PENGENALAN
Pendidikan Alam Sekitar merupakan satu proses pembelajaran tentang
persekitaran yang melibatkan interaksi manusia dengan alam sekitar dan bagaimana
harus mengurus alam sekitar dengan bijak bagi meningkatkan pengetahuan,
kefahaman dan kesedaran terhadap alam sekitar (Kementerian Pendidikan Malaysia,
1998). Ia telah diterapkan ke dalam kurikulum pendidikan negara sejak tahun 1980-an
lagi (Rashidah Begum Gelamdin, 2002) dan kaedah pendidikan ini adalah berbeza di
sesebuah negara akibat kepelbagaian ciri-ciri alam setempat seperti iklim, sumber
kepelbagaian genetik flora dan fauna serta keadaan fizikal tanah yang berbeza.
Pendidikan ini perlu dipupuk seawal mungkin dan satu cara yang berkesan untuk
memupuk kesedaran terhadap alam sekitar adalah melalui institusi pendidikan
terutamanya di sekolah.
Kesedaran untuk memulihara dan memelihara alam sekitar harus bermula dari
dalam diri sendiri. Kerosakan alam sekitar perlu dipulihkan dan dipelihara supaya
kesannya ke atas alam sekitar dapat diminimakan. Justeru itu, peningkatan tahap
kesedaran masyarakat mengenai pentingnya alam sekitar perlu dilakukan dari
peringkat awal lagi dan Pendidikan Alam Sekitar dilihat sebagai salah satu cara dalam
mencapai objektif ini. Proses Pendidikan Alam Sekitar yang berkesan juga diharap
dapat memupuk kesedaran serta menanam nilai yang betul dan akhirnya diserlahkan
dalam bentuk tindakan yang baik terhadap alam sekitar.
MATLAMAT
Bilakah matlamat, objektif dan prinsip Pendidikan Alam Sekitar ditetapkan? Semasa Deklarasi Tblisi 1977, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah bersetuju menetapkan matlamat, objektif dan prinsip Pendidikan Alam Sekitar bagi negara-negara di seluruh dunia. Matlamat Pendidikan Alam Sekitar ialah untuk:
(i) Menggalakkan kesedaran dan keprihatinan terhadap ekonomi, sosial, politik, and saling bergantungan ekologikal di bandar dan luar bandar.
(ii) Menyediakan peluang kepada semua orang untuk memperoleh pengetahuan, nilai, sikap, komitmen dan kemahiran untuk melindungi dan memperbaiki alam sekitar.
(iii) Menghasilkan corak tingkah laku baru terhadap alam sekitar dalam kalangan individu, kumpulan dan masyarakat seluruhnya.
Menurut UNESCO (1976), matlamat utama Pendidikan Alam Sekitar adalah seperti kenyataan berikut.
“…. to develop a world population that is aware of and concerned about environment and its associated problems and which has the knowledge, skills, attitudes, motivation
and commitment to work individually and collectively towards the solution of its current problem and prevention of new ones.”
(UNESCO, 1976)
OBJEKTIF
Persidangan Tbilisi 1977 juga telah menetapkan lima objektif Pendidikan Alam Sekitar
seperti berikut:
(i) Kesedaran: untuk membantu kumpulan sosial dan individu memperoleh kesedaran
dan sensitiviti terhadap alam sekitar seluruhnya dan permasalahan alam sekitar.
(ii) Pengetahuan: untuk membantu kumpulan sosial dan individu memperoleh pelbagai
jenis pengalaman dan kefahaman asas terhadap alam sekitar dan permasalahan alam
sekitar.
(iii) Sikap: untuk membantu kumpulan sosial dan individu memperoleh satu set nilai dan
perasaan keprihatinan terhadap alam sekitar dan motivasi untuk aktif terlibat dalam
pemeliharaan dan pembaikan alam sekitar.
(iv) Kemahiran: untuk membantu kumpulan sosial dan individu memperoleh kemahiran
untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah alam sekitar.
(v) Penglibatan: untuk menyediakan peluang kepada kumpulan sosial dan individu
terlibat secara aktif pada semua peringkat bagi menghasilkan resolusi terhadap
masalah alam sekitar.
Menurut Muthoka (1985), objektif utama Pendidikan Alam Sekitar adalah untuk
memperbaiki kesedaran, membangkitkan prihatin yang berupaya membawa kepada
perubahan komitmen dan mengambil tindakan. Pendidikan Alam Sekitar merupakan
satu proses pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal untuk mengubahsuai
kefahaman dan sikap manusia agar lebih prihatin terhadap alam yang telah banyak
berjasa kepadanya (Abdul Manaf Muda, 1993). MODUL PENDIDIKAN ALAM SEKITAR
Semasa Persidangan Tbilisi 1977 juga terdapat 12 prinsip Pendidikan Alam Sekitar
telah ditetapkan iaitu:
(i) Mengambil kira keseluruhan alam sekitar termasuklah alam sekitar semula jadi dan
buatan, teknologi dan sosial seperti ekonomi, politik, sejarah, budaya, etika dan
estetika.
(ii) Menjadi satu proses sepanjang hayat, bermula dari peringkat prasekolah dan
disambung sehingga peringkat pendidikan formal dan bukan formal.
(iii) Menggunakan pendekatan merentas kurikulum dengan menerapkan nilai-nilai alam
sekitar kepada mata pelajaran khusus setiap disiplin dalam bentuk perspektif yang
holistik dan seimbang.
(iv) Menilai isu-isu utama alam sekitar dari pandangan tempatan, nasional dan
antarabangsa.
(v) Memfokuskan kepada potensi situasi alam sekitar terkini dengan mengambil kira
perspektif sejarah.
(vi) Mempromosikan nilai dan keperluan berasaskan tempatan, nasional dan kerjasama
antarabangsa dalam mencegah dan menyelesaikan masalah alam sekitar.
(vii) Mengambilkira dengan terperinci setiap aspek alam sekitar dalam plan
pertumbuhan dan pembangunan.
(viii) Membolehkan pelajar berperanan dalam merancang pengalaman pembelajaran
dan mendapat peluang untuk membuat dan menerima keputusan bersama.
(ix) Menghubungkait sensitiviti alam sekitar, pengetahuan, kemahiran penyelesaian
masalah dan nilai yang jelas kepada semua peringkat umur dengan memberi
penekanan khusus terhadap sensitiviti alam sekitar.
(x) Membantu pelajar meneroka simptom dan penyebab bagi masalah sebenar alam
sekitar.
(xi) Menekankan kompleksiti masalah alam sekitar dan keperluan untuk membina
pemikiran kritikal dan kemahiran penyelesaian masalah.
(xii) Menggunakan pembelajaran alam sekitar secara pelbagai dan pendekatan
pendidikan yang meluas bagi mengajar, belajar tentang dan dari alam sekitar dengan
menekankan kepada aktiviti praktikal dan pengalaman sebenar.
ISU BERKAITAN ALAM SEKITAR DI SEKOLAH
Saya bertugas di Sekolah Kebangsaan Kampong Endah, Banting, Selangor
Darul Ehsan. Di SK Kampong Endah, saya mengajar subjek-subjek seperti Bahasa
Arab dan Pendidikan Islam. SK Kampong Endah adalah sebuah sekolah rendah yang
berstatus luar Bandar dan mempunyai kapasiti murid seramai 360 orang murid yang
kesemuanya beragama Islam. Jumlah guru dan kakitangan sekolah adalah seramai 38
orang.
Saya tergerak untuk membangkitkan isu ini didalam projek Pendidikan Alam
Sekitar saya bermula ketika saya berdepan dengan keadaan sampah yang merata-rata
di sekitar sekolah khususnya selepas waktu rehat sekolah. Waktu rehat sekolah adalah
pada pukul 10.30 pagi. Sememangnya, peraturan sekolah sangat jelas tentang
tanggungjawab murid terhadap sampah. Di samping itu, nasihat dan teguran para guru
boleh didengar hampir setiap masa. Namun, perangai tidak bertanggungjawab ini masih
berleluasa.
Saya berkesempatan bertanya beberapa orang guru lain yang mengajar di
sekolah ini. Jawapan yang diberikan mengatakan bahawa tabiat dan perangai murid-
murid yang tidak bertanggungjawab dan tiada sikap sayang serta cintakan sekolah
merupakan antaran faktornya.
Keadaan sedemikian dapat dilihat terutamanya di kawasan berhampiran kantin,
pusat sumber, dataran perhimpunan dan gelanggang badminton sekolah. Sampah-
sarap merata-rata terutamanya sampah-sampah plastic. Hal ini berlaku kerana murid-
murid sering membeli kuih-muih menggunakan plastik dan makan di tempat-tempat
yang saya sebutkan tadi.
FOKUS PROJEK
Saya memfokuskan projek terhadap membina sikap mengutip sampah dan
menerima penghargaan di atas tindakan tersebut. Dalam melaksanakan kajian ini, saya
memperoleh maklumat kajian melalui temu bual dengan guru-guru kelas serta guru-
guru dari unit kaunseling dan murid-murid kelas tahun 5 Setia.
OBJEKTIF PROJEK
Secara khususnya, kajian ini bertujuan untuk:
(a) membentuk sikap positif murid-murid terhadap persekitaran, dan
(b) menambah baik amalan kendiri dengan menggunakan pendekatan tingkah laku.
PERSOALAN PROJEK
Persoalan projek ini berkisar pada soalan-soalan berikut:
(a) Apakah pendekatan tingkahlaku melalui pemberian “token” atau ganjaran dapat
membantu meningkatkan kesedaran murid terhadap sampah?
(b) Adakah wujud kaedah lain untuk mengubah tabiat dan perangai murid-murid
terhadap sampah?
PERANCANGAN TINDAKAN
Pada peringkat permulaan, murid-murid Tahun 5 Setia yang seramai 28 orang
diberi penerangan mengenai projek ini. Ini penting kerana mereka ialah subjek dalam
projek ini selain saya sendiri. Dalam pada itu, beberapa orang guru yang dipilih juga
hadir bersama-sama. Murid-murid dimaklumkan bahawa tugasan yang akan mereka
lakukan amat mudah. Projek ini berlangsung selama seminggu sahaja iaitu pada 10-14
Mac 2014.
Tugasan mereka adalah untuk mengutip sampah di sekitar kawasan sekolah.
Sampah-sarap yang telah dikumpul akan dimasukkan ke dalam sebuah tong sampah
yang dinamakan ‘poket sampah’. ‘Poket sampah’ ini adalah tong sampah biasa. Seperti
tong-tong sampah lain, ia merupakan tempat membuang sampah yang cuma sedikit
berbeza dari segi warnanya. Poket sampah berwarna putih. Ia diletakkan di satu tempat
strategik agar dapat dilihat dengan jelas dan menjadi satu benda yang memberi
perhatian kepada murid-murid, guru-guru lain dan sesiapa sahaja yang melawat
sekolah.
Apa yang menarik mengenai poket sampah ini kepada murid-murid adalah
apabila mereka telah membuang sampah ke dalamnya, murid-murid akan mengambil
kad “ucapan tahniah dan arahan berikutnya” daripada guru. Kad-kad ini merupakan kad
penghargaan kepada murid-murid yang telah melaksanakan tugasan mereka. Contoh-
contoh kad-kad tersebut adalah seperti pada Lampiran 1. Setiap kali setelah
melaksanakan tugasan yang tercatat di dalam kad tersebut, murid-murid akan
mengambil kad baru daripada guru. Oleh sebab projek ini hanya dilaksanakan dalam
tempoh seminggu, maka ucapan dan arahan dalam kad-kad tersebut disediakan
berbeza-beza mengikut kesesuaian.
Aspek-aspek lain yang ditekankan adalah keikhlasan dan kejujuran. Aspek nilai
ini lahir perlu dalam diri murid-murid. Penekanan kepada aspek ini adalah secara
maksimum dan tindakan menghukum jika gagal melaksanakan adalah minimum. Apa
yang penting di sini ialah kesedaran perlu timbul dalam diri mereka sendiri tanpa
paksaan. Dengan cara ini, kerja pemantauan daripada pihak guru dapat dikurangkan.
Di samping itu, murid-murid digalakkan bergerak dalam kumpulan bertiga, berempat
atau sekurang-kurangnya berpasangan asalkan dalam kumpulan kecil.
REFLEKSI
Projek ‘Poket Sampah’ telah dijalankan disekolah saya bertugas iaitu
Sekolah Kebangsaan Kampong Endah bagi memenuhi tugasan projek Pendidikan Alam
Sekitar (ASK 2202W). Projek ini telah berjalan selama seminggu (10-14 Mac 2014) dan
melibatkan murid-murid kelas tahun 5 Setia. Projek ini merangkumi keseluruhan
kawasan sekolah kerana isu atau masalah yang saya dapati membabitkan hamper
keseluruhan kawasan sekolah seperti kawasan berhampiran kantin, pusat sumber,
dataran perhimpunan dan juga gelanggang badminton. Murid-murid lebih gemar
membungkus makanan dan menjamahnya di kawasan-kawasan yang saya sebutkan
disebabkan meja dan kerusi di kantin untuk murid agak terhad.
Menjalankan kajian ini memerlukan kekuatan dalam diri saya. Minat yang
dominan dalam konsisten di dalam pekerjaan adalah satu kekuatan. Sebaliknya, jika
saya tidak bersemangat untuk berterusan melakukan projek ini, kemungkinan besar
konflik untuk menyiapkan atau meneruskan tugasan akan terbantut. Saya menghadapi
sedikit dilemma sewaktu menjalankan projek ini seperti kurangnya sambutan daripada
murid-murid yang saya tugaskan. Ia telah menjadi kebiasaan bagi mereka membuang
sampah merata-rata. Saya perlu sentiasa menerapkan dan mengingatkan mereka agar
konsisten dan memahami objektif menjaga alam sekitar.
Antara kekuatan yang saya dapati sepanjang projek ini berlangsung, murid-murid
pada mulanya tidak mengendahkan tentang projek ‘Poket Sampah’ ini. Apabila mereka
Nampak akan kewujudan tong sampah berwarna putih, mereka semakin teruja. Lebih-
lebih lagi apabila mereka mendapat kad tugasan sewaktu menyelesaikan tugas. Murid-
murid tampak bersemangat dan seronok sepanjang aktiviti ini berjalan walaupun
sambutan pada mulanya agak hambar. Galakan saya berikan agar mereka bergerak
secara berkumpulan juga membuatkan mereka semakin bersemangat dalam
menyelesaikan tugasan demi tugasan.
Kelemahan yang saya dapati adalah sifat atau tabiat mereka yang suka
membuang sampah merata-rata membuatkan sambutan pada awalnya agak hambar.
Dorongan demi dorongan terpaksa saya berikan agar mereka mula menjalankan tugas.
Selain itu, faktor tong sampah yang agak terhad membuatkan murid-murid terpaksa
berjalan jauh untuk mendapatkan ‘Poket Sampah’ ini. Hanya 2 unit sahaja tong yang
saya dapat sediakan rentetan masalah-masalah yang saya hadapi sebelumnya.
Masalah-masalah yang saya hadapi sepanjang projek ini berjalan adalah:
1- Sikap dan tabiat suka membuang sampah yang sudah melekat dalam diri
murid-murid agak payah diubah dalam masa yang pendek.
2- Tidak semua murid yang boleh membaca. Keadaan ini merumitkan mereka
yang berkenaan untuk menghayati konsep sebenarnya projek ini.
3- Memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menangani beberapa masalah yang
timbul dan dalam membentuk sikap serta tabiat baru murid-murid.
Secara keseluruhannya, projek ini berjaya dan mencapai objektif didalam
menggalakkan murid-murid untuk mengubah tabiat mereka yang suka membuang
sampah merata-rata kepada yang lebih baik. Saya akan tetap meneruskan projek ini
sebagai penerapan kepada murid-murid agar mereka mesra dengan ‘Poket Sampah’ di
masa akan dating.
LAMPIRAN 1
Contoh-contoh kad yang dicabut oleh murid-murid yang terlibat selepas membuang
sampah di dalam poket sampah.
Top Related