Βιβλιοκριτική-Ν. Τσίρος Η ανάδυση του πολιτικού στοιχείου στην κοινωνιολογία του Max Weber (2014)
Sorotan Implimentasi Teori Max Weber di Malaysia
-
Upload
universitimalaya -
Category
Documents
-
view
6 -
download
0
Transcript of Sorotan Implimentasi Teori Max Weber di Malaysia
1
SOROTAN IMPLIMENTASI TEORI BIROKRASI MAX WEBER DI MALAYSIA
Disediakan oleh:
Noralizah binti Mohamad Nor @ Mohamed, Noor Alam Syah bin Irwan Syah,
Zaharahanum binti Kamarudin, Zarinah binti Zainal dan Zuraidah binti Ahamad
PENGENALAN
Teori Birokrasi Max Weber merupakan satu daripada pelbagai teori klasik yang
memperkatakan tentang bagaimana sesebuah organisasi berjalan dan ditadbir. Kawalan,
kuasa dan hubungan adalah antara inti pati setiap teori organisasi moden mahupun klasik.
Weber melihat organisasi sebagai sebuah birokrasi yang efisien yang mempunyai ciri-ciri
seperti yang berikut:
i. struktur hierarki yang jelas;
ii. segala tindakan, keputusan dan peraturan dalam hal pentadbiran harus
dirumus dan dicatatkan secara bertulis;
iii. pembahagian kuasa dan pengkhususan kerja;
iv. rangkaian arahan; dan
v. sistem meritokrasi.
Makalah ini akan membincangkan Teori Birokrasi Max Weber dan meninjau sejauh
mana aplikasi teori ini dalam perkhidmatan awam di Malaysia.
MAX WEBER: SEPINTAS LALU
Max Weber atau nama asal beliau, Maximillian Weber dilahirkan pada 21 April 1864
di Enfurt, Turingia, Jerman dan meninggal dunia pada 14 Jun 1920 di Munich, Jerman.
Weber berasal daripada keluarga kelas menengah dan merupakan seorang ahli sosiologi
serta penganalisis ekonomi German yang terkenal. Karya terkenal beliau The Protestant
Ethnic and The Spirit of Capitalism telah dihasilkan pada tahun 1904. Perbezaan ideologi
antara kedua-dua orang tuanya memberikan pengaruh yang besar terhadap pemikiran
2
intelektual dan perkembangan psikologi Weber. Ayah beliau ialah seorang birokrat yang
mempunyai kedudukan politik yang kuat manakala ibunya seorang yang taat kepada
agama (Abdullah Sanusi, 1994).
Latar belakang kedua-dua ibu bapa mempengaruhi corak hidup Weber dan
pandangan beliau terhadap hubungan antara ajaran agama Protestanism dengan perilaku
ekonomi di Eropah. Selain daripada itu, persekitaran kehidupan beliau di Charlottenberg
yang terletak di pinggir Berlin, yang turut didiami golongan elit membantu perkembangan
pemikirannya (Gerth dan Mills, 1969).
Weber kemudiannya memberikan penumpuan terhadap teori organisasi di mana
beliau berpendapat bahawa organisasi berstruktur yang dipanggil birokrasi adalah yang
paling baik. Pendapat beliau ini disokong oleh kajian terhadap bentuk organisasi baru yang
melibatkan kelompok masyarakat dalam bilangan yang besar serta aktiviti yang menyeluruh.
(Ahmad Atory, 1997).
CIRI-CIRI UTAMA TEORI BIROKRASI MAX WEBER
Struktur hierarki yang jelas
Setiap jabatan yang tingkatnya lebih rendah dalam struktur hierarki adalah di bawah
pengendalian dan pengawasan jabatan yang lebih tinggi. Tujuan diwujudkan struktur
hierarki adalah untuk memastikan setiap jabatan dikendalikan secara sistematik oleh jabatan
tertentu yang lain. Dalam struktur hierarki setiap jabatan haruslah bertanggungjawab kepada
atasannya berkenaan keputusan dan tindakannya sendiri ataupun apa yang dilakukan oleh
anak buahnya. Setiap jawatan yang diwujudkan dalam hierarki mempunyai rantaian arahan
yang jelas. Pada setiap tingkat hierarki, setiap jabatan memiliki hak memberi perintah dan
arahan kepada orang bawahannya, manakala jabatan yang di bawah pula
berkewajiban untuk mematuhinya. Setiap keputusan dan tindakan yang dibuat oleh jabatan
bawahan perlu meminta persetujuan daripada pihak atasan (Rosli, t.t).
3
Segala tindakan, keputusan dan peraturan dalam hal pentadbiran harus dirumus dan
dicatatkan secara bertulis
Weber menekankan bahawa semua kegiatan organisasi yang penting dan
perlaksanaan peraturan harus ditafsirkan secara sistematik, iaitu dengan menggunakan
sistem catatan. Hal ini kerana komunikasi lisan dianggap tidak teratur. Walau
bagaimanapun, sistem catatan yang berlebih-lebihan dianggap tidak rasional, dan menjurus
kepada istilah “red tape” iaitu urusan dokumentasi yang sering menyebabkan kelewatan
sesuatu proses (Rosli, t.t).
Pembahagian kuasa dan pengkhususan kerja
Sesebuah organisasi akan membahagikan kegiatan-kegiatan pentadbiran kepada
beberapa bahagian yang masing-masing mempunyai fungsi khusus dan berbeza serta
kuasa yang tersendiri dalam menjalankan fungsi tersebut. Tujuannya adalah untuk
memastikan setiap fungsi dijalankan secara teratur (Rosli, t.t).
Fungsi khusus dan kuasa tersendiri ini memudahkan skop sesuatu tugas dikenal
pasti dan bahagian mana yang bertanggungjawab melaksanakan skop tugas tersebut.
Selain daripada itu, tugas berkenaan dapat dijalankan secara terpusat dan difokuskan
kepada satu arahan sahaja (Mohd. Noh, t.t)
Rangkaian arahan
Rangkaian arahan ialah situasi di mana seorang pegawai itu hanya perlu memberi
arahan kepada pekerja bawahannya sahaja dan pekerja tersebut hanya menerima arahan
daripada pegawai atasannya sahaja (Mohd. Noh, t.t). Pegawai dari jabatan-jabatan lain tidak
dibenarkan untuk campur tangan atau memberi arahan yang lain. Sekiranya ada, arahan
berkenaan tidak perlu dipatuhi. Hal ini kerana pegawai tersebut telah ditentukan bidang
kuasa dan penanggungjawabnya iaitu kepada siapa dia perlu melaporkan tugasan.
Sistem meritokrasi
Menurut Max Weber, peningkatan gred ke jawatan yang lebih tinggi atau kenaikan
pangkat adalah berasaskan pencapaian, kelayakan, kecekapan, pengalaman, dan
kekananan (seniority) seseorang pegawai. Kaedah ini yang dipanggil meritokrasi diguna
4
pakai untuk menolak unsur favouritism atau pilih kasih. Melalui kaedah ini, kelayakan
seseorang pegawai diukur melalui kebolehan dan kecekapan pegawai tersebut dalam
menghasilkan produk atau memberikan perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi.
Ia juga untuk memastikan pegawai tersebut merupakan pegawai yang berkemampuan dan
berkebolehan. Selain daripada itu, pegawai tersebut juga perlu mempraktikkan impersonality
(penyahpersonaliti) di mana ia perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan membina
kerjasama serta berkongsi idea dan maklumat untuk memastikan wawasan organisasi
tercapai.
IMPLIMENTASI TEORI MAX WEBER DI MALAYSIA
Makalah ini seterusnya akan membincangkan pemakaian teori organisasi Max
Weber dalam pentadbiran awam di Malaysia untuk menerangkan teori tersebut dengan lebih
jelas.
Struktur hierarki yang jelas
Rajah 1 menunjukkan Carta Organisasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Malaysia. JKM diketuai oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat yang merupakan
Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Utama B. Beliau dibantu oleh dua PPM Utama C
iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi). Selain
daripada itu, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat bertanggungjawab terus kepada
Bahagian Khidmat Pengurusan yang diketuai oleh Pegawai Tadbir Diplomatik Gred M54.
Melalui Carta Organisasi JKM ini, jelas bahawa struktur hierarki diguna pakai dalam
pentadbiran organisasi ini di mana lapisan pentadbiran yang teratas hanya ditempatkan
dengan seorang pegawai sahaja iaitu Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat. Lapisan-
lapisan seterusnya semakin berkembang dengan pertambahan pegawai di setiap lapisan,
sesuai dengan fungsi dan tanggungjawab setiap bahagian.
5
Rajah 1: Carta Organisasi Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sumber: www.jkm.gov.my
Segala tindakan, keputusan dan peraturan dalam hal pentadbiran harus dirumus dan
dicatatkan secara bertulis
Bagi membincangkan teori kedua dalam Teori Birokrasi Max Weber, makalah ini
mengagihkan contoh-contoh berkaitan kepada tiga iaitu tindakan, keputusan dan peraturan
seperti di bawah:
a. Tindakan
Dalam mentadbir negara, Kerajaan Malaysia telah mengenal pasti pelbagai tindakan
yang diharap dapat memastikan sesebuah tugas atau fungsi kerajaan dijalankan dengan
cekap dan berkesan. Antaranya ialah Pelantikan Pelindung yang dibuat melalui Warta
Kerajaan Persekutuan untuk melantik pelindung yang berkuasa untuk menyiasat dan
mendapatkan keterangan berkaitan apa-apa kes yang melibatkan kanak-kanak seperti yang
6
termaktub dalam Akta 611 – Akta Kanak-kanak 2001. Sebagai contoh, pada 18 April 2014,
Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Peguam Negara telah melantik 43 orang Pelindung di
mana pewartaan pelantikan ini dibuat secara bertulis melalui Warta Kerajaan Persekutuan
P.U. (B) 130 bertajuk Pelantikan Pelindung seperti Rajah 2 di bawah:
Rajah 2: Warta Kerajaan Persekutuan bertajuk Pelantikan Pelindung Sumber: http://www.federalgazette.agc.gov.my/
b. Keputusan
Pada 31 Disember 2013, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk
Sri Najib Tun Razak telah mengumumkan 11 langkah penjimatan untuk mengawal
perbelanjaan awam agar wang awam ini dibelanjakan secara berhemat. Bagaimanapun,
berkuat kuasa pada 1 Julai 2014, Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk
memulihkan semula tiga daripada 11 langkah penjimatan tersebut iaitu:
i. Pegawai Kanan Kerajaan Gred 54 dan ke atas akan menerima semula
Imbuhan Tetap Keraian (ITK) pada kadar asal tanpa sebarang pengurangan
(pengumuman sebelum ini mengurangkan ITK sebanyak 5 hingga 10
peratus);
7
ii. Pegawai Kanan Kerajaan akan menerima semula nilai maksimum
kemudahan bayaran tol sebanyak RM500 sebulan (pengumuman sebelum ini
mengurangkan kadar tol kepada RM50 bagi Jawatan Utama Sektor Awam
(JUSA) C – A manakala Turus 3 – 1 sebanyak RM100 sahaja); dan
iii. Kelayakan tiket penerbangan Pegawai Gred 53 sehingga JUSA C atau
setaraf dengannya dikembalikan kepada kelas perniagaan di mana
pengumuman sebelum ini telah menurunkan kelayakan mereka kepada kelas
ekonomi.
Keputusan kerajaan ini dicetak dan diwartakan melalui pekeliling yang dikeluarkan
oleh Perbendaharaan Malaysia, PB 3.2/2013 bertajuk Garis Panduan Perbelanjaan
Secara Berhemat bagi Mengawal Perbelanjaan Awam (Juani Munir, 25 Jun 2014).
Rajah 3: PB 3.2/2013 Garis Panduan Perbelanjaan Secara Berhemat bagi Mengawal Perbelanjaan Awam.
Sumber: http://www.treasury.gov.my
c. Peraturan
Kerajaan Malaysia melalui Jemaah Menteri telah mengeluarkan peraturan-peraturan
kawalan keselamatan perlindungan untuk Ketua-Ketua Jabatan di semua Kementerian,
8
Jabatan, Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau
Negeri. Peraturan-peraturan kawalan keselamatan perlindungan ini dinamakan Arahan
Keselamatan. Arahan ini menetapkan darjah-darjah keselamatan yang sama mengikut
prinsip-prinsip tertentu untuk dilaksanakan oleh semua Jabatan Kerajaan bagi mengawal
rahsia-rahsia negara dengan berkesan. Setiap penjawat awam dikehendaki mematuhi
peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Arahan ini. Arahan ini turut mengandungi
tindakan-tindakan tatatertib yang akan dikenakan kepada penjawat awam yang ingkar
hingga menyebabkan kehilangan dokumen terperingkat atau anak kunci keselamatan yang
berada di bawah tanggungjawab pegawai tersebut.
Arahan Keselamatan ini dibukukan dan diedarkan secara terhad kepada semua
Kementerian, Jabatan, Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan.
Rajah 4: Arahan Keselamatan Sumber: http://www.pss.edu.my/
Pembahagian kuasa dan pengkhususan kerja
Bahagian Kanak-kanak adalah satu daripada tujuh (7) bahagian yang
bertanggungjawab kepada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM. Bahagian ini
berperanan menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun
9
berdasarkan takrifan Akta Kanak-kanak 2001. Tiga cawangan yang menjalan fungsi
perkhidmatan kepada kanak-kanak ialah Cawangan Perlindungan, Cawangan
Pembangunan Kanak-kanak dan Cawangan Pemulihan.
Cawangan Perlindungan dikhususkan untuk memberi perlindungan berkaitan
penganiayaan, pembuangan, pengabaian dan lain-lain kepada kanak-kanak daripada
semua jenis bahaya termasuk penyeksaan, penderaan, diskriminasi dan eksploitasi. Antara
unit yang diberikan kuasa khusus untuk menjalankan fungsi ini ialah Unit Perlindungan dan
Pemulihan Kanak-kanak dan Unit Anak Pelihara/Anak Angkat.
Cawangan Pemulihan pula dikhususkan untuk memulihkan kanak-kanak yang
terlibat dalam gejala sosial seperti kes akhlak, jenayah juvana dan lain-lain. Fungsi
cawangan ini dibantu oleh penubuhan beberapa institusi yang dikawal selia oleh Unit
Pengurusan Institusi.
Akhir sekali ialah Cawangan Pembangunan Kanak-kanak yang dikhususkan untuk
memberi perkhidmatan melalui program dan aktiviti yang bertujuan untuk mencegah dan
menghindari kesan masalah sosial ke atas kanak-kanak. Cawangan ini juga menentukan
penjagaan, perlindungan dan pendidikan yang terbaik untuk kanak-kanak. Di samping itu, ia
turut memberi penekanan khusus kepada perkembangan kesihatan kanak-kanak sama ada
dari segi fizikal, seksual, emosi dan mental. Cawangan ini turut memastikan kanak-kanak
menerima hak mereka seperti yang sepatutnya. Tiga unit yang menjalankan fungsi
cawangan ini ialah Unit Perkembangan Kanak-kanak, Unit Hak Kanak-kanak dan Unit
Latihan Vokasional Pegawai Latihan Vokasional.
Rajah 5 memperlihatkan dengan lebih jelas pembahagian kerja dan pengkhususan
kerja melalui Carta Fungsi Bahagian Kanak-kanak JKM.
10
Rajah 5: Carta Fungsi Bahagian Kanak-Kanak, JKM Malaysia. Sumber: http://www.jkm.gov.my
Rangkaian arahan
Rajah 1 dan Rajah 2 sebelum ini telah menunjukkan carta organisasi JKM dan carta
fungsi Bahagian Kanak-kanak JKM. Melalui kedua-dua carta tersebut, jelas ditunjukkan
hubungan antara seorang pegawai dengan seorang pegawai yang lain atau hubungan
antara satu bahagian dengan bahagian yang lain di bawah satu jabatan. Kedua-dua carta
tersebut telah pun menunjukkan pengasingan kuasa di mana hanya orang tertentu yang
berkuasa atas satu fungsi tertentu dan berhak memberi arahan kepada pegawai lain di
bawah seliaannya untuk melaksanakan fungsi tersebut.
Hal ini diperjelaskan lagi oleh Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja (FM)
seseorang penjawat awam. Menurut Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 8
Tahun 1991 (PKPA Bil. 8/1991) bertajuk Panduan Mengenai Manual Prosedur Kerja dan
Fail Meja, MPK mendokumentasikan secara sistematik susunan cara bekerja. Ini kerana
setiap kerja mempunyai proses dan peraturan yang tertentu. Selain proses dan peraturan,
11
MPK turut menyenaraikan pegawai yang bertanggungjawab dan hubungan kerja di antara
pegawai yang telah dikenal pasti. FM pula adalah dokumen rujukan pegawai untuk
menjalankan tugasnya setiap hari. Walaupun ia lebih menumpukan kepada tugasan
individu, FM turut menyenaraikan peruntukan kuasa dan undang-undang dalam
menjalankan sesuatu tugas dan kedudukan pegawai dalam Bahagian atau Unit masing-
masing.
PKPA Bil. 8/1991 menghuraikan rangkaian arahan sebagai peringkat hierarki sebuah
jabatan/pejabat. Rangkaian arahan ditonjolkan melalui carta organisasi sesuatu jabatan.
Carta ini membantu mengenal pasti ketua-ketua yang bertanggunjawab memberi arahan,
membuat keputusan dan mengawal kerja-kerja yang ditetapkan. Rangkaian perintah/arahan
yang disalurkan melalui hierarki dapat membantu mempercepatkan proses membuat
keputusan.
Selain daripada itu, perkara 41 PKPA Bil. 8/1991 turut mensyaratkan agar Senarai
Tugas, Kuasa dan Hubungan dimasukkan ke dalam FM atas sebab-sebab yang berikut:
i. Ia membantu memperjelaskan tugas dan tanggungjawab seseorang pegawai;
ii. Setiap pegawai mengetahui had-had kuasa yang diperuntukkan; dan
iii. Ia menjelaskan hubungan di antara seseorang pegawai dengan pegawai lain
sama ada di dalam jabatan atau dengan pegawai-pegawai di jabatan yang
lain.
Sistem meritokrasi
Dalam perkhidmatan awam di Malaysia, kerajaan menggunakan peraturan tertentu
bagi menguruskan kenaikan pangkat penjawat awam. Satu daripada dokumen yang
diperuntukan sebagai panduan kenaikan pangkat penjawat awam ialah Warta Kerajaan
Persekutuan, P.U. (A) 1 bertajuk Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan,
Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.
Menurut P.U. (A) 1, “kenaikan pangkat” ialah ‘peningkatan secara hakiki dari satu
gred ke suatu gred yang lebih tinggi dalam perkhidmatan dan skim perkhidmatan yang sama
dengan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat’. Bahagian VIII warta ini menetapkan
12
kenaikan pangkat penjawat awam adalah berasaskan merit di mana terdapat empat perkara
yang akan dinilai/diambil kira oleh Lembaga Kenaikan Pangkat sebelum kenaikan pangkat
tersebut dipertimbangkan. Empat perkara tersebut ialah:
i. Kecekapan dan prestasi kerja pegawai itu;
ii. Kelayakan, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman pegawai itu;
iii. Sifat-sifat peribadi termasuk kesesuaiannya dengan jawatan kenaikan
pangkat itu, keutuhan, potensi dan kepimpinan pegawai itu; dan
iv. Kegiatan luar dan sumbangan pegawai itu kepada negara dan masyarakat.
Selain daripada itu, apabila didapati terdapat dua atau lebih pegawai yang layak
dinaikkan pangkat selepas penilaian dibuat terhadap keempat-empat perkara di atas, faktor
kelayakan akademik, pengalaman kerja dan kekananan pegawai tersebut perlu dijadikan
asas bagi pemilihan dan pertimbangan.
Bagi pegawai Kumpulan Pelaksana pula, kerajaan telah menetapkan dasar kenaikan
pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan. Hal ini dinyatakan melalui
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2013 bertajuk Kenaikan Pangkat Secara
Time-Based Berasaskan Kecemerlangan bagi Pegawai Kumpulan Pelaksana yang
Berada di Gred Lantikan. Dua syarat utama untuk mendapat kenaikan pangkat yang
menerima gelaran Khas Untuk Penyandang (KUP) ini ialah telah berkhidmat selama 13
tahun dan memperoleh markah prestasi tahunan bagi tiga (3) tahun terkini sekurang-
kurangnya 75%.
Kedua-dua contoh di atas jelas membuktikan Kerajaan Malaysia mempraktikkan
sistem meritokrasi yang menimbang kelayakan akademik, tempoh pengalaman, kekananan
dan markah prestasi tahunan sebagai asas kenaikan pangkat.
PENUTUP
Teori Birokrasi Max Weber merupakan teori organisasi klasik yang masih relevan
dengan senario pentadbiran masa kini. Sama ada pentadbiran awam atau swasta,
implimentasi teori ini dalam pembinaan birokrasi sesebuah institusi sangat jelas kelihatan
13
dan sangat sukar disangkal. Lima ciri penting dalam teori ini pula menjadi panduan mudah
membentuk sesebuah organisasi.
RUJUKAN
Abdullah Sanusi Ahmad. 1994. Perkembangan Pentadbiran Awam Dan Pengurusan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Ahmad Atory Hussain. 1997. Pentadbiran Awam: Asas Pemikiran Dan Falsafah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Gerth, H. H. dan Mills, C. W. (1969). Max Weber: Essay in Sociology. New York: Oxford
University Press Jabatan Kebajikan Masyarakat. (2013). Bahagian Kanak-kanak. Dicapai daripada
http://www.jkm.gov.my/content.php?pagename=bahagian_kanak-kanak_kk&lang=bm Jabatan Kebajikan Masyarakat. (2013). Carta Organisasi. Dicapai daripada
http://www.jkm.gov.my/content.php?pagename=carta_organisasi&lang=bm Jabatan Peguam Negara. (18 April 2014). Pelantikan Pelindung. Warta Kerajaan
Persekutuan. Dicapai daripada
http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pub_20140418_P.U.%20(B)%20130-Draf%20Pelantikan%20Pelindung.pdf
Juani Munir Abu Bakar. (25 Jun 2014). Tiga langkah penjimatan sektor awam. Utusan
Online. Dicapai daripada
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140625/dn_05/Tiga-langkah-penjimatan-sektor-awam
Kerajaan Malaysia. (1 Januari 2012). P.U. (A) 1. Peraturan-peraturan pegawai awam
(pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan) 2012. Warta Kerajaan Persekutuan. Dicapai daripada http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pua_20120101_Peraturan-Peraturan%20Pegawai%20Awam%20(Pelantikan,%20Kenaikan%20Pangkat%20%20Penamatan%20Perkhidmatan)%202012.pdf
Kerajaan Malaysia. (1 Julai 1991). Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 8
Tahun 1991. Panduan mengenai manual prosedur kerja dan fail meja. Dicapai
daripada http://www.mampu.gov.my/documents/10228/13809/pkpa081991.pdf/fc882562-a3b9-47fe-ba17-99e0144b4575
Kerajaan Malaysia. (10 Oktober 2013). Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2013:
Kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan bagi pegawai kumpulan pelaksana yang berada di gred lantikan. Dicapai daripada http://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2013/pp082013.pdf
Kerajaan Malaysia. (t.t). Arahan Keselamatan. Dicapai daripada
http://www.pss.edu.my/Dasar%20&%20Pekeliling/ARAHAN-K.pdf
14
Mohd Noh bin Md. Yunus. t.t. Bincang Teori Birokrasi Max Weber. Sejauh Manakah Teori Ini Relevan Dalam Konteks Pentadbiran Awam Masa Kini?. Dicapai pada 30 Jun 2014 melalui http://www.scribd.com/doc/22755817/Bincang-teori-birokrasi-Max-Weber-Sejauh-manakah-teori-ini-relevan-dalam-konteks-pentadbiran-awam-masa-kini
Perbendaharaan Malaysia. (t.t). PB 3.2/2013 Garis Panduan Perbelanjaan Secara Berhemat
bagi Mengawal Perbelanjaan Awam. Dicapai daripada
http://www.treasury.gov.my/pekeliling/topik/PB3.2.pdf Rosli Mohd Aris. t.t. Teori Birokrasi Max Weber. Dicapai pada 30 Jun 2014 melalui
https://www.academia.edu/4449590/Teori_Birokrasi_Max_Weber Scott, W. R. (2003). Organizations: Rational, Natural and Open Systems. Prentice Hall
International Undang-undang Malaysia. (1 Januari 2006). Akta 611. Akta Kanak-kanak 2001. Dicapai
daripada http://www.agc.gov.my/Akta/Vol.%2013/Akta%20611.pdf