Assg PN -Teori Pendidikan

download Assg PN -Teori Pendidikan

of 22

description

Teori pendidikan

Transcript of Assg PN -Teori Pendidikan

1.0Pengenalan.

Pengajaran dan pembelajaran yang baik lagi berkesan tidak akan berlaku tanpa perancangan yang rapi. Penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dengan lebih awal dan teliti dapat membantu perjalanan pengajaran dan pembelajaran dengan baik. Perancangan yang rapi perlu berlandaskan sesuatu yang kukuh dan diakui kebenaran dan kewajarannya. Perancangan itu merupakan sesuatu yang terbukti boleh dan benar. Sesuatu yang dimaksudkan itu dikenali sebagai teori. Justeru, kerja amali atau pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang baik serta wajar perlu berdasarkan teori yang terbukti keupayaan dan kejayaannya.Lanjutan itu, saya telah diberi tugasan seperti berikut : Berdasarkan pengalaman saya mengajar, nyatakan teori pembelajaran, pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Saya juga dikehendaki:

1. Membuat rancangan mengajar satu sesi pengajaran-1 jam

2. Rumusan atau kesimpulan serta menghuraikan sekurang-kurangnya dua teori pembelajaran yang saya telah aplikasikan dalam pengajaran.3. Menyatakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang telah saya gunakan dalam pengajaran tersebut.

4. Saya dikehendaki menulis refleksi dengan memberi kekuatan,kelemahan dan beri cadangan penambahbaikan kepada pengajaran saya.5. Bibliografi.

2.0RANCANGAN PENGAJARANAN HARIANMatapelajaran : Pendidikan Islam

Kelas : 5 BudiTarikh : 10 Julai 2012Masa : 7.30 pagi - 8.30 pagi.Bilangan Murid : 38 orang murid, 12 orang lelaki, 26 orang perempuan. Bidang : Ulum Syariah- Ibadah.Tajuk : AzanKemahiran : Mendengar, menyebut, membaca dan menulis. Pengetahuan Sedia Ada :Murid-murid selalu mendengar azan yang berkemundang daripada masjid yang berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing.

Selain daripada itu murid-murid lelaki juga pernah melihat sendiri bagaimana bilal melaungkan azan di masjid sewaktu Solat Jumaat.Murid-murid juga pernah mendengar azan daripada telivisyen dan radio .Hasil Pembelajaran : Pada akhir pembelajaran dan pengajaran murid dapat:-Aras 1: Menyatakan taarif azan dan iqamat dengan betul setelah diperdengarkan oleh guru melalui pita rakaman.Aras 2: Menyatakan perbezaan antara perkara sunat semasa azan dengan betul setelah mendapat bimbingan daripada guru.Aras 3: Membaca doa azan dan iqamat dengan betul setelah membuat aktiviti latih tubi yang dijalankan.Kemahiran Berfikir :1. Menghafaz lafaz azan dan iqamah serta doa.2. Melakonkan watak sebagai bilal.Penerapan Nilai : Berani, bersungguh-sungguh, berkeyakinan dan istiqamahGabung Jalin : Mata pelajaran Tauhid- mengesakan Allah S.W.T. Alat Bantu Mengajar :Gambar rajah, hadiah dan LCD.LangkahIsi PelajaranAktivitiCatatan

Pendahuluan

2 minit1. Bacaan doa penerang hati.

." "1. Seorang murid dipilih untuk membaca doa.2. Murid lain meaminkan doa yang dibaca.

3. Semua murid membaca dua kalimah shahadah secara beramai-ramai.Adab berdoa.

Set Induksi

5 minitSoalan:1. Apakah yang kamu lihat dalam gambar ini?

2. Apakah yang harus dilakukan untuk menunjukkan telah masuk waktu solat?

1. Murid dan guru berbincang berdasarkan gambar seorang murid menunaikan solat.2. Sebelum solat kita akan mendengar azan menandakan telah masuk sesuatu waktu.3. Guru mengaitkan jawapan tersebut dengan pelajaran hari ini. Kad bergambar menunjukkan seorang murid sedang solat.Kaedah: sumbang saran guru bersama murid.

Langkah 1

10 minit1.Taarif azan:lafaz tertentu untuk memberitahu masuk waktu solat.

Guru meminta beberapa orang murid menerangkan apa yang mereka faham tentang azan.

1. Guru menerangkan pengertian azan.

2. Guru memlih 5 orang murid untuk memberikan maksud azan menggunakan ayat sendiri. 3. Murid-murid lain diminta mengulangi taarif tersebut secara kelas dan kumpulan.Tayangan LCD taarif azan. Kaedah:

- Latih tubi kumpulan dan individu.- Kaedah ulangan.

Langkah 2

20 minit1. Lafaz azan :

2x 2x 2x 2x 2x (waktu subuh)2x

1. Murid diperdengarkan lafaz azan melalui tayangan LCD.

2. Murid mendengar dengan penuh teliti setiap lafaz azan yang diperdengarkan.

3. Guru menunjukkan tayangan LCD lafaz azan pada papan tulis dan murid diminta melafazkan lafaz azan tersebut dengan bimbingan guru secara kelas.

4. Guru memilih seorang murid dan diminta membuat tunjuk cara melaungkan azan tersebut kepada murid-murid lain. 5. Murid-murid lain diminta mengulang lafaz azan secara beramai-ramai. BBM: LCD Kaedah : Demonstrasi/ tunjuk cara.

Latih tubi.Kemahiran:

Mendengar dan menyebut.

Langkah 3

20 minit 1. Guru menayangkan LCD dengan lafaz-lafaz azan yang tidak mengikut urutan yang betul dan meminta murid menomborkan lafaz- lafaz tersebut mengikut urutan.2. Murid-murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil.3. Setiap kumpulan diminta menulis lafaz azan dengan betul di dalam kertas yang diberikan guru.

4. Kumpulan yang dapat menulis dengan betul dan kemas mendapat hadiah daripada guru.5. Murid-murid diminta menyalin lafaz azan dalam buku tulis.6. Perbincangan dan penerangan mengenai perkara-perkara sunat semasa azan.7. Guru mempamerkan dan membaca doa selepas azan dan iqamat.

8. Latih tubi menyebut dan menghafaz doa selepas azan dan iqamat.Bahan bantu mengajar: LCD Lembaran kerja

Kaedah: Perbincangan

Kemahiran: menyebut. menyusun

Penutup3 minitLaungan azan diperdengarkan melalui tayangan LCD.1. Murid diperdengarkan lafaz azan sekali lagi.2. Guru menerangkan taarif azan dan iqamat.

3. Guru mengedarkan lembaran kerja kepada semua murid sebagai kerja rumah.Lembaran kerja.(kerja rumah)

3.0RUMUSAN ATAU KESIMPULAN TEORI PEMBELAJARAN YANG TELAH APLIKASIKAN DALAM PENGAJARAN.Tokoh-tokoh pendidikan telah mengemukakan pelbagai jenis teori pembelajaran. Mereka terdiri daripada teori behaviours,teori kognitif, teori sosial dan teori konstruktivisme. Setiap teori mempunyai tokoh-tokoh yang berbeza yang banyak memperkenalkan teori mereka tersendiri melalui pelbagai eksperimen.

3.1Teori Pembelajaran Behaviours

Antara teori yang saya gunakan dalam pengajaran saya ialah teori Behaviours. Tokoh-tokoh terkenal dalam teori ini terdiri daripada Pavloc, E.L.Thorndike dan B.F.Skinner.

Ivan P. Pavlov merupakan pelopor konsep pelaziman klasik. Menurut Pavlov, setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas. Gerak balas ialah apa-apa sahaja tingkah laku yang timbul kesan daripada rangsangan. Rangsangan ialah apa-apa sahaja bentuk tenaga yang menimbulkan gerak balas. Contoh yang diberi ialah, apabila guru memberikan arahan supaya berdiri, kamu dengan cepatnya akan berdiri. Arahan itu ialah rangsangan, manakala tindakan berdiri itu ialah gerak balas. Hasil daripada kajianya, Pavlov berpendapat bahawa pembelajaran boleh berlaku kesan daripada kaitan antara rangsangan dengan gerak balas. Sesuatu rangsangan boleh dikaitkan dengan rangsangan yang lain. Contohnya guru yang mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan.

Mengikut teori E.L.Thorndike iaitu pelopor psikologi Amerika yang sentiasa dikaitkan dengan eksperimen yang digunakan dalam pelaziman operan. Beliau memperkenalkan pembelajaran cuba jaya dan beberapa hukum tentang perkaitan rangsangan dengan gerak balas. Melalui eksperimen yang dilakukan kepada seekor kucing, kesimpulan yang dibuat oleh beliau ialah kucing tersebut telah dapat mempelajari cara membuka pintu sangkar itu secara cuba jaya dan pengulangan. Melalui cara-cara tersebut, kucing belajar bahawa gerak balas yang betul membolehkannya keluar dengan cepat untuk mendapatkan makanan. Manakala, gerak balas yang salah pula akan menyebabkanya terus terkurung. Hasil daripada eksperimen Thorndike, tiga hukum utama telah dikemukakan, iaitu hukum kesediaan, hukum latihan dan hukum kesan. Teori B.F.Skinner pula merupakan satu teori rangkaian yang berasaskan rangsangan dan gerak balas. Dalam eksperimennya, beliau meletakkan seekor tikus lapar ke dalam kotak Skinner. Kotak itu dilengkapi alat penekan pada dindingnya. Apabila alat itu ditekan, biji-biji makanan akan terkeluar. Pada permulaanya,tikus itu berlari ke sana sini kerana lapar. Kemudian secara tidak sengaja, tikus itu terpijak alat penekan tersebut dan ini menyebabkan biji-biji makanan terkeluar. Proses, yang sama diulangi beberapa kali sehingga tikus itu mendapati bahawa apabila alat penekan dipijak, makanan akan diperoleh. Ini menunjukkan bahawa tikus itu telah belajar cara untuk mendapatkan makanan didalam kotak itu. Sekali lagi, eksperimen ini menunjukkan bahawa sesuatu gerak balas hanya akan berulang jika wujud ganjaran, contohnya biji-biji makanan dalam eksperimen tersebut. Sekiranya ganjaran dihentikan, gerakbalas itu akan terhapus juga. Dengan ini, kaitan antara teori ini dengan motivasi adalah jelas. Jika sesuatu tingkah laku pelajar diingini, ganjaran perlu diberikan. Tanpa ganjaran, lama kelamaaan tindakan itu akan terhapus. Kesimpulanya, dalam pengajaran saya, teori Behaviours telah diaplikasikan iaitu hubungan antara rangsangan dengan gerak balas. Di mana ada rangsangan, disitu lah adanya gerak balas. Contohnya, saya telah memilih beberapa orang murid untuk menunjuk cara melaungkan azan dihadapan murid-murid lain. Arahan yang diberikan kepada murid-murid ialah rangsangan dan tindakan yang dilakukan oleh murid-murid ialah gerak balas. Dalam pembelajaran ini, saya juga mengaplikasikan teori B.F.Skinner iaitu ganjaran. Murid-murid yang berjaya menunjuk cara azan yang betul di beri pujian sebagai penghargaan. Selain itu, dalam aktiviti menyusun potongan lafaz azan juga, ganjaran hadiah akan diberikan kepada kumpulan yang berjaya menyusun ayat dengan betul. Dengan adanya ganjaran tersebut, murid-murid berusaha untuk melakukan yang terbaik. 3.2Teori Pembelajaran Konstruktivisme

Teori pembelajaran kedua yang diaplikasikan dalam pengajaran saya ialah teori pembelajaran Konstruktivisme. Antara tokoh pelopor yang pernah memberi sumbangan kepada teori ini ialah Piaget, Bruner, Vygoysky, Dewey, Goodman dan Gibson. Teori ini menekankan pembinaan pengetahuan oleh pelajar. Pelajar dapat membina pengetahuan dengan menggunakan pengetahuan yang sedia ada dalam dirinya. Pelajar akan mengaitkan pembelajaran baru dengan pembelajaran lama yang sedia ada. Perspektif konstruktivisme menitikberatkan pengalaman pendidikan yang boleh membantu kanak-kanak membina ilmu pengetahuan dan bukannya penyiaran pengetahuan. Ahli-ahli teori pembelajaran menegaskan empat perkara iaitu:

1. Kanak-kanak merupakan pembina teori.

2. Kanak-kanak perlu membina asas pengetahuan fizikal.

3. Semasa membesar, kanak-kanak akan menjadi semakin bebas dari segi intelek dan moral.

4. Kanak-kanak bersifat sosial.

Manakala Piaget menjelaskan tiga bentuk pengetahuan iaitu fizikal, logiko-matematikal dan sosial. Dalam pengajaran saya, bentuk pengetahuan sosial telah diaplikasikan. Pengetahuan sosial merupakan pengetahuan yang hanya boleh ditunjuk dan diamalkan secara sosial seperti adat istiadat, penggunaan nama-nama tertentu dan label-label bagi sesetengah barangan. Oleh sebab pengetahuan sosial ditentukan melalui budaya,kanak-kanak tidak dapat membina pengetahuan sosial. Sebaliknya, kanak-kanak perlu diajar pengetahuan sosial oleh orang lain. Oleh yang demikian, pengetahuan sosial perlu ditunjukkan, iaitu dalam bentuk amalan budaya kepada kanak-kanak melalui pengajaran orang dewasa , buku atau media lain. Secara kesimpulanya, dalam pengajaran saya teori ini telah diaplikasikan. Contohnya, murid-murid telah mengetahui serba sedikit mengenai lafaz azan melalui pengalaman mereka dalam kehidupan seharian. Ini kerana, dalam Malaysia amalan melaungkan azan di masjid telah dipraktikkan sejak dahulu lagi. Kanak-kanak telah dididik dan biasa mendengar lafaz tersebut. Mereka juga telah mengetahui bahawa mendirikan solat ialah wajib berdasarkan amalan yang kerap dilakukan oleh ibubapa atau orang di sekeliling mereka. 3.3Teori Pembelajaran SosialTeori pembelajaran sosial (social learning theory ) telah diasaskan oleh Albert Bandura (1986,1977, 1998, 2000). Teori pembelajaran sosial ini telah dinamakan semula sebagai Teori kognitif sosial oleh Bandura sendiri (Moore, 2002). Teori pembelajaran sosial menyatakan bahawa faktor-faktor sosial, kognitif dan tingkah laku memainkan peranan penting dalam pembelajaran(Santrock, 2001). Faktor kognitif akan mempengaruhi jangkaan pelajar tentang kejayaannya;sementara faktor sosial, termasuk pemerhatian pelajar tentang tingkah laku dan pencapaian ibu bapanya, akan mempengaruhi tingkah laku pelajar tersebut.Teori pembelajaran sosial menganggap manusia sebagai makhluk yang aktif, berupaya membuat pilihan dan menggunakan proses-proses perkembangan untuk memperihalkan peristiwa serta berkomunikasi dengan orang lain. Perilaku manusia tidak ditentukan oleh kuasa dalaman dan sejarah perkembangan seseorang atau bertindak pasif terhadap pengaruh persekitaran. Dalam banyak hal, manusia adalah selektif dan bukan entiti yang pasif, yang boleh dipengaruhi oleh keadaan persekitaran mereka. Manusia saling memerlukan, pengaruh-mempengaruhi antara satu sama lain. Ahli-ahli psikologi sosial termasuklah Albert Bandura,Walter Mischel, Julian Rotter, Martin Seligman dan lain-lain. Albert Bandura (1925-) adalah seorang profesor psikologi di Universiti Stanford dan beliau telah mengemukakan Model Determinisme Timbal Balik (reciprocal determinism model )dan Teori Pembelajaran Peniruan. Dalam tugasan ini saya menyentuh tentang teori pembelajaran peniruan.

3.3.1Teori Pembelajaran Peniruan

Bandura telah menjalankan kajian bersama Walter (1963) ke atas kesan perlakuan kanak-kanak apabila mereka menonton video tentang orang dewasa memukul, mengetuk dengan tukul besi, menendang dan duduk atas patung Bobo, menumbuk sambil menjerit- jerit sockeroo. Bandura telah menayangkan video tersebut kepada kanak-kanak tadika.Kemudian mereka diarahkan pergi ke bilik permainan yang terdapat patung seperti Bobodi situ. Apabila kanak-kanak tersebut nampak patung itu, mereka pun melakukan aksi-aksi yang dilakukan oleh orang yang mereka tonton dalam tayangan tadi. Mengikut Bandura, apabila tingkah laku seseorang itu ditiru. Orang yang ditiru itu secara spontan menjadi model kepada si peniru.Menurut teori ini, terdapat beberapa cara peniruan boleh dilakukan:Proses tiruan mudah, iaitu meniru secara langsung.Contohnya, guru mendemonstrasi cara membuat kapal terbang menggunakan kertas dan pelajar meniru secara langsung. Proses tiruan melalui sekat lakuan dan tak sekat lakuan.Contohnya, kanak-kanak meniru perlakuan bersorak di padang, jadi perlakuan bersorak adalah tak sekat lakuan di padang. Tetapi jika kanak-kanak tersebut bersorak dalam kelas semasa guru sedang mengajar, tentulah guru akan memarahinya dan diberi tahu perlakuan yang ditirunya tidak dibenarkan dalam keadaan tersebut. Jadi perlakuan tersebut menjadi sekat lakuan dalam situasi tersebut.Proses tiruan melalui elisitasi timbul apabila kita melihat perlakuan orang lain.Contohnya, kita melihat jiran kita masak mee untuk berbuka puasa, lalu timbul keinginan dalam diri kita untuk membuat perlakuan yang sama. Maka keinginan kita untuk meniru timbul setelah melihat jiran melakukan perlakuan tersebut.Proses peniruan melalui empat langkah tertentu, iaitu pemerhatian, penyimpanan, pengeluaran dan motivasi.Pemerhatianiaitu apabila seseorang ingin meniru perlakuan model, mula-mula dia akan perhatikan model tersebut dan cuba mengingat langkah-langkah yang dilaksanakan oleh model tersebut.Penyimpananiaitu langkah-langkah perlakuan model akan disimpan dalam ingatan oleh pelajar.Pengeluaraniaitu tingkah laku yang ditiru diperlihatkan dalam situasi yang sesuai.Motivasiiaitu sekiranya tingkah laku yang diperlihatkan menerima peneguhan (motivasi) daripada orang lain, peniruan akan diulangi. Seperti yang saya lakukan dalam tugasan ini, saya telah memanggil beberapa orang murid untuk menunujukkan cara melaungkan azan dengan betul. Setelah murid tersebut melakukan demonstrasi murid-murid yang lain mengikut apa yang telah ditunjukkan oleh murid tersebut. Saya memberikan motivasi kepada murid-murid supaya mengamalkan azan dalam kehidupan seharian tidak semestinya melaungkan azan apabila waktu solat sahaja tetapi pada waktu - waktu yang lain seperti ribut, menghalau syaitan, kelahiran bayi dan sebagainya.

4.0STRATEGI, KAEDAH DAN TEKNIK YANG DIGUNA PAKAI DALAM PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN.4.1Strategi yang telah saya gunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah :

a) Strategi pemusatan guru.

b) Strategi pemusatan murid

4.1.1Strategi pemusatan guru adalah merujuk kepada strategi pengajar dan pembelajaran yang telah lama diamalkan dalam bilik darjah. Dalam pembelajaran yang dilakukan, guru memainkan peranan yang sangat penting iaitu guru yang menguasai dan mengawal semua aktiviti pembelajaran. Ini bermakna, guru lebih banyak memberi penerangan sementara murid-murid hanya mendengar apa yang disampaikan. Kaedah keseluruhan kelas, demonstrasi, syarahan, bercerita, pengajaran berkumpulan dan sesetengah kemahiran pengajaran yang berpusatkan guru dalam pengajaran mikro menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi pemusatan guru. 4.1.2Strategi pemusatan murid merujuk kepada pembelajaran berpusatkan murid di mana guru berperanan sebagai pembimbing atau fasilitator sahaja. Ini bermakna, murid memang memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pembelajaran. Dalam pembelajaran, murid-murid adalah digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka. Bagi melancarkan lagi sesi pembelajaran, guru membimbing murid ketika menjalankan aktiviti pembelajaran secara individu atau dalam kumpulan. Dari segi pengagihan masa dalam perancangan guru, kebanyakan masa lebih banyak digunakan oleh murid untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh guru. Antara kaedah pembelajaran yang menggunakan strategi pemusatan murid adalah seperti kaedah kumpulan, inkuiri penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah, bermain, simulasi, main peranan dan sumbang saran.4.2Kaedah dan teknik yang telah saya gunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah:

4.2.1Kaedah sumbang saran guru bersama murid.Sumbangsaran merupakan satu bentuk perbincangan yang membolehkan sesuatu kumpulan mengadakan fikiran secara berkelompok.Setiap peserta digalakkan memberi idea dan setiap idea itu diterima untuk dikaji dengan lebih teliti. Akhirnya, idea yang lebih sesuai sahaja yang dipilih sebagai rumusan.Rumusan itulah yang menjadi hasil daripada sesi sumbangsaran. 4.2.2Kaedah perbincangan.

Ia merupakan satu aktiviti di mana individu-individu dapat berinteraksi antara satu sama lain dan berkongsi maklumat tentang sesuatu topik atau masalah dengan tujuan mencari suatu penyelesaian.Perbincangan sangat berfaedah bagi pelajar-pelajar kerana mereka berpeluang untuk mengemukakan idea. Melalui cara itu, mereka juga dapat bertukar-tukar pendapat.Jenis perbincangan yang lebih berkesan ialah perbincangan yang melibatkan pertukaran idea antara ahli kumpulan dan bukanlah di antara guru dengan ahli kumpulan. Guru hanya mengemukakan soalan-soalan dan membincangkan jawapan-jawapan yang diterima.

4.2.3Kaedah Latih tubi.

Dalam melaksanakan kaedah pengajaran guru juga menggunakan kaedah latih tubi iaitu mengulangi bacaan sebanyak beberapa kali. Dalam Islam, kaedah ini mempunyai sejarah yang panjang. Malaikat Jibril telah menggunakkan kaedah ini sewaktu mengajar Rasulullah membaca ayat pertama turun iaitu surah Al-Alaq. Baginda diajar membaca berulang kali. Kali pertama Nabi s.a.w menjawab tidak tahu hingga kali ketiga baharulah baginda dapat membacanya. Membaca berulang kali merupakan prinsip utama dalam latih tubi.4.2.4Kaedah tunjuk cara atau demonstrasi.

Kaedah tunjuk cara ataupun demonstrasi adalah satu kaedah pembelajaran dengan menunjukkan contoh atau membuat uji kaji. Kaedah tunjuk cara ialah satu kaedah yang memerlukan penglibatan kedua-dua pihak iaitu guru dan pelajar melalui pengajaran yang disampaikan secara praktikal. Guru dan pelajar akan sama-sama terlibat dalam melakukan aktiviti sama ada pada waktu yang sama atau pun berbeza. Kaedah ini melihat kepada keupayaan pelajar untuk mengingat adalah lebih baik jika mereka membuat sesuatu sendiri berbanding dengan apa yang mereka dengar atau lihat. Kaedah serampang dua mata ini memberi peluang kepada untuk belajar bukan sahaja secara teori semata-mata, bahkan pelajar dapat melakukan apa yang dipelajari secara praktikal.

Terdapat empat ciri utama kaedah tunjuk cara atau demonstrasi:4.2.4.1 Melihat kemahiran

Guru akan memeperlihatkan sesuatu kemahiran kepada pelajarnya. Ini bermakna guru akan memberi penerangan atau penjelaskan semasa aktiviti ditunjukkan. Dengan cara ini, pelajar akan lebih mudah memahami apa yang dipelajari kerana mereka tidah hanya mendengar sebaliknya mereka melalui atau melihat sendiri apa yang berlaku seiring dengan apa yang mereka dengar.

4.2.4.2 Penglibatan pelajar

Guru boleh melibatkan pelajar dalam aktiviti praktikal sesuatu pelajaran. Pelajar yang mempunyai kemahiran yang baik boleh dijadikan contoh kepada pelajar yang lain. Disamping mendedahkan pelajar dengan realiti sebenar, bakat pelajar juga boleh dikesan dan diasah melalui aktiviti seperti ini.

4.2.4.3 Peluang untuk mendengar atau melihat

Guru perlulah memastikan setiap pelajarnya tidak tercicir daripada mendengar atau melihat tunjuk cara tersebut. Seandainya bilangan pelajar adalah ramai dalam satu-satu masa, guru boleh membahagikan pelajar mengikut kumpulan-kumpulan kecil.

4.2.4.4 Kaitan antara teori dan praktikalKaedah ini berkesan kerana pelajar dapat mengaitkan apa yang dipelajari secara teori dan praktikal. Tunjuk cara jugak boleh mengelakkan pelajar tersalah faham dengan apa yang dipelajari.

Langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh guru untuk melaksanakan kaedah tunjuk cara ini ialah pada peringkat awal, guru perlu menerangkan dan menunjukkan terlebih dahulu langkah, aktiviti atau peraturan kepada pelajar. Kemudian pelajar perlu memusatkan sepenuh perhatian mereka terhadap apa yang guru perkatakan dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh guru. Pemusatan tumpuan ini adalah bertujuan supaya pelajar tidak tertinggal langkah dan penjelasan yang dibuat oleh guru bagi mengelakkan berlakunya kesilapan ketika giliran pelajar membuat aktiviti. Selepas pemerhatian dilakukan, guru boleh meminta beberapa orang pelajar atau setiap pelajar untuk menunjukkan semula cara yang sudah dilakukan oleh guru sebentar tadi. Guru boleh menegur serta-merta jika terdapat sebarang kesalahan pelajar dalam melakukan aktiviti sekali gus menjadi tunjuk ajar kepada pelajar yang lain untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Bagi aktiviti yang membolehkan kepelbagaian, murid boleh melakukan semula aktiviti sama ada seperti yang ditunjukkan oleh guru ataupun memilih untuk membuat sendiri berdasarkan pengetahuan sedia ada pelajar asalkan selari dengan objektif dan topik pengajaran.

Hasil kajian yang bertajuk "Preferan Pelajar Terhadap Teknik Pengajaran Guru" yang dilakukan ke atas pelajar tingkatan 4 mendapati bahawa secara keseluruhan, sebanyak 81 peratusan daripada bilangan responden menyukai kaedah tunjuk cara ataupun demonstrasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan hasil kajian ini, jelaslah bahawa minat pelajar terhadap kaedah pengajaran yang dibawa oleh guru boleh meningkatkan kecenderungan pelajar untuk memahami apa yang dipelajari.

5.0REFLEKSIAlhamdulillah.syukur kepada Allah atas kurnia dan rahmatnya dapatlah saya menyempurnakan tugas ini dengan baik. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih terhadap guru-guru Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 Kota Damansara terutamanya guru pembimbing saya Puan Rosiahyati binti Abdullah kerana banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan semasa proses menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa juga kepada suami, Ismazaini bin Ismail dan anak-anak Nurliyana , Faiz Husaini dan Nur Arissa Aina yang banyak berkorban untuk saya dalam perjuangan saya mencari ilmu. Setelah berfikir mengenai tugasan yang diberikan ,saya tercari-cari apakah tajuk yang sesuai untuk saya bincangkan dalam tugasan ini. Saya memutuskan untuk mengajar tajuk Azan dan Iqamat. Tajuk azan dan iqamat adalah penting kerana itu adalah tajuk yang asas dalam menunaikan solat. Tanggal 10 Julai 2012 jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi saya telah dijadualkan untuk masuk ke kelas 5 Budi untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam bagi bidang Ibadah. Sesuai dengan tugasan yang diberikan,saya mengambil kesempatan ini untuk menjadikan kelas 5 Budi ini sebagai landasan dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Murid-murid 5 Budi sentiasa memberikan kerjasama dan respon yang baik ketika saya melaksanakan pembelajaran dan pengajaran.5.1KEKUATAN

Saya merancang untuk mengajar set induksi selama 5 minit dalam pengajaran mikro kali ini. Saya memulakan set induksi saya dengan menunjukkan gambar seorang murid sedang menunaikan solat. Murid dan guru berbincang berdasarkan gambar seorang murid menunaikan solat. Saya mengutarakan soalan bagaimana untuk mengetahui masuknya waktu solat kepada murid-murid. Saya mengaitkan jawapan tersebut dengan pelajaran yang akan saya ajar hari ini. Perkara ini amat berkesan untuk menarik minat murid terhadap objektif pengajaran.

Kelebihan dan kekuatan yang dapat dikesan dalam menjalankan set induksi dalam tugasan pengajaran kali ini ialah saya telah melaksanakan set induksi yang menarik perhatian dan merangsang minat murid - murid. Di samping itu juga, set induksi yang saya rancangkan menjurus ke arah kesediaan minda murid seperti dikaitkan dengan pelajaran lepas, isu semasa dan persekitaran. Saya juga menghubungkaitkan pengajaran saya dengan kehidupan harian murid-murid.

Saya teruskan pengajaran dengan memperdengarkan lafaz azan melalui LCD kepada murid. Murid mendengar dengan penuh teliti setiap lafaz azan yang diperdengarkan dan murid diminta melafazkan lafaz azan tersebut secara kelas. Kekuatan lain yang dapat dikesan juga ialah penggunaan konsep tunjuk cara atau demonstrasi. Seorang murid dipilih dan diminta membuat tunjuk cara melaungkan azan tersebut kepada murid-murid lain. Ini dapat merangsang minat murid-murid lain apabila mereka melihat bagaimana lafaz azan dilaungkan. Melalui tunjuk cara yang dilakukan, saya menerangkan kepada murid-murid tentang perkara-perkara sunat semasa azan. Selain daripada itu, saya juga menayangkan melalui LCD doa selepas azan. Oleh kerana, kekangan masa murid-murid hanya membaca secara beramai-ramai. Setelah pelajar faham tentang objektif pelajaran, maka tiba masa untuk menguji mereka dengan memberikan mereka aktiviti berkumpulan yang ringkas bagi menguji tahap penguasaan mereka terhadap pelajaran. Hasil ujian yang diberi, kebanyakkan pelajar berjaya menjawab semua soalan. Manakala dalam aktiviti penutup pula, saya telah berjaya mengukuhkan penguasaan mereka dengan bersoal jawab dengan murid berkaitan tajuk dan latihan di rumah.

Selain itu, nada suara saya yang sesuai dan lantang juga memudahkan murid-murid di dalam kelas saya dapat mendengar dengan jelas seterusnya membantu pemahaman murid saya terhadap apa yang saya sampaikan. Hal ini akan memberi kesan yang baik kepada tumpuan dan fokus murid terhadap pembelajaran dan pengajaran saya. Di samping itu juga, murid akan lebih tertumpu kepada penyampaian isi pelajaran saya tanpa menghiraukan gangguan-gangguan lain. Ketegasan dalam menyampaikan pelajaran juga akan membuatkan murid lebih hormat kepada saya. Penjelasan memberikan arahan juga merupakan kekuatan yang dikenal pasti dalam penyampaian set induksi saya. Penyampaian yang jelas memainkan peranan dalam mengukur kefahaman murid-murid. Hal ini sangat berkaitan dengan tindakan susulan murid-murid. Arahan yang diberi jelas, memudahkan murid faham, seterusnya melakukan tugas mengikut arahan dan panduan yang diberikan. Tindakan susulan oleh murid yang tepat menunjukkan kefahaman murid terhadap penyampaian saya berkenaan isi pelajaran.

5.2 KELEMAHANKelemahan dan kekurangan yang dikenalpasti dalam pelaksanaan set induksi dalam tugasan pengajaran kali ini ialah ketepatan mengikut masa yang ditetapkan. Ketepatan masa penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan baik dan lancar. Berdasarkan perbandingan LCD dan rancangan pengajaran harian yang telah saya buat, didapati masa yang digunakan untuk menjalankan set induksi tidak seiring. Masa yang saya rancangkan sebenarnya 5 minit tetapi melihat balik rakaman yang dibuat, set induksi saya hanya guna masa 4 minit 20 saat sahaja.

Kelemahan dan kekurangan yang seterusnya ialah persembahan saya semasa menjalankan proses pengajaran ialah kadang-kadang penerangan yang saya sampaikan tidak dapat difahami oleh murid-murid. Latihan yang diberi terlalu senang menyebabkan pelajar dapat menghabiskan latihan dengan cepat menyebabkan saya terpaksa mengadakan aktiviti lain bagi mengisi masa yang masih ada.

5.3 LANGKAH MENGATASI

Setiap kelemahan dan kekurangan yang dikesan memerlukan penambahbaikan lagi supaya dapat meningkatkan lagi kualiti pengajaran saya pada masa yang akan datang. Berdasarkan kelemahan dan kekurangan dalam tugasan pengajaran kali ini, penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah ketepatan penggunaan masa dan bahasa semasa menyampaikan pelajaran di dalam kelas. Saya perlu menepati ketetapan masa seperti yang ditentukan dalam rancangan pengajaran harian. Ketepatan masa perlu diikut bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Tentang masalah penyampaian maklumat kepada murid-murid, saya akan cuba sedaya upaya untuk berlatih bercakap Bahasa Malaysia terutama semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dengan lebih petah. Mengenai latihan yang cepat di jawab oleh murid, saya menyangka mereka susah untuk menjawab tetapi mereka dapat menjawab dengan mudah, lain kali saya akan memberi latihan yang lebih susah bagi mencabar minda mereka untuk berfikir.6.0PENUTUP

Sesungguhnya pengalaman yang saya pelajari, dalam menyiapkan tugasan ini banyak memberi pengajaran dan pembelajaran dalam meningkatkan profesionalisme saya dalam bidang perguruan ini. Walaupun pengalaman mengajar di sebuah sekolah swasta selama 7 tahun memberi banyak pengetahuan di bidang ini, namun kajian secara terperinci terhadap sesuatu kaedah yang saya jalankan setiap kali sesi pembelajaran dan pengajaran tidaklah dijalankan dengan terperinci seperti yang saya lakukan sekarang ini. Saya juga dapat merumuskan bahawa rancangan pengajaran harian (RPH) yang baik dan terancang memudahkan pembelajaran berjalan dan memberi kefahaman kepada murid-murid dalam apa jua subjek. Selain daripada itu, teori pembelajaran penting bagi membantu guru memilih strategi,kaedah dan teknik bagi membantu pelajar secara optimum.

Akhirnya, seandainya tugasan yang saya lakukan ini tidak menepati seperti yang dikehendaki , jutaan kemaafan daripada saya, seorang manusia yang daif ini. Sekian. 7.0BIBLIOGRAFIEe Ah Meng, Ilmu Pendidikan: Pengetahuan dan ketrampilan Ikhtisas, Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd,Selangor, 2003.

Marimuthu, T., Pengenalan kepada Sosiologi Pendidikan, Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd., Selangor, 1990.Mitchell, G.D, Sosiologi: Pengkajian Sistem Sosial, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1982.

Ee Ah Meng, Psikologi Pendidikan 111, Penerbitan Fajar Bakti, Selangor , 2002.

Mok Soon Sang, Psikologi Pendidikan 1, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Selangor, 2001.

Tengku Sarina Aini Tengki Kasim & Yusmini Md. Yusoff, Kaedah Mengajar & Kemahiran Interpersonal Guru. Selangor, PTS Professsional Publishing Sdn. Bhd.2006.Abd. Ghafar Md. Din , Prinsip Dan Amalan Pengajaran , Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. Kuala Lumpur , 2003.Saedah Siraj & Ahmad Sabri Shuib, Preferen Pelajar Terhadap Teknik Pengajaran Guru, Jurnal Pendidikan: 93-109. Universiti Malaya Kuala Lumpur.2004.

Noriati A.Rashid,Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad.2009. Murid dan Alam Belajar.Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.http://mohdrosly78.blogspot.com/2011/11/refleksi-makro-pengajaran.htmlhttp://www.ship.edu/~cgboeree/bandura.html22