Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

14
PENELITIAN BAHASA dan BUDAYA MELAYU Teori dan Aplikasi

Transcript of Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

Page 1: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

PENELITIAN BAHASA dan BUDAYA MELAYU

Teori dan Aplikasi

Page 2: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu
Page 3: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

PENELITIAN BAHASA dan BUDAYA MELAYU

Teori dan Aplikasi

Penyunting

Zaitul Azma Zainon Hamzah Ahmad Mahmood MusanifAhmad Yusoff BuyongArba'ie Sujud

Penerbit Universiti Putra Malaysia

Serdang • 2009

Page 4: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

© Universiti Putra Malaysia 2009Cetakan Pertama 2009

Hak cipta terpelihara. Mana-mana bahagian penerbitan ini tidak boleh dihasilkan semula, disimpan dalam sistem simpanan kekal, atau dipindahkan dalam sistem simpanan kekal, atau dipindahkan dalam sebarang bentuk atau sebarang cara elektronik, mekanik, penggambaran semula, rakaman dan sebagainya tanpa terlebih dahulu mendapat izin daripada pihak yang berkenaan.

Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam Penerbitan

Penelitian bahasa dan budaya Melayu : teori dan aplikasi / penyunting ZaitulAzma Zainon Hamzah Ahmad ... [et al.].ISBN 978-967-344-142-61. Language and culture-- Malaysia. 2. Malay language--Malaysia.I. Zaitul Azma Zainon Hamzah Ahmad.306.4409595

Rupa taip teks: Times New RomanSaiz taip teks: 11/Auto

Reka bentuk dan urus cetak olehPenerbit Universiti Putra Malaysia43400 UPM, SerdangSelangor Darul EhsanTel: 03-89468851/8429Faks: 03-89416172emel: [email protected]

Dicetak olehPenerbit Universiti Putra Malaysia43400 UPM, SerdangSelangor Darul Ehsan

Page 5: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

Kandungan

Prakata xiii

Pendahuluan xv

1 Kata Kerja Terbitan Berawalan Me(N)- dalam Bahasa Melayu Klasik Berdasarkan Manuskrip Hikayat PataniAdi Yasran Abdul Aziz

1

2 Peristiwa Bahasa Temu Bual Akhbar Sebagai Satu Genre LinguistikAhmad Mahmood Musanif

20

3 Suku Kata Tutup Bahasa Nusantara:Satu Kerangka Perbandingan untuk Standardisasi Sebutan Bahasa Melayu Arbak Othman

36

4 Proses Pembinaan FahamanChe Ibrahim Salleh & Arba'ie Sujud

49

5 Halangan Bahasa, Budaya dan Sosial dalam Kalangan Warga TuaChe Ibrahim Salleh, Normaliza Abd Rahim & Arba'ie Sujud

68

6 Kesusasteraan dan Kebudayaan MelayuChe Ibrahim Salleh & Amat Juhari Moain

77

7 Islam dan Tamadun Melayu: Tinjauan Permulaan Tentang Peranannya dalam Pembinaan Tamadun MalaysiaHashim Hj Musa

92

8 Penyusunan Takrif Kamus Istilah : Kajian Kes Kamus KejururawatanHasnah Mohamad

120

9 Ciri dialek Semenanjung Malaysia: Satu Analisis terhadap Dialog dalam Novel MelayuKamariah Kamarudin & Arbak Othman

137

Page 6: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

10 Penguasaan Dialek dalam Keterampilan Berbahasa Mohd Sharifuddin Yusop

154

11 Penerapan Nilai Sosial dalam Kalangan Kanak-kanak AutismeNormaliza Abd Rahim

162

12 Refleksi Emosi daripada Personaliti Staf Melayu dalam Sesebuah OrganisasiNoor Aina Dani

174

13 Sistem Panggilan dalam Masyarakat Melayu KokosRaja Masittah Raja Ariffin

186

14 Asimilasi Nilai Murni Orang Melayu dalam Masyarakat Chetti di MelakaVijayaletchumy Subramaniam

202

15 Ungkapan dalam Karya Melayu KlasikZaitul Azma Zainon Hamzah

226

16 Konsep Malu Orang Melayu dalam Novel SagaNorazlina Mohd. Kiram

239

17 Perkongsian dalam Kalangan Masyarakat MelayuArba’ie Sujud & Jama’yah Zakaria

252

18 Membaca dalam Kalangan RemajaArba’ie Sujud, Jama’yah Zakaria & Che Ibrahim Salleh

267

Indeks

Page 7: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

Prakata

Penelitian Bahasa dan Budaya Melayu: Teori dan Aplikasinya sesuai untuk bacaan dan rujukan pelajar di institusi pendidikan tinggi yang ingin mengetahui tentang bahasa dan Budaya Melayu. Buku ini boleh digunakan sebagai panduan untuk mengetahui tentang bahasa dan budaya Melayu dengan lebih terperinci lagi. Skop perbincangan yang meluas meliputi teori dan praktis dalam bidang bahasa dan budaya melayu. Selain itu juga, buku ini sesuai sebagai bacaan umum bagi mereka yang ingin menerokai ilmu tentang bahasa dan Budaya Melayu. Ilmu yang disumbangkan merupakan karya para ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing

Zaitul Azma Zainon Hamzah Ahmad Mahmood MusanifAhmad Yusoff BuyongArba'ie SujudDisember 2009

Page 8: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu
Page 9: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

Pendahuluan

Buku ini membincangkan dan membahaskan teori bahasa, sastera, dan budaya serta aplikasinya dalam pelbagai bidang seperti kebudayaan, kemasyarakatan, dan perekonomian orang Melayu. Buku yang mengandungi 18 bahan kajian ini dapat digunakan sebagai rujukan oleh warga pendidik, pelajar, dan sesiapa sahaja yang ingin mengetahui isu kebahasaan, kesusasteraan, dan kebudayaan dalam dunia Melayu dengan lebih mendalam.

Dalam Bab 1, penulis membincangkan kata kerja terbitan bahasa Melayu sejak wujudnya dalam batu bersurat seawal akhir abad ke-7 Masihi. Kata terbitan ini berkembang dengan pesat sehingga menjadi kata yang paling produktif dalam bahasa Melayu. Hanya sebilangan kecil kata dasar bahasa Melayu yang tidak boleh menerima imbuhan. Oleh itu, dengan berdasarkan klasifikasi tipologi bahasa yang telah dikemukakan oleh Humboldt, seorang ahli linguistik Jerman pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19 (Robins 1992: 465), bahasa Melayu boleh digolongkan ke dalam bahasa aglutinatif, manakala menurut klasifikasi Bloomfield (1992: 237) pula, bahasa Melayu dikategorikan sebagai bahasa sintetis.

Bab 2 mengetengahkan analisis genre. Pada peringkat awalnya, istilah genre ini seringkali dikaitkan dengan kajian kesusasteraan dan dengan bidang muzik. Namun, dalam banyak keadaan pula, istilah ini sering digunakan oleh ahli linguistik yang menjurus dalam bidang etnografi dan juga linguistik sistemik. Hasil kajian ini merumuskan bahawa analisis genre merupakan satu bidang kajian yang cuba meneliti unsur dalam sesuatu peristiwa bahasa sama ada memenuhi kriteria yang ditetapkan atau sebaliknya untuk menganggapnya sebagai genre.

Seterusnya, Bab 3 penulis membincangkan konsep struktur suku kata tertutup bahasa Nusantara dan realisasi sebutan bunyi vokal dan bunyi konsonannya melalui penyebutan kata yang mengandunginya. Kajian ini meneliti kemungkinan yang boleh membawa perubahan kepada ketetapan tertentu mengikut pedoman sebutan bahasa Melayu baku yang telah ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kajian ini mendapati bahawa dengan berdasarkan nilai fisiologi lidah dalam penyebutan bunyi secara semula jadi, yakni yang tidak dicirikan oleh sebarang unsur paksaan, atau pengunggulan, sebagaimana yang terdapat dalam beberapa banyak bahasa

Page 10: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

di Nusantara, fonem /u/ yang berfungsi sebagai nuklus dalam suku kata tertutup akhir kata dapat dipertahankan supaya direalisasikan sebagai sama ada [ŭ] atau [ô] dari segi sifat fonetik Melayu Nusantara yang semula jadi.

Proses pembinaan fahaman amat rumit dan sistematik, walaupun berlaku secara cepat dan spontan. Hakikat ini dibuktikan dalam Bab 4 melalui analisis yang berasaskan pendekatan sintaksis, khususnya konsep konstituen terdekat, dan pendekatan semantik, yang berasaskan prinsip hakiki dan prinsip kerjasama. Proses ini juga melibatkan proses minda yang dijelmakan dalam pelbagai cara. Kajian ini membuktikan pembinaan interpretasi atau gambaran dalam biarpun mujarad, namun berlaku secara sistematik dan melibatkan proses minda dalam pelbagai cara, iaitu kreatif, positif, negatif, analitikal, informatif, logikal, kritikal, emotif, nilai, sistematik, intuitif, dan lain lagi.

Bab 5 pula membincangkan halangan bahasa, budaya, dan sosial dalam kalangan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas. Warga tua dalam usia ini tidak sentiasa tinggal bersama dengan orang yang lebih muda yang dapat memberikan perhatian kepada mereka pada setiap masa. Justeru, kajian mendapati bahawa terdapat halangan bahasa, budaya dan sosial dalam kalangan penghuni rumah Seri Kenangan. Masalah ini akan menyeBabkan masyarakat warga tua begitu pasif dan ketinggalan dalam semua aspek pembangunan diri.

Tokoh guru Nusantara, iaitu Hamka yang turut menjadi ikon aktivis politik dan penulis tersohor dalam zamannya didedahkan dalam Bab 6. Artikel ini membincangkan peranan beliau sebagai cendekiawan dan ilmuwan. Sumbangan beliau terserlah dalam bidang kebahasaan, kesusasteraan, dan kebudayaan Melayu, di samping fokus utamanya dalam bidang agama Islam. Kajian ini membuktikan bahawa Hamka ialah ulama Islam yang progresif, guru agama dan wartawan, pujangga dan ahli falsafah Islam, mahaguru, pemimpin dan mubaligh. Prinsip istiqamah dalam kehidupannya melatari pemikiran Hamka dalam menyikap segala permasalahan politik, sosial, dan agama.

Dalam Bab 7 dibincangkan pula hubungan Islam dalam pembentukan dan pemapanan tamadun Melayu dalam sejarah, asas kekuatan dan kedinamikan tamadun Melayu dan pemerkasaannya berasaskan prinsip Islam Hadhari demi menjadikannya pemangkin dan pemacu kepada pembinaan tamadun Malaysia yang bertaraf global dan gemilang. Kajian ini mendapati bahawa sepanjang sejarah kenaikan dan pertumbuhan

Page 11: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

peradaban Islam, pusat ketamadunan Islam berubah-ubah dari satu wilayah kepada wilayah yang lain; dari tanah Arab ke Parsi, Turki, Afrika Utara, Andalu sia dan Asia Tengah. Bukti yang ada jelas menunjukkan bahawa pusat peradaban Islam kini mulai bergerak ke arah Timur, iaitu ke arah Asia Tenggara dan ke arah Dunia Melayu Islam.

Bab 8 mengemukakan kajian tentang panduan penyusunan kamus istilah dengan berdasarkan analisis pragmatik terhadap takrif dan soal selidik penerimaan takrif oleh pengguna bidang kejururawatan. Data kajian diperoleh daripada takrif Kamus Istilah Kejururawatan yang diterbitkan oleh beberapa penerbit dalam negara dan luar negara serta takrif umum bagi entri bidang kejururawatan yang diambil daripada beberapa buah kamus umum. Beberapa ciri kamus istilah mengikut perspektif pengguna telah dikenal pasti. Selain itu, beberapa saranan dan cadangan untuk penambahbaikan kerja penyusunan kamus istilah dikemukakan untuk dijadikan panduan kepada para pengkaji dalam bidang terminologi dan terminografi.

Bab 9, penulis cuba memaparkan ciri dialek Semenanjung Malaysia dengan berdasarkan dialog yang dipetik daripada novel Melayu. Ciri linguistik pada aspek fonologi, morfologi dan sintaksis dikemukakan dengan berdasarkan wacana dialog antara watak dalam novel. Justeru, data ini dapat menggambarkan struktur perbualan sebenar dialek Semenanjung Malaysia. Kajian ini dapat membina ciri salah satu dialek Semenanjung Malaysia sebagai tunjang bahasa yang mendapat susur-galurnya daripada bahasa induk Austronesia Nusantara. Kajian ini mendapati bahawa dengan berdasarkan dua dialek, iaitu Kelantan dan Kedah, novel yang dikaji telah berhasil memperlihatkan hubungan manusia dengan persekitarannya yang dianyam dengan menarik dalam karya kreatif. didapati bahawa pemaparan dialek menerusi dialog telah memberikan ruang kepada khalayak pembaca menelusuri warisan khazanah budaya bangsa dengan bijaksana.

Bab 10 mengemukakan kajian dialek dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Kajian ini mendapati bahawa sistem pendidikan dalam banyak hal, masih bersifat ampuh sebagai wahana penyebaran apa-apa sahaja dasar termasuk dasar bahasa. Anggota masyarakat nuklus sudah tersedia di sana; siap dengan manusianya, latar komunikasi yang aktif dan juga pendedahan kepada dunia akademia yang bergantung penuh pada bahasa sebagai medium perantara. Justeru, dialek Melayu harus dibudayai oleh masyarakat, khususnya kanak-kanak yang masih mudah menguasai dan mengingati pendidikan yang diberikan.

Page 12: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

dialek sebagai akar bahasa Melayu tidak harus dibiarkan reput dan mati, sebaliknya harus menjadi penyokong pembinaan dan pemerkasaan bahasa Melayu.

Penerapan nilai sosial dalam kalangan kanak-kanak autisme dibincangkan dalam Bab 11. Istilah autisme amat jarang diuar-uarkan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Segelintir ibu bapa kepada kanak-kanak autisme tidak mahu anak mereka bergaul dengan orang lain kerana berasa malu akan sikap anak mereka yang tidak suka bergaul dan tidak ada nilai sosial. Hasil kajian yang dijalankan mendapati pelajar autisme ini haruslah faham akan nilai sosial supaya mereka tidak ketinggalan apabila berhadapan dengan situasi yang sebenarnya di luar lingkungan keluarga. Pelajar autisme haruslah dibekalkan dengan pelbagai cerita sosial lain supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan orang lain apabila dewasa kelak (Jamilah K.A. Mohamed, 2005). Pelajar juga diharapkan dapat menggunakan cerita yang telah dipelajari dalam keadaan yang sebenar dan mengadaptasikan cerita yang telah didengar dengan situasi yang baharu.

Seterusnya, dalam Bab 12, dibincangkan refleksi emosi daripada personaliti staf Melayu dalam sebuah organisasi. Kebanyakan penyelidik daripada perspektif kognitif mendapati bahawa emosi bukan sekadar perkara fisiologi (suka, gembira, sedih, dan marah), bahkan melibatkan proses mental. Pada tahun 1960-an, Stanley Schachter dan Jerome Singer (1962) melaporkan bahawa emosi bersandarkan dua faktor, iaitu kebangkitan hormon dan tafsiran kognitif daripada kebangkitan hormon. Kebangkitan hormon menyeBabkan badan manusia mengalami perubahan, misalnya badan menggeletar. Sekiranya individu tidak dapat mentafsir tanda perubahan itu, individu dikatakan tidak merasai satu ‘emosi’. Kajian ini yang berasaskan Teori Jung (1967) ini mendapati bahawa refleksi emosi staf Melayu dalam organisasi yang dikaji lebih memihak kepada ekstrovert. Staf jenis ini senang bergaul, tidak berasa kaku untuk berbicara di depan khalayak ramai, dan yakin pada diri sendiri.

Bab 13 pula meninjau sistem panggilan yang digunakan oleh masyarakat Melayu di Pulau Kokos, khususnya di Pulau Home yang terletak di Lautan Hindi. Sistem panggilan ini telah diamalkan oleh orang Melayu Kokos daripada generasi pertama sehingga generasi hari ini, iaitu panggilan atau sapaan yang hanya menyebut nama pangkat dalam keluarga, khususnya dalam garis menegak dari ayah-emak hingga kepada nenek. dalam sistem panggilan ini, pangkat sulung memainkan peranan yang penting.

Page 13: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

Bab 14, penulis membincangkan analisis asimilasi nilai murni orang Melayu yang terdapat dalam masyarakat Chetti di Melaka. Kajian asimilasi nilai murni ini juga secara tidak langsung dapat melihat sejarah latar belakang dan budaya masyarakat Chetti yang merupakan antara komuniti tertua di negara ini. Kajian mendapati bahawa masyarakat Chetti yang wujud sekarang berasal daripada perkahwinan campur antara pedagang India daripada keturunan peniaga kaya dari pantai Coromandal, daerah Keling di negara India dengan wanita tempatan seperti wanita Melayu, Jawa, Cina, dan Batak. Generasi pertama masyarakat ini pada mulanya diberi penempatan pertama oleh kerajaan di kampung Keling di Melaka tetapi kemudiannya mereka diberi tanah oleh kerajaan Melaka di kampung Gajah Berang Melaka.

Bab 15 penulis membincangkan ungkapan yang terdapat dalam karya Melayu Klasik dengan menggunakan teori sosiolinguistik dan teori pragmatik. Ungkapan dirujuk sebagai susunan kata yang digunakan dalam percakapan (tulisan), frasa atau rangkai kata yang tertentu susunan katanya. Ungkapan ini mempunyai keindahan dari segi kata dan mengandungi maksud tersurat dan tersirat. Kajian mendapati bahawa penggunaan ungkapan menunjukkan bangsa Melayu pada zaman silam hidup bertatacara dan beradat dalam tradisi berkomunikasi. Kehidupan beradat ini sudah semestinya memerlukan satu kombinasi ungkapan. Walaupun penggunaan ungkapan ini dapat mengindahkan sesuatu tulisan, namun tidak dinafikan adakalanya mugkin menimbulkan kekeliruan pada pihak tertentu.

Bab 16 merupakan kajian tentang konsep malu orang Melayu dengan berdasarkan Novel SAGA. Novel besar dan hebat ini berjaya membawa pembaharuan dalam arena penulisan novel di Malaysia, dan berjaya mendapat pengiktirafan apabila memenangi Hadiah Pertama Sayembara Novel Gapena pada tahun 1976. Pengarangnya, Abdul Talib Mohd. Hassan telah membuktikan kemampuannya dengan mengetengahkan konsep malu orang Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan. Setiap peristiwa malu ini memperingatkan dan menyedarkan masyarakat supaya berhati-hati dalam pertuturan dan tingkah laku agar tidak terkeluar daripada tuntutan agama Islam, dan mendapat perlindungan Allah di dunia dan di akhirat.

Bab 17 membincangkan konsep perkongsian ilmu dalam kalangan masyarakat Melayu, khususnya dari segi pemerolehan, pelaksanaan, dan mekanismenya. Secara umum, kajian ini menunjukkan bahawa perkongsian ilmu dalam kalangan pandai Melayu berlaku pada peringkat

Page 14: Buku penelitian bahasa_dan_budaya_melayu

formal dan tidak formal. Perkongsian ilmu secara tidak formal lebih ketara dalam skala perkongsian yang kecil, dan kian beralih ke arah perkongsian yang formal walaupun secara perlahan. Justeru, pendokumentasian bahan ilmu berlaku ketika umur dan penglibatan pandai Melayu dalam bidang yang diceburi agak lewat.

Buku ini diakhiri dengan kajian tentang minat membaca dalam kalangan remaja yang terdapat dalam Bab 18. Dapatan kajian menunjukkan bahawa remaja lebih gemar membaca bahan bacaan ringan demi mengisi masa lapang yang diperoleh daripada pelbagai sumber, selain bahan bercetak. Perbezaan yang nyata hanyalah dari segi minat membaca teks dan buku rujukan. Kegiatan membaca bagi tujuan penjanaan fikiran tidaklah begitu menggalakkan. Kegiatan ini lebih cenderung untuk memenuhi keperluan pengajian atau persekolahan serta menjawab peperiksaan.