12807608 definisi-abm

12
BACK TO BASICS “ FOKUS KEPADA INOVASI SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN ” Oleh Musa bin Sulaiman Jabatan Pengajian Melayu Abstrak Keseluruhan esei ini membincangkan secara ringkas mengenai bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan oleh pendidik dahulu dan sekarang. Penggunaan BBM elektronik sekarang menghadapi masalah-masalahnya yang tersendiri kerana tidak semua sekolah mempunyai kemudahan tersebut. Jadi, sebagai pilihannya penggunaan BBM bukan eletronik yang telah diamalkan oleh pendidik-pendidik terdahulu tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana BBM tersebut ada kelebihannya tersendiri. Kembali ke Asas, dengan menggunakan BBM murahan masih perlu, asalkan penggunaannya tidak lepas lari dari tujuan pendidikan negara yang mengutamakan jasmani, rohani, emosi dan intelektual pelajar-pelajar. Dalam esei ringkasnya ini pengarang membincangkan soal definisi BBM berlandaskan pendapat pengkaji terdahulu, kepentingan BBM dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah,, prinsip inovasi BBM ,bagaimana pendidik dahulu menggunakan BBM, mengapa perlu menggunakan bahan tradisional di zaman teknologi moden sekarang, tujuan kembali ke asas dalam penggunaan BBM dan akhirnya cadangan mengatasi kelemahan-kelemahan penggunaan BBM yang ada sekarang ini. Pengenalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR ) telah digubal atas rasional bahawa aktiviti pembelajaran dan pendidikan peringkat rendah merupakan pendidikan asas yang melibatkan tiga kemahiran, iaitu membaca, menulis dan mengira ( 3 M ) . Pendidikan peringkat rendah juga hendaklah menyeluruh dan seimbang dari segi perkembangan intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani. KBSR juga dirancangkan untuk memberi setiap murid peluang yang sama untuk mendapat kemahiran, pengetahuan, nilai, sikap dan amalan-amalan yang diperlukan. Murid-murid juga diberi peluang dan ruang bagi mengembangkan atau mempertajamkan bakat, minat dan daya kreatif mereka. Mengikut perakuan 57(a) Laporan Jawatankuasa Kabinet pula menyatakan bahawa kurikulum sekolah rendah hendaklah dirancang untuk membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dalam bidang komunikasi, bidang manusia dengan alam sekeliling dan perkembangan bidang diri

Transcript of 12807608 definisi-abm

Page 1: 12807608 definisi-abm

BACK TO BASICS“ FOKUS KEPADA INOVASI SUMBER PENGAJARAN

DAN PEMBELAJARAN ”

OlehMusa bin Sulaiman

Jabatan Pengajian Melayu

Abstrak

Keseluruhan esei ini membincangkan secara ringkas mengenai bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan oleh pendidik dahulu dan sekarang. Penggunaan BBM elektronik sekarang menghadapi masalah-masalahnya yang tersendiri kerana tidak semua sekolah mempunyai kemudahan tersebut. Jadi, sebagai pilihannya penggunaan BBM bukan eletronik yang telah diamalkan oleh pendidik-pendidik terdahulu tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana BBM tersebut ada kelebihannya tersendiri. Kembali ke Asas, dengan menggunakan BBM murahan masih perlu, asalkan penggunaannya tidak lepas lari dari tujuan pendidikan negara yang mengutamakan jasmani, rohani, emosi dan intelektual pelajar-pelajar. Dalam esei ringkasnya ini pengarang membincangkan soal definisi BBM berlandaskan pendapat pengkaji terdahulu, kepentingan BBM dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah,, prinsip inovasi BBM ,bagaimana pendidik dahulu menggunakan BBM, mengapa perlu menggunakan bahan tradisional di zaman teknologi moden sekarang, tujuan kembali ke asas dalam penggunaan BBM dan akhirnya cadangan mengatasi kelemahan-kelemahan penggunaan BBM yang ada sekarang ini.

Pengenalan

Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR ) telah digubal atas rasional bahawa aktiviti

pembelajaran dan pendidikan peringkat rendah merupakan pendidikan asas yang melibatkan tiga

kemahiran, iaitu membaca, menulis dan mengira ( 3 M ) . Pendidikan peringkat rendah juga

hendaklah menyeluruh dan seimbang dari segi perkembangan intelek, rohani, emosi, sosial dan

jasmani.

KBSR juga dirancangkan untuk memberi setiap murid peluang yang sama untuk mendapat

kemahiran, pengetahuan, nilai, sikap dan amalan-amalan yang diperlukan. Murid-murid juga diberi

peluang dan ruang bagi mengembangkan atau mempertajamkan bakat, minat dan daya kreatif

mereka.

Mengikut perakuan 57(a) Laporan Jawatankuasa Kabinet pula menyatakan bahawa

kurikulum sekolah rendah hendaklah dirancang untuk membolehkan murid-murid mencapai kemahiran

dalam bidang komunikasi, bidang manusia dengan alam sekeliling dan perkembangan bidang diri

Page 2: 12807608 definisi-abm

Page 2 of 12 - 2 -Back To Basic

individu yang sesuai dengan keperluan, minat, bakat dan kemampuan mental serta kesediaan

murid-murid.

Untuk mencapai matlamat di atas, bukanlah satu perkara mudah kerana ia memerlukan

kesungguhan, kebijaksanaan dan ketabahan kedua belah pihak iaitu guru dan murid-murid itu sendiri.

Keberkesanan guru yang mengajar di bilik darjah pula tidak akan tercapai dengan baik tanpa sokongan

bahan bantu mengajar yang kreatif, cantik dan menarik. Bahan bantu mengajar itu pula perlu

diinovasikan ( Kamus Dewan 1989 : 455 menjelaskan inovasi bermaksud memperkenalkan sesuatu

yang baru atau memperbaharui sesuatu yang telah sedia ada dengan diberi wajah baru )

Mengikut penyelidikan yang telah dibuat oleh pakar-pakar alat pandang dengar, konsep

kefahaman dan pengetahuan yang diperolehi oleh manusia, 75% adalah diperolehi melalui deria

pandang, 13% daripada deria dengar, 6% daripada deria sentuh, 3% daripada deria rasa , 3%

daripada deria bau. ( Mok Soon Sang, Lee Shok Mee : 1986 )

Berdasarkan kajian di atas, bolehlah dikatakan bahawa pancaindera pandang dan dengar

merupakan dua saluran indera yang penting sekali dalam proses pembelajaran, terutama bagi murid-

murid di sekolah rendah. Bagi murid-murid dalam lingkungan umur 6 – 12 tahun , mereka masih banyak

bergantung kepada pengalaman-pengalaman konkrit dan banyak menggunakan deria pandang dan

dengar untuk menguasai kemahiran dan memperolehi ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian sumber

pengajaran dan pembelajaran ( bahan bantu mengajar ) khasnya alat pandang dengar, memainkan

peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, terutamanya dalam aktiviti pengajaran dan

pembelajaran di kelas KBSR.

1.0 Definisi :

Bahan Pengajaran dan Pembelajaran ( Bahan Bantu Mengajar )

Bahan bantu mengajar adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan program pembelajaran,

menimbulkan rangsangan keinginan pelajar-pelajar untuk mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan

pembelajaran baik dan lebih menarik. Bahan bantu mengajar (BBM) bukanlah merupakan sesuatu yang

tersisih sifatnya daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Noraziah Abdul Hamid

( 1981: 2 ) , bertajuk “ Alatan Mengajar Dalam Pengajaran Bahasa, ‘ alat bantu ‘ itu mestilah dianggap

sebagai satu bahagian yang padu dalam proses tersebut. Ia bertujuan untuk menambah kelancaran

perhubungan antara guru dan murid dan sebaliknya, murid sesama murid serta membantu atau

mempercepatkan proses pemahaman mereka. Pendapat ini disokong sama oleh Edgar Dale ( 1964 )

yang digambarkan dalam bentuk “ cone of experience” di mana proses pembelajaran bermula dengan

proses aspek semi-abstrak hingga kepada yang lebih abstrak. Penggunaan BBM juga sebahagian

2

Page 3: 12807608 definisi-abm

Page 3 of 12 - 3 -Back To Basic

daripada kaedah dan idea-idea yang disampaikan oleh guru kepada murid-muridnya. Walau kaedah apa

digunakan sekalipun BBM pasti turut sama, supaya komunikasi guru murid berjalan dengan baik. David

Berlo dalam proses komunikasi itu terdapat empat ciri penting iaitu sumber, pesanan, saluran dan

penerima.Isi pengajaran sebagai mesej atau pesanan dan salurannya melalui lisan, BBM dan tulisan.

Empat kemahiran iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Dewasa ini pengetahuan saintifik,

psikologi pembelajaran, perkembangan teknologi, beberapa BBM yang baru dan lama perlu digunakan

untuk mempercepatkan proses pembelajaran, tetapi tidak berupaya mengambil tempat seorang guru.

1.1 Definisi Konsep

1.1.1 Pengajaran

Merupakan satu bentuk komunikasi bertujuan untuk memberitahu, mempengaruhi,

mempengaruhi dan menghibur. Tugas pengajar untuk memberitahu atau menyampai satu

himpunan maklumat atau fakta kepada murid-murid. Tujuan BBM juga untuk mempengaruhi

dan menghibur.( Kamarudin Husin: 1989)

1.1.2 Pembelajaran

Berlaku apabila guru berjaya dalam usaha komunikasinya. Pembelajaran berjaya dicapai dan

dipertingkatkan melalui:

• penerangan guru yang jelas

• pengalaman murid yang bererti

• kegiatan yang menyeronokkan murid dan guru

Jadi, pembinaan BBM dibuat dengan teliti dan memenuhi ketiga-tiga syarat di atas.

1.1.3 Bahan Bantu Mengajar/ Peralatan Mengajar

BBM ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru/ murid untuk membantunya dalam

menyampaikan pengajaran di dalam kelas. Peralatan mengajar bukan terhad kepada buku-buku

teks, papan hitam, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang

digunakan dalam pengajaran yang melibatkan semua pancaindera melihat, mendengar, rasa,

hidu dan sebagainya, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-murid.

Atan Long ( 1981: 179-203 ) membahagikan alat bantu mengajar kepada tiga kumpulan: alat

pendengaran, alat-alat pandangan dan alat pandang-dengar. Noraziah Abdul Hamid ( 1981)

membahagikan BBM kepada dua iaitu media elektronik dan media bukan elektronik.

3

Page 4: 12807608 definisi-abm

Page 4 of 12 - 4 -Back To Basic

Manakala Hanapiah Sudin ( 1979: 51-52 ) dan Khairiah Ahmad ( 1980-13 ) mengkelaskannya

kepada dua iaitu “ software” dan “ hardware”

Ngui Kuen Sang (1981: 35 )

“ mengenai BBM, kita tidak dapat memberi takrif yang tetap walaupun pada

keseluruhannya ramai pendidik menyetujui bahawa penggunaan BBM dalam situasi pengajaran

pembelajaran adalah pengalaman yang melibatkan penggunaan penglihatan dan pandangan

seseorang.”

Atan Long ( 1982: 174 )

“ BBM terdiri daripada pelbagai bahan dan sesuatu bahan boleh disampaikan dengan

pelbagai cara, misalnya dalam bentuk buku, carta, atau dibubuh pada slaid dan dipancarkan

pada skrin. Alat-alat penyampaiannya dinamakan BBM.”

Thomas, R.Murray, Swartout, Sherwin G ( 1963)

“ …hanya alat bantu mengajar yang mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu

pelajar memperolehi pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah

dan sikap sosial, kemantapan emosi dan daya penghargaan.”

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas bolehlah disimpulkan bahawa BBM boleh dibahagikan

kepada tiga kategori:

• Bahan-bahan yang menggunakan media elektronik seperti filem pelajaran, filem jalur,

slaid, overhead projektor (OHP), pita video, radio, pita rakaman, piring hitam, CD ,

komputer,radio kaset, televisyen, internet dan sebagainya.

• Bahan yang tidak menggunakan media bukan elektronik – seperti suara, gambar,

carta, model, surat khabar, papan hitam, papan putih, papan flanel, papan magnet, kad-

kad imbasan, buku dan sebagainya.

• Bahan bercorak pengalaman - saperti lakonan, lawatan, projek, pameran, bahan

maujud (realia) dan sebagainya.

2.0 Kepentingan Bahan Bantu Mengajar ( BBM) di dalam Pengajaran

dan Pembelajaran

4

Page 5: 12807608 definisi-abm

Page 5 of 12 - 5 -Back To Basic

Mengikut Charles F. Hoban, James D. Finn dan Edgar Dale ( 1964 : 65 ) kepentingan BBM bolehlah

dirumuskan seperti berikut:

• BBM menyediakan satu asas yang kuat untuk sesuatu konsep

• Sebagai daya penarik penting kepada seseorang pelajar

• Dapat menghasilkan pembelajaran yang lebih kekal

• Memberi pengalaman sebenar yang boleh merangsangkan aktiviti sendiri di kalangan

pelajar

• Dapat membina pemikiran yang berterusan, seperti melalui filem bergerak.

• Boleh membantu pemahaman dan perkembangan perbendaharaan kata pelajar.

• Boleh memberi pengalaman baru dan menjadikan pembelajaran lebih mendalam dan

beragam.

Kamarudin Hj. Husin ( 1988: 242 ) merumuskan kepentingan BBM seperti berikut:

• memberi rangsangan dan minat murid-muird.

• menyediakan dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran dan

mengurangkan gerak balas lisan yang tidak diperlukan daripada murid-murid.

• membekalkan dasar perkembangan pembelajaran dan menjadikan pembelajaran

mereka lebih kekal.

• menyediakan pengalaman baru yang tidak diperolehi dengan mudah oleh cara-cara lain,

menjadikan pembelajaran murid-murid lebih mendalam dan beragam.

• dapat menguatkan kefahaman dan mempercepatkan perkembangan perbendaharaan

kata.

• ia mendorong murid-murid untuk menyiasat dan dengan demikian dapat menambahkan

lagi bacaan murid-murid.

Sebagai rumusannya BBM adalah sangat penting kerana dapat:

• menjimatkan masa

• dapat mempelbagaikan kegiatan atau aktiviti-aktiviti murid-murid

• menyeronokkan murid-murid.

3.0 Prinsip-prinsip inovasi BBM:

3.1 Pelbagai bahan bantu mengajar – berbagai BBM dapat mempelbagaikan kegiatan atau

pengalaman murid-murid belajar mengikut peringkat atau kebolehannya daripada mudah ke sukar,

5

Page 6: 12807608 definisi-abm

Page 6 of 12 - 6 -Back To Basic

seperti pengalaman langsung ke pengalaman abstrak, pengalamaan rekaan, pengalaman dramatized,

demontrasi, pameran, gambar-gambar, bahan rakaman, filem-filem dan sebagainya.

3.2 Mutu bahan bantu mengajar:

Mutu bahan bantu mengajar bergantung kepada pembinaan dan pemilihannya sebagai

bahan pengajaran. Ia harus dipilih sesuai dengan bahan yang hendak kita ajarkan dan secocok dengan

murid-murid yang terlibat. Pembinaannya biarlah mengikut lunas-lunas yang tertentu seperti jelas (bunyi

dan rupa – sebutan ), intonasi dan nada, keharmonian warna ( gambar ) kesesuaian saiz, bentuk huruf

atau carta dan keteguhannya. Alat itu juga harus mudah dibuat, diperbuat dari bahan-bahan yang murah

dan boleh didapati secara percuma seperti di jabatan-jabatan kerajaan, pejabat pos, pusat beli belah,

pihak swasta dan sebagainya.

3.3 Kecekapan Menggunakan BBM:

Kecekapan seseorang guru menggunakan BBM adalah penting kerana kegagalannya menyebabkan

pengajaran menjadi tidak berkesan atau merosakkan pelajaran itu seluruhnya. Masa mengendalikan

BBM dan tidak mengalami sebarang kesulitan apabila tiba masa menggunakannya. BBM sentiasa berada

di dalam keadaan baik, boleh beroperasi dan menepati fungsinya.

Guru harus pandai memilih butir-butir penting yang perlu ditulis, supaya

jelas, terang, kemas dan teratur. Cekap mempersuaikan keperluan murid

dan masa yang diperuntukkan

3.4 Kesesuaian BBM

BBM seharusnya bersabit dengan tujuan pelajaran dan bahan yang

hendak disampaikan. Sekiranya tidak, usaha menyediakannya adalah

sia-sia sahaja.

4.0 Bagaimana guru-guru dahulu menggunakan BBM ?

• 4. 1 BBM dicipta atau dibuatnya sendiri bukan dibeli di kedai-kedai secara

sewenang-wenangnya sahaja. Apa yang pentingnya di sini ialah semangat dan

kegigihan guru-guru itu sendiri yang perlu ditiru. Contohnya di dalam pengajaran jawi,

alat tulisnya dibuat sendiri dari buluh atau rotan sahaja tetapi hasilnya adalah bermutu

tinggi dan sukar ditandingi sehingga sekarang.

• 4.2 Daya kreativiti yang tinggi - Nilai seni BBM adalah diberi perhatian serius, kerana

salah satu syarat untuk menjadi seorang guru yang baik ialah ia mempunyai nilai

6

Page 7: 12807608 definisi-abm

Page 7 of 12 - 7 -Back To Basic

kreativiti yang baik seperti di dalam seni lukis, seni ukir, seni sastera, seni suara dan

sebagainya. Mata pelajaran menulis cantik seperti seni khat atau tulisan rumi dan jawi

perlu dihidupkan semula. Tulisan guru-guru dahulu sungguh cantik, kemas, menarik dan

jelas sudah tentu menghasilkan BBM yang menarik seperti tulisan pada kad-kad

imbasan, kad ayat-kad ayat, papan hitam, papan gulung, carta-carta dan sebagainya.

Begitu juga hasil-hasil karya sastera seperti puisi – pantun, syair, gurindam dan sajak

adalah ditulis dan diciptanya sendiri dan mereka ini tekun dan merasa puas dengan hasil

karyanya tanpa mengharapkan pujian atau penghargaan dari orang lain.

• 4.3 Menggunakan bahan-bahan tradisional atau bahan terbuang sepenuhnya:

Bahan-bahan terbuang atau bahan maujud di sekitarnya digunakan sepenuhnya seperti

rotan, buluh, tin-tin kosong, kain-kain perca, kulit siput, sarung kaki lama, batu-batan,

kulit-kulit siput, surat khabar lama, buah getah, guli, lidi, batang ice cream, tudung

botol,kotak rokok, ranting kayu, daun-daun kering dan sebagainya. Daripada bahan

terbuang ini guru-guru dahulu berjaya mencipta berbagai-bagai BBM yang menarik,

lasak, pelbagai guna dan tahan lama seperti alat-alat matematik, kad-kad huruf atau

perkataan, pen, model-model bangunan dan sebagainya.

4.4 Cekap mengguna dan menyesuaikan BBM dengan kebolehan murid:

Pengalaman mengajarnya yang lama itu digunakan sepenuhnya. Guru-guru ini

bukan sahaja mengenali batang tubuh setiap muridnya tetapi ia tahu juga kebolehan

dan minat muridnya. Ia cuba melibatkan berbagai pancaindera murid seperti yang

disarankan oleh Wayne F. Virag,1976 “ seseorang individu dalam suasana

pembelajaran adalah tertakluk kepada pelbagai bahan pengajaran, teknik-teknik

dan peringkat-peringkat penyampaian pengajaran… suasana pembelajaran ini

pula adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti kaedah penyampaian dan bahan

pengajaran yang digunakan dalam suasana fizikal yang direka untuk

pembelajaran.”

5.0 Mengapa Perlu Kembali ke Asas dalam menggunakan BBM?

5.1 Masalah kekurangan BBM di sekolah :

Walaupun berbagai BBM telah ada di sekolah, sama ada di dalam bentuk bahan elektronik atau

bukan elektronik tetapi bahan-bahan tersebut masih lagi belum mencukupi dengan

bilangan murid yang semakin bertambah. Jika di sekolah rendah hitung panjang bilangan

muridnya kira-kira 30-35 orang bagi setiap kelas. Dengan terlaksananya kelas bestari,

berbagai masalah telah timbul seperti tidak cukupnya bilangan komputer dengan bilangan

murid yang semakin bertambah. Di dalam masa saya menyelia praktikum sekolah bestari yang

7

Page 8: 12807608 definisi-abm

Page 8 of 12 - 8 -Back To Basic

lalu, saya dapati sebuah komputer dikongsi oleh 7-8 orang pelajar. Dengan sebab itulah guru

perlu cekap, kreatif dan aktif mencipta BBM sebagai gantinya seperti kegunaan kertas

mahjong, kad-kad gambar, kad sukukata, kad –kad ayat, kad huruf, kad imbasan, bahan

maujud, model-model dan sebagainya ganti. Masih ada sekolah di luar bandar yang tiada

kemudahan elektrik, bagaimanakah bahan-bahan elektronik hendak digunakan di sekolah-

sekolah berkenaan? Ini sudah tentu satu pilihan lain perlu diadakan sebagai gantinya.

5.2 Dapat menjimatkan kos:

Kos BBM juga semakin meningkat dan mahal pada hal penggunaannya cuma digunakan

beberapa kali sahaja. Bagi menjimatkan kos, kembali ke asas adalah perlu sekali, apa lagi di

zaman kegawatan ekonomi sekarang ini. Bahan-bahan terbuang seperti yang diperjelaskan di

atas tadi perlu dicipta oleh guru sebagai gantinya, sesuai dengan minat dan bilangan murid

di dalam kelas. Murid-murid dan PIBG juga boleh turut serta di dalam membantu

menyediakan BBM yang diperlukan.

5.3 Pentadbir berjaya melihat ketahanan dan daya kreatif

guru –gurunya sendiri:

Dengan kembalinya ke asas, pentadbir sekolah dan guru-guru lain dapat melihat sendiri

bagaimana guru-guru yang aktif dan kreatif yang ada di sekolah itu membuat bahan-bahan bantu

mengajar untuk kegunaan murid-muridnya tanpa bergantung kepada bahan-bahan lain yang lebih

canggih tetapi hasratnya masih juga tercapai dengan baik. Murid-muridnya juga setanding

dengan murid-murid di sekolah lain yang ada kelengkapan BBM yang baik serta konsep Mastery

Learning sentiasa diamalkan di dalam pengajaran dan pembelajarannya. Murid-murid yang lemah

diberi perhatian lebih serta dibimbing sama ada di dalam darjah atau di luar bilik darjah. Dengan

lain perkataan, konsep pemulihan dan pengayaan tidak diabaikan begitu sahaja.

5.4 Hidupkan semula tradisi lama yang telah terkubur:

Tradisi lama penggunaan BBM, seperti penggunaan buluh, rotan, dakwat Cina, berus

bulu di dalam menulis telah hampir terkubur, pada hal BBM ini begitu murah harganya dan

boleh didapati di kawasan sekitar atau di mana-mana kedai buku di sekitar sekolah. Misalnya

tulisan jawi khat Arab yang tidak ternilai itu sudah hampir pupus. Komputer sekalipun tidak dapat

menandingi kecantikan,kelembutan dan ketepatan tulisan khat jawi atau Arab yang

menggunakan rotan atau buluh sahaja.

Lihatlah sendiri bagaimana indah dan cantiknya tulisan ayat-ayat al-Quran yang ditulis tangan

itu. Harganya tidak ternilai dan tidak patut disimpan di dalam almari atau muzium sahaja tanpa

diperturunkan kepada generasi kita masa kini. Ini merupakan satu kerugian besar kepada

8

Page 9: 12807608 definisi-abm

Page 9 of 12 - 9 -Back To Basic

bangsa,negara, masyarakat dan agama. Menurut kajian hampir 90% pelajar-pelajar di sekolah

menengah asrama penuh tidak dapat membaca jawi dan ayat-ayat lazim dengan baik. Ini

sungguh merugikan diri kita sendiri kerana kepada siapakah khazanah ilmu yang tidak ternilai

dalam tulisan jawi itu hendak dihidangkan.

6.0 Langkah-langkah atau cara-cara mengatasinya.

6.1 Wajibkan mata pelajaran Seni di sekolah-sekolah,

Universiti dan Maktab Perguruan:

Untuk mencipta BBM ini, bukanlah satu kerja mudah dan boleh dibuat secara sebarangan sahaja,

tetapi ianya memerlukan kemahiran tangan yang berkualiti tinggi serta kemahiran pedagogi yang baik sekali.

Kemahiran di atas diperolehi dengan cara dipelajari dan melalui kursus-kursus profesional yang berkaitan.

Elok kiranya mata pelajaran seni, reka bentuk, reka cipta dan yang berkaitan dengannya dijadikan mata

pelajaran wajib bagi semua aliran, sama ada aliran sains, sastera, perdagangan, ekonomi dan sebagainya.

Bagi guru-guru pelatih di maktab perguruan kemahiran ini boleh disampaikan melalui mata pelajaran

pendidikan seni atau kemahiran hidup.

6.2 Markah khas kepada guru yang menggunakan BBM tradisi : Peruntukkan markah yang baik

kepada guru-guru pelatih atau terlatih

yang menggunakan BBM tradisi tetapi persaingannya menyamai atau

hampir menyamai BBM moden masa kini. Adakan satu kriteria khas untuk

memberi markah kepada mereka sama ada semasa mereka menjalani praktikum

atau setelah mereka menjadi guru terlatih nanti, terutamanya kepada mereka yang

bertugas di kawasan luar bandar.

6.3 Edarkan contoh(sampel) BBM terbaik:

Edarkan contoh-contoh BBM yang telah dicipta oleh guru-guru atau pelajar-pelajar ke sekolah-

sekolah lain yang berdekatan untuk dijadikan sampel. Apa yang dipentingkan di sini ialah

ideanya sahaja bukannya ditiru seratus peratus. Elok juga jika BBM yang berkualiti tinggi ini

dipamerkan di Pusat Sumber Sekolah, Bilik Darjah,Jabatan Pendidkan Negeri (PPN) atau pun

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Kalau perlu elok juga diadakan Muzium Pendidikan Negeri

atau Negara.

6.4 Pertandingan Mencipta BBM di kalangan guru-guru sekolah:

Alangkah baiknya jika diadakan pertandingan mencipta BBM yang menggunakan bahan-

bahan tradisi seperti buluh, rotan, bahan-bahan terbuang, kayu reja, ranting pokok ,

botol, tin-tin kosong dan sebagainya. BBM yang baik itu elok dipamerkan kepada umum

untuk dijadikan contohnya. Hadiah-hadiah seperti wang tunai, medal atau faedah-faedah

9

Page 10: 12807608 definisi-abm

Page 10 of 12 - 10 -Back To Basic

lain elok diberikan kepada mereka yang berjaya, seperti diberikan pada Hari Guru, Hari

PIBG dan Hari Penyampaian Sijil, Minggu Bahasa dan sebagainya. Begitu juga

pertandingan menulis tulisan khat dengan menggunakan bahan tradisi seperti syair,

pantun, sajak, gurindam dan sebagainya perlu diteruskan lagi.

6.5 Jadikan pelajaran jawi sebagai satu mata pelajaran

Peperiksaan:

Adalah perlu sekali mata pelajaran seperti tulisan jawi atau bahasa Arab dan pelajaran yang

berkaitan dengan al-Quran dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah, bukannya

terbatas kepada sekolah-sekolah tertentu sahaja. Peringkat yang paling sesuai di

peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan ( STPM ) ,

boleh dijadikan satu kertas peperiksaan yang berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa

Melayu. Jadi, secara tidak langsung akan muncul semula penggunaan BBM yang hampir

terkubur itu.

7.0 Penutup:

Berdasarkan perbincangan ringkas di atas jelas membuktikan bahawa “Kembali ke Asas”

di dalam penggunaan BBM adalah penting kerana ada tempatnya penggunaan BBM moden

sekarang tidak dapat mengambil alih semua tugas guru. Pada masa dan ketika tertentu

guru perlu kembali ke pengajaran dan pembelajaran cara lama, seperti mengamalkan

konsep Mastery Learning, pemulihan, pengayaan dan sebagainya. BBM tradisi seperti

penggunaan bahan maujud, bahan asli di sekeliling murid perlu digunakan bersama

dengan BBM moden masa kini, ini pasti menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang

lebih menarik lagi. Sikap guru masa kini meninggalkan penggunaan BBM lama dengan

merasakan bahawa

penggunaan BBM moden boleh memenuhi segala-galanya adalah meleset sama sekali.

Sebagai rumusannya “ Kembali ke Asas” adalah perlu dan sesuai dengan cadangan

pelopornya John Dewey (1961) yang mahukan pendemokrasian pendidikan yang

sentiasa berubah (cycle) dari tahap ke tahap mengikut masa, keperluan, kehendak

masyarakat dan berbagai fenomena di sekelilingnya.

10

Page 11: 12807608 definisi-abm

Page 11 of 12 - 11 -Back To Basic

Bibliografi

Abdul Rahim Abdul Rashid,( 1996 ), Panduan Latihan Mengajar, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah bt. Hj. Ahmad, ( 1989 ), Pedagogi I, Siri Pendidikan Longman, Selangor, Longman Malaysia Snd. Bhd.

Ee Ah Meng, ( 1989 )Pendidikan di Malaysia Untuk Guru Pelatih, Edisi Kedua, Petaling Jaya, Siri Pendidikan Fajar Bakti.

John Arul Phillips, (1997 ) , Pengajaran Kemahiran Berfikir, Kuala Lumpur, Utusan Publications & Distributors Snd. Bhd.

Kamarudin Hj. Husin, ( 1994 ) KBSM dan Strategi Pengajaran Bahasa (Edisi Baru), Siri Pendidikan Perguruan, Kuala Lumpur, Kumpulan Budiman Snd. Bhd.________________, ( 1986 ) Panduan Latihan Mengajar, Selangor, Longman Malaysia Snd. Bhd.

________________, ( 1989 ), Pedagogi 3, Siri Pendidikan Longman, Selangor, Longman Malaysia Snd. Bhd. ________________, (1994), Pedagogi 4, Siri Pendidikan Longman, Selangor, Longman Malaysia Snd. Bhd.

________________, ( 1989 ), Pedagogi Bahasa, Siri Pendidikan Longman, Selangor, Longman Malaysia Snd. Bhd.

Mat Nor Hussin, Ab. Rahman Ab. Rashid,( 1988 ) Alat Bantu Mengajar Dalam Pengajaran Bahasa, Siri Pendidikan Longman, Selangor, Longman Malaysia Snd. Bhd. Mok Soon Sang, Lee Shok Mee, ( 1986 ) Kurikulum Baru Sekolah Rendah, Tahap I, Siri Maktab Perguruan, Kuala Lumpur, Heinemann Malaysia Snd. Bhd.______________, ( 1995 ), Pendidikan di Malaysia, Siri Pendidikan Perguruan, (Edisi Kelima ), Kuala Lumpur, Kumpulan Budiman Snd. Bhd.

Mokhtar Affandi Amran, Poh Swee Hiang, ( 1996 ), Sumber Teknologi, Pengurusan Sumber Pengajaran Pembelajaran 2, Siri Pendidikan Perguruan, Kuala Lumpur, Kumpulan Budiman Snd. Bhd.

Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd Dain, ( 1980 ) , Kaedah dan Teknik Mengajar Bahasa dengan rujukan khusus kepada pengajaran Bahasa Melayu, Kuala Lumpur:Penerbit Pustaka Ilmu.

Robiah Sidin, Zaiton Sidin, ( 1989 ) Sosiologi Pendidikan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sharifah Alawiah Alsagoff, (1987), Sosiologi Pendidikan, Siri Maktab

11

Page 12: 12807608 definisi-abm

Page 12 of 12 - 12 -Back To Basic

Perguruan, Kuala Lumpur: Heinemann Malaysia Snd. Bhd.

Sheikh Othman bin Sheikh Salim, ( 1989 ), Kamus Dewan ( Edisi Baru ), Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. Syed Abu Bakar Syed Akil (1994 ), Panduan Mengajar Kemahiran Membaca, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jurnal Pengurusan Pendidikan ( 1996 ), Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia

Medan Pendidikan, ( Jun 1987 ), Buletin Pendidikan Negeri Terengganu, Edaran Sekolah- sekolah Terengganu.

Pakej Pengajaran dan Pembelajaran Teknologi Maklumat, (1999) Diploma Perguruan Malaysia, Unit Teknologi Maklumat, Jabatan Teknologi Pendidikan, Maktab Perguruan Kuala Terengganu.

12