Kt Ruhil Farihan - PDF

64
PENANDA JAWI BERWARNA : MEMBANTU MURID TAHUN 2 MENYAMBUNG HURUF JAWI TUNGGAL RUHIL FARIHAN BT AHMAD EZANI INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS PENDIDIKAN ISLAM NOVEMBER 2014

description

nm

Transcript of Kt Ruhil Farihan - PDF

  • PENANDA JAWI BERWARNA : MEMBANTU MURID TAHUN 2

    MENYAMBUNG HURUF JAWI TUNGGAL

    RUHIL FARIHAN BT AHMAD EZANI

    INSTITUT PENDIDIKAN GURU

    KAMPUS PENDIDIKAN ISLAM

    NOVEMBER 2014

  • PENANDA JAWI BERWARNA : MEMBANTU MURID TAHUN 2

    MENYAMBUNG HURUF JAWI TUNGGAL

    RUHIL FARIHAN BT AHMAD EZANI

    Laporan projek ini dikemukakan sebagai memenuhi sebahagian daripada syarat

    penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan

    Kepujian Pendidikan Islam Pendidikan Rendah

    INSTITUT PENDIDIKAN GURU

    KAMPUS PENDIDIKAN ISLAM

    NOVEMBER 2014

  • ii

    PENGESAHAN PENYELIA

    Saya akui bahawa saya telah membaca laporan penyelidikan ini dan pada

    pandangan saya karya ini telah memadai dari segi skop dan kualiti untuk tujuan

    penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian Pendidikan Islam

    Pendidikan Rendah

    Tandatangan : ..

    Nama Penyelia : DR ABD AZIZ BIN MAHYUDIN

    Tarikh : NOVEMBER 2014

  • iii

    HALAMAN PENGAKUAN

    Saya akui laporan kajian ini adalah hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan dan

    ringkasan yang tiap-tiap satunya telah saya jelaskan sumbernya

    Tandatangan :

    Nama Penulis : RUHIL FARIHAN BT AHMAD EZANI

    Tarikh : NOVEMBER 2014

  • iv

    HALAMAN DEDIKASI

    Khusus buat ;

    Ayahanda dan bonda yang disayangi,

    Ahmad Ezani bin Mat Saman

    Wan Hasmah binti Wan Yusoff

    Yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang

    tidak putus mendoakan kejayaan anakanda

    Buat adinda yang dikasihi ;

    Ahmad Lutfil Hadi bin Ahmad Ezani

    Ruhil Shahira binti Ahmad Ezani

    Effa Madiha binti Ahmad Ezani

    Ahmad Shahrim bin Ahmad Ezani

    Asma Aqilah binti Ahmad Ezani

    Terima kasih atas sokongan dan dorongan yang kalian berikan

    Pensyarah penyelia, Dr Abd Aziz bin Mahyuddin,

    Pensyarah-pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral,

    Pensyarah-pensyarah IPG Kampus Pendidikan Islam,

    Sahabat-sahabat dan dia disayangi,

    jasa kalian tidak mampu saya balas.

  • v

    PENGHARGAAN

    Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, selawat serta salam

    ke atas junjungan besar Nabi Muhammmad s.a.w serta para sahabat.

    Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Allah swt kerana atas limpah dan

    kurniaNya saya dapat menyiapkan laporan kajian tindakan ini. Jutaan terima kasih

    dan penghargaan yang tidak terhingga diberikan kepada pensyarah pembimbing saya

    iaitu Dr Abd Aziz bin Mahyuddin, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral yang telah

    memberi tunjuk ajar kepada saya dan banyak membantu saya dalam menyiapkan

    laporan kajian tindakan ini.

    Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada kedua ibu

    bapa saya yang banyak membantu saya dan sentiasa mendoakan kejayaan saya serta

    tidak jemu memberikan sokongan kepada saya dari jauh. Tidak dilupakan juga

    kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang setia bersama saya dalam apa jua keadaan

    di dalam menyempurnakan laporan kajian tindakan ini.

    Seterusnya, terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara

    langsung mahupun tidak langsung sepanjang melaksanakan laporan kajian ini. Jasa

    kalian amat bermakna dan semoga Allah sahajalah yang dapat membalas jasa kalian.

    Segala usaha dan komitmen yang kalian berikan saya dahulukan dengan ucapan

    ribuan terima kasih.

  • vi

    ABSTRAK

    Kajian tindakan ini dijalankan bertujuan untuk membantu murid menyambung huruf

    Jawi tunggal di samping dapat menambah baik amalan pengajaran guru. 4 orang

    murid Tahun 2 daripada sebuah sekolah di daerah Sepang Selangor telah dipilih

    sebagai responden. Tinjauan awal mendapati mereka tidak dapat menyambung huruf

    Jawi tunggal dengan betul. Oleh itu, pengkaji telah membuat satu penambahbaikan

    Penanda Jawi Berwarna untuk meningkatkan kemahiran murid menyambung huruf

    Jawi tunggal. Penggunaan Penanda Jawi Berwarna diperkenalkan dengan huruf-

    huruf yang boleh disambung dan tidak boleh disambung dengan menggunakan

    elemen tiga warna iaitu merah, hijau dan kuning serta formula warna bagi membantu

    murid menyambung huruf Jawi tunggal. Data kajian dikumpulkan menggunakan

    kaedah pemerhatian, temubual dan analisis dokumen. Dapatan menunjukkan murid

    dapat meminimakan kesalahan di dalam menyambung huruf Jawi tunggal selepas

    Penanda Jawi Berwarna diperkenalkan.

  • vii

    ABSTRACT

    This action research was carried out to helps student to connect the single Jawi letter

    and to improve teaching practice. The research involved 4 Year 2 students from a

    school in Sepang, Selangor. Early study found out that they were unable to connect

    the single Jawi letter correctly. Therefore the researcher has created an innovation by

    introducing Penanda Jawi Berwarna to help them connect single Jawi letter correctly.

    Through this research, the use of Penanda Jawi Berwarna introduced by using the

    letter that can be connected and cannot be connected which using three colour

    element of red, green and yellow and the colour formula to help the student

    connecting the single Jawi letter. The data were collected through observation,

    interview and document. The findings found out that student were able to minimize

    the error in connecting the single Jawi letter after introducing the Penanda Jawi

    Berwarna.

  • viii

    KANDUNGAN

    HALAMAN

    PENGESAHAN PENYELIA ii

    HALAMAN PENGAKUAN iii

    DEDIKASI iv

    PENGHARGAAN v

    ABSTRAK vi

    ABSTRACT vii

    KANDUNGAN viii

    SENARAI JADUAL x

    SENARAI RAJAH xi

    1.0 PENDAHULUAN

    1.1 Pengenalan 1

    1.2 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran 3

    2.0 FOKUS KAJIAN

    2.1 Isu Keprihatinan 9

    2.2 Tinjauan masalah 11

    2.3 Analisis Tinjauan Masalah 15

    3.0 OBJEKTIF KAJIAN

    3.1 Objektif Kajian 17

    3.2 Soalan Kajian 17

    4.0 KUMPULAN SASARAN 18

    5.0 TINDAKAN YANG DIJALANKAN 20

    6.0 CARA PENGUMPULAN DATA

    6.1 Pemerhatian 28

    6.2 Temubual 29

    6.3 Dokumen :

    6.3.1 Jurnal refleksi pengajaran guru 30

    6.3.2 Lembaran kerja 30

    7.0 ANALISIS DAN INTERPRETASI DATA

    7.1 Soalan Kajian 1 31

    7.2 Soalan Kajian 2 37

  • viii

    8.0 REFLEKSI/RUMUSAN SELEPAS DAPATAN 43

    9.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA 46

    RUJUKAN 48

    LAMPIRAN 50

  • x

    SENARAI JADUAL

    Jadual Halaman

    1 Kumpulan sasaran 19

    2 Jadual perancangan tindakan 22

    3 Keputusan lembaran kerja 34

    4 Analisis Pemerhatian (proses pembelajaran) 35

    5 Data pemerhatian (tingkah laku) 40

  • xi

    SENARAI RAJAH

    Rajah Halaman

    1 Model kajian Kemmis dan McTaggart 20

    2 Formula warna 24

  • 1.0 PENDAHULUAN

    1.1 Pengenalan

    Menuntut ilmu merupakan satu ibadah di dalam kehidupan setiap individu muslim.

    Allah s.w.t juga telah menjelaskan di dalam Al-Quran tentang kepentingan

    pendidikan di dalam surah Al-Alaq ayat 1-5.

    Pendidikan Islam merupakan salah satu cabang pendidikan yang sangat

    penting. Al-Qardhawi di dalam buku pedagogi dan metodologi Pendidikan Islam

    karangan Ahmad (2008) mendefinisikan Pendidikan Islam sebagai pendidikan bagi

    keseluruhan hidup termasuk akal dan hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkah laku.

    Ini kerana tujuannya adalah untuk menyediakan manusia bagi menghadapi hidup di

    samping menyediakan mereka untuk menghadapi masyarakat yang sering

    menghadapi kebaikan dan kejahatannya, kemanisan dan kepahitan.

    Pelajaran Jawi pula merupakan salah satu bidang utama yang terdapat dalam

    mata pelajaran Pendidikan Islam sekolah rendah yang ditetapkan oleh Kementerian

    Pelajaran Malaysia pada tahun 2003. Dalam bidang ini, penumpuan diberikan kepada

    kemahiran menulis dan membaca tulisan Jawi serta mempelajari asas seni tulisan

    Jawi.

  • 2

    Tulisan Jawi merupakan tunjang kepada pencapaian yang cemerlang di dalam

    Pendidikan Islam. Hal ini kerana sekiranya murid tidak dapat menguasai tulisan Jawi

    dengan baik menyebabkan mereka semakin ketinggalan dalam mata pelajaran

    Pendidikan Islam. Generasi kini tidak dapat menguasai Jawi kerana kebanyakan

    daripada mereka kurang menghargai tulisan Jawi. Di sekolah juga tulisan Jawi hanya

    diajarkan di dalam mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja menyebabkan tulisan ini

    semakin terpinggir.

    Menurut Mohamad Amin (2009), kelemahan murid-murid sekolah rendah

    dalam kemahiran menulis Jawi amat ketara. Oleh itu, guru-guru Pendidikan Islam

    perlulah mengambil langkah yang sewajarnya untuk menanam minat murid-murid di

    dalam tulisan Jawi.

    Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Mustapha (1991) mendapati bahawa

    95 peratus pelajar mempunyai sikap negatif terhadap tulisan Jawi seperti susah

    dipelajari, tidak penting dan tidak dinilai dalam peperiksaan. Perkara sebegini boleh

    memberi kesan kepada mereka terhadap pencapaian Pendidikan Islam di dalam

    peperiksaan yang dijalankan di sekolah. Murid yang tidak dapat menguasai jawi

    akan semakin ketinggalan sekiranya mereka berterusan mempunyai pemikiran yang

    negatif ini.

    Terdapat banyak kaedah serta teknik yang perlu digunakan dari semasa ke

    semasa mengikut tahap kemahiran murid. Namun begitu, hal ini sukar bagi murid

    yang lemah dalam pelajaran Jawi kerana mereka hanya diperuntukkan masa belajar

    dan berlatih mempraktikkan kemahiran menulis jawi yang hanya dipelajari pada

    waktu persekolahan dan pada masa tambahan di sekolah rendah agama selepas waktu

    sekolah. Selain itu peruntukan masa untuk pemulihan jawi hanya 30 minit seminggu

  • 3

    tidak mencukupi kerana pelajaran Jawi memerlukan mereka diberi latihan yang

    banyak terutama dari segi penulisan.

    Sekiranya murid tidak dapat menguasai tulisan Jawi pada peringkat awal

    dikhuatiri mereka akan mengalami kesukaran untuk menguasai bidang lain seperti

    sirah, ibadah, akhlak dan juga akidah. Hal ini kerana banyak bahan yang digunakan

    di dalam mata pelajaran Pendidikan Islam menggunakan tulisan Jawi. Kemahiran

    murid-murid dalam menguasai tulisan Jawi adalah bertitik tolak dari peringkat

    sekolah rendah lagi seawal Tahun 1.

    Oleh itu, saya telah membuat keputusan untuk menambahbaik amalan

    pengajaran saya bagi membantu murid-murid menguasai kemahiran membaca,

    mengeja dan menulis Jawi dengan baik seiring dengan kemajuan dan perkembangan

    Pendidikan Islam.

    1.2 Refleksi Pengajaran Dan Pembelajaran Yang Lalu

    Pada 25 Januari 2014 yang lalu, saya dan 5 orang rakan yang lain telah

    menjalani latihan mengajar fasa 3 di Sekolah Kebangsaan KLIA, Sepang, Selangor.

    Perasaan gementar dan risau silih berganti sewaktu saya ingin meneruskan latihan

    mengajar pada kali ini kerana ini merupakan latihan mengajar yang terakhir bagi

    saya dan rakan-rakan. Walaupun saya sudah mempunyai pengalaman latihan

    mengajar sebanyak 2 kali akan tetapi saya tetap berasa gementar. Hal ini kerana

    tempoh latihan mengajar bagi fasa 3 ini adalah tempoh masa yang panjang iaitu

    selama 3 bulan.

  • 4

    Selepas melapor diri kepada pihak pentadbiran, Penolong Kanan Pentadbiran,

    iaitu Puan Zakiah binti Andlan telah memberikan jadual waktu kepada kami. Setelah

    mengalami beberapa perubahan jadual disebabkan oleh pertindihan masa, saya

    akhirnya telah diamanahkan untuk mengajar Tahun 4 dan Tahun 2. Masa yang

    diberikan kepada saya adalah sebanyak 12 masa. Bagi Tahun 2 saya telah mengajar

    keseluruhan bidang Pendidikan Islam manakala bagi Tahun 4 saya hanya mengajar

    bidang Ulum Syariah dan Jawi sahaja.

    Sebelum saya memulakan pengajaran dan pembelajaran pada minggu

    tersebut saya lebih suka untuk masuk ke kelas bersama-sama dengan guru

    pembimbing saya dan memerhatikan pengajaran guru pembimbing saya serta tingkah

    laku murid-murid. Pertama kali saya menjejakkan kaki bersama-sama dengan guru

    pembimbing ke dalam kelas Tahun 2 saya berasa sangat terkejut kerana murid-murid

    sangat aktif dan suka bercakap sesama mereka sewaktu guru sedang mengajar. Saya

    telah memerhatikan beberapa tingkah laku murid-murid di dalam kelas Tahun 2

    sewaktu guru pembimbing saya sedang mengajar. Terdapat beberapa orang murid

    yang sangat nakal, murid yang suka mengadu, murid yang suka membuat kerja

    sendiri dan murid-murid yang pendiam. Pelbagai karenah murid-murid dalam kelas

    tersebut telah perhatikan sepanjang guru pembimbing saya mengajar mereka.

    Untuk kelas yang seterusnya, guru pembimbing telah meminta saya untuk

    masuk ke kelas tersebut. Menurut beliau, saya perlu membiasakan diri dengan murid-

    murid sebelum saya meneruskan dengan pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu saya

    telah memulakan pengajaran dan pembelajaran saya yang pertama pada hari Khamis

    minggu pertama latiha mengajar. Dari segi penilaian saya terhadap mereka saya akui

    sewaktu pertama kali saya bersama dengan mereka saya berasa sangat tertekan dan

    hampir putus asa kerana mereka sangat aktif di dalam kelas. Saya merasakan saya

  • 5

    tidak dapat mengajar mereka dengan baik sekiranya mereka berterusan menunjukkan

    tingkah laku tersebut. Walaubagaimanapun, dengan nasihat yang telah diberikan oleh

    guru pembimbing dan pensyarah pembimbing saya hadapi juga karenah mereka

    dengan sabar dan saya pikul amanah yang telah diberikan ini dengan ikhlas.

    Alhamdulillah, dari semasa ke semasa mereka telah menunjukkan perubahan dan

    mereka juga semakin mendengar kata. Ternyata mereka sebenarnya adalah murid-

    murid yang sangat lembut hatinya dan senang dibentuk. Mereka hanya perlu diberi

    nasihat yang berterusan dan mengingatkan perkara-perkara yang telah mereka lupa.

    Saya semakin seronok menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan

    mereka.

    Sebelum menjalankan pengajaran dan pembelajaran say tidak lupa untuk

    membuat sesi pengenalan dengan mereka. Setelah selesai menjalankan sesi taaruf,

    saya kemudian mengajar pelajaran Jawi. Oleh itu, saya telah meminta mereka untuk

    mengeluarkan buku tulis dan buku latihan untuk saya mengenalpasti apakah yang

    telah dipelajari oleh mereka dan tahap penguasaan mereka dalam tulisan Jawi. Saya

    dapati ramai dalam kalangan mereka mempunyai tulisan yang kemas dan cantik.

    Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa orang murid yang didapati mempunyai

    banyak kesalahan di dalam buku tulis mereka terutamanya dari segi penulisan Jawi.

    Sewaktu pengajaran dan pembelajaran saya di bawah tajuk suku kata terbuka

    dan tertutup, saya telah memerhatikan dan mengenalpasti masalah di mana mereka

    tidak dapat menguasai huruf yang boleh disambung dan huruf yang tidak boleh

    disambung. Saya menyedari perkara ini sewaktu saya mengedarkan lembaran kerja

    dan meminta mereka untuk menyiapkan latihan tersebut secara individu. Apa yang

    saya dapati terdapat beberapa orang murid yang dapat menulis dengan baik tetapi

    terdapat beberapa orang murid yang tidak dapat menulis dengan baik dimana mereka

  • 6

    menyalin semula suku kata yang saya berikan tanpa menyambung huruf-huruf

    berkenaan. Semasa menyiapkan latihan yang diberi juga murid-murid sering

    memanggil saya untuk bertanyakan huruf yang boleh disambung atau tidak. Saya

    berasa agak bimbang dan risau dengan situasi ini. Hal ini sekiranya dibiarkan akan

    berlarutan sehingga mereka naik ke Tahun 3 dan seterusnya dan akan melahirkan

    murid-murid yang tidak tahu membaca Jawi.

    Kajian Zamferi (2009) juga mendapati ramai murid yang lemah dan kurang

    memahami kaedah bagaimana untuk menyambung huruf-huruf Jawi yang diberikan,

    sehinggakan mereka sering gagal untuk menulis perkataan yang tepat dan betul.

    Walaupun murid dapat mengenal semua huruf Jawi, namun timbul pula masalah

    mengenai bagaimana untuk menulis perkataan Jawi menggunakan huruf Jawi

    tunggal.

    Untuk sesi pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya, saya telah

    menyediakan satu aktiviti Sahiba Jawi untuk murid Tahun 2. Saya telah

    membahagikan mereka kepada lima kumpulan kecil. Setiap kumpulan akan

    memperolehi satu papan Sahiba Jawi dan satu kotak yang mengandungi kad suku

    kata jawi. Setiap kumpulan dikehendaki mendengar arahan yang diberikan oleh guru

    sebelum menjalankan aktiviti. Berdasarkan gambar yang telah diletakkan di tepi

    papan Sahiba Jawi tersebut, murid dikehendaki membina satu perkataan

    menggunakan suku kata tersebut di atas papan Sahiba Jawi. Mereka perlu

    menggunakan kreativiti mereka sendiri untuk membentuk perkataan kerana terdapat

    beberapa suku kata yang pelu digunakan sekali sahaja. Murid-murid berasa sangat

    seronok kerana semua murid dapat melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Mereka

    juga dapat membaca semula perkataan yang telah dibentuk oleh mereka di atas papan

    Sahiba Jawi.

  • 7

    Walaubagaimanapun, masalah mula timbul apabila saya telah memilih

    beberapa orang murid untuk menulis semula suku kata tersebut menjadi perkataan

    yang bermakna di papan putih. Ada diantara mereka yang tidak dapat menyambung

    huruf jawi dengan betul malah ada diantara mereka yang hanya menyalin semula

    suku kata tersebut tanpa menyambung huruf Jawi. Oleh itu saya telah meminta

    mereka untuk menumpukan perhatian di papan putih dan saya mula menulis dua

    huruf Jawi lalu saya bertanyakan kepada mereka huruf boleh disambung dengan

    wau atau tidak? Ada diantara mereka yang menjawab boleh disambung ada yang

    menjawab tidak boleh dan lebih menyedihkan ada diantara mereka yang menjawab

    saya tak tahu ustazah. Perkara ini sangat mendukacitakan saya kerana

    sepatutnya kemahiran menyambung huruf perlu dikuasai oleh mereka sejak dari

    Tahun 1 lagi.

    Saya berasa sangat sedih dan risau dengan prestasi yang ditunjukkan oleh

    mereka. Hal ini kerana, adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang guru

    Pendidikan Islam untuk menangani masalah keciciran Jawi ini dengan lebih serius

    supaya masalah ini dapat ditangani dengan segera. Kemahiran Jawi sangat berkait

    rapat dengan Al-Quran, sekiranya mereka tidak dapat membaca tulisan jawi

    bagaimanakah nanti mereka akan membaca Al-Quran dengan betul. Dalam perkara

    ini, Kang (1990) juga berpendapat :

    Membaca Al-Quran tanpa dasar tulisan Jawi samalah seperti si buta berjalan

    tanpa tongkat kerana dengan mempelajari huruf serta dasar tulisan, seseorang boleh

    mengetahui sebutan Al-Quran dengan lebih mudah.

    Menurut Zulkifli (2003) pula, pendedahan Pendidikan Islam kepada setiap

    individu Muslim perlu bermula sejak kecil lagi. Penekanan Pelajaran Jawi wajar

  • 8

    dilakukan ketika mereka mula mengenal huruf. Pembinaan strategi dan kaedah

    pengajaran dan pembelajaran Jawi amat penting bagi mencapai matlamat yang telah

    disasarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

    Kerisauan saya tidak terhenti begitu saja. Saya telah berbincang bersama-

    sama dengan guru pembimbing saya di sekolah dan guru pensyarah pembimbing

    saya berkaitan masalah yang dihadapi oleh murid ini. Setelah berbincang beberapa

    perkara saya telah mengambil keputusan untuk membuat satu kaedah yang dapat

    membantu murid menyambung huruf Jawi bagi membentuk perkataan. Kaedah

    tersebut dinamakan sebagai Penanda Jawi Berwarna. Kaedah ini telah menggunakan

    3 jenis warna iaitu merah, kuning dan hijau. Warna merah bagi huruf yang tidak

    boleh disambung selepasnya, warna kuning adalah huruf yang tidak boleh disambung

    sebelum dan selepasnya manakala warna hijau adalah huruf yang boleh disambung

    sebelum dan selepasnya.

    Saya beranggapan bahawa masalah ini perlu diatasi dengan segera supaya

    murid tidak akan terus ketinggalan dan tercicir dalam mata pelajaran ini dan warna

    yang saya gunakan dapat memudahkan mereka untuk mengingat huruf-huruf yang

    boleh disambung dan tidak boleh disambung. Kaedah ini diharapkan dapat

    membantu murid untuk menyambung huruf-huruf Jawi tunggal dengan betul.

  • 2.0 FOKUS KAJIAN / ISU KEPRIHATINAN

    Fokus kajian saya adalah lebih tertumpu kepada untuk membantu guru membaiki

    amalan pengajarannya kepada satu kaedah yang lebih baik yang dapat meningkatkan

    kemahiran murid dalam menyambung huruf Jawi tunggal.

    2.1 Isu Keprihatinan

    Berdasarkan refleksi yang telah saya nyatakan, saya dapat membuat

    kesimpulan dan mengenalpasti bahawa masalah utama yang dihadapi oleh murid-

    murid saya ialah masalah penguasaaan kemahiran menyambung huruf Jawi tunggal.

    Saya dapati murid-murid saya seringkali melakukan kesilapan yang sama apabila

    saya meminta mereka untuk menyiapkan lembaran kerja yang diberikan. Hal ini

    kerana mereka tidak dapat membezakan huruf yang boleh disambung dan tidak boleh

    disambung semasa membuat latihan lembaran kerja. Saya merasakan bahawa mereka

    kurang didedahkan dengan kaedah yang khusus untuk menyambung huruf Jawi

    tunggal dan juga strategi pengajaran guru yang kurang berkesan menyebabkan

    mereka tidak dapat menyambung huruf Jawi tunggal dengan betul.

    Dengan rasa penuh tanggungjawab saya berasa saya perlu membuat sesuatu

    untuk menangani masalah ini daripada terus berlanjutan. Sebagai seorang guru, kita

    seharusnya peka dengan masalah yang dialami oleh murid-murid terutamanya di

    dalam bilik darjah dan memberikan sepenuh komitmen untuk membantu murid-

    murid. Sekiranya masalah tersebut dibiar berlarutan tanpa tindakan yang khusus

    dikuatiri murid-murid akan sentiasa mengulangi kesalahan mereka yang sama dan

  • 10

    akan tercicir dalam Pelajaran Jawi.

    Kebolehan membaca dan menulis Jawi amat penting di dalam pengajaran dan

    pembelajaran Pendidikan Islam tidak kira sama ada di sekolah rendah mahupun di

    sekolah menengah. Hal ini kerana, hampir keseluruhan bahan pembelajaran yang

    digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam menggunakan

    tulisan Jawi. Sekiranya murid tidak dapat menguasai tulisan jawi dengan sebaiknya,

    maka mereka akan sentiasa ketinggalan dan terus tercicir berbanding murid-murid

    yang tahu menulis Jawi terutama apabila mereka menjejakkan kaki ke sekolah

    menengah kelak.

    Ishak dan Hassan (1994) menyatakan bahawa kelemahan pelajar-pelajar

    sekolah menengah dalam menguasai kemahiran Jawi mempunyai kaitan langsung

    dengan keupayaan mereka pada peringkat sekolah rendah. Sekiranya dari peringkat

    sekolah rendah lagi mereka tidak menunjukkan minat dalam bidang Jawi dikhuatiri

    masalah ini akan terbawa-bawa sehingga ke peringkat sekolah menengah nanti.

    Manakala Muhammad (1992) pula menyatakan bahawa murid-murid yang

    tidak dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis Jawi akan semakin

    ketinggalan dalam mata pelajaran Pendidikan Islam apabila bahan bantu belajar yang

    digunakan oleh guru ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi. Hal ini kerana,

    tulisan Jawi merupakan kemahiran asas yang penting bagi murid-murid beragama

    Islam dalam mempelajari bidang-bidang lain yang terdapat di dalam Pendidikan

    Islam seperti Ulum Syariah, Adab Islamiah, Jawi serta Tilawah al-Quran.

    Justeru, kelemahan ini perlu diatasi dengan segera oleh guru dengan

    menggunakan kemahiran mereka yang tersendiri supaya murid yang lemah ini dapat

    dibantu dan seterusnya dapat meningkatkan prestasi mereka di dalam pembelajaran.

  • 11

    Sehubungan dengan itu, saya juga perlu meningkatkan kualiti pengajaran saya dan

    mempelbagaikan kaedah pengajaran saya supaya dapat membantu murid-murid di

    dalam menyambung huruf Jawi tunggal.

    2.2 Tinjauan masalah.

    Tinjauan terhadap masalah yang dikenal pasti dibuat bertujuan untuk

    memahami dengan lebih mendalam mengenai masalah tersebut serta mengatasi

    masalah yang dihadapi oleh murid-murid seterusnya dapat membantu guru untuk

    menambahbaik amalan. Beberapa cara pengumpulan data telah dipilih bagi

    mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh murid-murid Tahun 2. Antara cara

    pengumpulan data yang telah digunakan di dalam kajian ini ialah kaedah

    pemerhatian, temu bual dan dokumen iaitu lembaran kerja dan refleksi guru serta

    soal jawab sebagai pengukuhan terhadap data awal yang diperolehi.

    Langkah pertama yang telah saya lakukan dalam meninjau permasalahan ini

    ialah dengan mengedarkan kepada mereka satu lembaran kerja sebagai latih tubi.

    Mereka diminta untuk menjawab sendiri soalan-soalan yang diberikan dan saya telah

    meminta mereka untuk berlaku jujur sekiranya mereka tidak dapat menjawab soalan

    tersebut. Saya dapati terdapat sebilangan murid yang mempunyai masalah dalam

    menyambung huruf Jawi tunggal. Melalui pemerhatian yang telah saya lakukan ke

    atas mereka murid-murid yang mempunyai masalah dalam menyambung huruf Jawi

    tunggal ini ialah murid-murid yang berada di kedudukan yang paling belakang.

    Mereka seringkali melihat jawapan yang dibuat oleh rakan di sebelah mereka.

  • 12

    Melihat masalah ini saya telah bersoal jawab secara tidak langsung dengan

    mereka. Saya telah meminta mereka untuk memberikan perhatian kepada saya

    sebelum saya meneruskan soalan saya. Saya telah bertanyakan kepada mereka

    adakah mereka mengenal huruf Jawi dan tahu menyambung huruf Jawi tunggal.

    Temu bual merupakan satu proses yang dilakukan oleh seseorang pengkaji terhadap

    orang yang ditemubual untuk mendapat maklumat terperinci secara lisan dengan

    mengajukan soalan-soalan berkaitan.

    Oleh itu, saya juga telah menjalankan temubual bersama guru Pendidikan

    Islam yang mengajar kelas tersebut bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut

    berkaitan tahap penguasaan kemahiran menyambung huruf Jawi tunggal dalam

    kalangan murid dan juga untuk mengetahui latar belakang murid. Selain itu juga,

    untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat saya juga telah menganalisis

    dokumen mereka seperti buku aktiviti, kertas ujian dan juga lembaran latih tubi.

    2.2.1 Kebolehtadbiran

    Saya memilih untuk menggunakan bahan Penanda Jawi Berwarna ini kerana bahan

    ini sangat mudah dilaksanakan dan mudah untuk ditadbir. Sebelum saya

    menggunakan bahan ini saya telah memberikan penerangan kepada mereka tentang

    petunjuk warna yang terdapat di dalam Penanda Jawi Berwarna ini dan formula

    warna yang perlu diingat oleh murid semasa membuat latihan lembaran kerja.

    Penerangan yang telah diberikan kepada mereka juga menggunakan bahasa yang

    mudah dan senang untuk difahami. Selain itu, proses untuk menyediakan bahan ini

    tidak terlalu rumit dan bahan yang digunakan mudah untuk didapati.

  • 13

    2.2.2 Kepentingan

    Masalah murid untuk menyambung huruf jawi tunggal sangat berkait rapat dengan

    pengetahuan sedia ada mereka. Kebanyakan daripada mereka tidak dapat

    membezakan huruf yang boleh disambung dan tidak boleh disambung. Oleh itu,

    Penanda Jawi Berwarna ini telah dibina dengan menggunakan tiga jenis warna iaitu

    merah, kuning dan hijau. Warna-warna yang digunakan ini dapat membezakan huruf

    yang boleh disambung dan tidak boleh disambung serta mampu menarik minat

    mereka untuk membuat aktiviti lembaran kerja yang diberikan.

    2.2.3 Kebolehgunaan

    Penanda Jawi Berwarna ini mampu meningkatkan kemahiran murid untuk

    menyambung huruf jawi tunggal sekaligus membantu murid untuk membezakan

    huruf yang boleh disambung dan tidak boleh disambung kerana huruf-huruf tunggal

    tersebut telah dikelaskan mengikut warna dan juga formula warna yang telah

    diberikan. Oleh itu, mereka dapat merujuk Penanda Jawi Berwarna ini apabila

    membuat lembaran kerja yang diberikan oleh guru.

    2.2.4 Kawalan

    Pengajaran dan pembelajaran berbantukan Penanda Jawi Berwarna ini mudah

    dikawal oleh guru kerana murid diminta untuk merujuk Penanda Jawi Berwarna

    tersebut sewaktu membuat latihan lembaran kerja. Oleh itu, tingkah laku kurang

    berdisiplin murid dapat dikawal dan dikurangkan sewaktu menjalankan aktiviti

    pengajaran dan pembelajaran dan murid lebih dapat menumpukan perhatian yang

    sepenuhnya di dalam pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh guru.

  • 14

    2.2.5 Kolaboratif

    Sebelum saya menjalankan kajian ini saya telah membuat perbincangan dengan guru

    dan pensyarah yang lebih berpengalaman supaya tidak timbul masalah pada masa

    akan datang. Di dalam penggunaan Penanda Jawi Berwarna ini juga wujud

    kolaboratif di mana murid boleh bertanyakan soalan kepada guru sekiranya terdapat

    kemusykilan di dalam lembaran kerja yang telah diberikan. Murid juga dibenarkan

    untuk membantu antara satu sama lain.

    2.2.6 Kerelevenan

    Bahan ini sangat releven untuk digunakan oleh murid-murid kerana matlamat

    pengajaran Jawi adalah untuk melengkapkan murid dengan kemahiran membaca dan

    menulis Jawi bagi membolehkan mereka mempelajari pelbagai bidang ilmu

    terutamanya Pendidikan Islam. Melalui tulisan Jawi murid-murid dapat membaca Al-

    Quran dengan mudah. Sekiranya masalah ini dapat diatasi dari awal lagi murid-

    murid yang celik Jawi dapat dilahirkan supaya warisan ini dapat dikekalkan sehingga

    ke generasi akan datang dan tidak terkubur begitu sahaja.

    Oleh itu kemahiran membaca dan menulis Jawi perlu dikuasai sepenuhnya

    oleh murid-murid. Bahan ini juga boleh digunakan oleh murid-murid yang baru

    hendak mempelajari Jawi seperti murid prasekolah. Sekiranya bahan ini berjaya

    dilaksanakan saya berharap dapat membantu guru mata pelajaran Pendidikan Islam

    menangani masalah murid-murid dan seterusnya membantu pihak sekolah

    meningkatkan prestasi pembelajaran murid-murid.

  • 15

    2.3 Analisis Tinjauan Masalah

    Berdasarkan pemerhatian yang telah dijalankan terhadap murid ialah saya dapati

    mereka dapat mengenal kesemua huruf-huruf Jawi tunggal dengan betul, dapat

    mengeja dan membaca suku kata yang ditunjukkan dan membentuk perkataan

    daripada suku kata dengan menggunakan kad perkataan akan tetapi kebanyakan

    murid gagal untuk menulis Jawi dengan baik terutama apabila melibatkan kemahiran

    menyambung huruf Jawi tunggal. Murid juga tidak dapat mengenalpasti huruf yang

    boleh disambung dan tidak boleh disambung bahkan mereka kerapkali dilihat cuba

    meniru rakan yang berada di sebelah mereka dan sering termenung serta kurang

    memberi tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

    Kemudian saya telah menjalankan soal jawab secara tidak langsung terhadap

    murid-murid sewaktu aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas Tahun 2

    Dakota. Apabila ditanyakan beberapa soalan kepada mereka kebanyakan murid

    memberitahu bahawa mereka mengenal huruf Jawi tunggal tetapi tidak dapat

    menyambung huruf-huruf Jawi tunggal tersebut. Melalui temubual yang dijalankan

    terhadap guru Pendidikan Islam yang mengajar di kelas berkenaan, beliau juga

    menyatakan bahawa murid kurang menunjukkan minat terhadap mata pelajaran

    Pendidikan Islam kerana mereka lemah di dalam menguasai tulisan Jawi.

    Faktor ini menyebabkan mereka lebih suka bermain dan membuat kerja lain

    sewaktu pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Selain itu juga, murid-murid yang

    lemah ini kurang diberi tumpuan kerana bilangan murid yang ramai di dalam satu

    kelas membataskan pergaulan antara guru dan murid. Selain itu juga, kaedah

    pengajaran yang digunakan tidak sesuai dengan bilangan murid yang ramai.

  • 16

    Saya telah menjalankan semakan ke atas buku latihan, kertas ujian, dan

    lembaran kerja yang telah mereka lakukan. Walaupun terdapat banyak kesalahan di

    dalam buku mereka akan tetapi saya merasakan masih belum terlambat untuk

    membantu mereka menulis Jawi dengan betul.

    Kesimpulannya, saya telah dapat mengenalpasti bahawa permasalahan ini

    adalah berpunca daripada kelemahan dan kekurangan pengajaran guru sendiri dan

    juga masalah daripada murid kerana mereka kurang melibatkan diri di dalam aktiviti

    pengajaran dan pembelajaran.

  • 3.0 OBJEKTIF KAJIAN

    3.1 Objektif Kajian

    Antara objektif kajian ini dijalankan ialah untuk :

    3.1.1 Membantu murid meningkatkan kemahiran menyambung huruf Jawi dengan

    menggunakan Penanda Jawi Berwarna.

    3.1.2 Mengubah amalan guru dalam membantu murid menyambung huruf Jawi

    dengan menggunakan Penanda Jawi Berwarna.

    3.2 Soalan Kajian

    3.2.1 Bagaimanakah penggunaan Penanda Jawi Berwarna dapat membantu murid

    meningkatkan kemahiran menyambung huruf Jawi tunggal dengan betul?

    3.2.2 Bagaimanakah penggunaan Penanda Jawi Berwarna dapat meningkatkan

    amalan sedia ada guru di dalam pengajaran dan pembelajaran membantu

    murid meningkatkan kemahiran menyambung huruf Jawi tunggal?

  • 4.0 KUMPULAN SASARAN

    Kajian yang dijalankan ini melibatkan empat orang responden dari kelas Tahun 2

    Dakota di Sekolah Kebangsaan KLIA, Sepang Selangor. Kumpulan sasaran terdiri

    daripada seorang murid lelaki dan tiga orang murid perempuan. Saya telah

    mengambil keputusan untuk menjalankan kajian ke atas empat orang murid tersebut

    kerana mereka berada di aras yang lemah di dalam pengajaran dan pembelajaran

    Jawi dan juga keputusan ujian bulanan. Hal ini kerana julat markah mereka adalah

    antara 30 hingga 40 markah sahaja berbanding rakan-rakan mereka yang lain.

    Responden yang dipilih ini berada di kelas yang agak corot. Walaupun kelas ini agak

    tercorot namun terdapat juga beberapa orang murid yang lain yang boleh menulis

    Jawi dengan betul.

    4.1 Pemilihan responden.

    Keempat-empat responden ini telah dipilih berdasarkan pemerhatian saya

    sewaktu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam di kelas tersebut dan juga

    terhadap penilaian-penilaian seperti lembaran latih tubi, ujian bulanan dan

    sebagainya yang dijalankan ke atas mereka. Pemilihan responden ini juga dilakukan

    adalah berdasarkan cadangan daripada guru Pendidikan Islam yang mengajar di kelas

    berkenaan. Pemilihan responden yang tepat dapat membantu hasil kajian dan

    seterusnya memberi impak yang positif kepada keputusan kajian.

  • 19

    Jadual 1 : Kumpulan Sasaran

    Kelas Tahun 2

    Bilangan murid 4 Orang

    Jantina 1 orang lelaki dan 3 orang perempuan

    Masalah Tidak dapat menyambung huruf jawi tunggal dengan betul.

    Prestasi akademik - Kesemua mereka dapat mengeja dan membaca perkataan dan suku kata jawi dengan betul dan

    lancar. Masalah utama yang dikenalpasti ialah

    masalah menyambung semula huruf tunggal atau

    suku kata dan tidak dapat membezakan huruf yang

    boleh disambung dan tidak boleh disambung sewaktu

    menjalankan aktiviti latih tubi.

    - Keputusan ujian juga menunjukkan mereka berada di tahap yang lemah dimana markah yang diperolehi

    adalah antara 30 hingga 40 markah.

    Ciri-ciri lain / unik R1 Lebih pasif di dalam kelas. R2 Seorang yang terlalu aktif dan sering ke tandas. R3 Kurang melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran dan kerap mendiamkan diri apabila ditanya.

    R4 Rajin tetapi lambat dalam membuat kerja.

  • 5.0 TINDAKAN YANG DIJALANKAN

    5.1 Prosedur Tindakan

    Di dalam kajian yang dijalankan, saya telah menggunakan Model Kajian Tindakan

    Kemmis dan Mc Taggart. Model ini terdiri daripada empat peringkat iaitu

    merancang, bertindak, melaksana tindakan dan memerhati serta membuat reflek yang

    dijalankan secara berturutan. Berikut merupakan langkah-langkah yang terdapat di

    dalam Model Kemmis dan McTaggart :

    Proses kajian tindakan Kemmis dan McTaggart bermula dengan guru

    menjalankan refleksi ke atas satu-satu isu pengajaran dan pembelajaran yang hendak

    ditangani. Kemudian guru itu menyediakan satu perancangan yang sesuai untuk

    mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid. Seterusnya guru melaksanakan

    perancangan yang telah dihasilkan dan dalam proses

    Rajah 1 : Model Kajian Tindakan Kemmis dan McTaggart

  • 21

    pelaksanaannya guru perlulah memerhati kemajuan tindakan yang dijalankan itu.

    Berpandukan Model Kemmis Mc Taggart ini saya telah menjalankan kajian saya ini

    berdasarkan empat langkah tersebut.

    5.1.1 Membuat tinjauan awal / mereflek.

    Sewaktu membuat tinjaun awal di kelas Tahun 2 saya telah mengenalpasti beberapa

    orang murid yang tidak dapat menyambung huruf-huruf Jawi tunggal dengan betul

    melalui beberapa aktiviti yang telah dijalankan. Setelah mengenal pasti murid-murid

    tersebut saya telah mencari satu jalan atau strategi yang sesuai untuk saya gunakan

    bagi mengatasi masalah murid yang tidak dapat menyambung huruf Jawi tunggal

    dengan betul. Saya telah berbincang dengan guru dan pensyarah saya serta berkongsi

    idea bersama dengan rakan-rakan latihan mengajar saya yang lain bagi mendapatkan

    satu strategi yang sesuai untuk dijalankan ke atas murid sasaran saya.

    Saya juga telah membuat tinjauan dan membaca beberapa kajian-kajian yang

    lalu yang telah dibuat oleh pelajar-pelajar lain melalui pembacaan di perpustakaan

    bagi mendapatkan gambaran sebelum saya merancang tindakan yang sewajarnya.

    Saya juga telah menjalankan tinjauan dengan melihat lembaran kerja yang telah

    diberikan kepada mereka setiap kali tamat sesi pengajaran dan pembelajaran.

    5.1.2 Merancang tindakan

    Setelah membuat beberapa tinjauan awal, saya telah mengambil keputusan untuk

    membuat satu inovasi berkaitan dengan kemahiran menyambung huruf Jawi tunggal.

    Idea ini diperolehi selepas saya membuat perbincangan bersama dengan guru

    pembimbing dan pensyarah pembimbing saya semasa menjalankan latihan mengajar.

    Bagi mengatasi masalah ini saya telah membuat satu inovasi di dalam pengajaran

    dan pembelajaran Jawi yang dinamakan Penanda Jawi Berwarna.

  • 22

    Menurut Siti Fatimah (2006), yang menyatakan bahawa tahap penguasaan

    tulisan Jawi dalam kalangan murid-murid Islam tahap satu di salah sebuah sekolah

    rendah di daerah Meradong pula didapati masih pada tahap amat rendah. Dapatan

    kajian beliau juga menjelaskan kelemahan murid dari segi menulis Jawi adalah lebih

    ketara jika dibandingkan dengan kemahiran bacaan murid. Oleh itu saya merasakan

    bahawa satu langkah berkesan perlu diambil agar murid dapat menguasai kemahiran

    menulis Jawi dan seterusnya dapat membantu murid menguasai kemahiran

    menyambung huruf Jawi tunggal dengan betul.

    Perancangan yang teliti dan sistematik perlu dibuat untuk memastikan

    masalah murid menyambung huruf Jawi tunggal dapat diatasi. Bagi memastikan

    kajian ini berjalan seperti yang telah dirancang satu jadual perancangan telah dibina

    seperti dibawah :

    Jadual 2 : Jadual Perancangan Tindakan

    Bil. Tindakan Tarikh pelaksanaan

    1. Mengenal pasti masalah dan pengumpulan data

    tinjauan awal

    27 Januari 2014 14 Februari 2014

    2. Menulis proposal 28 Februari 2014

    3. Merancang tindakan 7 Mac 2014

    4. Melaksanakan Tindakan 1 17 Mac 2014

    5. Membincangkan masalah yang timbul April 2014

    6. Perjumpaan bersama pensyarah 23 Jun 2014 27 Jun 2014 7. Melaksanakan Tindakan 2 7 Julai 2014 19 Julai 2014 8. Menganalisis Tindakan 21 Julai 2014

    26 Julai 2014

    9. Refleksi kajian 3 Ogos 2014 8 Ogos 2014

    10. Menulis laporan kajian September 2014

    11. Pembentangan dapatan kajian 1-2 Oktober 2014

    12. Penjilidan laporan kajian November 2014

  • 23

    5.1.3 Melaksana tindakan

    Setelah semua perancangan telah dibuat, saya mengambil keputusan untuk

    memperkenalkan kepada mereka kaedah pengajaran dan pembelajaran Jawi yang

    baru berbantukan Penanda Jawi Berwarna. Saya memulakan tindakan saya dengan

    menjalankan beberapa aktiviti dan langkah-langkah sepanjang kajian dijalankan.

    Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di dalam pengajaran dan pembelajaran

    ialah :

    Aktiviti 1 : Memperkenalkan Penanda Jawi Berwarna.

    Saya telah memperkenalkan kesemua huruf Jawi bermula dari huruf sehingga

    kepada huruf kepada murid-murid yang terdapat di dalam Penanda Jawi

    Berwarna dan huruf-huruf tersebut telah dikelaskan warnanya. Setelah

    memperkenalkan kesemua huruf jawi tunggal kepada mereka dengan menggunakan

    kaedah penerangan. Huruf-huruf yang telah dikelaskan terbahagi kepada tiga

    bahagian mengikut warna yang telah dipilih iaitu :

    i. Hijau : huruf yang boleh disambung sebelum dan selepas.

    ii. Merah : huruf yang tidak boleh disambung selepasnya.

    iii. Kuning : huruf yang tidak boleh disambung sebelum dan

    selepasnya.

    Aktiviti 2 : Memperkenalkan formula Penanda Jawi Berwarna.

    Selepas murid-murid diperkenalkan dengan kesemua huruf Jawi tunggal dan

    kumpulan warna yang telah ditetapkan, barulah murid diperkenalkan dengan formula

    Penanda Jawi Berwarna. Di dalam Penanda Jawi Berwarna ini saya telah

    menyelitkan formula warna bagi memudahkan murid memahami fungsi warna yang

  • 24

    telah digunakan di dalam bahan ini. Pada peringkat ini murid-murid diminta untuk

    menghafal dan mengingat formula warna tersebut supaya memudahkan mereka

    untuk menjalankan aktiviti latih tubi yang diberikan.

    Rajah 2 : Formula Warna

    Setelah mereka diperkenalkan dengan formula warna tersebut, mereka telah

    diajar tentang cara penggunaan Penanda Jawi Berwarna. Mereka dikehendaki

    merujuk kepada Penanda Jawi Berwarna tersebut apabila mereka diminta untuk

    membuat latih tubi.

    Aktiviti 3 : Latih tubi dan pemerhatian.

    Apabila telah pasti mereka sudah memahami bagaimana untuk menggunakan

    Penanda Jawi Berwarna ini serta mereka sudah memahami formula warna yang telah

    diberikan, saya telah mengedarkan soalan latih tubi kepada mereka yang

    mengandungi huruf Jawi tunggal. Mereka diminta untuk menyambung huruf tersebut

    menjadi perkataan yang betul dengan merujuk kepada Penanda Jawi Berwarna dan

    formula warna yang telah diberikan.

    atau

    Tidak boleh disambung

    Boleh disambung

    Tidak boleh disambung

    Boleh disambung

    Tidak boleh disambung

  • 25

    Aktiviti latih tubi ini telah dijalankan selama beberapa sesi bagi memastikan

    mereka betul-betul faham formula warna dan konsep yang terdapat dalam Penanda

    Jawi Berwarna ini. Setelah kesemua murid selesai menjawab soalan yang diberikan

    saya telah meminta mereka untuk menukar soalan latih tubi antara mereka supaya

    rakan-rakan mereka yang lain dapat menyemak jawapan rakan mereka. Setelah itu,

    barulah saya membincangkan jawapan yang betul bersama-sama mereka.

    Aktiviti 4 : Ujian bertulis.

    Apabila saya sudah menerapkan mereka dengan cara penggunaan Penanda Jawi

    Berwarna dan mereka dapat mengaplikasikan formula warna tersebut dalam

    lembaran latih tubi yang diberikan, saya kemudiannya telah memberikan murid-

    murid ujian bertulis. Di dalam ujian ini, murid telah diminta untuk menyambung

    huruf-huruf Jawi tunggal yang telah dicerakinkan dan mereka diminta untuk

    membentuk perkataan dengan betul dengan mengingat formula warna. Di dalam

    ujian ini, murid tidak dibenarkan lagi untuk merujuk Penanda Jawi Berwarna.

    Dengan ujian bertulis yang dijalankan ini kefahaman mereka akan diuji.

    5.1.4 Menilai

    Di dalam proses menilai ini, saya telah membuat penilaian terhadap kaedah yang

    telah saya gunakan dari awal sehingga akhir proses. Saya juga telah membuat

    refleksi berkaitan kekuatan dan kelemahan kaedah Penanda Jawi Berwarna yang

    telah saya perkenalkan kepada murid-murid. Saya dapati murid-murid saya juga

    seronok menjalankan aktiviti ini dan dapat membuat latih tubi menyambung huruf

    Jawi tunggal dengan usaha mereka sendiri tanpa bantuan dari saya mahupun rakan

    mereka.

  • 26

    5.2 Rasional pemilihan Penanda Jawi Berwarna.

    Penggunaan Penanda Jawi Berwarna ini sangat memerlukan kesabaran yang tinggi

    dan komitmen dari murid dan guru supaya pengajaran dan pembelajaran dapat

    dijalankan dengan baik dan berkesan. Keputusan untuk membina bahan ini adalah

    hasil daripada perbincangan daripada beberapa pihak iaitu pensyarah dan juga rakan-

    rakan. Oleh kerana murid-murid tersebut telah mengenali huruf-huruf Jawi tunggal

    maka saya telah membuat keputusan untuk memilih kesemua huruf Jawi tunggal di

    dalam bahan tersebut. Hal ini kerana, responden yang telah dipilih mempunyai

    pelbagai aras kognitif yang berbeza.

    Bahan yang digunakan ini hanyalah sekeping kertas A4 yang dilaminate.

    Bahan yang saya gunakan juga senang dan mudah dibawa oleh mereka sekiranya

    mereka perlu menggunakan bahan ini untuk membuat lembaran kerja. Warna yang

    diletakkan di dalam Penanda Jawi Berwarna dapat membantu mereka untuk

    mengenali huruf yang boleh disambung dan tidak boleh disambung. Bahan ini juga

    boleh dibuat dalam pelbagai saiz dan bentuk.

    Di dalam menghasilkan bahan bantu ini saya telah menekankan elemen

    warna seperti warna merah, kuning dan hijau yang biasa dilihat oleh murid-murid

    dalam kehidupan seharian mereka. Pemilihan warna yang bersesuai merupakan

    elemen yang sangat penting di dalam menyediakan bahan bantu kepada murid.

    Menurut Kassim (2006) warna adalah elemen yang sangat penting dalam apa jua

    pameran. Kajian yang dibuat secara professional mendapati bahawa warna boleh

    menimbulkan berbagai-bagai perasaan. Di dalam bilik darjah warna yang digunakan

    dengan baik akan membantu dalam pengajaran dan pembelajaran. Warna juga adalah

  • 27

    satu alat untuk menarik perhatian, untuk menekankan atau membezakan sesuatu dan

    juga untuk menimbulkan perasaan.

    Penghasilan bahan ini juga tidak menggunakan kos yang tinggi dan

    memudahkan guru untuk menyediakannya pada bila-bila masa. Kesimpulannya,

    bahan ini sangat releven untuk digunakan oleh murid-murid sama ada di sekolah

    mahupun di rumah. Diharapkan dengan kajian ini, murid-murid dapat celik Jawi.

    Guru dan sekolah harus mencari inisiatif untuk meningkatkan celik Jawi murid-

    murid supaya dapat memberi kesan yang positif di dalam diri pelajar dan juga

    prestasi akademik sekolah.

  • 6.0 CARA PENGUMPULAN DATA

    Dalam bahagian ini, saya akan membincangkan dengan jelas tentang cara

    pengumpulan data yang sesuai untuk menjawab soalan kajian. Dalam melaksanakan

    kajian ini saya telah menggunakan beberapa kaedah untuk mengumpul data. Kaedah

    tersebut terdiri daripada kaedah pemerhatian, kaedah temubual, dan dokumen yang

    terdiri daripada dokumen lembaran kerja dan jurnal refleksi guru.

    6.1 Pemerhatian

    Menurut Choong Lean Keow (2011), pemerhatian ialah proses melihat sendiri

    perkara yang berlaku dan bukannya hanya mendengar daripada pihak ketiga samada

    pengutipan data dilakukan secara langsung atau tidak langsung. Saya telah memilih

    kaedah pemerhatian ini sebagai salah satu cara untuk mengenalpasti masalah murid

    dan melihat keberkesanan kajian saya terhadap responden.

    Pemerhatian dilakukan sebanyak dua fasa iaitu sebelum dan semasa kajian

    dijalankan. Sebelum kajian dijalankan, pemerhatian dilakukan bagi mengenal pasti

    masalah utama yang timbul dalam diri murid tersebut. Pada fasa kedua pula,

    pemerhatian dilakukan terhadap hasil kerja responden dan juga motivasi mereka

    dalam menyempurnakan tugasan yang diberikan.

    Saya telah membuat pemerhatian terhadap murid saya sewaktu aktiviti

    pengajaran dan pembelajaran Jawi. Melalui pemerhatian yang telah saya jalankan,

    saya telah mendapati bahawa murid-murid kurang memberi tumpuan terhadap isi

    pelajaran yang disampaikan. Apabila saya meminta mereka untuk membuat

  • 29

    lembaran kerja yang telah diedarkan terdapat murid yang mengalami masalah di

    dalam menyambung huruf tunggal.

    6.2 Temubual

    Mengikut Patton (1990) pula, temubual diadakan apabila pengkaji hendak

    mengetahui apa yang ada di minda seseorang. Dalam kajian ini, temubual dijalankan

    untuk mendapatkan maklum balas yang lebih mendalam berkaitan pencapaian yang

    diperoleh oleh responden dan menilai minat serta motivasi mereka dalam

    mempelajari bidang Jawi.

    Temubual yang telah saya jalankan adalah untuk mengumpul maklumat

    daripada responden adakah penggunaan Penanda Jawi Berwarna ini dapat membantu

    meningkatkan kemahiran murid menyambung huruf tunggal dengan betul. Hasil

    dapatan daripada temubual ini dapat dijadikan tindakan susulan dan penambahbaikan

    dalam pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang.

    Bagi menyokong kajian yang telah dijalankan saya telah menjalankan

    temubual secara berstruktur terhadap responden. Saya telah menjalankan temubual

    ini secara individu. Saya telah memanggil seorang demi seorang responden saya

    untuk mengelakkan jawapan mereka dipengaruhi oleh responden lain. Saya juga

    telah menjalankan temubual sebanyak dua peringkat. Peringkat pertama saya telah

    menjalankan temubual secara tidak berstruktur untuk mengetahui pengetahuan asas

    mereka mengenai huruf Jawi tunggal yang boleh disambung dan tidak boleh

    disambung sewaktu menjalankan pengajaran dan pembelajaran di kelas Tahun 2 dan

    peringkat kedua pula adalah temubual secara berstruktur dijalankan selepas saya

    membuat penambahbaikan di dalam pengajaran dan memperkenalkan Penanda Jawi

    Berwarna ini.

  • 30

    6.3 Dokumen

    Bogdan dan Biklen (1998) merujuk istilah dokumen sebagai bahan-bahan seperti

    fotograf, video, filem, memo, surat, diari serta memo dalam pelbagai bentuk dan

    jenis yang boleh digunakan sebagai maklumat sokongan kepada temubual dan

    pemerhatian. Data berbentuk dokumen yang telah digunakan di dalam kajian saya

    terbahagi kepada dua iaitu jurnal refleksi pengajaran dan juga lembaran kerja.

    6.3.1 Jurnal refleksi pengajaran

    Refleksi pengajaran yang dibuat adalah bertujuan untuk memastikan saya sentiasa

    sedar apa yang berlaku di dalam pengajaran dan pembelajaran saya. Saya akan

    menulis refleksi pengajaran dan pembelajaran ini di akhir proses pengajaran dan

    pembelajaran berlaku. Penulisan refleksi ini membolehkan saya untuk menilai

    kembali kekuatan dan kelemahan yang terdapat di dalam pengajaran saya serta dapat

    membuat penambahbaikan serta membuat tindakan susulan terhadap pengajaran saya

    yang terdahulu.

    6.3.2 Lembaran Kerja

    Lembaran kerja yang telah saya sediakan akan diberikan kepada murid-murid semasa

    proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dan akan dibetulkan oleh guru sekiranya

    terdapat kesilapan. Lembaran kerja ini akan membantu saya untuk menganalisis

    tahap penguasaan kemahiran mereka dalam menyambung dan menulis huruf-huruf

    Jawi tunggal bagi membentuk perkataan. Di dalam lembaran kerja yang telah

    diberikan kepada mereka saya telah menggunakan kesemua huruf-huruf jawi tunggal

    supaya akan wujud kebolehpercayaan di dalam kajian saya.

  • 7.0 KEPUTUSAN, ANALISIS DATA DAN INTERPRETASI

    Analisis data dan interpretasi akan memberi makna kepada data terutama dalam

    konteks kajian yang dilaksanakan ( Chow Fook Meng dan Jaizah Mahamud, 2011).

    Justeru, saya telah mengumpulkan dan menganalisis maklumat atau data yang telah

    diperolehi untuk menjawab soalan kajian yang telah ditetapkan dan seterusnya

    membuat kesimpulan terhadap analisis data tersebut. Bahagian ini akan menerangkan

    dapatan hasil kajian yang diperoleh daripada data yang telah dikumpulkan daripada

    ketiga-tiga instrumen.

    7.1 Soalan Kajian 1 :

    Bagaimanakah penggunaan Penanda Jawi Berwarna dapat membantu murid

    meningkatkan kemahiran menyambung huruf jawi tunggal dengan betul?

    Untuk menjawab soalan kajian ini, tiga cara pengumpulan data telah

    digunakan iaitu temubual, dokumen lembaran kerja dan juga pemerhatian. Analisis

    temubual menunjukkan bahawa responden memberikan respon yang positif terhadap

    Penanda Jawi Berwarna ini. Keempat-empat daripada mereka memberitahu bahawa

    mereka lebih senang untuk mengecam huruf yang boleh disambung dan tidak boleh

    disambung selepas menggunakan Penanda Jawi Berwarna. Responden juga

    menyatakan bahawa mereka dapat menyambung huruf Jawi tunggal selepas merujuk

    kepada Penanda Jawi Berwarna ini kerana mereka telah dapat mengecam huruf-huruf

    yang boleh disambung dan huruf-huruf yang tidak boleh disambung.

  • 32

    Analisis lembaran kerja pula menunjukkan bahawa responden menunjukkan

    peningkatan markah yang agak ketara dan lebih baik daripada lembaran kerja yang

    diberikan sebelum ini. Mereka telah dapat mengaplikasikan penggunaan formula

    warna yang telah diajar semasa membuat latihan di dalam lembaran kerja. Analisis

    kepada pemerhatian menunjukkan bahawa mereka dapat menyambung huruf Jawi

    tunggal dengan betul tanpa meminta bantuan daripada guru dan juga rakan mereka.

    7.1.1 Analisis data temubual

    Temubual telah dijalankan ke atas responden sebanyak dua sesi secara

    individu. Temubual sebelum dijalankan berkisarkan tentang pengetahuan asas

    responden mengenai huruf yang boleh disambung dan tidak boleh disambung.

    Manakala temubual selepas adalah berkisar mengenai maklum balas daripada

    responden mengenai bahan Penanda Jawi Berwarna ini. Berikut merupakan bukti

    hasil temubual yang telah saya jalankan ke atas mereka :

    TB 1 : Adakah kamu tahu huruf tunggal yang boleh disambung dan huruf yang tidak

    boleh disambung selepas menggunakan Penanda Jawi Berwarna?

    R1 Aah ustazah.. Senang je ustazah, sekarang saya dah tahu huruf yang boleh

    sambung dengan huruf yang tak boleh sambung....

    R2 Tahu, lepas saya tengok Penanda Jawi Berwarna ni...lagipon ada warna senang

    nak ingat.

    R3 Aah, tahu... mula-mula tahu sikit, bila banyak kali buat latihan guna Penanda

    Jawi Berwarna ni saya dah tahu dah..

    R4 Tahu....saya rasa lagi senang nak tahu huruf yang boleh sambung dengan tak

    boleh sambung lepas ustazah ajar guna Penanda Jawi ni....

  • 33

    TB 2 : Bagaimana Penanda Jawi Berwarna ini dapat membantu kamu untuk

    menyambung huruf jawi tunggal? Boleh kamu terangkan pada ustazah?

    R1 Masa saya nak sambung huruf, saya tengok Penanda Jawi Berwarna dan lepas

    tu saya ingat formula yang ustazah ajar..

    R2 Senang nak sambung huruf sebab ada warna. Ustazah cakap kalau warna

    merah tak boleh sambung, warna hijau boleh sambung dan warna kuning tak

    boleh sambung jugak...

    R3 Sambung huruf ikut warna yang ustazah bagitau, kalau merah tak boleh

    sambung, hijau boleh sambung.. lepas tu guna la formula yang ustazah ajar tu..

    senang la.

    R4 Tengok warna huruf dekat Penanda Jawi Berwarna tu, lepas tu bila nak

    sambung ingat formula pulak..

    Berdasarkan analisis ke atas soalan-soalan temubual yang telah dijalankan ke

    atas keempat-empat responden, mereka telah memberitahu bahawa mereka telah

    dapat mengecam dan dapat mengetahui huruf yang boleh disambung dan tidak boleh

    disambung kerana huruf-huruf tersebut telah dikelompokkan mengikut warna yang

    sesuai. Selain itu, formula warna yang telah diajarkan kepada mereka telah

    membantu mereka untuk menyambung huruf Jawi dengan mudah dan

    mengaplikasikan formula warna yang terdapat di dalam Penanda Jawi Berwarna

    semasa membuat lembaran kerja.

    7.1.2 Analisis Lembaran Kerja

    Lembaran kerja dibuat bertujuan untuk melihat tahap penguasaan kemahiran murid

    di dalam menyambung huruf Jawi tunggal dengan berbantukan penggunaan Penanda

    Jawi Berwarna. Guru telah memberikan lembaran kerja kepada murid sebanyak

    beberapa sesi selepas penggunaan Penanda Jawi Berwarna. Lembaran kerja ini telah

    menggunakan aktiviti menyambung huruf Jawi tunggal dan menggunakan kesemua

    huruf tunggal Jawi secara tidak langsung.

  • 34

    Jadual 7 menunjukkan keputusan yang diperolehi oleh responden semasa

    menjalankan aktiviti lembaran kerja selepas Penanda Jawi Berwarna diperkenalkan

    kepada responden. Hasil keputusan yang diperolehi oleh responden telah

    diperhatikan. Lembaran 1 menunjukkan responden masih tidak dapat menjawab

    kesemua soalan dengan betul. Masih terdapat beberapa kesalahan yang telah

    dilakukan oleh mereka. Selepas itu, guru telah memberikan lembaran 2, 3 dan 4

    kepada responden untuk melihat peningkatan penguasaan kemahiran menyambung

    huruf Jawi tunggal.

    Jadual 3 : Keputusan lembaran kerja

    Responden Latihan 1 Latihan 2 Latihan 3 Latihan 4

    R1 3/8 5/8 7/8 7/8

    R2 4/8 6/8 8/8 8/8

    R3 2/8 5/8 7/8 8/8

    R4 3/8 5/8 7/8 8/8

    Keempat-empat lembaran kerja yang telah diberikan kepada keempat-empat

    responden ini merupakan aktiviti menyambung huruf Jawi tunggal supaya

    membentuk perkataan yang bermakna. Selepas membandingkan markah yang telah

    diperolehi oleh keempat-empat responden di dalam lembaran latih tubi yang telah

    diedarkan, saya dapat membuat rumusan bahawa mereka telah menguasai kemahiran

    menyambung huruf Jawi tunggal dengan baik. Selepas saya memperkenalkan kaedah

    pengajaran berbantukan Penanda Jawi Berwarna keputusan mereka telah

    menunjukkan peningkatan yang positif. R2, R3 dan R4 ketiga-tiganya memperolehi

    keputusan yang sama di dalam latihan yang keempat iaitu sebanyak 8/8 manakala R1

    berjaya mengekalkan markah yang sama iaitu 7/8.

  • 35

    7.1.3 Analisis data pemerhatian

    Saya telah menjalankan pemerhatian sebanyak dua fasa. Fasa yang pertama adalah

    sebelum kajian dilakukan. Manakala fasa yang kedua pula ialah selepas kajian

    dijalankan. Sebelum kajian dilakukan saya telah memerhatikan tingkah laku mereka

    di dalam kelas sewaktu pengajaran dan pembelajaran manakala fasa kedua yang

    dijalankan pula pemerhatian yang dilakukan ke atas mereka selepas pengajaran dan

    pembelajaran yang berbantukan Penanda Jawi Berwarna. Berikut merupakan

    pemerhatian selepas pengajaran dan pembelajaran berbantukan Penanda Jawi

    Berwarna dijalankan :

    Jadual 4 : Analisis pemerhatian (proses pembelajaran)

    Bil Aspek yang dinilai R1 R2 R3 R4

    1 Murid dapat mengenal huruf yang boleh disambung

    dan tidak boleh disambung selepas menggunakan

    Penanda Jawi Berwarna.

    /

    /

    /

    /

    2 Murid menjawab soalan yang telah diberikan

    dengan betul setelah menggunakan Penanda Jawi

    Berwarna.

    /

    /

    /

    /

    3 Murid merujuk kepada Penanda Jawi Berwarna

    semasa menyambung huruf tunggal menjadi

    perkataan yang betul.

    x

    x

    /

    /

    4 Murid merujuk kepada petunjuk warna yang

    terdapat di dalam Penanda Jawi Berwarna untuk

    membezakan huruf yang boleh disambung dan huruf

    yang tidak boleh disambung.

    /

    /

    /

    /

    Instrumen pemerhatian yang telah menjawab soalan kajian saya yang pertama

    ialah pemerhatian dari aspek proses pembelajaran. Mereka telah dapat menguasai

    pembelajaran dengan baik. Terdapat empat items yang telah di senaraikan di dalam

    pemerhatian. Item pertama dibuat untuk melihat adakah murid dapat mengenal huruf

    yang boleh di sambung dan tidak boleh di sambung selepas menggunakan Penanda

    Jawi Berwarna. Item kedua pula murid menjawab soalan latihan yang diberikan

  • 36

    dengan betul selepas menggunakan Penanda Jawi Berwarna. Item ketiga merupakan

    murid merujuk Penanda Jawi Berwarna untuk menyambung huruf Jawi tunggal

    untuk menjadi perkataan yang betul. Manakala item yang keempat ialah murid

    merujuk kepada penanda warna yang terdapat di dalam Penanda Jawi Berwarna

    untuk membezakan huruf yang boleh disambung dan huruf yang tidak boleh

    disambung.

    Berdasarkan item pertama, keempat-empat responden telah dapat mengenal

    dan mengecam huruf yang boleh disambung dan tidak boleh disambung selepas

    merujuk Penanda Jawi Berwarna seterusnya mereka dapat menyambung huruf Jawi

    tunggal dengan betul. Item yang kedua pula menunjukkan R1, R2, R3 dan R4 dapat

    menjawab soalan latihan yang diberikan dengan betul selepas menggunakan Penanda

    Jawi Berwarna.

    Berdasarkan item ketiga, R1 dan R2 dilihat sesekali sahaja merujuk kepada

    Penanda Jawi Berwarna tersebut. Manakala R3 dan R4 merujuk Penanda Jawi

    Berwarna semasa menyambung huruf tunggal menjadikan perkataan yang betul. Hal

    ini kerana apabila ditanya kepada R1 dan R2 mereka menyatakan bahawa mereka

    sudah dapat mengingat beberapa huruf tunggal Jawi yang boleh disambung dan tidak

    boleh disambung semasa menjalankan latihan. Hal ini menunjukkan bahawa warna

    yang saya gunakan di dalam huruf tersebut sangat membantu mereka untuk

    mengecam dan seterusnya memberi ingatan kepada responden.

  • 37

    7.2 Soalan Kajian 2

    Bagaimanakah penggunaan Penanda Jawi Berwarna dapat meningkatkan amalan

    sedia ada guru di dalam pengajaran dan pembelajaran membantu murid

    meningkatkan kemahiran menyambung huruf Jawi?

    Untuk menjawab soalan kajian 2 ini saya telah menggunakan tiga data yang

    terdiri daripada dokumen refleksi guru, pemerhatian dan juga temubual. Analisis

    dokumen refleksi guru menunjukkan guru telah membuat penambahbaikan dalam

    amalan pengajarannya setelah mengenalpasti kekuatan dan kelemahannya.

    Analisis pemerhatian terhadap tingkah laku murid menunjukkan tingkah laku

    negatif murid seperti suka termenung, suka meniru rakan sudah dapat dikurangkan

    kerana mereka lebih menumpukan perhatian untuk merujuk Penanda Jawi Berwarna

    sewaktu menjalankan lembaran kerja. Analisis temubual pula menunjukkan jawapan

    daripada keempat-empat responden tersebut telah menunjukkan bahawa Penanda

    Jawi Berwarna dapat membantu guru dalam mengubah amalan di dalam pengajaran

    dan pembelajaran. Untuk menerangkan dengan lebih lanjut tentang data-data tersebut

    akan saya huraikan seperti di bawah :

    7.2.1 Analisis dokumen refleksi guru

    Jurnal refleksi pengajaran dibuat adalah bertujuan untuk merekodkan apa yang

    berlaku sepanjang pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, catatan

    refleksi pengajaran ini juga membantu guru untuk mengenalpasti kekuatan dan

    kelemahan yang terdapat di dalam pengajaran dan pembelajarannya supaya langkah

    penambahbaikan dapat diambil dan dijalankan oleh guru.

  • 38

    Sebagai seorang guru yang proaktif dan kreatif, guru seharusnya sentiasa

    membuat refleksi untuk sentiasa memperbaiki kelemahan yang terdapat di dalam

    pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan supaya objektif pengajaran dan

    pembelajaran yang telah ditetapkan dapat dicapai secara optimum.

    Berdasarkan permasalahan murid di dalam kemahiran menyambung huruf

    Jawi tunggal saya telah membuat penambahbaikan di dalam pengajaran saya dengan

    menggunakan pengajaran berbantukan Penanda Jawi Berwarna. Saya telah

    membezakan setiap huruf Jawi tunggal yang boleh disambung dan tidak boleh

    disambung dengan menggunakan elemen warna. Penambahbaikan terhadap amalan

    pengajaran dan pembelajaran ini telah menunjukkan perubahan yang positif dalam

    kalangan murid-murid tersebut sebagaimana yang telah dicatat dalam jurnal refleksi

    berikut :

    Tarikh : 23 Julai 2014

    Kelas : 2 Dakota

    .Setelah saya memberikan penerangan kepada mereka tentang cara penggunaan Penanda Jawi Berwarna tersebut barulah mereka faham dan dapat mengingat huruf-

    huruf yang boleh disambung dan tidak boleh disambung berdasarkan petunjuk warna

    yang telah diberikan. Setelah memastikan mereka faham dengan cara penggunaan

    Penanda Jawi Berwarna tersebut saya telah memberikan kepada mereka latih tubi untuk

    mereka mengaplikasikan penggunaan Penanda Jawi Berwarna tersebut. Sewaktu

    membuat latih tubi tersebut mereka banyak bertanya kepada saya sekiranya huruf

    tersebut berwarna hijau bertemu dengan huruf yang berwarna merah apa yang perlu

    mereka lakukan. Saya telah meminta mereka untuk merujuk petunjuk warna yang telah

    diberi. Sedikit demi sedikit mereka mula faham untuk menggunakan Penanda Jawi

    Berwarna tersebut dan akhirnya mereka faham bagaimana untuk menyambung huruf

    tunggal menjadi perkataan yang betul...

  • 39

    Tarikh : 6 Ogos 2014

    Kelas : 2 Dakota

    .....Alhamdulillah, setelah beberapa sesi menjalankan kajian ini saya dapat melihat perubahan terhadap murid-murid saya. Apabila saya meminta mereka untuk menjalankan

    aktiviti di dalam lembaran yang diedarkan mereka semakin bersemangat dan seronok. Ada

    di antara mereka yang memberitahu saya bahawa mereka sudah tidak sabar untuk

    menjawab latihan yang diberikan. Perkara yang paling menyeronokkan adalah apabila

    melihat mulut mereka terkumat kamit dan sudah dapat mengingati huruf-huruf yang

    berwarna merah, hijau dan kuning semasa menjalankan aktiviti latih tubi. Keadaan kelas

    menjadi semakin ceria apabila ada di antara mereka yang sudah mahir dan boleh menjadi

    rakan turus kepada murid yang lain...

    Peningkatan kefahaman murid ini dicatatkan dalam refleksi yang bertarikh

    Julai 2014 dicatatkan selepas guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran Jawi

    yang bertajuk suku kata terbuka dan tertutup. Kemahiran murid-murid dapat dilihat

    apabila mereka dapat meminimakan kesalahan menyambung huruf Jawi tunggal

    menjadi perkataan yang betul di dalam latihan yang telah diberikan. Apa yang paling

    menggembirakan ialah apabila melihat mulut mereka terkumat kamit menghafal

    huruf-huruf Jawi tunggal tersebut dan formula warna yang diberikan tanpa melihat

    Penanda Jawi Berwarna tersebut.

    7.2.2 Pemerhatian dan analisis pemerhatian

    Persoalan kajian ini telah diperkukuhkan lagi dengan dapatan melalui instrumen

    pemerhatian yang telah dijalankan. Pemerhatian tersebut dijalankan ke atas tingkah

    laku mererka sepanjang menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Secara

    keseluruhannya murid telah menunjukkan perubahan yang agak ketara dari segi

    tingkah laku mereka sebelum dan selepas bahan ini diperkenalkan.

    Mereka juga lebih menumpukan perhatian untuk merujuk Penanda Jawi

    Berwarna dan secara tidak langsung tingkah laku kurang berdisiplin dapat

    dikurangkan. Hal ini kerana sebelum kajian ini dijalankan murid seringkali cuba

  • 40

    untuk meniru rakan mereka yang berada di sebelah dan juga sentiasa termenung

    apabila soalan latihan diberikan.

    Jadual 5 : Data Pemerhatian (Tingkah Laku)

    Bil Aspek yang dinilai R1 R2 R3 R4

    1 Murid termenung sewaktu membuat latihan yang

    diberikan.

    x

    x

    x

    x

    2 Murid menjawab soalan yang telah diberikan

    dengan betul.

    /

    /

    /

    /

    3 Murid meniru rakan yang berada di sebelah

    sewaktu menjawab latihan yang diberikan.

    x

    x

    x

    x

    4 Murid banyak bertanya kepada guru tentang huruf

    yang boleh disambung dan tidak boleh disambung.

    /

    /

    /

    /

    Terdapat empat aspek yang dinilai di dalam pemerhatian tingkah laku ini.

    Aspek yang pertama ialah murid termenung sewaktu membuat latihan yang

    diberikan. Aspek kedua pula ialah murid menjawab soalan dengan betul. aspek

    ketiga yang cuba dilihat ialah murid meniru rakan yang berada di sebelah sewaktu

    menjawab latihan yang diberikan. Dan aspek keempat pula ialah murid banyak

    bertanya kepada guru tentang huruf yang boleh disambung dan tidak boleh

    disambung.

    Bagi aspek pertama didapati sebelum bahan Penanda Jawi Berwarna

    diperkenalkan keempat-empat responden sering termenung sewaktu membuat latihan

    yang diberikan. Hal ini menunjukkan bahawa keempat-empat responden tidak

    mempunyai pengetahuan untuk menyambung huruf Jawi tunggal, setelah PdP

    berbantukan Penanda Jawi Berwarna diperkenalkan murid dilihat kurang termenung

    dan lebih menumpukan perhatian untuk menggunakan bahan tersebut.

    Aspek kedua pula menunjukkan keempat-empat responden dapat menjawab

    soalan yang diberikan dengan betul berbanding sebelumnya. Aspek ketiga pula

    menunjukkan tingkah laku keempat-empat responden meniru rakan yang berada di

  • 41

    sebelah sewaktu membuat latihan dapat dikurangkan. Hal ini kerana mereka akan

    sentiasa merujuk Penanda Jawi Berwarna semasa membuat lembaran kerja.

    Bagi aspek yang keempat pula, di dapati R1, R2, R3 dan R4 kurang bertanya

    tentang huruf yang boleh disambung dan tidak boleh disambung. Hal ini

    membuktikan bahawa guru telah dapat mengubah amalan sedia adanya sehingga

    menyebabkan murid dapat menunjukkan kesan yang positif.

    7.2.3 Analisis temubual

    Instrumen ketiga yang telah menjawab soalan kajian saya ialah temubual. Jawapan

    daripada keempat-empat responden menunjukkan bahawa Penanda Jawi Berwarna

    dapat membantu guru dalam mengubah amalan didalam pengajaran dan

    pembelajarannya. Mereka dapat memahami isi pelajaran yang diberikan oleh guru

    melalui penerangan di dalam kelas.

    TB 4 : Ustazah ada terangkan pada kamu tentang penggunaan Penanda Jawi

    Berwarna. Adakah kamu faham apa yang ustazah terangkan?

    R1 Faham.. (angguk). Ustazah suruh tengok huruf apa yang berwarna merah, hijau

    dan kuning. Lepas tu ustazah suruh ingat formula. Huruf merah + merah, tak

    boleh sambung, hijau + merah boleh sambung, merah + hijau tak boleh sambung,

    hijau + hijau boleh sambung.

    R2 Mula-mula pening sikit, tak faham sangat.. lepas ustazah dah terangkan baru

    faham banyak.. hehehe.

    R3 Faham lepas ustazah terangkan.. ustazah cakap lepas guna Penanda Jawi

    Berwarna ingat formula yang ustazah ajar...

    R4 Saya faham ustazah... seronok je bila buat latihan.. sebelum ni saya tak tahu..

    sekarang saya dah tahu..

    Hasil temubual yang telah dijalankan ke atas mereka mendapati bahawa

    keempat-empat responden mengatakan bahawa formula warna yang diberikan dan

    penerapan elemen warna pada setiap huruf membantu mereka untuk menyambung

  • 42

    huruf Jawi dengan betul dan mudah. Mereka juga menyatakan bahawa mereka sangat

    seronok sewaktu menggunakan Penanda Jawi Berwarna ini.

    R1, R3 dan R4 menyatakan bahawa mereka faham dengan penggunaan

    Penanda Jawi Berwarna ini setelah mendapat penerangan daripada guru. Manakala

    R2 pula menyatakan bahawa mengalami sedikit kekeliruan pada awalnya tetapi

    setelah diberi penerangan yang lebih mendalam responden lebih faham tentang cara

    penggunaan bahan Penanda Jawi Berwarna ini. Hal ini dapat disimpulkan bahawa

    pengajaran dan pembelajaran berbantukan Penanda Jawi Berwarna ini dapat

    menjadikan murid lebih seronok untuk belajar dan secara tidak langsung akan

    mengubah amalan sedia ada guru seterusnya mewujudkan pengajaran dan

    pembelajaran yang dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan.

  • 8.0 RUMUSAN/REFLEKSI SELEPAS DAPATAN

    Secara keseluruhannya kajian ini telah mencapai objektif kajian yang telah

    ditetapkan. Kajian ini telah dimulakan dengan saya membuat tinjauan awal untuk

    mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh murid dalam mata pelajaran Jawi.

    Bertitik tolak dari permasalah ini saya telah membuat refleksi ke atas diri sendiri

    tentang amalan pengajaran yang telah saya gunakan sepanjang menjalankan

    pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, saya telah merancang untuk membuat

    penambahbaikan terhadap amalan pengajaran saya dengan berbantukan bahan yang

    diberi nama Penanda Jawi Berwarna bagi membantu murid mengatasi masalah yang

    dihadapi oleh mereka dalam menyambung huruf jawi tunggal. Maka saya telah

    melaksanakan tindakan yang telah saya rancang sepanjang tempoh saya menjalani

    latihan mengajar di sekolah.

    Setelah saya melaksanakan tindakan tersebut, saya telah membuat refleksi

    sekali lagi bagi menilai pengajaran dan pembelajaran saya. Hasilnya pengajaran dan

    pembelajaran berbantukan Penanda Jawi Berwarna ini dapat membantu murid

    menyambung huruf Jawi tunggal dan seterusnya meningkatkan kemahiran murid

    dalam menyambung huruf Jawi tunggal dengan betul. Mereka juga dapat

    membezakan huruf jawi yang boleh disambung dan tidak boleh disambung setelah

    menggunakan bahan ini. Selain itu, apa yang dapat dilihat murid juga seronok

    menjalankan aktiviti latih tubi bersama-sama dengan menggunakan bahan ini. Secara

    tidak langsung tingkah laku negatif murid dapat dikurangkan dan dapat dikawal oleh

  • 44

    guru dengan baik. Hal ini dapat melancarkan lagi proses pengajaran dan

    pembelajaran saya.

    Amalan ini juga dapat mengubah pengajaran dan pembelajaran rutin guru

    kearah pengajaran yang lebih berkesan. Bahan yang dibina juga sangat membantu

    murid untuk membezakan huruf yang boleh disambung dan tidak boleh disambung

    sehingga membolehkan mereka untuk menguasai kemahiran menyambung huruf

    Jawi tunggal dengan betul. Perkara ini secara tidak langsung akan dapat

    meningkatkan prestasi akademik murid-murid terutamanya dalam mata pelajaran

    Jawi yang kian hari kian hilang. Oleh itu pengenalan kepada Penanda jawi Berwarna

    ini diharapkan dapat membantu murid untuk meningkatkan kemahiran dalam

    menyambung huruf jawi tunggal seterusnya dapat menulis jawi dengan baik.

    Sebagai seorang guru Pendidikan Islam, guru seharusnya berusaha untuk

    memastikan murid-murid sentiasa bermotivasi untuk belajar dan menanam minat

    yang mendalam di dalam mata pelajaran Pendidikan Islam khususnya mata pelajaran

    Jawi kerana sekiranya tidak dicegah daripada sekarang dikhuatiri murid akan terus

    ketinggalan dan lama kelamaan tulisan ini akan terus terkubur begitu sahaja. Usaha

    ini sangat dituntut untu melahirkan murid yang berkualiti dan celik akal pada masa

    akan datang.

    Soalan-soalan kajian yang telah dibuat juga telah dapat dijawab dengan

    instrumen-instrumen yang telah dikemukakan dan data-data yang saling menyokong

    seperti yang terdapat dalam kajian. Data-data yang menyokong antara satu sama lain

    ini adalah merupakan triangulasi. Saya mengharapkan supaya kajian ini dapat

    membantu saya untuk sentiasa membuat refleksi terhadap pengajaran di dalam bilik

    darjah dan seterusnya dapat melahirkan murid yang seimbang dari aspek jasmani,

  • 45

    emosi, rohani dan inteleknya sesuai dengan kehendak Falsafah Pendidikan

    Kebangsaan.

    Namun begitu, kajian ini perlu diteruskan lagi dengan membuat beberapa

    penambahbaikan terhadap Penanda Jawi Berwarna ini supaya penggunaannya boleh

    diperluaskan lagi dan tidak terbatas setakat menyambung huruf jawi tunggal sahaja

    dan perlu diubahsuai mengikut kesesuaian dari semasa ke semasa.

  • 9.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA

    Pelaksanaan kajian ini dilihat mampu memperbaiki amalan pengajaran guru bagi

    mengurangkan masalah dan meningkatkan kemahiran menyambung huruf Jawi

    tunggal dalam kalangan murid Tahun 2. Kajian ini sesuai digunakan oleh guru

    kepada semua murid dan juga murid Pemulihan Jawi. Walaubagaimanapun,

    pelaksanaan kajian tindakan yang dijalankan oleh pengkaji adalah berdasarkan

    kepada beberapa batasan kajian.

    Berdasarkan batasan kajian tersebut, beberapa cadangan lanjutan yang

    dicadangkan oleh pengkaji yang mana ianya boleh dijalankan dan dibuat

    penambahbaikan oleh para pengkaji lain pada masa akan datang. Antara cadangan

    penambahbaikan yang dapat dilaksanakan untuk kajian yang seterunya ialah pertama

    pengkaji mencadangkan supaya bahan ini boleh dipelbagaikan dalam bentuk perisian

    multimedia supaya menjadi lebih menarik dan mudah difahami oleh murid.

    Pembaharuan terhadap Penanda Jawi Berwarna ini boleh dijalankan dengan

    menggunakan perisian komputer dan mengaplikasikan alatan ICT seperti audio dan

    audio visual. Dengan bunyi-bunyian dan visual, murid-murid akan lebih seronok dan

    berminat untuk menggunakan perisian tersebut berbanding dengan kad yang

    berbentuk 2D seterusnya meningkatkan lagi penglibatan mereka di dalam pengajaran

    dna pembelajaran.

    Penambahbaikan yang kedua ialah pengkaji mencadangkan supaya di

    samping bahan ini, pengkaji lain boleh menggunakan kad huruf yang berbentuk 3D

  • 47

    sebagai bahan bantu sokongan terhadap Penanda Jawi Berwarna. Selain daripada

    bahan yang telah dibina ini, murid boleh menggunakan bahan berbentuk 3D tersebut

    untuk membentuk sesuatu perkataan dan dengan menggunakan kaedah sentuhan

    secara tidak langsung akan merangsang ingatan mereka dengan lebih cepat.

    Akhir kata, saya berasa sangat bangga kerana murid-murid tersebut telah

    dapat menyambung huruf Jawi tunggal dengan betul selepas saya menjalankan kajian

    saya. Saya sangat berharap dengan kajian yang telah saya jalankan ini dapat

    membantu lebih ramai lagi murid-murid yang tidak dapat menyambung huruf Jawi

    tunggal dengan betul. Semoga kajian ini akan dapat diteruskan oleh pengkaji-

    pengkaji yang lain sebagai rujukan dan panduan kepada mereka dan dapat membuat

    penambahbaikan ke atas bahan tersebut pada masa akan datang.

  • RUJUKAN

    Al-Quran Al-Karim dan terjemahannya.

    Ahmad Mohd Salleh (2008). Pengajian Agama Islam dan j-QAF Metodologi dan

    Pedagogi Pendidikan. Shah Alam : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

    Ahmad Mohd Salleh, (2008). Siri Pendidikan Guru: Pengajian Agama Islam & j-

    QAF. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

    Akhiar Pardi & Shamsina Shamsuddin (2011). Pengantar Penyelidikan Tindakan

    dalam Penyelidikan Pendidikan. Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn.

    Bhd.

    Amin Mohd Rashid (1991). Masalah-masalah Pengajaran Pendidikan Islam (KBSR).

    Satu Kajian Mengenai Persepsi Guru-Guru Rendah, Tesis Sarjana Universiti

    Kebangsaan Malaysia.

    Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pelajaran

    Malaysia (2008). Buku Manual Kajian Tindakan. Putrajaya : Kementerian

    Pelajaran Malaysia.

    Bogdan, R. C & Biklen, S K. (1989). Qualitative Research in Education: An

    Introduction to Theory and Method. Boston : Allyn & Bacon Inc.

    Chow Fook Meng. Jaizah Mahamud. (2011). Siri Pendidikan Kajian Tindakan:

    Konsep & Amalan dalam Pengajaran. Selangor: Penerbitan Multimedia

    Sdn.Bhd.

    Choong Lean Keow. (2011). Asas Penyelidikan Tindakan Untuk Program Ijazah

    Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian. Selangor: Kumpulan Budiman

    Sdn. Bhd.

    Ishak Haron. Hassan Basri. (1994). Laporan Penguasaan Jawi Pelajar Sekolah

    Menengah. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Tidak diterbitkan.

    Kang Kyoung Seok. (1990), Perkembangan Tulisan Jawi Dalam Masyarakat Melayu. Kuala

    Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

    Kassim Abbas. (2006). Media dalam Pendidikan. Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

    Mohd Majid Konting (1990). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS

    Publishing.

    Mohammad Amin b. Dan. (2009). Penguasaan Kemahiran Menyambung Huruf Jawi

    Bersambung Murid Tahun 4 dan Tahun 5 Sekolah Kebangsaan Pengkalan

    Sarah, Serian, Sarawak. Fakulti Pendidikan dan Bahasa, OUM.

  • 49

    Muhammad Endut. (1992). Pendidikan Islam KBSM: Satu kajian tentang masalah

    pengajaran di sekolah-sekolah di negeri Johor. Tesis M. Ed., Universiti

    Kebangsaan Malaysia, Bangi.

    Mustapha Yazid. (1991). Penguasaan Jawi di kalangan pelajar-pelajar sekolah

    menengah di negeri Kelantan: Satu kajian khusus di daerah Kota Bharu.

    Latihan ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

    Nik Rosila Nik Yaacob. (2007). Penguasaan Jawi dan Hubungannya dengan Minat

    dan Pencapaian Pelajar dalam Pendidikan Islam. Pulau Pinang: Pusat

    Pengajian Ilmu Pendidikan,USM.

    Othman Lebar (2011). Kajian Tindakan dalam Pendidikan Teori dan Amalan. Perak:

    Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

    Patton. M.Q. (1990). Qualitative Evaluation and Research Methods. London: Sage

    Publications.

    Siti Fatimah Saufee. (2006). Penguasaan tulisan Jawi di kalangan murid-murid

    tahap satu di sekolah rendah di Daerah Meradong. Seminar Penyelidikan

    Pendidikan Institut Perguruan Rajang Bintangor, Sarawak.

    Zamferi bin Ibrahim. (2009). Meningkatkan Kemahiran Penulisan Huruf Jawi

    yang berubah bentuk apabila disambungkan bagi pelajar Tahun Empat.

    Fakulti Pendidikan Sastera Dan Sains Sosial, Open Universiti Malaysia.

    Zulzaimi Bin Suhaimi (2009). Penggunaan Carta Huruf Sombong Dalam Meningkatkan

    Pengajaran Kemahiran Menyambung Huruf Jawi Murid Tahun 5. Seminar

    Penyelidikan Tindakan IPG KBL Tahun 2012.

  • LAMPIRAN A

    PEMERHATIAN

    Aspek Tingkahlaku

    Bil Aspek yang dinilai R1 R2 R3 R4

    1 Murid termenung sewaktu membuat latihan yang

    diberikan.

    2 Murid menjawab soalan yang telah diberikan dengan

    betul.

    3 Murid cuba untuk meniru rakan yang berada di sebelah

    sewaktu menjawab latihan yang diberikan.

    4 Murid banyak bertanya kepada guru tentang huruf yang

    boleh disambung dan tidak boleh disambung

    Aspek Proses Pembelajaran

    Bil Aspek yang dinilai R1 R2 R3 R4

    1 Murid dapat mengenal huruf yang boleh disambung

    dan tidak boleh disambung selepas menggunakan

    Penanda Jawi Berwarna.

    2 Murid menjawab soalan yang telah diberikan dengan

    betul setelah menggunakan Penanda Jawi Berwarna.

    3 Murid merujuk kepada Penanda Jawi Berwarna semasa

    menyambung huruf tunggal menjadi perkataan yang

    betul.

    4 Murid merujuk kepada petunjuk warna yang terdapat di

    dalam Penanda Jawi Berwarna untuk membezakan

    huruf yang boleh disambung dan huruf yang tidak

    boleh disambung.

  • 51

    LAMPIRAN B

    TEMUBUAL

    Temubual 1 : Selepas menggunakan Penanda Jawi Berwarna ini adakah kamu tahu huruf

    yang boleh disambung dan tidak boleh disambung?

    Temubual 2 : Bagaimana Penanda jawi Berwarna ini dapat membantu kamu untuk

    menyambung huruf tunggal dengan betul? Boleh kamu terangkan?

    Temubual 3 : Adakah penggunaan warna di dalam Penanda Jawi Berwarna ini membantu

    kamu untuk mengingat huruf tunggal yang boleh disambung dan tidak boleh

    disambung?

    Temubual 4 : Tadi ustazah ada terangkan kepada kamu tentang penggunaan Penanda Jawi

    Berwarna ini? Adakah kamu faham?

  • 52

    LAMPIRAN C