhab dalam bukunya, Islam and the Origin of Modern Science dengan ungkapan beliau yang bermaksud:

“Hampir 800 tahun di bawah pemerintahan Islam, Andalus telah menjadi satu sumber tamadun kepada dunia Eropah. Sebagai sebuah negara yang bertamadun tinggi, kemajuan Andalus dalam bidang seni, sastera, dan sains tiada tolok bandingnya di benua Eropah. Penuntut dari Perancis, Jerman, dan England datang ke Andalus untuk mempelajari ilmu pengetahuan yang hanya terdapat di bandar-bandar Andalus. Bidang-bidang ilmu seperti matematik, astronomi, kajihayat, sejarah, falsafah, dan ilmu-ilmu hukum hanya boleh dipelajari di Andalus sahaja.”

v. Gerakan Penterjemahan

7

Page 8: UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

Faktor terpenting pemindahan ilmu yang dilakukan oleh Eropah adalah melalui gerakan penterjemahan. Orang-orang Eropah yang menyedari ketinggian tamadun Islam telah melakukan terjemahan ilmu-ilmu Islam ke dalam bahasa Latin. Antaranya ialah Alphonse The Great dan Alphonse the Wise adalah dua nama yang paling banyak memainkan peranan dalam gerakan terjemahan. Alphonse VII telah menubuhkan pusat terjemahan di Toledo pada tahun 1130 M yang berperanan dalam menterjemahkan buku-buku berbahasa Arab ke dalam bahasa Latin yang berlanjutan sehingga sehingga kurun 13 M.

Sarjana Barat yang paling produktif dalam aktiviti penterjemahan ialah Gerard dari Cremona yang telah menterjemahkan sebanyak 90 buah buku berbahasa Arab ke bahasa Latin yang meliputi bidang matematik, astronomi, geografi, perubatan, dan lain-lain. Gerard telah menterjemah Kitab al-Asrar dan Kitab al-Judari wa al-Hasbah karya al-Razi ke dalam bahasa Latin dan Inggeris serta diulang cetak sebanyak 40 kali dan dijadikan teks di universiti-universiti di Eropah. Begitu juga dengan kitab al-Qanun fi al-Tibb (Canon of Medicine) karangan Ibnu Sina yang telah diterjemahkan dan dicetak sebanyak 16 kali di Milano, Itali pada abad ke 15 M.

KESAN-KESAN PERPINDAHAN ILMUPerpindahan ilmu telah meninggalkan banyak kesan kepada perkembangan sains, teknologi, dan manusia. Antaranya ialah;i. Sikap dan cara hidup orang-orang Eropah berubah kepada

perkembangan pemikiran. Mereka yang selama ini terkongkong dengan pemerintahan feudal gereja akhirnya bertemu dengan cahaya kebebasan akal sehingga mencetuskan zaman kebangkitan (Renaissance). Walau bagaimanapun wujud pula di Barat apa yang dinamakan sebagai pemisahan agama daripada cara hidup seharian atau dikenali dengan nama fahaman sekularisme.

ii. Orang Barat mula meningkatkan usaha untuk mendapatkan ilmu yang menyebabkan berlakunya pemindahan ilmu secara meluas. Kesan daripada pemindahan ilmu ini juga menyebabkan tertubuhnya beberapa universiti milik penganut Kristian yang tidak lagi anti kepada ilmu seperti Universiti Palencia (1214 M) yang diasaskan oleh Alfonso VII dan Universiti Lerida (1300 M) yang ditubuhkan oleh Jaime IX.

iii. Mengalirnya karya-karya ilmuwan Islam ke Eropah seperti karya al-Khawarizmi dengan algebra dan aritmatik, karya

8

Page 9: UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

Ibnu Sina dengan Canon of Medicine dan begitu juga karya-karya Ibn Zuhr, Ibn Rusyd, al-Idrisi dan lain-lain yang telah menghasilkan ramai sarjana Barat seperti Alexander of Holle, Thomas Aquinas, Alberto Magnus, Roger Bacon, Peter of Abano dan lain-lain.

iv. Gerakan terjemahan daripada bahasa Arab ke bahasa Latin yang bermula sekitar kurun ke 12 M bukan sahaja mengalirkan ilmunya tetapi turut mengubah nama-nama Islam menjadi ala kebaratan. Contohnya, nama al-Zarqali menjadi Azarquiel, al-Battani menjadi alBatanius, al-Ghazali menjadi Algazel, al-Razi menjadi Rhazes, Abu al-Qasim menjadi Abulcases, Ibn Sina menjadi Avicenna, Ibn Rusyd menjadi Averros, dan juga Jabir bin Hayyan menjadi Geber.

v. Ramai sarjana Islam yang menjadi guru di kebanyakan universiti di Eropah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Kesannya ialah peninggalan banyak istilah ilmu Islam-Arab dalam pelbagai disiplin ilmu-ilmu yang ada hingga kini. Contohnya, perkataan algebra (al-jabar), zero-cipher (sifr), algorism (al-jabar wal-muqabalah), nadir (nadir), azimuth (al-thumuth), kimia (kimiya’), alchemy (al-kimya’), alkohol (al-kuhul), dan alkali (al-kaliyy).

PENUTUPPerpindahan ilmu adalah proses interaksi antara sebuah tamadun dengan tamadun lain. Ia adalah proses yang tidak boleh disekat memandangkan sifat ilmu itu sendiri yang terus berkembang dan mengalami perubahan dari masa ke masa. Kemajuan sains dan teknologi yang kita kecapi sekarang adalah hasil daripada proses perpindahan ilmu yang terus berlaku dan akan terus berlaku. Islam memberi perhatian kepada perkembangan ilmu dan tidak pernah menghalang umatnya daripada terlibat dalam proses perpindahan ilmu. Hal ini dibuktikan secara amali oleh umat Islam yang pernah mengalami zaman kegemilangan tamadun tetapi pada masa yang sama mereka tidak bersifat kedekut dengan menyekat perpindahan ilmu ke dunia luar khasnya dunia Barat. Kesan daripada itu, berlakulah proses perpindahan ilmu yang menyaksikan kebangkitan tamadun Barat sebagaimana kita kenali pada zaman moden ini. Dorongan perpindahan ilmu terdiri sama ada bersifat keagamaan, keduniaan mahupun dorongan materialistik dan politik. Masyarakat yang menerima proses perpindahan ilmu berpeluang menikmati kemajuan dalam bidang sains dan teknologi di samping menikmati taraf kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

BIBLIOGRAFI

9

Page 10: UICI 2022 - Bab 02 perpindahan ilmu (nota)

Al-Quran al-Karim.Briffault, Robert. 1919. The Making of Humanity. T.tp: G. Allen

& Unwin Ltd.Chipperfield, J. The Artistic and Scientific Achievements of

Early Islam. Hitti, Phillip K. 1970. History of the Arabs. London: Mac.

Millan St. Martin’s Press.Khawaja Abd al-Wahhab. Islam and the Origin of Modern Science.

10